Detik keempat.
Sehari
selepas perkahwinan Danish dan Ain, mereka bersiap-siap untuk ke Terengganu.
Desakan Zamia membuatkan pasangan itu terpaksa menuruti sahaja. Lagipun mereka
sudah berjanji akan membenarkan gadis itu ke banglo biru selepas selesai sahaja
majlis perkahwinan mereka.
Zamia
mencapai bingkai gambar pertunangannya dengan arwah Azriq di atas meja solek.
Dia memasukkan bingkai gambar bersaiz sederhana itu ke dalam beg pakaiannya.
Mentari
pagi yang bercahaya terang di celahan gunung diperhatikan penuh khusyuk. Zamia
tersenyum pahit ke arah Danish yang sedang sibuk memeriksa enjin keretanya. Dia
tidak memaksa lelaki itu untuk menemaninya di banglo biru namun dia memahami kebimbangan
yang bersarang di hati Danish.
Ain
bergegas mendapatkan suaminya di perkarangan rumah.
“Riz..”
Ain menyerahkan telefon bimbit kepada suaminya.
Danish
tersengih meleret tatkala mendengar suara sahabat baiknya di hujung talian.
“Lepas
ni kitorang bertolak. Kau kat mana ni?” Danish menyoal mesra rakannya.
Imriz menyandarkan belakangnya ke tiang anjung
rumah.
“Aku
dah ada di Terengganu. Hello-hello lah aku bila korang dah sampai nanti.” Seketika
kemudian, tangannya diangkat mesra ke arah Lebai Manaf yang melintasinya dengan
motosikal.
“Okay.
Assalamualaikum...” Danish mematikan talian.
Senang
hatinya mendengar suara Imriz yang merupakan anak jati Terengganu itu. Semasa
menuntut di Tokyo dahulu, lelaki itu selalu bercerita tentang keenakan budu dan
betapa dia merindui makanan tradisional pantai timur itu. Danish ketawa kecil
mengenangkan hal tersebut.
Ain
mengintai ke dalam bilik Zamia. Gadis itu sedang berdiri di muka jendela.
“Mia
dah siapkan semuanya?” Ain menyapa mesra.
Zamia
pantas menoleh ke arah kakak iparnya dan mengukir senyuman. Dia mengangguk
perlahan sebagai menjawab soalan kakak iparnya.
“Takpe,
biar Mia bawak sendiri.” Zamia cepat-cepat mengambil beg pakaiannya dari tangan
Ain kerana tidak mahu menyusahkan wanita itu.
Ain
tersenyum pahit.
“Mia..”
Panggil Puan Hatila dari dapur. Tangannya ligat mengacau air kopi panas di
dalam teko.
Zamia
mengatur langkah ke dapur sambil membimbit beg pakaiannya.
“Ada
apa bu?”
Puan
Hatila memandang anak gadisnya sekilas. Kemudian dia bergegas membalik-balikkan
karipap berinti tuna yang sedang digoreng di dalam kuali.
“Lepas
letak beg dalam kereta abang, ajak kak Ain dengan abang sarapan ye.” Arah Puan
Hatila tanpa menoleh ke arah Zamia.
Danish
meletakkan beg pakaian Zamia ke dalam but kereta. Wajahnya kemerah-merahan
disambar sinaran mentari pagi.
“Ibu
ajak breakfast.” Zamia menyampaikan pesanan si ibu. Danish mengangguk faham.
Danish
dan Zamia beriringan masuk ke dapur untuk bersarapan pagi. Manakala Ain pula
sibuk menyenduk mi goreng udang ke dalam pinggan suami dan adik iparnya.
“Kamu
ambil cuti berapa hari?” Soal Encik Zahari. Dia mencapai sebiji karipap lalu
mengunyahnya perlahan.
“Dua
minggu yah.” Balas Danish ringkas. Ayahnya mengangguk faham.
