Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kesepuluh

Detik kesepuluh.

Imriz meletakkan pensil ke atas meja. Dia menggeliat. Jam di tangannya dilirik. Hanya satu jam lagi sebelum waktu makan tengahari. Dia tidak sabar mahu menatap wajah manis Zamia. Dia ingin menatap wajah itu pada setiap saat nafasnya. Memang benarlah yang dia sudah gila bayang.

Dia melayari laman sosial dan menaip nama Zamia Izaiqa. Pencariannya berhasil. Foto yang berlatarbelakangkan USM itu membuatkan Imriz tersenyum sendiri. Dia merenung keindahan ciptaan Yang Maha Esa itu dengan penuh minat. Senyuman Zamia benar-benar memikat hati Imriz.

“Hai, tersengih sorang-sorang nampak? Kau skodeng siapa tu Riz?” Sapa Harun, rakan sepejabatnya. Lelaki berkumis nipis itu berminat mahu tahu apa yang sedang dilakukan oleh Imriz.

“Sibuklah kau ni Run!” Tempelak Imriz.

Harun mencebik sambil matanya mencuri pandang ke skrin komputer di atas meja rakannya itu. Siapakah gadis putih melepak yang berselendang merah jambu itu?

“Awek kau ke? Cunnye..” Puji Harun. Dia menggosok-gosok kumis nipisnya.

“Bukanlah.” Ujar Imriz acuh tidak acuh. Lelaki kepoh itu bukannya boleh dilayan sangat. Harun menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di sebelah Imriz.

“Kau jangan nak tipu akulah Riz. Kau sembunyi dari aku ye? Awek cun macam ni, kau patut tunjuk pada seluruh dunia.” Harun mula merepek yang bukan-bukan. Imriz menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ini bukan awek akulah. Kau takde kerja ke? Banyak betul masa lapang kau?” Sindir Imriz lalu menutup komputernya. Malas dia mahu melayan Harun. Semakin dilayan semakin menjadi-jadi pula merepeknya.

“Yelah yelah! Aku pergilah ni. Tapi kau kena jemput aku bila kau kahwin nanti.” Sempat lagi lelaki itu merepek. Penat dia mahu melayan kerenah Harun.


Sotong masak pedas yang sedang menggelegak di atas dapur membuatkan Danish lapar. Hanya tiga puluh minit lagi sebelum Imriz makan tengahari di situ.

“Sedapnya bau…Lapar perut saya…” Bisik Danish ke telinga isterinya.

“Sabarlah dulu. Dah tak lama lagi makan tengahari.” Ain memujuk lembut.

“Mia mana?” Danish melilau mencari kelibat adiknya yang tiada di situ.

“Dalam bilik.” Balas Ain.

Danish mengangguk. Selalunya Zamia akan membantu Ain memasak. Mungkin dia penat agaknya…


Zamia merebahkan tubuhnya ke atas katil. Badannya terasa lesu. Peristiwa yang hampir-hampir meragut nyawanya tadi kembali mengganggu fikirannya.

Dia tertanya-tanya berapakah usia pohon tersebut. Pasti ia berusia ratusan tahun. Pokok itu gondol dan boleh merbahayakan sesiapa sahaja yang melintas di bawahnya. Patutkah pokok itu ditebang sahaja?

Dia meluruskan tubuhnya di atas katil sambil memandang ke luar jendela yang terkuak. Langsir menari-nari ditiup angin. Angin bayu yang datangnya dari arah laut mendinginkan tubuhnya. Kelopak matanya terasa berat. Dia menguap lalu terlena di atas katil. Hanyut dibawa arus mimpi.

“Mia…Bangun Mia.” Zamia perlahan-lahan membuka matanya. Danish sedang tersenyum ke arahnya. Zamia terpisat-pisat.

“Abang Riz dah sampai..” Ujar Danish lembut lalu beredar keluar.


Imriz yang sudah bersedia di meja makan sabar menanti kemunculan Zamia. Lauk-pauk yang terhidang di atas meja membuatkan perutnya berkeroncong.

“Budu mana?” Soal Danish pada isterinya. Imriz tergelak mendengar pertanyaan rakannya. Nampaknya Danish sudah ketagih dengan budu.

“Saya lupa…” Balas Ain dan bergegas menuang budu ke dalam mangkuk kecil. Dia sering terlupa tentang makanan kegemaran terbaru suaminya itu. Pasti lelaki itu akan membebel apabila tiada budu di atas meja makan.

“Aii, suka makan budu nampak?” Sindir Imriz. Danish menarik mangkuk budu mendekatinya dan Imriz.

“Ni semua salah kaulah..” Danish mencebik.

“Kenapa salah aku pulak?” Soal Imriz tidak puas hati. Danish mengerling ke arah Imriz dengan sinis.

