Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 11

ESOKNYA Aira terpaksa datang lewat ke tempat kerja. Keretanya terpaksa dihantar ke bengkel kerana asyik semput sahaja. Pagi-pagi lagi Aira telah menelefon Kak Leha mengatakan yang dia akan lewat masuk pejabat. Sudahnya terpaksa jugalah dia membuat penyelenggaraan kereta walaupun perjalanan belum mencecah 5000 km lagi.

“Akak ni kenapa? Asyik tengok saya buat kerja saja?” soal mekanik yang telah lama perasan Aira asyik memerhatikannya ketika membuat kerja.

“Yalah nanti lain kali akak boleh buat sendiri, jimat RM50...” jawab Aira selamba.

Padahal, manalah Aira ada peralatan untuk menukar minyak enjin. Hendak tukar tayar yang pancit pun tidak lulus. Inikan pula hendak tukar minyak enjin atau palam pencucuh.

“Akak ni… biar betul?” tanya mekanik itu seakan terkejut.

“Yalah, kau ni sikit-sikit punya kerja pun nak charge,” balas Aira.

Kelihatan lelaki yang duduk di bahagian tepi bengkel hanya tersenyum melihat gelagat Aira. Perempuan-perempuan, macam itu punya perangai pun ada?

“Akak punya karburetor dah teruk la. Sudah tiba masanya untuk ditukar baru,” cadang si mekanik.

“Apa ke bendanya tu?” tanya Aira.

“Akak mari sini, boleh saya tunjukkan.” Si mekanik tunjuk yang mana satu karburetor yang dimaksudkan.

“Berapa harganya?” tanya Aira. Apa-apa pun kena tahu harga dahulu.

“Akak nak original or oricina?” tanya si mekanik sambil tersenyum. Aira yang mendengarnya terasa pelik dan lucu pula.

“Apa bezanya?” tanya Aira.

Original tu biasalah pasti mahal sikit. Tapi kalau oricina tu kira cap ayam la…” jawabnya sambil tertawa.

“Kalau macam tu baik tak payah,” jawab Aira. Ingatkan apalah oricina itu, rupanya barangan tiruan. Nasib baik juga hendak ambil tahu. Kalau tidak, buta-buta sahaja kena kelentong.

“Kalau tak nak tukar pun masih okey tapi karburetor akak ni dah kotor, kena cuci…” saran mekanik pula.

“Kau ni sengaja nak kenakan akak, kan? Sekejap suruh tukar lepas tu boleh cuci pulak,” marah Aira.

“Dah akak tak nak tukar, nak cadang apa lagi selain cuci aje karburetor tu.”

“Tak payah, lain kali aje. Dengan akak pun kau nak kelentong. Itulah inilah…” marah Aira.

“Akak ni kerja jurutera ke jurudera?” Saja si mekanik hendak melawak.

“Dah, bak kunci, banyak cakap pulak” minta Aira.

“Akak ni kenapa garang sangat, boyfriend lari ke?” tanya si mekanik sengaja hendak bagi Aira berasap.

“Eh, kau jangan cakap banyak ya, nanti kena sebiji,” marah Aira. Banyak songeh pula budak ini, gumam Aira.

“Akak ni bila marah lagi cun la pulak,” balasnya pula.

“Maaf ya, tak ada pulak duit pecah nak bagi kat kau. Pelempang nak?” 

Si mekanik hanya tersenyum dengan gelagat Aira.

Setelah membuat pembayaran, Aira segera menuju ke pejabatnya. Dia perlu segera sampai ke pejabat kerana petang nanti ada mesyuarat bersama Puan Aishah. Kenalah sediakan laporan status kerja-kerja pembaikan di boulevard. Walaupun laporan memang sudah siap, namun masih perlu disemak dan dikemas kini.

Tiba di lobi pejabat, Aira terserempak pula dengan si Fazril. Terpaksalah berbahasa apabila sudah ada yang sudi menolong. Kalau tidak, susah juga Aira kena menghubungi bengkel berhampiran. Itu pun belum tentu mereka akan datang dengan segera. Kalau datang pun pasti dia akan dikenakan bayaran yang tidak munasabah.

Thanks ya Encik Fazril sebab tolong Aira pasal semalam,” ucap Aira sambil mengukir senyuman.

“Tak ada hallah. Kereta Aira macam mana sekarang?” tanya Fazril pula.

“Baru hantar ke bengkel buat penyelenggaraan sebab enjinnya semput pulak,” jawab Aira kemudian berlalu. Terpaksalah dia segera beredar nanti ada pula yang nampak. Tidak pasal-pasal jadi bahan gosip pula, baiklah dielakkan.

