Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
208,057
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

3

MELISA menghempaskan handbag Guccinya di atas sofa kulit di ruangan tamu penthousenya itu.

“Tak guna!!!” Melisa menjerit kuat. Berombak dadanya. Sakit di hatinya sudah tidak mampu dikedap lama.

“Rilekslah Mel. Cuba kawal amarah kau tu.” Baizura menghampiri Melisa. Nasihat disuakan kepada sahabat karibnya itu.

“Kepala otak kau nak rileks! Kau tak nampak ke tadi?! Lelaki yang selama ini aku tergila-gilakan jelas curang di hadapan mata aku. Perempuan tak guna tu juga yang jadi pilihan Asyraf. Apa kurangnya aku berbanding perempuan tu?!” tengking Melisa.

‘Memang banyak pun ‘kurangnya’ kau tu!’ sinis hati Baizura. Muak sudah menguasai dirinya dengan sikap baran Melisa itu.

“Sampai hati kau curang dengan aku, Asyraf! Sampai hati kau...” Melisa masih melahirkan amarah dan kesedihannya.

“Curang? Kau dah bercinta ke dengan Asyraf? Setahu aku... dia masih belum menerima kau sebagai insan yang teristimewa di hati dia, kan? So... tak ada istilah curang pun.” Selamba Baizura menyimbah minyak ke atas marakan api kemarahan Melisa.

Melisa pantas menoleh ke arah insan di sisinya. Tajam pandangannya memanah sahabat karib yang juga merangkap PAnya itu, “Kau jangan nak naikkan darah aku, Baizura!”

“Bukan itu niat aku. Aku langsung tak bermaksud untuk menyindir atau menghina kau. Aku cuma nak sedarkan kau je. Asyraf tu bukannya milik kau.” Baizura menentangi kemarahan Melisa dengan kelembutan.

“Dan dia juga bukannya milik perempuan tak guna tu!!!” jerkah Melisa.

“Ya... itu aku tahu. Memang betul yang Asyraf tu bukannya milik perempuan tu sepenuhnya. Mereka belum pun bernikah, tapi... kalau Asyraf sendiri dah mengaku yang perempuan tu adalah kekasih hati dia... apa lagi yang boleh kau lakukan?” soal Baizura di hujung bicaranya.

“Apa yang boleh aku lakukan?” Persoalan dibalikkan semula. Semerta senyuman penuh muslihat terukir di bibir Melisa saat otaknya sudah memberikan cadangan yang bukan-bukan.

“Banyak! Banyak yang boleh aku lakukan untuk mendapatkan Asyraf.” Melisa berlalu meninggalkan Baizura. Dia mengambil tempat di atas sofa.

Baizura mengikuti langkah sahabatnya itu. Dia melabuhkan punggung di sebelah insan yang kian melebar senyumannya itu, “Apa rancangan kau?”

“Apa pun rancangan aku... itu tak penting. Apa yang penting, Asyraf akan aku miliki!” Yakin benar Melisa tika ini.

Baizura mengeluh. Gelengan kecil terlahir, “Tapi... kau kena ingat... jangan sampai nama baik kau tercemar lagi. Aku dah tak tahan nak menghadap gosip-gosip liar kau tu. Kes kau kena cekup dekat kelab malam tu, belum lagi reda. Aku tak nak kau buat hal lagi.”

“Ah! Tak payahlah kau nak membebel. Kes aku kena cekup dekat kelab malam tu pun semuanya disebabkan kelalaian kau! Bukan ke tugas kau sebagai PA aku adalah untuk menjaga nama baik aku? Kau sepatutnya dapat halang paparazzi-paparazzi yang gila tu daripada serbu aku. Ni tak! Kau biarkan je dia orang snap gambar aku waktu aku tengah lalok macam tu!” Kemarahan Melisa kembali lagi apabila isu dirinya dicekup oleh beberapa orang paparazzi di kelab malam di ibu kota itu dibangkitkan semula oleh PAnya itu.

“Sampai bila aku dapat tutup aib kau? Bangkai gajah pun kalau dah lama-lama, berbau... nikan lagi aib manusia,” sinis Baizura. Sakit hatinya kerana dikatakan gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang PA yang banyak berjasa.

“Kiranya kau nak salahkan aku sepenuhnyalah dalam hal tu?!” Masih tinggi suara Melisa.

“Memang! Memang salah kau! Kau sedar tak yang sikap liar kau tu bakal meruntuhkan nama baik kau dalam dunia modeling. Kau tak takut ke kalau syarikat-syarikat yang mengambil kau sebagai duta untuk produk-produk mereka menyaman kau gara-gara sikap liar kau tu? Mel... kau kena ingat apa yang telah kau persetujui sebelum kau sain kontrak dengan syarikat-syarikat tu. Bukankah ada dinyatakan dalam kontrak yang kau harus menjaga nama baik kau! Sebarang kontroversi yang boleh menjatuhkan maruah kau adalah dilarang sama sekali. Tapi kau tengok... apa yang telah kau lakukan?” bebelan panjang itu berakhir dengan keluhan.

“Jangan tutup periuk nasi kau sendiri akibat sikap liar kau tu. Buang-buanglah ego kau tu. Tak payahlah kau nak meninggikan diri bagai, bila berhadapan dengan wartawan-wartawan dekat luar sana. Kau kena ingat kuasa apa yang dipegang oleh mereka. Kalau wartawan-wartawan tu sakit hati dengan kau... tak tahulah aku macam mana dia orang nak pelingkupkan diri kau ni. Lagi satu, cubalah kau maniskan sikit wajah kau tu bila berhadapan dengan para peminat kau. Susah sangat ke kau nak beramah mesra dengan dia orang?” Masih belum puas Baizura meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap insan di sisinya itu.

“Ah! Tak payahlah kau nak meleter lagi. Aku tahu apa yang perlu aku lakukan! Sekarang ni, aku langsung tak pedulikan tentang semua tu. Apa yang penting, aku akan berusaha untuk mendapatkan Asyraf!” Asyraf masih menjadi keutamaan buat Melisa.

‘Asyraf! Asyraf! Asyraf! Bukalah sikit mata kau tu Mel, lelaki tu langsung tak pandang kau!’ jerit hati Baizura.

“Terpulang... aku takkan larang kau untuk mendapatkan Asyraf. Tapi ingat... kalau periuk nasi kau dah tak dapat nak diselamatkan lagi, kau jangan terhegeh-hegeh cari aku pula.” Baizura bangkit untuk berlalu pulang.

Melisa hanya melihat sahaja langkah laju Baizura. Dia tahu yang PAnya itu masih menyimpan ketidakpuasan hati terhadap dirinya.

“Ada aku kesah... kau tu cuma PA aku je. Gaji kau tu pun aku yang bayar!” bongkak Melisa saat bayangan Baizura sudah menghilang dari pandangannya.

Dia bangkit semua setelah mencapai handphonenya. Nombor telefon lelaki idamannya itu didail. Dia melekapkan gajet itu ditelinganya. Deringan bertalu, namun masih tiada jawapan diterima. Dia berusaha lagi. Nombor yang sama didail semula. Kehampaan menerjah buat kali kedua.

“Tak guna kau Asyraf! Sampai hati kau buat aku macam ni!!!” Handphone dicampak kuat ke lantai. Berderai lagi gajet itu.

“Aku takkan berhenti berusaha untuk memiliki kau. Kau adalah milik aku! Hanya aku sahaja yang berhak untuk berada di samping kau dan bukannya perempuan tak guna tu!!!” Gema jeritan mengepung rumah mewah itu.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.