“Kaulah yang memperkenalkan budu kat aku. Sekarang ni aku tak boleh makan kalau takde budu. Ni semua kau punya pasallah!” Gurau Danish sambil membuat muka garang.

Imriz ketawa terbahak-bahak. Dia merenung budu yang bercampur dengan cili padi dan limau nipis. Siapa yang tidak akan tergoda dengan makanan tradisional rakyat pantai timur itu?

“Maaf, lambat..” Zamia memohon maaf di atas kelambatannya.

Suara Zamia pantas menyentuh sanubari Imriz.

Zamia perlahan-lahan mengambil posisinya di meja makan. Dia duduk berhadapan dengan Imriz dan lebih banyak menyembunyikan wajahnya dari renungan lelaki itu.

“Sebelum pukul dua ni kau dah kena balik office, makanlah..” Danish mempelawa.

Mata Imriz seringkali mencuri pandang ke wajah Zamia. Gadis itu seolah-olah sengaja menyembunyikan wajahnya. Dia lebih banyak menundukkan wajahnya. Imriz hampa. Tiada jalankah untuk dia mencuri hati gadis itu?

“Sedap tak bini aku masak?” Tanya Danish secara tiba-tiba.

Imriz yang sedang mengelamun tersentak. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke Danish dan Ain.

“Sedap betul Ain masak. Patutlah Danny makin gemuk.” Dia mengusik Danish. Ain tergelak.

“Mana ada gemuk. Ni dikatakan badan fit.” Balas Danish sambil tersengih macam kerang busuk. Imriz mencebik.

“Umur muda lagi tapi dah body builder kat situ.” Imriz menghalakan jari telunjuknya ke perut Danish yang sedikit buncit itu.

Danish menggosok-gosok perutnya. Imriz memang benar-benar mengacau daun. Badan sasa begini dikatakan buncit, bebelnya dalam hati.

“Makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap.. Aku lesing kang…”

Imriz ketawa berdekah-dekah. Wajah Danish yang merah padam itu kelihatan lucu sekali. Padan muka lelaki itu, selalunya dia sahaja yang kena buli.

“Awak masak sedap-sedap ni nak suruh saya gemuk ye?” Danish menyoal isterinya. Ain tidak memberi sebarang respon. Dia tenang mengunyah sotong masak pedas.

“Kau tak boleh salahkan Ain, Danny…Salah kau sendiri sebab makan tak ingat dunia.” Imriz semakin galak mengusik Danish.

“Budu ni punya pasallah ni!” Danish tiba-tiba menyalahkan budu yang tidak bersalah. Kemudian dia mencicah sehiris timun ke dalam budu dan mengunyahnya penuh selera.

“Jus oren ais ni adik aku yang buat. Sedap kan?” Danish menyoal nakal. Kini tiba gilirannya pula untuk mengusik Imriz.

Imriz mengangguk setuju dengan kata-kata lelaki itu. Jus oren buatan tangan Zamia memang menyegarkan tekaknya.

“Kau suka kan?” Usik Danish.

Imriz mengetap bibir lalu menjeling tajam ke arah Danish. Kemudian dia merenung wajah Zamia, pipi gadis itu kemerah-kemerahan. Adakah gurauan Danish sebentar tadi keterlaluan?

“Mia jangan kecil hati dengan gurauan bodoh abang Mia tadi. Dia memang kurang bijak sikit kalau bergurau-senda ni.” Imriz berkata pada Zamia.

Zamia mengangkat wajahnya, dia mengukir senyuman. Hati gadis itu digeletek kelucuan dengan kata-kata Imriz. Bahagia Imriz melihat senyuman itu.

“Masa kat Tokyo dulu, Danny ni suka betul melepak kat pantai time musim panas.” Ujar Imriz sambil mengerling ke arah Danish. Rakannya itu selamba sahaja. Tenang sahaja air mukanya.

“Bukan aku sorang, kau pun melepak kat situ jugak..” Danish membidas.

“Tapi kau yang ajak aku.” Imriz mengelak dengan baik sekali. Ain dan Zamia terlopong. Apa yang sedang dibualkan oleh dua orang lelaki itu?

“Alhamdulillah saya dah kenyang Ain...Sedap awak masak.” Imriz memuji. Ain berasa segan dengan pujian tersebut.

“Dengan aku, kau tak nak berterima kasih ke?” Danish tidak habis-habis mengusik rakannya itu.

Imriz mencuci tangan yang kotor dan bingkas bangun dari kerusi. Malas dia mahu melayan usikan Danish. Jika usik-mengusik itu berlarutan, tujuh hari tujuh malam pun belum tentu habis.

“Bila kau balik KL?” Tanya Imriz sambil melabuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu.