Sebaik sampai di meja Aira, terkejut dia dibuatnya apabila mendapati ada sejambak bunga di atas mejanya. Kalau bunga biasa okey lagi, tetapi siap dimasukkan dalam pasu yang cantik juga. Bunga ini memang untuk dia atau ada yang tersalah letak? Hendak tanya rakan-rakan, tiada siapa pula yang ada di pejabat ketika ini.

Siapa pulak yang memberi bunga ini? Aira tertanya-tanya. Dia tidaklah teruja sangat apabila ada yang memberi bunga. Bunga di site pun melambak dan Aira tak pernah ambil peduli pun. Namun persoalannya, siapa gerangan yang memberi bunga? Mungkin Kak Leha sahaja yang tahu sebab dia selalu ada di pejabat. Dibuatnya Kak Leha tidak tahu, satu kerja pula untuk Aira menjawab soalan-soalan cepumasnya.

Sudahnya Aira mengalihkan pasu bunga tadi dan meletakkannya di atas kabinet belakang agar tiada yang perasan dan bertanya. Tetapi mesti ada yang perasan. Meja kerja Aira adalah tempat yang paling simple dan hanya ada benda-benda asas untuk membuat kerja sahaja.

Sesiapa pun yang sekilas pandang pasti ternampak pasu bunga itu walaupun di atas kabinet belakang. Ini yang buat Aira tidak senang duduk. Tiba-tiba baru perasan ada kad di celah bunga. Aira segera membaca catatan ringkas yang dicoretkan.

Untuk bunga pujaan, daripada kumbang ladybirds yang setia menanti

Tersenyum Aira membacanya, namun hati Aira tetap terasa pelik dan berdebar-debar. Kad yang dibaca segera dilipat dan disorok ke dalam pasu bunga. Takut ada yang tahu dan membacanya pula.

Siapa pula yang hendak bermain teka-teki dengan Aira? Baru Aira teringat Kak Leha pernah bercerita tentang cinta, pokok dan bunga, masakan Fazril pula yang beri? Tidak mungkin mamat penyegan itu termakan dengan kata-kata Kak Leha andai Kak Leha turut memberitahu Fazril perkara yang sama? Ini yang buat Aira musykil.

Sudahlah ketika tiba tadi tiada sesiapa di pejabat dan semasa hendak masuk tadi terserempak dengan Fazril. Kalau Fazril yang beri, mesti dia gelabah sewaktu bertemu Aira tetapi tadi dia biasa sahaja. Nampaknya hari ini Aira kena balik lewat. Aira kena jadi orang terakhir keluar pejabat kerana dia tidak mahu sesiapa pun ternampak apabila diri membawa balik bunga tersebut.

Kalau bunga masih dibiarkan di atas kabinet, lagi banyak cerita yang akan keluar. Bermula cerita Aira terima sejambak bunga daripada orang yang tidak dikenali, terus cerita bertukar kepada Aira terima sepasu bunga dari kekasih hati! Lagi parah.

“Amboi, bukan main lagi duduk termenung? Teringat pakwe ke?” tegur Kak Leha sampai pen yang Aira pegang terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai. 

Aira mengurut dada sambil menggeleng kepala. “Kak Leha ni… kalau sehari tak buat Aira terkejut, memang tak sah,” sungut Aira.

“Dari jauh Kak Leha tengok Aira asyik termenung panjang, kenapa?” tanya Kak Leha ingin tahu.

“Tak ada apa-apalah Kak Leha.” Sengaja Aira hendak berselindung.

“Eh, mana hilangnya bunga yang ada di atas meja Aira?” tanya Kak Leha buat Aira gelabah pula. 

'Kak Leha ni memang tak habis-habis terlebih prihatin,' detik Aira dalam hati.

“Kak Leha tahu ke siapa yang beri bunga tu?” Memandangkan Kak Leha sudah maklum pasal bunga itu, pasti Kak Leha tahu siapa yang memberinya.

“Siapa lagi? Kumbang ladybirds la,” jawab Kak Leha sambil tersenyum simpul. Kak Leha ni, sempat curi baca juga, Aira berkata dalam hati.

“Kak Leha tahu ke siapa gerangannya?” tanya Aira sambil pandang wajah Kak Leha.

“Pulak?Patutnya Kak Leha yang tanya Aira siapa kumbang ladybirds tu,” ujar Kak Leha kemudian berlalu meninggalkan Aira termangu sendiri.

Sudahnya Aira terdiam dan tidak terkata. Lupakan sajalah, buat pening kepala saja andai terus memikirkannya. Orang sudah sudi memberi, terima dan hargai sahaja.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.