Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,162
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 29

29

SEGERA Melisa memadamkan SMS yang baru dibacanya.

“Sakit... sakit! Sakit! Kenapa tak mampus je. Menyusahkan aku betul!” Sumpah seranah terhadap ibu kandungnya itu meniti kejam di bibir Melisa.

“Ehem... you SMS siapa tu?” dehem berserta persoalan menyapa pendengaran Melisa.

Terkejut Melisa dengan kehadiran Dato Ezman di belakangnya, “Eh... Dato dah siap mandi ke?”

Mereka kini berada di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Pertemuan diaturkan sebaik sahaja Dato Ezman pulang dari Singapura.

“Nampak... I dah siap mandi pun you tak sedar. You berSMS dengan siapa sebenarnya?” Dato Ezman masih mahukan jawapan daripada Melisa.

“Tak... bukan I yang SMS. Tapi PA I yang SMS I,” jawab Melisa.

“Betul ke? Ke you ada berlaku curang di belakang I?” Dato Ezman sudah melabuhkan punggungnya di birai katil. Dudukannya betul-betul di sisi Melisa. Dia membelai lembut rambut harum milik perempuan simpanannya itu.

“Ish... Mana ada. I setia pada Dato seorang jelah.” Melisa sudah melentok manja. Tujuannya hanyalah ingin menggoda.

So... apa yang Baizura nakkan daripada you?” Dato Ezman masih membelai lembut rambut Melisa.

“Tak ada apa-apa. Dia cuma nak beritahu I yang mak I tak berapa sihat. Tu je,” tutur Melisa.

Dato Ezman mengangguk tanda mengerti. Dia kemudiannya merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk itu, “Bila you nak balik kampung?”

“Balik kampung? Nak buat apa?” Melisa turut sama merebahkan tubuhnya. Dia memeluk erat pinggang lelaki tua itu.

“Kan, Mak you sakit. Takkan you tak nak balik jenguk dia?” soal Dato Ezman lagi.

“Alah... sakit sikit je. Orang tua, biasalah... mengada-ngada je lebih.” Selamba sahaja Melisa menuturkan kata-kata itu.

Dato Ezman tidak berapa menggemari cara tuturan Melisa itu. Baginya seorang anak tidak seharusnya bersikap sebegitu terhadap ibu yang sedang terlantar kesakitan.

“Kenapa Dato diam je ni?” soal Melisa tidak betah dengan kebisuan lelaki yang telah menaburkan kekayaan terhadapnya.

“Mel... kalau I nak cakap sikit, boleh?” Masih lembut suara Dato Ezman.

Anything sayang...” tutur Melisa manja sambil mengusap lembut dada Dato Ezman yang tidak berlapik apa itu.

“Kenapa you tak suka bila I tanyakan perihal keluarga you? Apa yang you cuba sembunyikan sebenarnya?” Dato Ezman memandang tepat ke wajah perempuan simpanannya itu.

Terhenti tarian jari jemari Melisa di dada tua itu. Sejujurnya Melisa benci dengan persoalan sebegitu. Andailah orang lain yang mengutarakan perihal itu, sudah pasti makian dan cacian berhamburan keluar dari bibirnya.

“Mel... kita dah lama bersama. I tak nak you sembunyikan apa-apa daripada I. I betul-betul cintakan you.” Kian lembut suara Dato Ezman.

‘Cinta? Bukan ke kau hanya mencintai tubuh aku sahaja?’ lahir persoalan itu di hati kecil milik wanita yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai tuala mandi sahaja.

“Tak ada apa-apa yang membanggakan tentang kisah silam I.” Perlahan, Melisa bersuara.

“Tapi I masih nak tahu siapa diri you yang dulu? Siapa ahli keluarga you? Terutama sekali mak you.” Dato Ezman mengusap wajah yang amat dirinduinya itu. Entah mengapa saat dia berada di Singapura, hanya seraut wajah di hadapannya itulah yang sering ‘menemani’ jaga dan lenanya.

“I malu...” Kian perlahan suara Melisa.

“Apa yang you nak malukan? I tak pernah kisah tentang status diri you. Malahan I merasa dihargai seandainya you jujur tentang kisah lampau you.” Laju, Dato Ezman bersuara.

