Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 2

“SEGANNYA saya Kak Sha…” ujar Zafri setelah Puan Kamariah beredar dari pejabatnya. Kak Sha turut tersenyum melihat gelagat bosnya.

Anyway, kenapa saya tak jumpa-jumpa perkataan angau ni dalam kamus? Saya yang salah eja atau penerbit yang salah cetak?” tanya Zafri yang masih tidak puas hati. 

Sekali lagi Kak Sha menahan tawa apabila mendengarnya.

“Kalau cari perkataan angau memang tak jumpa bos. Cuba cari perkatan gila, pasti jumpa perkataan angau di sebelahnya tapi Kamus Dewan la ya…” jawab Kak Sha sambil tersenyum.

“Perkataan gila? Apa kena mengena dengan angau?” soal Zafri pelik.

“Angau tu adik-beradik dengan perkataan gila. Di mana ada gila, di situ ada angau.” Saja Kak Sha melawak. Dia turut tertawa sebab sudah tidak tertahan.

Apa sudah jadi dengan bos aku ini? Tak habis-habis dengan angau? Kalau bangau ada juga kaitan dengan seni bina landskap kejur kerana street lighting di boulevard Putrajaya memang berbentuk bangau. Kak Sha menggelengkan kepala.

“Bos ni dah nak kahwin ke?” Saja Kak Sha bertanya.

“Hmm… kalau jumpalah, kan.” Zafri jawab sambil mengeluh.

“Siapakah gerangannya?” 

“Ini yang malu nak beritahu,” jawab Zafri.

“Dengan Kak Sha pun nak malu jugak ke?”

“Sebab tidak tahu siapa namanya…”

“Pulak?” ujar Kak Sha sambil mengerut dahi. 

 Kemudiannya Zafri berlalu masuk ke biliknya, menyambung tugas yang belum selesai.

Entahlah, bekerja dengan bos yang handsome dan budiman ini memang menyeronokkan malah ada kalanya amat melucukan pula. Sebut perkataan bergurau atau berjenaka, Zafri masih boleh faham lagi, tetapi kalau sebut perkataan bercanda, dia sudah mula naik hairan dan terkebil-kebil. Akhirnya Zafri angkat tangan tanda tidak faham.

Sebenarnya tidak ada niat pun di hati Kak Sha hendak mengenakan bos sendiri. Namun, ada kalanya Zafri ini memang lurus bendul. Paling menghairankan, jejaka yang segak bergaya ini masih lagi sendiri walaupun telah menjangkau 34 tahun. Apabila Kak Sha bertanya, pandai pula Zafri berseloroh.

“Saya bukan tak cari Kak Sha… tapi tulah, entah di mana bunga yang satu ni menyorok sampai sekarang tak jumpa-jumpa," ujar Zafri sambil tersenyum.

“Sebenarnya dah segenap pelosok saya cari, namun tetap tak jumpa juga bunga idaman hati ini,” sambung Zafri buat Kak Sha terkedu.

Segenap pelosok? Amboi, pandai pula Zafri menggunakan perkataan yang jarang-jarang digunakan. Mana pulak mat salih ini belajar? Kak Sha tertanya sendiri.

Tiba-tiba Kak Sha teringatkan adik angkatnya. Hai, apalah khabar adik angkat aku yang seorang ini, detik Kak Sha dalam hati. Hari-hari kerja saja rutinnya. Kalau hari cuti asyik terperuk di rumah pula, mana orang hendak tahu kewujudannya? Mana orang hendak tahu kehadirannya?

Bukan sekali Kak Sha menasihatinya agar ambil masa untuk diri sendiri dan jangan asyik bekerja sahaja, namun dia masih begitu. Asyik ingat pokok memanjang! Sekali-sekala respeklah diri itu, respons dengan persekitaran dan ambil masa untuk relaks.

