Detik ketujuh.
“Assalamualaikum!”
Danish melaung di kaki tangga. Manakala Ain dan Zamia pula sekadar tercongok di
belakang lelaki itu. Mata keduanya meninjau sekitar kediaman itu dengan penuh
minat. Bersih sahaja kawasannya. Rajinnya Imriz membersihkan kawasan rumahnya.
“Riz!”
Danish melaung lagi. Kali ini kakinya naik setapak anak tangga.
Beberapa
minit kemudian, derapan kaki Imriz kedengaran laju mendekati pintu utama kediaman
tersebut. Dia menguak pintu luas-luas.
“La!
bila kau sampai? Kenapa tak call aku dulu?” Imriz membebel di muka pintu.
Danish tersengih macam kerang busuk.
Kemudian
para tetamu dipelawa masuk penuh mesra. Seperti biasa, kehadiran Zamia di situ
menarik perhatiannya.
“Duduklah
dulu. Aku ke dapur buat air kejap.” Ujar Imriz pada Danish yang sedang
menjengah kepalanya keluar jendela yang terbuka.
“Tak
payah susah-susah Riz..” Ain tersenyum. Matanya memandang dalaman rumah desa
itu dengan penuh minat. Kemas betul hiasan dalaman rumah Imriz, hatinya
memuji-muji.
“Takde susahnya Ain. Buat air aje..” Balas
Imriz sambil tergelak. Sempat pula mata nakalnya melirik ke arah Zamia yang
sedang duduk. Hatinya berbunga-bunga.
Serbuk
kopi diceduk ke dalam teko besi. Beberapa sudu gula turut dikacau bersama
serbuk kopi tadi yang kini telah dicampurkan dengan air panas. Bibirnya tidak
lekang dengan senyuman kerana mengenangkan Zamia.
Imriz
menghidangkan minuman ke atas meja. Asap dari air kopi tersebut berkepul-kepul
naik ke udara. Danish menghirup air kopi buatan rakannya itu dengan berselera.
Bukannya selalu dapat merasa kopi buatan tangan Imriz.
“Jemput
minum Mia..” Imriz menolak cawan kopi mendekati gadis itu.
Tanpa
banyak bicara, Zamia mencapai cawan tersebut dan minum air kopi itu dengan
perlahan-lahan. Imriz senang melihat Zamia yang tersenyum ketika pandangan
mereka bertaut sebentar tadi. Bibir nipis bak delima milik gadis itu
benar-benar memikat hatinya.
“Kau
ni bila lagi nak berbini Riz? Tak sabar
pulak aku nak makan nasi minyak kau..” Idea nakal selalu sahaja timbul di
kepala Danish. Suka benar dia mengusik sahabat baiknya itu.
Imriz
berdehem dua tiga kali.
“Belum
ada calon lagilah..” Matanya mengerling penuh makna pada Zamia. Namun gadis itu
tidak perasan dengan kerlingan tersebut.
Danish
tersenyum mengejek. Idea nakalnya mula membuak-buak datang.
“Kau
memilih sangat kot. Kau kan ramai peminat time kita study dulu.”
Imriz
menghadiahkan jelingan geram pada Danish. Pandai-pandai sahaja lelaki itu menokok
tambah cerita! Imriz mengetap bibir.
“Kau
yang banyak awek, bukan aku.” Imriz membuat serangan balas yang agak pedas. Ain
menjeling tajam suaminya.
Kemudian
tawa dua sahabat itu berderai.
Pili
air di dapur terbuka. Keadaan sunyi membongkar bunyi-bunyian dalam banglo tersebut.
Sesekali televisyen di ruang tamu terbuka dan tertutup sendiri. Kipas siling
yang tertutup, tiba-tiba berpusing tanpa arah. Bergoyang-goyang di siling.
Bunyi
esak tangis wanita tua bergema membelah kesunyian malam. Suara parau lelaki
bertempik lantang. Bunyi derapan kaki mundar-mandir di dalam banglo menandakan
bahawa ada makhluk lain yang turut menghuni banglo itu.
Danish
membuang pandangannya ke luar jendela. Langit mendung kini bertukar gelita. Cengkerik
mulai berlagu riang.
“Kitorang
balik dulu Riz. Nak Maghrib dah ni.” Danish bangkit dari duduknya, diikuti oleh
Ain dan Zamia.
“Drive
elok-elok.” Pesan Imriz sambil menghantar mereka ke pintu.
