Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kedua belas

Detik kedua belas.

Selepas solat subuh, Danish dan Ain sudah bersiap-siap untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Manakala Zamia pula sibuk menyediakan sarapan pagi buat abang dan kakak iparnya di dapur. Langit masih kelam, mendung seperti mahu hujan.

Danish memeriksa enjin keretanya dengan bantuan cahaya lampu di anjung banglo.

“Mia masak apa tu?” Ain menyapa. Dia merapati adik iparnya yang sedang sibuk memasak di dapur.

“Takde apa sangatpun kak, cuma nasi goreng aje.” Balas Zamia sambil menguntum senyuman. Ain terpesona dengan nasi goreng yang dimasak oleh Zamia. Pandai adik iparnya ini memasak.

“Abang mana?” Soal Zamia tanpa menoleh ke arah Ain yang sudah melabuhkan duduknya di atas kerusi.

“Tengah service kereta kat luar..” Balas Ain. Seketika kemudian dia bingkas bangun dan mendekati Zamia sekali lagi.

“Apa-apa yang berlaku lepas ni, Mia mesti bagitau akak tau?” Wanita itu berbisik ke telinga Zamia. Kening gadis itu berkerut-kerut.

“Mia faham kan?” Bisik Ain lagi. Zamia mengangguk faham.

“Duduklah, Mia ada buat nasi goreng ni.” Ain berkata semasa Danish melangkah masuk ke dapur. Tanpa membuang masa, lelaki itu terus sahaja melabuhkan duduknya.

“Sedapnya bau! Pandai Mia masak ye…Boleh lawan kak Ain ni.” Usik Danish tidak habis-habis. Ain hanya ketawa mendengar usikan suaminya itu.

“Ala, takde apa pun. Kak Ain lagi pandai masak dari Mialah..” Zamia merendah diri. Dia menyenduk nasi goreng ke pinggan Danish dan Ain. Kemudian dia menuang air kopi panas ke dalam cawan.

“Mia janganlah down to earth sangat…Dulu kak Ain ni langsung tak pandai masak.” Danish mengungkit kisah zaman dahulu kala. Ain mencebik.

“Tapi sekarang saya pandai kan?” Ain bertanya tidak puas hati. Danish sekadar menjungkit bahu sebagai menjawab pertanyaan isterinya. Sengaja dia mengusik wanita cantik itu.

“Pandailah jugak. Dua tiga pinggan jugak saya makan kalau awak masak.” Jawabnya selamba. Tubuh yang tinggi lampai itu kini sedikit berisi selepas berbulan madu di banglo biru. Kepakaran isterinya memasak masakan kampung membuatkan selera makannya bertambah-tambah.

“Kerana budulah. Kalau ada budu, empat lima pinggan awak bedal.” Ain mengusik diikuti gelak tawa Zamia dan Danish.

“Kalaulah si Riz tu tak perkenalkan budu pada saya, mesti badan saya masih sasa macam dulu.” Ujar Danish dalam nada menyesal. Malah dia telah membeli dua dozen budu untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur . Kini makannya tidak lengkap jika tiada budu.

“Assalamualaikum..” Kedengaran suara Imriz memberi salam di muka pintu. Danish yang menjemputnya ke situ.

“Waalaikumsalam! Masuklah Riz…” Danish melaung dari dapur.

Imriz membuka kasutnya lalu melangkah masuk ke situ. Dia membimbit beberapa beg plastik, khas untuk sahabat baiknya itu.

“Right timing kau datang Riz. Mia dah masak nasi goreng special untuk breakfast pagi ni.” Danish berkata nakal.

“Sedapnya bau.” Imriz memuji. Zamia tersenyum tawar.

“Makanlah sementara masih panas ni.” Danish mempelawa.

Selepas bacaan bismillah, Imriz menyuapkan nasi goreng itu ke dalam mulutnya. Hatinya memuji-muji keenakan masakan Zamia.

“Ni ada ole-ole sikit untuk kau bawa balik KL.”

Danish merenung beberapa beg plastik yang berada di atas meja. Dia menarik beg plastik tersebut dan mengintai isi kandungannya.

“Keropok lekor, satar ikan dengan budu!” Danish berkata riang. Bertambahlah bilangan budunya.

“Danny dah beli dua dozen budu tau Riz.” Ain membuka rahsia suaminya.

Imriz tergelak sakan mendengarkan kata-kata isteri sahabatnya itu. Rupa-rupanya Danish sudah awal-awal membeli budu untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

“Kau ni dah jadi penagih budu Danny.” Kata Imriz dalam tawanya. Danish tersengih macam kerang busuk.

“Salah siapa?” Soal Danish sinis.