Saja Kak Sha mengambil kata-kata dari rancangan televisyen yang popular suatu ketika dahulu. Namun, adik angkatnya hanya akan tersenyum apabila Kak Sha menegurnya.

Umur semakin meningkat tetapi masih sendiri. Entah siapa yang ditunggunya, tidak tahulah. Kalau Kak Sha rekomen Zafri padanya bagus juga. Zafri pun sedang mencari, siapa tahu mereka ada jodoh? Siapa tahu mereka boleh jadi pasangan yang sesuai dan serasi bersama?

Tiba-tiba idea itu pula yang terbayang di minda Kak Sha. Sebenarnya Kak Sha kasihan juga dengan adik angkat yang seorang ini. Hendak kata tidak lawa, sekali pandang macam Kajol juga. Tetapi dua kali pandang, sudah hendak hampir sama dengan kejur pula!

Mentang-mentanglah bekerja dalam bidang seni bina landskap, hatinya pun sama keras dengan landskap kejur. Tidak tahulah hendak cakap apa dengan adik angkat yang bertuah ini. Semakin kita beri nasihat kepadanya, semakin menjadi pula perangainya.

Siapa yang berkahwin dengannya, agak susah juga hendak dikategorikan. Isteri yang bertuah atau suami yang bertuah. Namun, yang pasti tuah adik angkat Kak Sha ini memang di mukanya. Marah atau geram macam mana sekalipun dengan perangai dia, bila pandang saja wajahnya, semuanya hilang terbang entah ke mana.

Entah apa ilmu yang dia pakai, tidak tahulah. Sebab itu dia boleh bekerja di tapak pembinaan.Dia tidak kisah langsung bekerja dengan pekerja asing yang cukup memeningkan dan selalu sahaja tidak faham bahasa. Pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia mahupun Myanmar tidak kisah langsung andai hari-hari kena marah dengan adik angkat Kak Sha ini.

Mereka langsung tidak ambil hati malah tunduk sahaja ketika dia marah. Senyum sahaja mendengar leteran dan bebelan satu-satunya konsultan wanita di boulevard Putrajaya. Pertama, memang mereka telah buat salah selebihnya memang tidak faham yang diri itu kena marah!

Peliknya sampai sekarang adik angkat Kak Sha ini tidak kahwin-kahwin juga. Lelaki yang pernah jatuh cinta padanya bukan calang-calang orang namun semua ditolaknya. Itu yang buat Kak Sha tidak faham.

Padahal, bukan sukar untuk adik angkatnya mencari pasangan. Dia bukannya bekerja terperuk di dalam pejabat. Dia bekerja di site dan boleh dikatakan setiap hari pasti ada kenalan baru yang boleh dijumpa. Di site sahaja ada berbaris senarai calon, pilih sahaja lelaki yang berjawatan apa untuk dijadikan teman hidup.

Hendak yang berjawatan tinggi dan bergaji besar boleh sahaja pilih pengurus projek, arkitek atau jurutera. Kalau hendak yang sedang-sedang saja pilihlah yang berjawatan seperti juruukur bahan, pegawai hortikultur, pereka landskap, koordinator dan banyak lagilah cuma tinggal pilih sahaja. Malah hendak orang luar negara pun ramai juga cuma takut diri pula yang tidak berkenan.

Saban hari Kak Sha tetap berdoa semoga TUHAN membuka hati adik angkatnya untuk insan yang bernama lelaki. Semoga suatu hari nanti adik angkatnya bertemu jodoh dengan lelaki budiman yang bertanggungjawab dan hidup bahagia hingga akhir hayat.

Jika diikutkan, Kak Sha bukanlah siapa-siapa juga tiada apa-apa hubungan darah dengan adik angkatnya. Namun, kasih Kak Sha bagai kasih kakak kepada adik kandungnya sendiri. Kak Sha tetap risau, tetap bimbang walau adik angkatnya boleh sahaja hidup sendiri.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.