Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 21

MASA begitu pantas berlalu dan sedar-sedar sudah masuk bulan Ogos. Aira sudah tiada pilihan lain. Entahlah, dengan beraninya dia terpaksa juga menerima cadangan Kak Sha sebab hanya itu calon yang ada. Lagipun ibunya asyik telefon kerana Abang Lokman juga telah bertanya.

Mengenangkan Abang Lokman, betul-betul buat Aira menyampah. Entah daripada siapalah Abang Lokman dapat nombor telefonnya. Selepas Abang Lokman menelefon Aira buat kali pertama di pejabatnya, Aira terus menyimpan nombor telefonnya.

Ingatkan apabila dua tiga kali panggilan tidak berjawab, dia akan senyap. Rupanya tidak serik-serik dia menelefon Aira sampai tidak kira masa. Sudahnya Aira hantar SMSmengatakan yang dirinya sudah berpunya, baru Abang Lokman senyap.

Aira melangkah berat keluar dari bilik Puan Aishah. Dia bagai tidak terkata dengan apa yang baru didengarnya. Hari Sabtu ini, dia kena ikut Puan Aishah outstation pergi ke Yong Peng, Johor.

Mereka akan melawat nurseri dan memeriksa pokok yang akan ditanam di tapak pembinaan di Putrajaya. Aira terpaksa ikut Puan Aishah kerana arkitek landskap yang sepatutnya pergi bersama terpaksa balik kampung, ayahnya sakit.

Kelmarin, dia baru sahaja menghubungi ibunya menyatakan yang dirinya akan balik bersama Zafri untuk diperkenalkan kepada ibu dan abang long. Kini terbayang wajah abang long yang pasti akan melenting apabila dapat tahu yang Aira tidak dapat balik.

Kak Sha juga perlu dihubungi, ini yang buat Aira malas. Semalam Kak Sha baru saja memberitahu yang Zafri tiada masalah untuk ikut dia balik kampung pada hari Sabtu ini. Alih-alih, Aira pula yang tidak boleh balik sebab kena pergi outstation. Padahal, minggu ini sahaja yang ada ruang kosong untuk dia balik kampung. Andai minggu yang akan datang, belum tentu lagi Aira berpeluang balik kampung.

Bila mengenangkan sekarang ini sudah masuk bulan Ogos, lagi buat Aira tertekan. Bulan kemerdekaan adalah bulan yang paling sibuk lebih-lebih lagi menjelang sambutan hari kemerdekaan. Silap hari bulan, pada hari cuti umum pun kena bekerja juga.

Dalam kemalasan yang amat sangat, dia terpaksa juga menelefon Kak Sha. Ibu dan abang long tidak payahlah dihubungi. Biarlah mereka hendak marah semasa dapat tahu Aira tidak dapat balik. Andai beritahu sekarang, awal-awal lagi sudah kena marah.

“Assalamualaikum,” ucap Kak Sha, menjawab panggilan Aira.

“Waalaikumussalam Kak Sha,” balas Aira. Suaranya kedengaran lemah sahaja.

“Kenapa suara Aira macam orang yang tak bermaya?” tanya Kak Sha ingin tahu.

“Ni yang malas nak beritahu Kak Sha,” jawab Aira masih tidak mahu berterus terang.

“Apa pula masalah kali ini? Aira ni…tak babis-habis dengan masalah,” ujar Kak Sha.

“Kak Sha, Aira tak boleh balik Sabtu ni sebab kena ikut bos pergi periksa pokok kat Johor.” Terpaksalah Aira beritahu perkara yang sebenarnya kepada Kak Sha.

“Ini yang Kak Sha menyampah nak dengar. Sudahlah dengan Zafri pun tak jumpa-jumpa lagi, dah tambah satu masalah baru,” marah Kak Sha. Tidak faham betul dengan perangai Aira yang ada saja alasan.

“Nak buat macam mana? Dah kena ikut bos,” jawab Aira pula.

“Masakan nak suruh si Zafri tu jumpa keluarga Aira sorang-sorang? Nak jumpa dengan abang lLong yang garang pulak tu,” marah Kak Sha.

“Ibu dan abang long pasti tertunggu-tunggu kepulangan Aira bersama calon suami. Hendak ke Zafri jumpa keluarga Aira sorang-sorang?”

“Terpaksalah, nak buat macam mana lagi? Minggu depan Zafri ada kerja. Nak tunggu sama-sama free baru balik kampung entah bila lagi,”balas Kak Sha, menahan geram di hati.

Sudahlah pertemuan antara Zafri dan Aira yang telah diatur asyik batal saja. Akhirnya sampai ke sudah tidak berjumpa lagi. Nampaknya keluarga Aira pula yang jumpa Zafri dahulu.

“Nanti Kak Sha tolong beritahu Zafri ya,” pinta Aira.

“Kak Sha jugak yang kena tebalkan muka beritahu Zafri. Aira ni memang sengaja nak buat Kak Sha sakit jiwa!” marah Kak Sha.

“Janganlah cakap macam tu Kak Sha, bukannya Aira sengaja. Dah tak boleh balik, nak buat macam mana?” ujar Aira. Sedar semua ini menyusahkan orang lain, namun bagaimana lagi? Arahan bos, dia kena patuh.