“Apa pulak salah aku? Kau yang ketagih dengan budu.” Tawa Imriz semakin rancak. Berair-air matanya.

“Kalau aku obesiti, kau kena tanggung semua kos kuruskan badan aku nanti Riz.” Danish berseloroh.


Ombak beralun rancak memecah keheningan pagi itu. Camar laut berterbangan tanpa arah seolah terganggu oleh sesuatu. Air laut yang jernih bertukar kehitam-hitaman. Pokok gergasi di belakang banglo biru bergerak-gerak tanpa arah tuju. Lolongan aneh kedengaran dari balik pokok tersebut. Tempikan demi tempikan bergema namun tersembunyi dari pendengaran para penghuni banglo biru…


“Bila kau datang sini balik?” Soal Imriz sambil mengunyah nasi goreng.

“In shaa Allah kalau aku ada cuti, aku balik sini dengan Ain.” Balas Danish selamba.

“Kau start kerja esok?” Soal Imriz lagi. Danish hanya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan kepada soalan itu.

“Kalau bekalan budu kau habis, kau janganlah segan-segan nak call aku. Aku boleh tolong poskan budu untuk kau nanti.” Imriz mula mengusik rakannya.

Kemudian tawa dua sahabat itu bergema lagi. Ain dan Zamia hanya tersenyum mendengar celoteh dua lelaki itu. Keduanya jarang sekali dapat bersua muka seperti itu.

“Kau tak terfikir ke nak kerja kat KL?” Tanya Danish setelah selesai bersarapan pagi. Imriz menggeleng.

“Kalau aku kerja kat KL, siapa nak jaga mak aku…” Balasnya perlahan.

“Betul jugak tu. Kaulah satu-satunya anak dia. Kalau kau takde kat sini, takde orang nak tolong tengok-tengokkan dia.” Danish berkata prihatin.

Mata Imriz terpaku pada Zamia yang baru selesai mengemas dapur. Gadis itu menatang pinggan berisi buah-buahan di tangannya.

Ruang tamu itu sepi seketika.

“Makanlah abang Riz.” Pelawa Zamia.

Ain hanya mengukir senyuman manis melihat renungan nakal Imriz. Renungan mata lelaki itu memanah tepat ke wajah adik iparnya.

“Kang layu pulak buah tu…” Usik Danish. Imriz tersipu-sipu kerana renungan nakalnya telah menarik perhatian Danish dan Ain.

Imriz bersalaman dan berpelukan dengan Danish sebelum dia mengundur diri untuk ke pejabat. Selepas ini tiada lagi gurau senda Danish setelah kembalinya lelaki itu ke Kuala Lumpur.

“Kau tolong tengok-tengokkan adik aku tu. Risau aku bila dia duduk kat sini sorang-sorang.” Danish berpesan pada Imriz. Imriz mengangguk faham seraya menepuk mesra bahu Danish.

“Kau janganlah bimbang Danny, In shaa Allah aku akan tolong tengok-tengokkan dia.” Balas Imriz ikhlas. Dia bahagia apabila mengenangkan Zamia akan terus berada di situ. Jika gadis itu turut bertolak pulang ke Kuala Lumpur, pasti dia akan merindui Zamia.

“Tolong tengok-tengokkan aje, kau jangan skodeng-skodengkan adik aku pulak!”

Imriz ketawa terbahak-bahak mendengar ‘ugutan maut’ abang kandung Zamia itu. Danish boleh meletakkan sepenuh kepercayaan padanya. Dia pasti akan melindungi Zamia dengan bantuan Allah Taala.

“Sudahlah, aku nak ke ofis ni..In shaa Allah kita akan berjumpa lagi Danny.” Keduanya berpelukan sekali lagi. Sebak hatinya melepaskan rakan baiknya itu pulang ke Kuala Lumpur.

“Jaga diri Riz. Tolong tengok-tengokkan adik aku tau...” Tidak jemu Danish menitip pesan buat Imriz. Senang hatinya mengenangkan Imriz ada di situ untuk menjaga Zamia.

“In shaa Allah, dah sampai KL nanti call lah aku. Assalamualaikum..” Ucap Imriz lalu berlalu ke keretanya.

“Waalaikumsalam..” Balas Danish perlahan. Dia menghantar Imriz dengan senyuman meleret di pipi. Kereta Imriz menghilang di balik semak-samun. Kemudian dia turut berlalu ke keretanya yang diparkir di hadapan banglo.

Zamia mendekati Danish yang sudah memanaskan enjin keretanya.

“Bawak kereta elok-elok. Kirim salam sayang Mia pada ibu dan ayah..” Ujar Zamia sambil mencium tangan abangnya. Danish membelai lembut kepala Zamia.

“In shaa Allah. Mia pun jaga diri elok-elok. Abang risaulah..” Danish mengeluh. Kalau boleh dia tidak mahu meninggalkan Zamia di situ.

“In shaa Allah takde apa-apa…Abang janganlah risau sangat.” Zamia mengomel. Danish mengeluh buat sekelian kalinya.

“Mia jaga diri ye…” Ain mencuit bahu Zamia lalu keduanya berpelukan erat.

“In shaa Allah kak. Kak Ain dengan abang Danny pun elok-elok kat atas jalanraya. Dah sampai KL, jangan lupa inform Mia.” Zamia berpesan.

“Kita bertolak sekarang.” Ajak Danish. Dia mendongak ke langit pagi yang mendung. Kelam sahaja suasana pagi itu. Dia menyusup masuk ke dalam kereta.

Ain memegang bahu Zamia kejab.

“Ingat pesan akak, kalau ada apa-apa berlaku lepas ni…Istighfar banyak-banyak dan jangan lupa bagitau akak..” Pesan wanita itu bersungguh-sungguh. Tajam sahaja matanya merenung Zamia. Zamia mengangguk perlahan.

“In shaa Allah kak…” Balasnya.

“Sekuat mana makhluk tu, Allah Taala lagi kuat…Dia Maha Berkuasa ke atas segala-galanya…” Tambah Ain lagi. Zamia mengangguk.

“Akak dengan abang pergi dulu…Mia jaga diri…Assalamualaikum…” Ain menggenggam erat jemari adik iparnya.

“Waalaikumsalam…Jaga diri..” Balas Zamia sambil melemparkan senyuman.

Ain membalas senyuman itu dan menyusup masuk ke dalam kereta. Selepas hon kereta dibunyikan sekali, kereta Danish bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan banglo itu. Semakin lama semakin menjauh dari Zamia.

Zamia mengesat air mata yang mengalir dengan jemarinya. Sayu pula hatinya apabila melihat abang dan kakak iparnya sudah tiada dari situ. Kesunyian mula terasa. Dia mendongak ke langit mendung dengan perasaan yang bercampur-baur.

Gadis itu bergegas masuk ke dalam banglo apabila titis-titis air hujan mula gugur membasahi kepalanya. Setelah mengunci pintu utama, dia berlalu ke bilik tidur yang sebelum ini dihuni oleh Danish dan Ain.

“Mesti kak Ain lupa ni…” Dia bergegas menutup jendela yang terkuak luas.

Dia melangkah keluar dari bilik tersebut namun jendela itu kembali terbuka dan daun pintunya kuat menghentam dinding bilik itu. Zamia kembali mengunci jendela dengan kening yang berkerut.

Sekali lagi keberanian Zamia tercabar apabila melihat pintu almari pakaian pula yang terbuka secara tiba-tiba. Seingatnya ketika masuk ke bilik itu sebentar tadi, pintu almari pakaian itu tertutup rapi. Zamia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.

Angin di luar menderu diiringi hujan lebat. Bingit sekali bunyinya menghentam bumbung. Gadis itu berlalu ke dapur pula untuk membasahkan tekak yang kering. Air kopi panas yang sudah suam-suam kuku diteguk penuh nikmat.


Di sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, pasangan suami isteri itu lebih banyak mendiamkan diri. Masing-masing melayani fikiran yang kusut.

“Macamana agaknya keadaan Mia sekarang…” Gumam Danish. Kerisauannya terasa menyucuk-nyucuk sehingga ke ulu hati. Entah mengapa hatinya tidak tenang memikirkan Zamia yang berseorangan di banglo biru.

Ain juga begitu. Secara tiba-tiba hatinya menjadi resah. Ketenangan dan kedamaian yang dirasai sebelum ini seolah menghilang pergi. Keluar sahaja mereka dari kampung tersebut, hati Ain meronta-ronta.

“Awak risaukan Mia?” Tanya Ain pada Danish yang sedang memandu. Danish mengangguk-angguk.

“Macamanalah keadaan dia sekarang ye?” Soalnya bimbang.

Ain mengalihkan pandangannya ke sisi jalan yang dipenuhi lembu dan kambing. Terdetik di hati jika adik iparnya akan diganggu oleh makhluk ghaib itu sekali lagi. Bulu romanya meremang.


Zamia termenung di meja makan. Matanya merenung nasi goreng yang masih berbaki di bawah tudung saji. Banglo yang sebelumnya ceria dengan kenakalan abangnya kini sunyi-sepi. Tiada lagi usikan nakal dari mulut lelaki itu. Rindu pula dia pada Danish dan Ain…

Zamia berlalu malas ke ruang tamu dan menghenyakkan punggungnya ke sofa. Dia berbaring dan mengelamun jauh.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman