Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,290
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11

11

TEPAT pukul 11 malam barulah Asyraf sampai ke rumahnya. Dato Hassan memerhatikan langkah lesu anak bongsunya itu.

“Ehem...” Terdengar dehem.

Asyraf pantas memandang ke arah dehem itu. Dia kemudiannya melencongkan arah kakinya. Niat untuk terus merebahkan tubuh ke tilam empuk miliknya dibatalkan.

“Papa tak tidur lagi?” soal Asyraf saat melabuhkan punggung di sisi papanya itu. Mereka kini sedang berada di ruang tamu banglo tiga tingkat itu.

“Belum lagi... yang kamu ni kenapa lambat pula balik hari ni?” Dato Hassan mengalihkan pandangannya tepat ke arah insan di sisinya. Wajahnya kelihatan sedikit serius.

“Ada banyak kerja dekat ofis tadi.” Sememangnya itulah kenyataannya. Dia bergegas pulang semula ke pejabatnya setelah dihantarnya Juliana pulang ke kondominium. Masih ada banyak kerja yang perlu disudahkan sebelum tibanya hari esok.

“Tulah kamu... papa suruh kamu bekerja di syarikat papa, kamu tak nak. Sekarang ni, siapa yang susah? Siapa yang perlu bekerja keras? Lagipun... nak buat apalah kamu uruskan agensi mencari jodoh tu? Kamu tak malu ke?” bebel Dato Hassan.

“Nak malu apa pula pa?” balas Asyraf perlahan. Asyraf tahu yang papanya itu berada di pihak ‘pembangkang’ saat dia memberitahu akan niatnya untuk membuka agensi mencari jodoh itu.

“Nak malu apa, kamu cakap?! Kamu tahu tak yang kawan-kawan papa tu dah sok sek, sok sek pasal kamu... Papa buka syarikat hartanah untuk kamu! Untuk kamu uruskan... tapi... tup-tup... kamu ikut kepala tak betul kamu tu! Kamu buka agensi mencari jodoh! Jodoh sendiri tak terurus, sibuk nak mengenenkan orang lain!” perli Dato Hassan di akhir bicaranya.

Asyraf diam. Malas dia hendak melayan kemarahan papanya itu. Sudah tidak terlarat rasanya untuk dia menambahkan saham dosanya saat pertengkaran lepas berkaitan agensi mencari jodohnya diperlekehkan oleh ayah kandungnya itu.

“Yang kamu diam ni kenapa?” soal Dato Hassan tiba-tiba.

Pelik dengan sikap bisu anaknya itu pada kali ini. Kebiasaannya anaknya itu tidak sebegitu. Pasti akan ditegakkan keputusannya dalam menubuhkan agensi mencari jodohnya itu.

“Asyraf dah malas. Malas nak bertekak dengan papa pasal agensi mencari jodoh Asyraf tu. Sama ada papa suka atau pun tidak... Asyraf dah pun menubuhkan syarikat tu dan dalam diam tak diam syarikat tu dah utuh berdiri selama tiga tahun.”

“Jadi kamu banggalah dengan hasil usaha kamu yang tak seberapa tu? Macam tu?” sinis Dato Hassan.

“Yup! Asyraf bangga. Sekurang-kurangnya Asyraf tak terus duduk di bawah ketiak papa. Asyraf bebas dalam menentukan arah tuju hidup Asyraf sendiri.” Kali ini Asyraf membalas pandangan tajam papanya itu.

“Kamu ni... Haih! Susah papa nak cakap dengan orang yang keras kepala macam kamu ni! Asyraf, kamu tu satu-satunya anak lelaki papa... kalau tak kamu, siapa lagi yang akan bertanggungjawab dalam menguruskan syarikat papa kelak?” soal Dato Hassan di akhir kemarahannya.

Asyraf mengeluh, “Papa... memanglah Asyraf ni anak tunggal lelaki papa. Tapi, Asyraf ni bukannya anak tunggal papa. Akakkan ada. Selama ni memang dia pun yang uruskan syarikat papa tu.”

Dato Hasaan terdiam. Dia tidak boleh membantah atau pun menidakkan kata-kata anaknya itu. Sememangnya, itulah kenyataannya!

“Papa... akak dah bagi sepenuhnya komitmen dia terhadap syarikat papa tu. Asyraf rasa, papa sepatutnya menghargai segala usaha dan kerja keras akak tu.” Asyraf cuba berlembut dengan insan di sisinya itu.

“Tapi, dia bukannya kamu.” Perlahan Dato Hassan bersuara.

“Apa bezanya Asyraf dengan akak? Bukankah kami berdua ni anak kandung papa dan mama?” Laju, Asyraf bertanya.

“Memang. Memang kamu berdua adalah anak kandung papa dan mama. Tapi...” kata-kata Dato Hassan tersekat. Rasa bersalah bagaikan memanjat-manjat hatinya.

“Tapi apa pa?” Asyraf memegang lembut bahu papanya itu.

“Tapi kakak kamu tu perempuan. Kudrat perempuan tak sama dengan lelaki.” Dato Hassan beralasan.

Asyraf tersenyum. Dia tahu bukan itu alasan yang sebenarnya, “Tak ada apa yang bezanya pa. Bukannya akak tu kena angkat batu bata ke apa... Akak cuma perlu duduk di kerusinya dan uruskan segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan. Sekali sekala je akak kena turun ‘padang’ melihat para pekerja melakukan tugasan mereka.”

Dato Hassan tidak membalas apa terhadap kata-kata anak bongsunya itu. Dia pantas menundukkan wajahnya.

“Papa sebenarnya takut, kan?” soal Asyraf tiba-tiba.

Dato Hassan mengangkat semula wajahnya, namun masih tiada patah kata yang keluar dari bibir tuanya.

“Papa takut seandainya akak akan berubah selepas dia berkahwin… Papa takut yang akak akan ketepikan tanggungjawab dia sebagai ‘kepala’ syarikat setelah dia bergelar isteri dan ibu... papa juga takut seandainya bakal suami akak tu akan masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan syarikat setelah akak sah menjadi isteri dia. Betulkan?” telah Asyraf.

Lambat barulah Dato Hassan menganggukkan kepalanya.

“Pa... adik yakin yang akak takkan berubah biarpun dia sudah sah menjadi isteri kepada Abang Borhan. Adik yakin yang Abang Borhan takkan masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan syarikat setelah dia ‘masuk’ ke dalam keluarga kita.” Asyraf pantas menepuk-nepuk perlahan bahu papanya itu sekali lagi sebelum dia mengangkat punggungnya.

“Eh... kamu nak ke mana tu?” soal Dato Hassan.

“Asyraf nak masuk ke bilik dulu. Nak rehat. Penat sangat dah tubuh ni. Pasal kakak tu... papa fikir-fikirkanlah ya,” tutur Asyraf.

“Baik. Papa akan fikirkan pasal kakak kamu tu. Tapi, papa nak kamu duduk balik. Ada hal yang lebih penting yang papa nak bincangkan dengan kamu,” arah Dato Hassan.

Dahi Asyraf berkerut. Namun dia menuruti jua kemahuan papanya itu. Tubuh yang sudah terasa lesu ‘disandarkan’ kepada sisa-sisa kekuatan dan matanya yang hendak layu ‘ditongkatkan’ dengan kesabaran. Dia harus menadah telinganya sekali lagi untuk mendengarkan celotehan papanya itu dan kali ini entah isu apa pula yang hendak dibangkitkan oleh insan yang sudah berusia itu.

“Tentang apa tu pa?” soal Asyraf, perlahan.

“Tentang kamu!” Semakin serius wajah Dato Hassan saat memandang wajah anak tersayang.

“Tentang Asyraf? Tentang apa lagi ni pa?” Asyraf mengeluh.

“Tentang jodoh kamu. Kamu dah buat keputusan terhadap cadangan papa tempoh hari?” tanya Dato Hassan.

“Jodoh Asyraf? Cadangan? Cadangan apa?” Ketiga-tiga soalan dilahirkan serentak tatkala mindanya gagal untuk menemui jawapan terhadap kenyataan papanya itu. Mungkinkah kepenatan penyebabnya? Atau mungkin dia benar-benar terlupa tentang cadangan apa yang dimaksudkan oleh ayah kandungnya itu.

“Takkan kamu dah lupa?!” Sedikit meninggi suara Dato Hassan. Dia benar-benar tidak percaya yang anaknya itu boleh terlupakan ‘perkara’ yang begitu penting seperti itu.

Asyraf diam. Haruskah dia menuturkan kata maaf?

“Maaf pa. Asyraf betul-betul dah tak ingat. Banyak benda sangat yang harus Asyraf utamakan sekarang ni.” Asyraf berasalan.

“Habis tu tentang jodoh kamu, langsung tak pentinglah? Cadangan papa untuk jodohkan kamu dengan anak kawan papa tu langsung kamu tak utamakanlah? Macam tu?” bengang Dato Hassan dengan sikap tidak ambil peduli anak bongsunya itu.

‘Cadangan papa untuk jodohkan aku dengan anak kawan dia??? Ah! Takkan papa serius tentang perkara tu!’ Hati Asyraf diamuk kerisauan.

“Pa! Kan, Asyraf dah jelaskan tentang perkara tu. Asyraf takkan setuju dengan cadangan papa tu.” Asyraf kembali menyatakan pendiriannya.

“Apa? Bukan ke hari tu papa suruh kamu fikirkan dulu?” Laju, Dato Hassan bersuara.

“Ya. Tapikan lepas tu, Asyraf dah tegaskan yang Asyraf takkan menerima cadangan papa tu. Tolonglah pa... papa ingat sekarang ni zaman 80-an ke? Mana ada lagi orang tua yang nak kenen-kenenkan anak mereka.” Asyraf sudah menarik muka masam.

“Habis tu, apa bezanya kamu dengan papa? Kamu buka agensi mencari jodoh tu, bukan ke sebab kamu sibuk nak carikan jodoh untuk orang lain?” Dato Hassan masih membalas kata.

“Lain! Asyraf bukannya suka-suka hati nak jodohkan client-client Asyraf tu. Asyraf bagi mereka peluang untuk berkenalan di antara satu sama lain dulu. Kalau mereka rasa serasi, mereka boleh lanjutkan perhubungan tu. Tiada paksaan dalam mencari jodoh. Itulah prinsip yang dipegang oleh syarikat Asyraf.” Asyraf suka bangkit. Dia sudah berura-ura untuk berlalu pergi.

“Ha... Macam tulah juga prinsip papa. Kamu boleh berkenalan dulu dengan anak kawan papa tu. Kalau kamu rasa yang kamu serasi dengan budak tu... kamu boleh teruskan hubungan tu. Kalau tak, papa takkan paksa kamu lagi.” Dato Hassan turut bangkit. Dia mendepani anak bongsunya itu.

Asyraf mendengus. Papanya itu memang hebat dalam berdebat. Merasakan yang dirinya sudah kalah, Asyraf pantas melangkah pergi. Tidak ditangguhkan lagi langkahnya, biarpun papanya itu melaung-laungkan namanya.

“Ayraf! Papa takkan berputus asa. Kamu kena setuju juga dengan cadangan papa tu!” Itulah kata-kata akhir yang dapat ditangkap oleh sepasang telinga milik Asyraf sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam bilik tidurnya. Rasa penat dan lelahnya entah hilang ke mana. Mungkinkah malam ini dia dapat melenakan dirinya sedangkan otaknya terus-terusan memikirkan perihal cadangan papanya itu?
Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.