Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,354
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 14

14

RASA bersalah kian memanjat jiwa Asyraf saat kebisuan terus-terusan mengunci bicara insan di hadapannya. Dia tahu wanita itu masih berasa marah dengan tindakan luar kawalannya sewaktu di pejabat tadi.

“Terima kasih,” tutur Asyraf kepada seorang pelayan yang membawa hidangan yang dipesannya sebentar tadi. Insan di hadapannya itu turut menuturkan ucapan yang sama. Namun wajahnya masih tidak mesra.

“Awak masih marahkan saya?” soal Asyraf setelah pelayan tersebut berlalu pergi.

“Awak rasa?” soal Juliana. Dia masih enggan memandang seraut wajah yang sudah melampaui batas itu.

“Saya minta maaf.” Ikhlas tuturan itu meluncur keluar dari mulut Asyraf.

Juliana tidak menerima mahupun menolak kata maaf itu. Dia meneguk perlahan minuman di hadapannya.

“Juliana... saya betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja tadi.” Kemaafan Asyraf pinta lagi.

“Tak sengaja pegang tangan saya. Macam tu?” Sedikit tegas nada suara Juliana. Kini sepasang mata miliknya memandang seraut wajah sayu di hadapannya itu.

“Saya tahu yang tindakan saya tu agak melampau.” Perlahan suara Asyraf.

“Agak melampau awak cakap? Mungkin untuk wanita lain perkataan ‘agak’ tu, awak boleh gunakan. Tapi tidak untuk saya!” Tegas Juliana.

Asyraf menghelakan nafasnya berat. Tidak tahu untuk memujuk bagaimana lagi kekasih olok-oloknya itu.

“Juliana... boleh tak kalau awak maafkan saya kali ni? Saya betul-betul tak sengaja.” Kesayuan kian dipasakkan ke seraut wajah kacak miliknya.

Juliana buat tidak peduli terhadap pohonan maaf itu. Sejujurnya dia masih marah dengan tindakan Asyraf sewaktu di pejabat tadi.

“Saya tak suka awak main pegang-pegang je tangan saya!” Masih serius wajah Juliana.

“Saya tahu. Kan, saya dah minta. Maafkanlah saya. Please...” Kali ini Asyraf menggenggam kedua-dua belah tangannya sambil ditongkatkan tangannya itu ke dagunya dan seraut wajah penuh penyesalan dipamerkan buat insan yang bernama Juliana.

Juliana tersenyum. Kelakar pula dirinya dengan tindakan Asyraf itu.

“Ha…, senyuman tu... tandanya awak dah maafkan sayalah, kan?” Segaris senyuman mengusir kesayuan di wajah Asyraf.

“Baiklah. Saya maafkan awak. Tapi lain kali jangan suka-suka je main pegang-pegang tangan saya. Faham?!” Juliana memandang tepat ke arah Asyraf.

“Faham, cikgu,” gurau Asyraf sambil mengenyetkan matanya.

Sekali lagi sikap spontannya itu mengundang senyuman di seraut wajah kacukan di hadapannya itu.

‘Manisnya senyuman dia...’ nakal hati Asyraf memuji.

Buat seketika Asyraf dan Juliana menikmati hidangan di hadapan mereka. Sekali sekala sahaja terdengar bicara dari keduanya.

Juliana meneguk perlahan minumannya setelah dia menyudahkan kunyahan terakhirnya. Asyraf pula sudah lama mendahuluinya.

“Kenyang?” soal Asyraf.

Juliana menganggukkan kepalanya, “Terima kasih.”

“Sama-sama,” balas Asyraf sebelum senyuman diukirkan semula.

“Asyraf... kalau saya nak tanya sikit dekat awak boleh tak?” soal Juliana sedikit berhati-hati kerana persoalan yang bakal ditanyai agak berbentuk peribadi.

“Banyak pun boleh. Tanya jelah.” Bersahaja, Asyraf menjawab.

“Emm... saya nak tanya tentang awak dengan... Melisa.” Perlahan sahaja suara Juliana.

Saat nama wanita yang amati dibencinya itu disebut oleh insan di hadapannya, riak wajah Asyraf terus berubah rupa. Kemarahannya memuncak tiba-tiba.

Juliana perasan akan perubahan emosi kekasih olok-oloknya itu, “Maaflah... kalau kata-kata saya tadi naikkan kemarahan awak.”

“Tak adalah. Awak nak tanya apa?” Asyraf cuba memperbetulkan semula emosinya. Wajahnya cuba dimaniskan.

“Betul ni awak tak kisah kalau saya nak tanya tentang awak dan Melisa?” Juliana mahukan kepastian.

Asyraf menganggukkan kepalanya perlahan.

“Saya nak tanya... macam mana awak boleh terlibat dengan Melisa? Awak bekas kekasih dia ke?” Susunan ayat diaturkan sesempurna mungkin oleh minda agar mulut mudah untuk menuturkannya.

Asyraf tidak terus menjawab. Dia menundukkan wajahnya.

“Asyraf... kalau awak tak nak jawab, tak apa. Saya takkan paksa awak,” tutur Juliana.

“Bukan saya tak nak jawab. Saya cuma malas nak ungkit balik tentang kisah lepas. Kisah yang berpunca daripada kesilapan saya sendiri.” Asyraf mengangkat semula wajahnya. Dia menatapi wajah kekasih olok-oloknya itu.

Juliana diam. Dia tidak mahu bertanya apa lagi. Seandainya Asyraf ingin melanjutkan bicaranya, dia akan mendengar. Tetapi seandainya sebaliknya dia juga tidak akan terasa apa. Asyraf berhak sepenuhnya ke atas masa lampaunya.

“Tiga tahun lepas sewaktu Syarikat SCA Sdn. Bhd. ditubuhkan... saya memutuskan untuk mencari seorang model untuk dijadikan duta bagi syarikat saya tu. Waktu tu, Melisa masih setahun jagung dalam bidang modeling... so, bayaran yang dikenakan juga tak adalah tinggi berbanding model-model yang sudah senior...” Asyraf menghentikan kata-katanya. Terdengar keluhan di hujung bicaranya.

“Memang saya tak nafikan yang syarikat mendapat feed back yang sangat baik daripada client-client kami sewaktu Melisa menjadi duta syarikat. Malahan peratusan keuntungan bagi tahun tersebut juga meningkat naik dengan kadar yang saya sendiri tak jangkakan. Melisa yang saya kenal pada waktu tu langsung tak sama dengan Melisa yang sekarang. Malahan gosip-gosip liar mengenai dirinya juga belum meliar. Namanya masih bersih. Sebersih gadis kampung yang saya kenali dengan nama Melisa. Ya! Melisa dulu sungguh polos...” Sekali lagi kata-kata Asyraf terhenti.

Juliana pula masih membisukan mulutnya. Hatinya masih sabar hendak mendengarkan cerita sepenuhnya tentang kekasih olok-oloknya itu dengan wanita yang bernama Melisa.

“Orang-orang di luar sana mulai mengenali namanya setelah dia menjadi duta Syarikat SCA Sdn. Bhd. Tapi malangnya dia tersalah memilih langkah... dia sanggup untuk menjadi habuan ‘binatang-binatang’ di luar sana semata-mata ingin cepat kaya! Dia ingat saya tak tahu tentang semua tu. Dia ingat saya tuli!” Terdengar amarah di dalam bicara Asyraf kali ini.

“Jadi apa kaitannya dengan awak? Awak telah menjadi pasangan Melisa ke waktu tu?” soal Juliana, sudah tidak dapat menahan rasa mahu tahunya.

“Tak. Saya tak pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan dia. Tapi saya hampir-hampir jatuh cinta dengannya... Namun saya yakin ALLAH S.W.T itu lebih mengetahui apakah yang terbaik buat hambaNYA. Di saat... Melisa kembali hadir dalam hidup saya dan mengatakan yang dia telah lama mencintai saya, di saat itu juga saya sedar yang jiwa saya telah kosong dengan rasa cinta buat dirinya. Tapi perempuan tu tak pernah kenal erti putus asa... Sehingga kini dia masih berusaha untuk memiliki saya dan awak... awak telah hadir di dalam hidup saya sebagai seorang penyelamat. Penyelamat yang telah melepaskan saya dari genggaman wanita itu,” senyuman Asyraf kali ini lebih sempurna. Tidak terlihat lagi kecampingannya. Senyuman yang lahir dari hati yang penuh kesyukuran.

Namun kata-kata akhir Asyraf itu telah melahirkan persoalan-persoalan di hati Juliana, ‘Benarkah aku seorang penyelamat? Seandainya aku mampu menyelamatkan lelaki di hadapanku ini, mengapa pula aku tidak mampu untuk menyelamatkan diriku sendiri? Mengapa harus aku lari dari khilaf bapaku?’

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.