“Pandai ajelah Aira nak beri alasan. Yang nak menghadap muka Zafri tu Kak Sha, bukan Aira!” marah Kak Sha lagi.

“Kak Sha kan baik, tolong ya Kak Sha.” Saja Aira memuji Kak Sha untuk meraih simpati.

“Banyaklah Aira punya baik. Nanti jangan tak jadi kahwin pula, Kak Sha cekik-cekik Aira,” ugut Kak Sha pula.

“Tak adalah sampai macam tu. Aira dah ambil keputusan dan Aira tak akan memungkiri janji,” ujar Aira walau sebenarnya diri sendiri bagai tidak percaya dengan keputusan yang diambil.

“Apa-apa ajelah, asal bahagia. Lepas ni tolonglah jangan buat hal lagi. Kak Sha dah penat melayan kerenah Aira,” ujar Kak Sha.

“Kak Sha jangan risau, lepas ni Aira akan ikut cakap Kak Sha dan buat apa yang Kak Sha suruh,” janji Aira untuk menyedapkan hati Kak Sha yang sudah mula geram dengannya.

“Okeylah, Kak Sha pun ada kerja nak buat. Apa-apa nanti Kak Sha telefon Aira.”

“Terima kasih Kak Sha,” ucap Aira mengakhiri perbualan. Buat masa ini, lega rasa di hatinya. Esok-esok tidak tahu lagi. Risau juga andai nanti timbul masalah, sudahlah masalah yang ada tidak tertanggung rasanya.

Tiba-tiba telefon bimbit Aira berbunyi. Segera dia menjawabnya.

“Assalamualaikum,” ucap Aira sambil membetulkan duduknya agar lebih selesa.

“Waalaikumussalam Auntie Aira.”

“Auntie? Siapa ni?” tanya Aira terkejut. Masakan anak abang long yang telefon. Aira tertanya sendiri.

“Auntie ingat Sofea lagi?”

“Oh… Sofea, ingat siapa tadi. Hari tu lama tak tunggu ayah?” tanya Aira. Dia pun hampir terlupa pasal budak yang dia jumpa di Alamanda tempoh hari.

“Kejap aje. Tak lama selepas Auntie Aira pergi, ayah pun sampai.”

“Pandainya Sofea telefon auntie, siapa yang ajar?”

“Tak ada sapa-sapa ajar. Sofea tak pandai baca lagi tapi kenal nombor,” jawab Sofea dengan petahnya.

“Auntie, bila nak jumpa Sofea?”

“Tak taulah. Sekarang ni auntie sibuk sikit.”

“Naklah jumpa auntie. Ayah pun nak jumpa jugak.”

“Buat apa?” tanya Aira, sedikit terkejut.”

“Ayah tak ucap pun terima kasih lagi dekat auntiesebab auntie dah pergi.”

“Tak jumpa pun tak apa. Lain kali Sofea boleh telefon auntie aje.”

“Cakap dalam telefon tak seronok. Naklah jumpa lagi.”‘Alahai Sofea oi, nak jumpa bakal suami pun tak berkesempatan,’ detik Aira.

“Auntie dah kahwin ke belum?” tanya Sofea pula. Amboi budak ni, macam tau-tau pulak.

“Kenapa Sofea tanya?”

“Kalau belum kahwin lagi, boleh jugak kenal-kenal dengan ayah Sofea.” Selamba saja budak kecil ini menjawab.

Nak cari nahas? Baiklah Aira elakkan.“Sebenarnya auntie dah nak kahwin tak lama lagi,” jawab Aira.

“Ye ke? Sofea suka Auntie Aira…”

“Hmm… auntie pun suka Sofea jugak.”

“Tak bestlah kalau auntie dah nak kahwin. Nanti Auntie Airanakkahwin dengan siapa?”

Aduhai, tiba-tiba Aira rasa menyesal pulak melayan budak kecil ini. Tetapi seronok juga saat diri susah hati begini ada yang sudi berbual.

“Entahlah, auntie pun tak kenal sangat sebenarnya.” Saja Aira berterus terang. Budak kecil, bukan faham sangat pasal hidup pun.

“Mana boleh kahwin dengan orang yang kita tak kenal? Entah-entah dia orang jahat ke…”

Amboi, bijak juga rupanya si Sofea ini.“Tak baik buruk sangka dengan orang.”

“Kenapa auntie tak cari sendiri? Kalau kenal kan bagus?”

“Susah ke kalau kahwin dengan orang yang kita tak kenal?” Saja Aira menduga si kecil.

“Susahlah sebab kita tak biasa dengan orang tu,” jawab Sofea, jujur.

“Sofea ni macam budak besar pulak.” Aira sudah tertawa.

“Betullah apa yang Sofea cakap kan?”

“Okeylah Sofea, auntie sebenarnya ada kerja nak buat. Kita cakap lain kali ya.”

“Yalah. Bye Auntie Aira…” ucap Sofea.

Bye Sofea…” balas Aira.

Setelah memutuskan talian, Aira sambung duduk termenung di mejanya. Alangkah bagusnya jadi budak kecil? Tak payah risau apa-apa dan jalani kehidupan ini bagai tiada masalah langsung. Ada kalanya dia rasa macam tidak betul sahaja apa yang dilakukannya kini. Tetapi tetap diteruskan juga.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.