Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,684
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 27

27

ASYRAF melangkah perlahan untuk menaiki anak tangga di hadapannya itu. Namun saat dia terlihatkan bayangan seseorang di bawah simbahan cahaya lampu di luar rumahnya, dia pantas mematikan niatnya. Langkahnya diatur mengikut kata hatinya.

Sudah diagak ‘insan’ itulah yang sedang bersantai di atas buaiyan berhadapan taman mini di luar rumahnya itu.

“Ehem!!!” Kuat dehem Asyraf.

“Astaghfirullahal azhim... adik ni teruklah. Nasib baik akak tak ada sakit jantung.” Sarlina mengurut laju dadanya sambil menjeling ke arah insan yang sedang melabuhkan punggung di sisinya itu.

“Teringat buah hati ke, sampai adik berdiri sebelah akak pun akak tak perasan…” seloroh Asyraf.

“Macam mana akak nak perasan kalau dah adik tu berjalan macam penyamun. Sikit derap pun tak dengar.” Sarlina sudah memaniskan wajahnya.

Asyraf membalas senyuman kakaknya itu.

“Lambat balik hari ni... jumpa buah hati ke?” Sengaja Sarlina hendak mengenakan adiknya itu pula.

“Ha’ah.” Sepatah jawapan Asyraf. Senyuman bertukar kepada sengehan.

What?! Akak ingat yang adik betul-betul tak ada apa-apa hubungan dengan Mel.” Sedikit terkejut Sarlina dengan jawapan sepatah adiknya itu.

“Ish... apa akak ni… Bila masa pula adik kata yang si Mel tu kekasih hati adik. Simpang 44 malaikat. Tak ingin adik nak ada hubungan dengan perempuan yang langsung tak layak untuk berdamping dengan adik tu. Dahlah cengil, kurang ajar pula tu!” Berombak dada Asyraf dan semerta peristiwa sewaktu dia menghantar Juliana pulang ke rumah sebentar tadi terimbau semula.

‘Macam mana Mel boleh dapat nombor telefon Juliana?’ Bergema semula persoalan tersebut di hati Asyraf.

“Dah tu kalau bukan Mel... siapa? Model mana pula kali ni?” soal Sarlina kemudiannya.

Sorry... Rahsia. Belum tiba masanya adik nak kenalkan dia pada akak. Tapi apa yang pasti dia bukannya model bagai. Dia cuma insan biasa yang terlalu istimewa...” senyuman kembali menghiasi wajah kacak milik Asyraf. Hilang sebentar amarahnya kepada Melisa.

“Entah-entah... Rossa? Anak kawan papa tu ke?” Sarlina masih berusaha untuk meneka.

“Opsss... jawapan yang salah. Sudah-sudahlah tu akak meneka. Tak payahlah akak nak bazirkan usaha akak tu. Adik tetap dengan pendirian adik, adik takkan beritahu siapakah gerangannya sebelum tiba masa yang sesuai.” Asyraf mengenyitkan matanya. Sengaja mahu menyakat kakaknya itu.

“Kedekut!” Sarlina menunjukkan protes sambil memuncungkan bibirnya.

Asyraf tertawa kecil dengan sikap kakaknya itu, “Dah tua pun nak merajuk-rajuk.”

“Siapa yang tua? Akak muda lagilah,” rajuk Sarlina lagi.

“Ya tak ya juga... kalau akak tua takkanlah Abang Borhan nakkan akak, kan?” Asyraf kian ligat menyakat insan di sisinya.

“Adik ni... ada je tau... saja je nak sakat akak.” Sarlina menepuk perlahan lengan adik bongsunya itu.

“Adui... sakitlah kak. Macam manalah Abang Borhan tu boleh tahan tiap-tiap hari kena ‘pukul’ macam ni.” Sengaja Asyraf meraba-raba lengannya.

“Adik ni... bila masa pula akak pukul Abang Borhan... Akak cuma pukul budak yang nakal macam adik ni je,” tutur Sarlina.

“Yalah... yang nakal semuanya adik. Yang baik semuanya Abang Borhan. Itulah namanya kalau dah angau bercinta. Nak buat macam manakan... adik rasalah dah tiba masanya akak dan Abang Borhan mendirikan rumah tangga.” Asyraf memandang ke arah kakak di sisi.

Berubah terus riak wajah Sarlina. Suram tersusun rapi menyembunyikan derita di hati.

Asyraf menyedari perubahan riak wajah kakak kesayangannya itu, “Akak ada masalah dengan Abang Borhan ke?”

“Tak. Bukan dengan Abang Borhan...” Sarlina sudah menundukkan wajahnya. Kesedihan dan kekecewaan di hati jua cuba dikedapkan.

“Papa? Papa buat hal lagi ke?” telah Asyraf.

Tiada jawapan. Hanya keluhan dari bibir merah itu sahaja yang kedengaran. Ternyata tekaan Asyraf itu benar belaka.

“Papa buat apa pula kali ni?” Asyraf masih hendak mengetahui perihal yang sebenarnya.

“Entahlah dik... susah akak nak cakap.” Perlahan, suara Sarlina.

“Kak... tak ada apa yang susahnya kalau akak bersama adik. Adik tahu yang akak tengah menderita sekarang ni. Apa kata akak cuba luahkan derita hati akak tu, Insya-ALLAH... adik akan cuba memahami.” Asyraf menggenggam perlahan bahu kakaknya itu.

“Adik tahukan yang papa tak pernah sukakan Abang Borhan?” sayu kedengaran di dalam persoalan.

“Bukan tak suka. Papa cuma belum mengenali Abang Borhan dengan sepenuhnya lagi. Adik yakin yang satu hari nanti papa akan menerima Abang Borhan sebagai bakal menantu dia.” Asyraf memujuk kakaknya itu.

“Tapi bila? Akak dah penat dik... penat mendengar penghinaan yang papa hamburkan buat Abang Borhan. Papa tak adil. Hanya disebabkan syarikat milik keluarga Abang Borhan menjadi pesaingnya dalam bidang perniagaan, papa terus menjatuhkan hukum ke atas insan yang akak betul-betul cintai.” Sarlina terus meluahkan rasa sedihnya.

Asyraf masih membisukan mulutnya. Dia tahu masih ada bebanan perasaan yang ingin ‘diluluhkan’ oleh kakaknya itu.

“Papa sebenarnya takut dengan bayang-bayang dia sendiri. Papa takut... kalau dia serahkan syarikat tu pada akak, akak akan serahkan bulat-bulat pada Abang Borhan. Tapi papa silap! Kalaulah papa dapat mengenali Abang Borhan sebagaimana akak mengenalinya, mesti papa akan malu dengan dirinya sendiri,” gugur jua permata yang cuba ditahan-tahan.

“Itulah sebabnya adik cakap yang papa tu belum lagi mengenali Abang Borhan sepenuhnya. Kalau papa dah kenal hati budi Abang Borhan, mesti semua ni takkan terjadi.” Lembut, Asyraf bersuara. Tujuannya agar kata-katanya itu dapat menghapuskan sedikit kesedihan kakaknya itu.

Sarlina menyeka air mata yang mulai berlinangan. Dia menarik nafasnya perlahan. Pandangannya juga sudah dihalakan ke hadapan. Melihat keindahan taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan, “Adik rasa suatu hari nanti, papa akan dapat menerima Abang Borhan?”

“Adik tak rasa. Tapi adik yakin!” Yakin Asyraf.

“Macam mana kalau keyakinan adik tak mampu untuk ‘menebas’ kepala batu papa tu?” soal Sarlina kemudiannya.

“Emm... kalau macam tu kita ikutlah rentak papa.” Bersahaja Asyraf menjawab.

“Ikut rentak papa?” Berkerut dahi Sarlina saat dia memusingkan tubuhnya menghadap Asyraf.

“Ya... kita ikut rentak papa. Kalau papa masih bersikap keras kepala dan kekal dengan kepala batu dia tu, kita pun ikutlah sama. Akak tahu tak kenapa sampai sekarang papa masih tak berjaya untuk menyatukan adik dengan Rossa?” soal Asyraf di akhir bicaranya.

“Sebab... adik lawan cakap papa?” teka Sarlina.

“Bukan lawanlah. Adik mempertahankan hak adik! Adik ada hak dalam menentukan siapakah pasangan yang bakal menghabiskan sisa hidupnya dengan adik dan kalau betul akak cintakan Abang Borhan... akak juga perlu mempertahankan pendirian akak untuk membina mahligai cinta dengan insan yang akak damba-dambakan tu!” Kali ini sepasang mata milik Asyraf bertaut pandang dengan sepasang mata milik Sarlina. Pandangan Asyraf bagaikan mengalirkan satu keyakinan di hati kakaknya itu.

“Ya! Akak akan mempertahankan hubungan akak dengan Abang Borhan!” Yakin benar Sarlina saat menuturkan azam itu. Semerta senyuman membarisi bibir Asyraf, bangga kerana nasihatnya itu akhirnya membuahkan hasilnya.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.