Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,157
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

10

ROKOK masih menyala di celahan bibir pucat tanpa coletan gincu itu. Melisa menoleh ke belakang dan dilihatnya pelanggannya itu masih tertidur ‘kepuasan’. Puas dengan ‘layanannya’ sebentar tadi.

‘Ah! Lelaki semuanya sama!’ bentak hati Melisa sebelum dia menaburkan kembali pandangannya ke arah gelap malam melalui tingkap kaca yang sudah dibuka perlahan.

“Tapi... Asyraf langsung tak sama,” nafi bibirnya. Serentak itu, Melisa mengeluh.

“Kenapa susah sangat untuk aku miliki kau, Asyraf? Kenapa?” Persoalan hadir meresahkan rasa di jiwanya.

“Apa kurangnya aku berbanding perempuan tu?” Melisa masih bermonolog dengan dirinya sendiri.

“Asyraf... aku cintakan kau. Sungguh! Aku cintakan kau...” Perlahan pengakuan cinta itu lahir di bibir Melisa.

“I lagi cintakan you.” Serentak kata-kata itu, terasa pinggang ramping milik Melisa sudah dibeliti dengan tangan kasar milik lelaki yang sedang memeluk erat tubuhnya dari belakang.

Melisa tersentak. Segera dia mencampak puting rokoknya melalui jendela yang sedang terbuka luas itu.

“Dato... I ingat, Dato masih lena lagi... sebab tulah I tak nak ganggu Dato...” Melisa sudah berpaling menghadap lelaki tua di hadapannya itu. Suara manja mengada-ngada sengaja diintonasikannya.

“Memang pun I tengah tidur. Tapi bau rokok you tu kuat sangat sampai terjaga I dibuatnya. Dah berapa kali I pesan dekat you yang I tak nak you merokok lagi. Rokok, arak dan pil khayal yang selalu you ambil tu hanya akan merosakkan tubuh you. I tak nak you sakit. You tahukan yang I terlalu cintakan you.” Dato Ezman menyentuh lembut dagu runcing milik perempuan simpanannya itu.

Melisa tergedik manja, “Sorry... I janji yang I takkan kuat merokok lagi.”

Dato Ezman menganggukkan kepalanya lemah, “Tadi I dengar you sebut nama Asyraf. Siapa dia?”

Dada Melisa berdebar. Rasa takutnya hadir bertapak di jiwa.

“You kena ingat yang you tu sekarang sudah sah menjadi perempuan simpanan I. I tak nak berkongsi dengan sesiapa lagi. I tak nak you terima mana-mana pelanggan selain daripada I. Faham?” Dato Ezman memanah sepasang mata milik Melisa.

“I tahulah. Asyraf tu bukannya sesiapa pun... Cuma kawan biasa je,” nafi Melisa berhati-hati.

“Kawan biasa… sampai you cakap yang you cintakan dia?” Curiga semakin bertapak di hati Dato Ezman.

“Dato salah dengar ni. Mana ada I kata yang I cintakan si Asyraf tu. Hati dan seluruh tubuh badan I ni hanya untuk you seorang je tau...” Melisa sudah menggesel-geselkan tubuhnya ke tubuh Dato Ezman.

Biarpun Dato Ezman tahu yang model di dalam pelukannya itu sedang berdusta, tetapi dia tidak mahu berbalah apa. Dia mahu menikmati sepenuhnya malam ini dengan belaian dan kemanjaan wanita seksi itu.

“Senyumlah sikit...” goda Melisa saat lelaki di dalam pelukannya itu masih enggan memaniskan wajahnya.

Cair Dato Ezman dengan godaan itu. Dalam banyak-banyak perempuan simpanan yang pernah dibelanya, Melisalah yang paling memahami dan dapat memenuhi keinginan lelakinya.

“Jom... I belum ‘puas’ lagilah,” gatal menerjah ke naluri lelaki buayanya. Lantas tubuh Melisa yang hanya dibaluti sehelai baju tidur jarang itu diangkatnya.

Sekali lagi katil yang bercadarkan kain putih itu hilang kesuciannya akibat taburan dosa zina yang sedang dilakukan oleh dua orang manusia yang kian hilang pedomannya.

MENCERLUNG Baizura memandang wajah Melisa yang sembap matanya akibat tidur yang tidak lena.

“Awal balik?” perli Baizura.

Melisa tahu yang PAnya itu sengaja hendak menyakitkan hatinya. Malas hendak berbalah apa, dia terus melencongkan langkahnya ke arah bilik tidurnya. Tetapi Baizura terlebih dahulu menghalang langkahnya itu. Kini Baizura berdiri betul-betul di hadapannya.

“Kau apa hal?” soal Melisa bengang.

Sudahlah tidurnya terganggu dengan ‘permintaan’ itu dan ini daripada Dato Ezman malam tadi. Kini, sahabat baik yang merangkap PAnya itu pula hendak mencari pasal dengannya.

“Apa hal kau cakap? Mana kau pergi malam tadi?” Laju, Baizura menyoal.

“Ah! Suka hati akulah nak pergi mana!” jerkah Melisa.

Baizura langsung tidak takut dengan jerkahan itu. Malahan dadanya kian berombak dengan sikap kurang ajar sahabat baiknya itu.

“Kau masih menjalinkan hubungan dengan Dato Ezman, kan?” telah Baizura.

“Kau jangan nak main serkap jarang ya!” Kemarahan Melisa kian menjulang.

“Serkap jarang kau cakap! Ni! Tengok ni!” Baizura menghulurkan handphone miliknya kepada Melisa. Ada sesuatu yang ingin ditunjukkan kepada model bongkak itu. Sesuatu yang pasti mengaibkan dirinya!

“Mana kau dapat gambar ni?” Sudah merendah intonasi suara Melisa. Rasa takut hadir membaluti perasaannya.

“Ada orang send dekat aku pagi-pagi buta tadi,” jujur Baizura.

“Siapa?” Laju Melisa bertanya.

“Aku tak tahu. Tapi aku rasa...” Terhenti kata-kata Baizura.

“Siapa? Siapa yang send gambar ni pada kau?” Melisa kian mendesak.

“Aku rasa... mungkin... salah seorang paparazzi yang dapat cekup kau dekat kelab malam, tempoh hari.” Baizura meluahkan prasangkanya.

“Tak guna!” Berombak dada Melisa. Mujur jua handphone yang sedang dipegangnya itu bukan kepunyaannya. Andai tidak pasti hancur berkecai gajet itu dibalingnya.

“Jadi betullah yang kau bermalam dengan Dato Ezman di hotel, malam tadi? Kau tak serik lagi ke kena serang dengan isteri dia? Kau tak takut dosa ke, Melisa?” bebel Baizura.

“Ah! Kau diamlah. Sekarang ni bukan masanya untuk kau bagi ceramah percuma pada aku. Lebih baik kau tolong aku selesaikan masalah ni!” bentak Melisa.

Baizura menggelengkan kepalanya. Ternyata sahabat baik yang telah dikenalinya sedari kecil itu sudah berubah seratus peratus sikapnya. Dosa dan pahala hanya menjadi mainannya.

“Aku ada satu cara.” Perlahan Baizura bersuara.

“Apa dia?” soal Melisa.

“Aku dapat satu mesej daripada penghantar gambar tu. Dia... dia cakap...” tergagap-gagap Baizura.

“Dia cakap apa?!” Sakit hati Melisa dengan sikap tergagap sahabat baiknya itu.

“Dia cakap yang dia nakkan duit sebanyak RM 30, 000 untuk menutup mulut dia. Dia juga berjanji yang dia tidak akan menyerahkan gambar ni kepada pihak-pihak yang berkepentingan, termasuklah... isteri Dato Ezman.” Baizura kembali mengalihkan pandangannya tepat ke wajah Melisa.

Melisa terdiam. Otaknya ligat berfikir. Duit bukanlah permasalahannya. Melisa yakin yang Dato Ezman sanggup memberikan wang sebanyak manapun untuk menutup mulut paparazzi itu. Tetapi persoalannya, bolehkah janji daripada seorang paparazzi dipercayai?
Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.