Melisa memandang tepat ke arah Dato Ezman. Bentuk tubuh serta raut wajah lelaki itu tidaklah setua usianya yang sudah mencecah 50 tahun. Sejujurnya dalam banyak-banyak lelaki yang pernah ‘membelanya’ lelaki yang sedang dipeluknya itulah yang paling bergaya dan bersikap penyayang.

“Ayah I dah lama meninggal. I dibesarkan oleh mak I.” Melisa mula mendedahkan kisah silamnya.

“Kiranya mak you tu superwomenlah ya. Dapat membesarkan seorang anak yang cantik jelita macam ni seorang diri. Mesti you banggakan beribukan dia?” soal Dato Ezman di akhir pujiannya.

‘Banggakah aku? Banggakah aku beribukan seorang wanita miskin seperti itu?’

“Kenapa you tak jawab?” Dato Ezman mendongakkan sedikit wajah Melisa yang sudah tertunduk itu.

“I... I mungkin bangga beribukan dia.” Sedikit tergagap Melisa menjawab.

“Mungkin? Mel... I tahu yang I ni bukannya seorang lelaki yang baik. Tapi satu perkara yang I tak pernah buat kepada mama dan papa I. I tak pernah menjadi anak yang derhaka dan I pun tak harap yang you akan menjadi seorang anak yang akan mendapat murka daripada seorang ibu yang telah bersusah payah melahir dan membesarkan you.” Terasa janggal pabila seseorang yang sentiasa tergoda dengan zina mempersoalkan tentang isu anak derhaka.

Tetapi itulah hakikat yang sedang berlaku. Dato Ezman terus-terusan memujuk Melisa untuk menerima ibu kandungnya itu dengan seadanya. Miskin atau kaya seseorang ibu itu, syurga tetap berada di bawah tapak kaki mereka.

“You nak tahu kenapa I tak pernah berasa bahagia sepanjang berkongsi hidup dengan isteri I?” soal Dato Ezman tiba-tiba.

“Sebab Datin tak boleh berikan Dato zuriat?” teka Melisa.

“Itu hanyalah alasan I. Tapi penyebab sebenarnya adalah kerana I tak pernah mencintai dia.” Perlahan, Dato Ezman menuturkan kebenarannya.

“Kalau Dato tak cintakan Datin... kenapa Dato sudi untuk menjadikan dia sebagai isteri Dato?” soal Melisa.

“Sebab arwah mama I.” Kian perlahan suara Dato Ezman.

“Arwah mama Dato? Maksud Dato?” Sudah berkerut dahi Melisa.

Dato Ezman menghembuskan nafas berat. Semerta peristiwa hampir 25 tahun yang lalu berlayar semula di ruang ingatannya, “Arwah mama I... dia yang berminat sangat dengan Datin. Dia pujuk I supaya berkahwin dengan Datin.”

“Jadi Dato setuju je?” Laju, Melisa menyoal.

“Apa lagi pilihan yang I ada? I anak tunggal dalam keluarga I. Mama dan papa I tak ada anak yang lain lagi. I pun... tak sanggup nak menghampakan kedua orang tua I, sebab tulah I sanggup untuk mengorbankan kebahagiaan I sendiri.” Kesayuan jelas terlakar di wajah tua milik Dato Ezman.

Terdiam Melisa mendengar cerita Dato Ezman. Dia cuba membandingkan dirinya dengan lelaki itu dan ternyata dirinya jauh lebih hina. Dia sanggup mencaci maki ibu kandungnya sendiri semata-mata kerana kemiskinan yang diwarisi daripada ayah kandungnya. Dia sanggup menidakkan hak wanita itu semata-mata kerana dia berasa malu untuk mengakui bahawa wanita yang telah melahirkannya itu adalah ibu kandungnya.

“Mel... pergilah jenguk mak you. Kalau pun you tak sempat nak balik ke kampung, calllah mak you. I yakin yang mak you teramat-amat merindui diri you. Apatah lagi sekarang ni dia sedang terlantar sakit.” Pujukan Dato Ezman berakhir dengan kucupan. Dia mengucup dahi wanita simpanannya itu dengan penuh kasih sebelum mengeratkan lagi pelukan di antara mereka.

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.