Zamia
menyuap mi goreng ke dalam mulutnya dan mengunyahnya lesu. Dia tidak mahu rebah
di hadapan ahli keluarganya lagi. Hal itu sungguh memalukan dan pasti
menyusahkan hati mereka. Mi goreng yang sedang dikunyah terasa hambar dan tawar
sahaja.
“Ain
pulak?” Encik Zahari menyoal menantunya pula.
“Dua
minggu jugak yah.” Balas Ain sambil tersenyum.
Puan
Hatila memerhatikan gerak-geri Zamia. Wajah anak bongsunya itu masih keruh dan
tidak ceria. Sedikit sebanyak naluri keibuannya terusik.
“Berapa
lama Mia nak duduk kat sana?” Kali ini Encik Zahari menyoal anak gadisnya pula.
Semua mata memandang ke arah Zamia.
Gadis
itu meletakkan garfu ke dalam pinggan dan mengangkat wajahnya.
“Lebih
dari dua minggu.” Itu jawapan Zamia. Encik Zahari menerima jawapan itu dengan
tenang. Berbeza pula dengan Puan Hatila yang tidak senang duduk setelah mendengar
jawapan tersebut.
“Nanti
abang dengan kak Ain balik sini, sapa nak jaga Mia kat sana?” Puan Hatila
merenung bulat ke arah Zamia.
Zamia
mengeluh.
“Mia
boleh jaga diri bu. Ibu janganlah bimbang sangat.”
Jawapan
yang diterima langsung tidak menyenangkan hati Puan Hatila. Sudahlah Terengganu
itu jauh dari Kuala Lumpur. Jika terjadi apa-apa pada Zamia pasti tiada sesiapapun
yang tahu.
“Mia..”
Belum sempat Puan Hatila menghabiskan ayatnya, Encik Zahari pantas mencelah.
“Biarlah
ibunya. Zamia kan dah besar panjang, taulah dia jaga diri.”
Puan
Hatila menjeling tajam ke arah suaminya yang sedang enak menghirup kopi panas.
Seperti biasa, orang tua itu tenang sahaja. Tidak bimbangkah dia dengan
keselamatan anak gadis mereka? Bebel Puan Hatila dalam hatinya.
“Ibu,
Mia akan jaga diri bila abang dengan kak Ain balik nanti.” Zamia mengulangi
ayat ayahnya. Makin sakit pula hati Puan Hatila pada Encik Zahari.
“Awaklah
ni!” Dia membebel dan menjeling tajam ke arah suaminya.
Danish
memandang Ain dan keduanya hanya mampu tersenyum pahit. Rasa lucu pun ada
apabila melihat Puan Hatila yang suka meleteri Encik Zahari.
“Makan
cepat, nanti terlewat pulak nak bertolak ke sana.” Encik Zahari memekakkan
telinga dengan bebelan isterinya.
Selesai
bersarapan pagi, Danish menghidupkan enjin kereta yang diparkir di perkarangan
kediaman mereka.
“Ain
tolong jaga Mia ye.” Puan Hatila tidak henti-henti berpesan sejak dari tadi.
Bimbang benar dia dengan Zamia yang masih belum pulih semangatnya itu.
“Ibu
jangan bimbang. Ain akan jaga Mia..” Ain cuba menenangkan perasaan ibu
mertuanya. Berkerut-kerut sahaja wajah orang tua itu.
“Mia
jaga diri baik-baik.. Jangan sedih-sedih lagi.” Puan Hatila memeluk Zamia erat.
Zamia mengangguk perlahan.
Selepas
bersalaman dengan ibu dan ayahnya, Zamia berlalu ke kereta.
Di
sepanjang perjalanan, gadis itu hanya membisu dan merebahkan kepalanya ke
kusyen tempat duduk kereta. Pemandangan di luar di pandang sepi. Tiada apa yang
dapat menarik perhatiannya.
Danish
memandang isterinya yang sudah terlentuk di sebelahnya. Mengantuk benar
agaknya. Kemudian dia menoleh ke belakang pula. Zamia sedang termenung panjang.
“Mia..”
Dia memanggil adiknya namun gadis itu mengelamun jauh sehingga tidak mendengar panggilan
Danish.
Danish
melepaskan keluhan yang panjang lalu meneruskan perjalanan setelah lampu trafik
bertukar hijau.
Langit
yang cerah mulai jingga. Waktu itu hampir masuknya fardhu maghrib. Danish memarkir
kereta di perkarangan bangunan yang tersergam indah yang diberi nama banglo
biru. Dia mematikan enjin dan menggeliat perlahan. Sengaja mahu mengendurkan urat
dan saraf yang tegang selepas memandu jauh.
Dia
melirik jam di tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 7 petang. Hujan
renyai-renyai di luar membuatkan kaki langit gelita tanpa kerdipan bintang
malam.
“Ain,
bangun sayang. Kita dah sampai.” Tangannya menggerak lembut lengan isterinya
yang sedang lena. Isterinya terpisat-pisat.
Ain
membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Dia mengintai keadaan di luar, gelap
sahaja. Titik-titik hujan pula semakin galak membasahi kereta suaminya.
“Tak
perasan saya.” Ujar Ain sambil mengilas beg tangannya.
Danish
memasang lampu untuk menerangi dalaman keretanya. Tangannya merayap memegang
kaki adiknya yang turut lena di belakang.
“Bangun
Mia. Kita dah sampai ni.”
Mata
Zamia dibuka perlahan-lahan. Dia mencuri pandang ke luar, banglo biru tersergam
indah di hadapan mereka.
Danish
memayungi isteri sehingga ke anjung banglo. Kemudian dia mengulangi perkara
yang sama dengan adiknya. Dia bergegas membuka but kereta untuk mengambil
beg-beg pakaian mereka.
Zamia
dan Ain memandang ke sekeliling banglo tersebut. Kiri kanan bangunan itu dipenuhi
dengan semak-samun. Serta-merta bulu roma Ain meremang apabila melihat pokok
gergasi di belakang banglo tersebut. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya
dari situ. Khuatir jika sesuatu yang aneh akan muncul di situ.
“Mari
masuk.” Suara Danish memecahkan keheningan petang itu.
Hujan
semakin galak membasahi bumi. Sesekali bunyi guruh bersahut-sahutan di kaki langit.
“Abang
pegi mandi dulu..” Danish beredar ke bilik tidur untuk mengambil tuala
mandinya.
Ain
duduk di birai katil dengan perasaan yang kurang senang. Seperti ada sesuatu
yang mengganggu ketenteraman hatinya di kala itu. Dia cuba mematikan perasaan
aneh tersebut namun gagal. Dia tidak mahu melayan perasaan aneh yang menghantui
dirinya selepas berkahwin dengan Danish.
Zamia
duduk di hadapan cermin solek. Dia memerhatikan wajahnya yang cengkung. Dia
melepaskan keluhan berat apabila menyedari berat badannya susut dengan mendadak.
Pemergian Azriq membuatkan dia terlupa
bahawa dia harus makan.
Tuala
mandi yang terlipat kemas di dalam beg diambil. Dia mengatur langkah ke bilik
mandi yang terletak di sebelah dapur banglo tersebut.
Dia
ingin menenangkan perasaannya tanpa menyedari ada sesuatu yang turut
menemaninya di situ. Dia mahu mendapatkan kembali semangatnya yang hilang tanpa
menyedari ada sesuatu yang bakal meratah semangatnya hidup-hidup di situ.
Pintu
bilik mandi dikunci. Zamia menadahkan kepalanya di bawah pancuran air. Lama dia
bertafakur di bawah pancuran tersebut.
Dia
mencurah syampu ke rambut panjang separas bahunya dan mengurut kulit kepalanya
perlahan-lahan. Hilang segala masalah yang terkumpul di otaknya semenjak
kematian Azriq. Kemudian dia kembali menadah kepalanya ke situ. Matanya dipejam
ketat-ketat. Buat seketika fikiran yang kusut terasa lapang.
Danish
melemparkan senyuman ke arah isterinya yang sedang duduk di birai katil.
“Pergilah
mandi, then kita solat berjemaah.” Danish mencuit dagu isterinya dengan manja. Ain
mengangguk faham.
“Hmm
yelah..” Dia berlalu ke bilik mandi bersama bakul mandiannya.
Danish
menyarung t-shirt berwarna putih. Kemudian dia mengatur langkahnya ke bilik Zamia
untuk mengajak adiknya solat berjemaah. Dia tidak mahu terbitnya rasa tersisih
dalam sanubari gadis itu. Kasih-sayangnya pada Zamia tidak akan pernah berubah
walaupun dia sudah berkahwin dengan Ain.
Dia
bersyukur pada Allah kerana mengurniakan seorang isteri yang cantik dan berjiwa
murni seperti Ain Shakina. Dia sudah lama mengenali isterinya. Sepuluh tahun
usia perkenalan lantas membibitkan rasa cinta di hati mereka. Tambahan pula,
Ain merupakan sahabat baik Zamia.
Dia
sudah pun terpacak di hadapan pintu bilik adiknya. Pintu itu tidak berkunci dan
terkuak luas. Danish mengintai ke dalam namun adiknya tiada di situ. Cuping
telinga lelaki itu bergerak-gerak tatkala mendengar bunyi di luar bilik tidur
tersebut. Seperti kuku seseorang mencakau dinding batu. Kening hitam pekatnya
berkerut.
“Siapa
tu?”
Tanpa
berlengah, dia melangkah masuk ke dalam bilik Zamia dan mengintai ke luar
jendela. Matanya rakus mencari kelibat sesiapa sahaja yang sedang berada di luar
banglo itu. Bebola matanya difokuskan pada setiap makhluk yang bergerak ditiup
angin malam. Keluhan hampa dihela.
Danish
menutup jendela dan menguncinya kemas. Bimbang hatinya mengenangkan adiknya
yang bakal bersendirian di banglo itu dua minggu dari sekarang. Hatinya runsing
memikirkan kedegilan Zamia untuk terus tinggal di situ buat jangka masa panjang.
“Mungkin
kerja budak-budak nakal kot.” Bisiknya.
Dia
tersentak apabila bunyi mencakau itu kembali mengganggu pendengarannya. Dia
merapati jendela dan mengintai secara senyap-senyap. Dia pasti akan mengajar
sesiapa sahaja yang sengaja berbuat begitu.
Keadaan
masih seperti tadi, sunyi dan gelita.
“Abang
intai apa tu?” Soalan Zamia menyebabkan Danish tersentak teruk. Terkejut benar
dia dengan adiknya yang menyapa secara tiba-tiba dari belakang.
Dia
menggelengkan kepala, mahu menyembunyikan hal yang terjadi.
“Kita
solat berjemaah. Abang dengan kak Ain tunggu Mia kat bilik.”
Danish
segera beredar. Zamia terpinga-pinga.
Zamia
memandang jendela biliknya. Lama dia merenung jendela yang dibasahi hujan lebat
itu. Apa yang telah menarik minat abangnya sebentar tadi?
Ain
mengukir senyuman pada adik iparnya yang baru melangkah masuk. Zamia pantas
mengambil posisi di sebelah Ain.
“Bismillahirahmanirahim…”
Danish mengimamkan solat.
Di
luar banglo, bunyi mencakar dinding sayup-sayup memecah keheningan malam. Bunyi
unggas dan cengkerik seirama dengan bunyi angin yang bertiup kencang menampar
pepohonan di sekitar. Ranting reput di pokok gergasi bergoyang-goyang.