“Balik
dulu Riz. Assalamualaikum.” Ucap Danish sambil menuruni takah-takah anak tangga
dan berlalu ke kereta yang diparkir di perkarangan rumah itu.
“Waalaikumsalam.”
Balas Imriz perlahan. Dia mencuri pandang ke arah Zamia.
Seketika
kemudian, Danish memandu keretanya pergi dari situ. Deruan enjin kereta Danish ditelan
keheningan malam. Imriz mengunci pintu yang terkuak dan bersedia menunaikan solat
maghrib yang akan bermula tidak lama lagi.
Ain
memandang jalanraya di hadapannya. Kabus tebal menyelubungi jalan kampung itu.
Setahu Ain, kabus hanya muncul pada waktu
dinihari sahaja.
Ain
seolah terkunci kaki dan tangannya tatkala melihat sesuatu sedang berdiri di
bahu jalan. Aneh dan menyeramkan. Bulu tengkuknya meremang. Kebetulan waktu itu
sudah hampir masuknya waktu maghrib. Pasti syaitan dan iblis berkeliaran pada
waktu itu.
“Awak
sejuk ke?” Soal Danish apabila melihat isterinya berpeluk tubuh. Pucat sahaja
wajah Ain. Danish memperlahankan penghawa dingin.
Ain
cuba memejamkan mata namun gagal. Bayangan yang menakutkan itu seolah-olah mengikuti
perjalanan mereka.
“Allahuakbar…”
Bisik wanita itu dengan suara yang bergetar. Kerongkongnya terasa kering dan
sakit. Lidahnya kelu.
Danish
yang sedang memandu kaget melihat isterinya yang menggigil secara tiba-tiba. Penghawa
dingin kereta sudahpun diperlahankan.
“Ain,
awak okay ke ni?” Soal Danish sekali lagi.
Kabus
yang mulanya nipis mulai menebal. Ain yang menggigil membulatkan biji matanya
ke bahu jalan. Namun kabus tebal membataskan penglihatannya.
Ain
terperanjat besar apabila tangan suami mencuit bahunya. Hampir-hampir dia
melompat dalam kereta.
“Awak
okay ke ni?” Suara suami sayup-sayup kedengaran menjentik gegendang telinganya.
Zamia
yang duduk di belakang mengerut kening kehairanan. Apa yang difikirkan oleh
kakak iparnya itu? Pasti Ain merasakan sesuatu yang tidak elok. Ain mudah mengesan
kehadiran makhluk ghaib.
“Awak
tanya apa tadi?” Ain bertanya cemas.
Danish
beristighfar panjang. Mustahil isterinya itu tidak mendengar pertanyaannya
sebentar tadi. Apa yang difikirkan oleh Ain pada kala itu?
“Awak
okay tak ni?” Dia mengulangi soalannya.
Ain
tidak mengangguk ataupun menggeleng. Wanita itu merenung suaminya dengan mulut
yang terkunci rapat.
Kereta
diparkir dan enjin dimatikan. Mereka sudah sampai ke banglo biru. Danish dan
Zamia yang sudah keluar dari perut kereta menoleh ke arah Ain yang mematungkan
diri di dalam kereta. Wanita itu tidak bergerak. Hanya matanya sahaja yang sedang
merenung tepat banglo tersebut. Danish merapati isteri yang tiba-tiba bersikap
aneh itu dengan kening yang berkerut.
“Awak
tak nak masuk ke?”
Ain
meraup muka dengan tangannya. Dia mula keluar dari kereta selepas beberapa
minit.
Banglo
biru membuatkan hatinya berdebar-debar. Bulu romanya meremang. Ain mengalihkan
pandangannya ke pokok gergasi di belakang banglo tersebut.
“Ain…”
Ain
tersentak apabila bahunya disentuh oleh Danish.
“Dah
masuk waktu maghrib ni..Mari masuk.” Danish menarik lembut tangan isterinya dan
keduanya beriringan masuk ke dalam banglo yang menyimpan sejuta rahsia itu.
Ain
termenung seorang diri. Banyak benda yang mengganggu perasaannya. Bunyi televisyen
di luar menarik perhatiannya.
“Menung
jauh nampak?”
Ain
bingkas bangun apabila suaminya mendekatinya di atas katil. Berbunga senyuman
di bibir lelaki tinggi lampai itu.
“Takde
apalah.” Ain berbohong.
Danish
melabuhkan punggungnya di sebelah isteri. Seraut wajah lembut itu direnung.
“Awak
okay?” Soal Danish sambil menyentuh dahi isterinya.
Ain
memegang erat tangan suami dan kepalanya dilentukkan ke bahu lelaki itu. “Takde
apalah. Saya okay..” Bohongnya.
Danish
mencium pipi isterinya. Bimbang jika isterinya itu tidak sihat. Ain memejamkan
mata dan bayangan menakutkan itu segera menerjah ruang ingatannya. Dia
mengeluh. Hatinya berdebar hebat. Entah mengapa bayangan itu terus mengelabui mindanya.
Danish
pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu perasaan Ain. Cuma isterinya sahaja
yang tidak mahu menceritakan hal yang sebenar.
“Kenapa ni sayang? Awak tak sihat ke?” Dia melingkarkan
tangannya ke bahu isteri yang sedang bermuram.
“Takde
apa-apalah. Saya sihat je.” Jawapan Ain tetap tidak mampu meyakinkan hati sang
suami yang sedang bimbang.
“Pergilah
sambung tengok tv.” Ain berdalih kerana tidak mahu Danish bertanya dengan lebih
lanjut.
Danish
mengangguk. Dia bingkas bangun dan berlalu ke ruang tamu. Ain memandang jendela
yang berkunci. Angin yang menderu menggegarkan atap banglo itu. Berdesing
telinga Ain dibuatnya.
Semak-samun
yang merimbum di luar terbuai-buai dihembus angin. Semakin lama semakin asyik
pergerakan tersebut dan sesekali ia menyerupai figura-figura aneh yang
menggerunkan.
“Allahuakbar…”
Ain menundukkan wajahnya ke katil. Seketika kemudian, rintik-rintik hujan menimpa
atap zink lantas menambahkan kebingitan malam itu.
Badannya
direbahkan ke atas katil dengan dada yang berombak kencang. Sejak Zamia menceritakan
mimpi buruknya tentang arwah Azriq, fikiran dan perasaannya menjadi tidak
menentu. Hijab yang tertutup kini terbuka semula.
“Apa
yang dia cuba sampaikan?”
Berserabut
otaknya memikirkan kejadian-kejadian aneh yang sering mengganggu kehidupannya. Ain
terlelap setelah lama melayani fikiran yang kusut.
“Kak
Ain tak sihat ke?” Soal Zamia. Danish yang asyik menonton perlawanan bola sepak
direnung lama.
Danish
mengunyah sehiris epal yang terhidang di atas meja.
“Abang
dah tanya tadi tapi dia cakap dia okay.” Balas Danish tenang namun terlukis
kegelisahan pada riak wajahnya.
“Kak
Ain macam sembunyikan sesuatu dari kitalah bang.”
Berkerut
wajah Danish mendengar kata-kata yang terlafaz dari mulut Zamia. Kilat petir
yang tiba-tiba menyambar di kaki langit memeranjatkan dua beradik itu.
Danish
dan Zamia beristighfar serentak. Lelaki itu cepat-cepat mematikan suis
televisyen yang terpasang. Bahaya jika kilat memancar tepat pada sumber
elektrik.
“Pasal
kak Ain, abang akan pujuk dia supaya ceritakan hal sebenar.” Ujar Danish lalu
beredar ke bilik tidur untuk meninjau keadaan isterinya. Zamia yang masih
berada di ruang tamu memandang sekeliling ruang itu dengan perasaan ingin tahu.
Arwah membawanya ke situ di dalam mimpi. Apakah kaitan arwah Azriq dengan banglo
biru?
“Eh?”
Zamia
bingkas bangun dari sofa dan bergegas ke dapur. Pili air di dapur tiba-tiba
terbuka sendiri. Pelik.
Pili
air ditutup rapat. Zamia merenung kepala pili itu dengan sejuta persoalan. Pili
air itu seringkali terbuka sendiri. Seketika selepas itu, cuping telinga Zamia
bergerak-gerak apabila mendengar sesuatu dalam bilik mandi yang terletak di
sebelah dapur. Kedengarannya seperti seseorang sedang mandi di situ. Kak Ain?
Danish
membelai kepala Ain yang sudah lena di atas katil. Wajah isterinya pucat
sahaja. Kerisauannya membuak-buak. Adakah isterinya sedang sakit? Dia meraba
dahi dan tengkuk isterinya namun suhu tubuhnya elok sahaja.
“Grummm!!”
Kilat terus mengganas di kaki tinggi. Bergegar bumi. Zamia mengurut dadanya dan
beristighfar panjang.
Langkahnya
diatur perlahan ke bilik mandi. Dia berdiri di hadapan bilik mandi dan cuba
meneliti bunyi pancuran air. Siapa yang sedang mandi pada waktu-waktu begitu?
Setahunya kak Ain dan abang Danny sedang berada di dalam bilik.
Pancuran
air berhenti secara tiba-tiba. Kini bilik itu sunyi sahaja. Hanya titisan air
sahaja yang berbunyi menghentam jubin bilik mandi tersebut.
Tanpa
berfikir panjang, Zamia melangkah pergi dari situ. Tidak ingin dia menunggu
lebih lama di luar bilik mandi yang misteri seperti itu. Zamia bergegas ke
bilik tidur. Semasa melintasi ruang tamu, sempat dia mengerling ke sudut yang
sepi itu dengan hujung ekor matanya. Hanya cahaya dari chandelier sahaja yang menerangi
sudut tersebut. Ruang tamu dengan hiasan ala-ala inggeris itu menggamit memorinya
bersama arwah tok wan dan arwah tok akinya.
Banglo
biru, 1999.
Wajah
tua tok wan direnung manja. Orang tua itu seronok melayan keletah cucu
bongsunya yang bertandang ke situ. Puan Hatila yang sedang menyapu halaman banglo
tersenyum melihat orang tua itu memeluk cium cucu kesayangannya.
“Cucu
tok wan ni mesti belajar pandai-pandai ya?” Tok wan memberi nasihat berguna pada
Zamia yang baru berumur lapan tahun ketika itu. Zamia tersengih sambil melingkarkan
tangannya ke tubuh tok wan yang amat dirindui. Manakala Danish yang berusia
sepuluh tahun ketika itu sudah menghilang entah ke mana. Begitulah perangainya
setiapkali bertandang ke banglo biru. Bermacam aktiviti kampung yang mahu
dicubanya.
“Abang
mana?” Tanya Zamia.
Tok
wan mengukir senyuman manis. “Abang Danny ikut tok aki pergi menjala.”
“Menjala
tu apa?” Tanya Zamia lagi.
Tok
wan mencuit dagu comel kanak-kanak itu dengan geram. “Menjala tu pergi
menangkap ikan...”
Zamia
mengangguk faham.
“Jadi
ikan yang tok wan masak tu, ikan tok aki?” Pertanyaan spontan Zamia membuatkan
tok wannya tergelak. Kemudian orang itu menganggukkan kepalanya.
Puan
Hatila yang baru selesai membersihkan halaman rumah mendongakkan kepalanya ke
atas. Pokok gergasi di belakang banglo itu masih utuh walaupun hanya
ranting-ranting kayunya sahaja yang tinggal.
“Mak
tak nak tebang ke pokok besar belakang rumah ni?” Soal Puan Hatila dan melabuhkan
duduk di sisi ibu mertuanya yang sedang memangku Zamia. Wajah orang tua itu segera
berubah.
“Biarlah..Pokok
tu tak mengacau apa-apa.” Balas tok wan dengan suara yang agak keras. Puan
Hatila mengebas kainnya yang berdebu lalu menyambung.
“Bukan
apa mak, saya tengok pokok tu dekat sangat dengan rumah. Ranting kayunya kalau
jatuh boleh membahayakan tau.” Jelas Puan Hatila bersungguh-sungguh. Sudah banyak
berita yang dibacanya di akhbar. Ramai yang terkorban atau cedera parah kerana dihempap
ranting kayu dari pokok besar seperti itu.
“Biarkan
aje. Pokok tu kat situ dah lama. Dia pun nak hidup jugak.” Balas tok wan sambil
merenung tajam menantunya.
Puan Hatila mengeluh.
Bunyi
kilat mematikan lamunan Zamia. Langkahnya diatur pantas ke bilik tidurnya.
Punggung
dilabuh perlahan ke atas kerusi. Dia mencapai bingkai gambar di atas meja solek.
Wajah arwah direnung penuh rindu.
Lima
minit kemudian, dia berlalu ke katil untuk tidur. Matanya terasa berat, dia
menguap beberapa kali.
“Aduh!”
Zamia mengangkat tapak kakinya secara spontan. Kakinya berdenyut dan pedih.
“Dari
mana pulak datangnya kaca-kaca ni?” Kening Zamia berkerut melihat kaca yang melata
di lantai biliknya. Kaki yang
berdarah dikesat dengan tisu. Dia terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca dengan
jemarinya. Satu-persatu diletakkan ke dalam bekas penyodok.