“Lusa ni aku dengan Ain balik.”

Imriz mengerut kening mendengar jawapan Danish. Bagaimana pula dengan Zamia?

“Adik aku tak balik. Dia nak duduk sini lama sikit.” Jelas Danish menjawab kata hati Imriz sebentar tadi.

Kemudian lelaki itu melemparkan senyuman nakal. “Sukalah tu…”

Imriz berdehem dua tiga kali. Pasti Danish akan menggunakan peluang itu untuk terus mengusiknya. Khuatir jika didengari oleh Zamia nanti.

“Kau tak bimbang ke dia duduk sini sorang-sorang?”

Pertanyaan Imriz itu membuatkan Danish mengeluh. Dia mengatur duduknya. Wajah Imriz ditenung sejenak.

“Aku bimbang jugak dengan keselamatan dia kat sini Riz. Tapi dia degil tak nak balik sekali dengan kitorang. Kau faham-faham ajelah si Mia tu, degilnya bukan main.” Bebel Danish. Imriz tersenyum pahit.

“Aku boleh tolong tengok-tengokkan dia Danny.” Tutur Imriz secara spontan. Kemudian dia tersipu malu dengan kata-katanya sendiri. Danish mencebik.

“Boleh ke? Jangan-jangan kau skodeng adik aku nanti tak?” Danish meneruskan agenda mengusiknya. Imriz apa lagi, panik semacam. Mukanya kemerah-merahan. Danish menahan tawa melihat reaksi terlampau Imriz itu.

“Yang kau panik ni kenapa? Betullah tu..Kau memang nak skodeng dia kan?”

Seketika kemudian tawa Danish berderai. Imriz hanya mampu memekakkan telinganya. Sakit hati pun ada dengan rakannya itu.

“Kau ingat aku macam kau ke? Suka skodeng awek-awek Jepun berjemur kat tepi pantai…” Imriz menyindir pedas.

Teringat lagi dia bagaimana rakannya itu sering mengajaknya melepak di tepi pantai semasa musim panas. Kenakalan Danish itu kadang-kadang menggeletek pangkal hatinya. Hendak dilarang pun tiada gunanya.

“Ala…Cuci mata katakan..” Bisik Danish sambil memerhatikan kelibat isterinya yang sedang sibuk mengemas di dapur.

“Hmm..Aku balik office dulu.” Imriz bingkas bangun lalu berjalan ke dapur untuk menyapa dua wanita itu. Matanya merenung Zamia yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk di sinki.

“Ain, Mia..Saya balik office dulu…” Sapanya mesra.

Ain mengangguk dan tersenyum. Zamia memandang ke arahnya sekilas dan mengukir senyuman tawar.


Sampai sahaja di pejabat, Imriz merenung fail-fail yang bersusun di atas meja. Semuanya harus disiapkan. Seraut wajah manis milik Zamia mengintai di balik tabir ingatannya. Sedikit sebanyak tekanan kerja dirasakan berkurangan. Dia tersenyum sendiri.

Harun yang diberi gelaran ‘mat kepoh’ oleh rakan-rakan sepejabatnya terkocoh-kocoh mendekati Imriz. Banyak cerita yang ingin dikoreknya daripada Imriz.

“Kau lunch kat mana tadi? Takde pun aku tengok kau kat kedai mamak tu?” Harun menyibuk. Imriz mencapai fail berwarna biru lalu memulakan kerjanya. Dia tidak menjawab pertanyaan Harun. Daripada duk melayan lelaki kepoh itu, baik dia menyiapkan kerjanya yang bertimbun itu.

“Mesti kau lunch dengan awek kau kan?”

Pertanyaan Harun tidak dijawab. Dia begitu fokus dengan tugasnya.

“Yang tadi ke?” Soal Harun tidak berputus asa.

Imriz terus memekakkan telinganya. Harun yang suka menyibuk hal peribadinya itu dibiarkan bercakap sendiri. Malas dia mahu ambil peduli.

“Kau bagitaulah aku Riz, aku pun nak tumpang bahagia untuk kau jugak.”

Imriz mengetap bibir mendengar celoteh si mamat penyibuk itu. Konsentrasinya terganggu disebabkan Harun.

“Ye, aku lunch dengan awek aku tadi. Puas hati?” Bohong Imriz. Selagi dia tidak berbohong begitu, sampai bila-bila Harun akan mengganggu ketenteraman hidupnya di pejabat. Bingung dia memikirkan Harun yang suka menyibuk itu.

“Aku dah agak dah!” Harun bertempik.

“Dah dah..Aku banyak kerja ni.” Usir Imriz secara berhemah. Lelaki berkumis nipis itu terus beredar tanpa banyak soal. Imriz menarik nafas lega.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman