Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,984
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 19

19

HAJI KAMARUL masih meracau-racau. Nama yang satu itu tetap jua disebut berulang-ulang, “Juliana... Juliana... Juliana...”

Mak Esah dan Pak Sameon yang kebetulan lalu di ruang tamu rumah kayu dua tingkat itu pantas mendapatkan majikan mereka.

“Bang... cubalah awak kejutkan Haji Kamarul tu,” arah Mak Esah kepada suaminya yang merupakan pemandu peribadi Haji Kamarul.

“Yalah.” Arahan diterima dan segera tubuh yang sedang terbaring di atas sofa empuk itu digoyang-goyangkan perlahan.

“Haji... Haji... bangun Haji.” Agak perlahan suara Pak Sameon memanggil-manggil nama majikannya.

“Abang ni! Cubalah kuat sikit suara tu,” marah Mak Esah.

“Yalah. Yalah... Haji, bangun Haji. Haji!” Kali ini usahanya berjaya. Haji Kamarul terjaga dan racauannya juga terhenti.

“Alhamdulillah. Bangun pun Haji,” tutur Mak Esah.

“Kenapa? Saya mengigau lagi ke?” soal Haji Kamarul lemah.

“Ha’ah. Haji mengigau... panggil-panggil nama Juliana,” terang Pak Sameon.

Terdiam Haji Kamarul. Dia bangkit dan menyandarkan dirinya. Pak Sameon pula mengambil tempat di sisinya.

“Haji... saya ke dapur, buatkan air ya,” tutur Mak Esah.

Anggukan, Haji Kamarul berikan. Tidak menunggu lama, cepat sahaja Mak Esah berlalu pergi.

“Haji... Haji okey ke?” soal Pak Sameon kemudiannya.

“Entahlah...” Terdengar keluhan dari bibir tua Haji Kamarul.

“Sabarlah Haji... nanti baliklah Juliana tu,” pujuk Pak Sameon.

“Tapi bila? Bila anak aku tu nak balik? Marah sangat ke dia pada aku?” bergetar suara Haji Kamarul. Menitis lagi air mata seorang ayah.

Pak Sameon yang menyedari akan perubahan emosi majikannya itu, pantas sahaja menepuk-nepuk perlahan bahu insan di sisinya.

“Kau rasa... Juliana takkan pulang lagi ke, ke rumah ni?” Kian lebat linangan air mata yang membasahi wajah Haji Kamarul.

“Susah saya nak jawab soalan tu,” jujur Pak Sameon memberikan pandangannya.

“Kalaulah aku tahu ini kesudahannya... aku takkan bersetuju dengan rancangan Unggal tu,” sesal Haji Kamarul.

“Benda dah lepas Haji... kita tak boleh nak putarkan balik, masa.” Pak Sameon masih berusaha untuk meredakan kesedihan insan di sisinya itu.

Sunyi seketika bicara kedua-dua lelaki berusia itu saat Mak Esah kembali membawa dulang berisi air kopi dan mee goreng yang dimasaknya petang tadi.

“Jemput minum Haji,” pelawa Mak Esah.

Haji Kamarul hanya menganggukkan sahaja kepalanya. Namun langsung tidak disentuh hidangan di hadapannya itu.

Mak Esah memberikan isyrat mata kepada suaminya. Pak Sameon mengerti akan maksud bahasa tubuh isterinya itu.

“Minumlah Haji. Jamahlah sikit mee tu. Haji langsung tak makan apa-apa dari tengah hari tadi.” Lembut, suara Pak Sameon.

“Aku tak nak makan. Aku nak Juliana.” Sikap tidak rasional Haji Kamarul kembali lagi.

“Tapi Haji... kalau Haji tak makan, nanti Haji jatuh sakit. Kalau dah sakit, macam mana Haji nak terus mencari Juliana?” Mak Esah pula tampil memujuk.

“Betul tu Haji. Haji perlu sihat,” tokok Pak Sameon memantapkan pujukan isterinya itu.

Haji Kamarul terdiam. Dia cuba mencari titik kebenaran terhadap pujukan suami isteri itu.

“Makanlah Haji,” pujuk Mak Esah lagi.

“Tapi aku tak ada selera,” sayu suara Haji Kamarul.

“Haji paksalah sikit tekak tu untuk telan makanan ni. Lakukan untuk anak Haji tu. Kalaulah Juliana nampak keadaan Haji sekarang ni... mesti dia akan berasa sedih dan terus-terusan menyalahkan diri dia.” Mak Esah masih belum berputus asa.

Lambat, barulah Haji Kamarul mengikuti nasihat yang diberikan oleh pembantu rumah dan pemandu peribadinya itu. Sepiring mee goreng diambil dan disuapkan ke mulutnya. Tekak yang segera menghantar isyarat untuk memuntahkan kembali makanan itu, dipaksakan jua untuk menelannya. Semuanya dilakukan demi anak tersayang. Haji Kamarul berharap yang dia akan tetap sihat saat dia bertemu kembali dengan anak tunggalnya itu.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.