Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 27

KINI Aira sibuk menyiapkan kerjanya sebelum bercuti panjang. Sebolehnya dia tidak mahu traynya dipenuhi dengan dokumen yang perlu diambil tindakan. Segalanya ingin dia selesaikan dengan segera. Balik dari bercuti nanti, tidaklah otaknya berserabut.

Saat ini fikirannya memang sudah sebu. Dia juga perasan yang Zafri sudah jarang menelefonnya. Suaminya itu hendak merajuk atau apa, dia pun malas hendak fikir. Mujur juga majlis kenduri perkahwinan mereka Kak Sha tolong uruskan.

Sedang dia sibuk membuat kerjanya, tiba-tiba Marlinda datang ke mejanya. Terkejut dia dibuatnya.

“Aira, kau ni biar betul?” tanya Marlinda. Kemudian dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Aira.

“Kau ni… salam tak bagi, terus aje serang aku. Teruk betul!” marah Aira. Saat begini pula ada yang datang mengganggu dia buat kerja.

“Kita kerja satu bumbung, tak payah nak bersopan santun. Baik kau cerita sekarang ni.”

“Cerita apa?” Saja Aira bertanya. Bukan dia tidak tahu apa yang Marlinda hendak korek.

“Buat bodoh pulak!” marah Marlinda.

Aira buat muka selamba puyu dia.

“Betul ke kau dah nak kahwin?”

“Dalam kad jemputan tu nama Aira, kan? Takkan aku nak main-main pulak.”

“Tapi aku tak percayalah,” ujar Marlinda sambil memandang tepat ke wajah Aira.

'Alahai Marlinda… diriku sendiri lagilah,' desis Aira.

“Eh, cakaplah. Kenapa diam pulak?”

“Kau ada tanya soalan ke?” soal Aira pula sambil tersenyum.

“Bertuah punya kawan. Ingat aku duduk sini nak tengok wayang?”

“Kau nak tahu apa sebenarnya?” tanya Aira. Aira memang sudah tiada mood hendak bercerita. Tetapi terpaksa jugalah melayan tetamu yang tidak diundang ini.

“Sampai hati kau tak cakap apa-apa pada aku. Padahal banyak benda aku kongsi dengan kau.” Marlinda memang rasa kecil hati juga dengan si Aira ini. Apa-apa hal, mesti dia cerita pada Aira, tapi sebaliknya dia pula suka berahsia dengannya. Sebelum ini tidak pula Aira begitu.

“Aku tak pernah pun paksa kau kongsi apa-apa dengan aku. Dah kau suka bercerita, jadi aku dengar ajelah.”

“Tapi takkanlah benda-benda macam ni kau rahsiakan dari aku? Tak aci tau…”

“Sebenarnya semua ni berlaku secara mendadak. Tak sempat aku nak bercerita dengan sesiapa,” ujar Aira berterus terang.

“Jangan nak membohong. Kad jemputan kau punyalah cantik, takkan main belasah saja?”

“Itu setiausaha bakal suamu aku yang uruskan. Aku tak payah susah-susah fikir.”

“Bercakap pasal bakalnya, dekat mana kau jumpa sebenarnya?” tanya Marlinda.

“Aira pun tak tahu macam mana nak cerita dengan kau,” jawab Aira.

“Apa susahnya, cerita sajalah.” Bersungguh-sungguh pula Marlinda hendak tahu.

“Cerita aku ni tak ada permulaan. Tiba-tiba dah ada di pertengahan cerita,” kata Aira sambil tersenyum.

“Aira, janganlah nak belit-belit. Berterus terang ajelah.” paksa Marlinda.

“Sebetulnya aku berkahwin sebab jodoh aku dah sampai. Itulah kisah yang sebenarnya.”

“Yalah, tapi macam mana boleh jumpa?”

“Entahlah, tiba-tiba aje dah ada di depan mata. Masa bila dia muncul pun, aku tak perasan.” Tersenyum Aira memandang Marlinda yang sudah mengerut dahi.

“Kau ni kan, saja tau nak bagi aku tertanya-tanya…” Tiba-tiba Marlinda rasa geram pula dengan Aira.

“Aku nak cakap apa andaiku sendiri tak berapa kenal orangnya.”

“Habis tu, masakan terus berkahwin pulak?” soal Marlinda hairan.

“Itulah satu-satunya lamaran yang pernah datang. Rasanya tidak salah aku menerimannya.” Saja Aira reka cerita. Kalau cakap betul-betul nanti lagi panjang pulak kisahnya.

“Masakan semudah itu kau buat keputusan?” tanya Marlinda bagai tidak percaya.

“Yalah, aku dah cari tapi tak jumpa-jumpa. Bila dah ada yang sudi, terima sajalah.”

“Cara kau cakap, macam Aira sembunyikan sesuatu aje.” Marlinda cuba menduga Aira.

“Mana ada? Itulah cerita sebenarnya.”

“Macam mana orangnya?”

“Bolehlah buat laki daripada tak ada…” jawab Aira kemudian tertawa.

“Teruk betullah kau ni. Ada ke cakap macam tu? Pasal nikah kahwin ni bukan gurauan tau!” Bulat mata Marlinda macam nak telan sahaja si Aira.

“Habis tu nak cakap apa? Sebab boleh buat lakilah aku terima dia.”

“Cuba cakap sopan santun sikit.”

“Mata orang lain aku tak tahulah, tapi bila aku pandang wajahnya memang sedap dipandanglah.” Alahai pak cik salih, nasib baik handsome. Tersenyum Aira saat teringatkan Zafri.

“Kalau handsome cakap aje.Tak payahlah nak pusing-pusing.” marah Marlinda pula.

Handsome itu subjektif. Handsome pada aku, belum tentu handsome pada kau.”

“Dengar namanya dah buat aku teruja. Ryan Az Zafri ni orang Melayu ke orang campur-campur?”

“Kau ni… tengok namanya pun dah tahu, lagi nak tanya aku.”

“Melayu campur mat salih, ya?”

“Hmm… nanti jangan tak datang tau. Aku tak ramai kawan sebenarnya. Kalau kawan-kawan pejabat tak datang, sunyi sepi nanti kenduri aku.”

“Kau punya kenduri, kita orang mesti datang punya. Jangan lauk tak cukup sudah.”

“Itu bisa diatur. Tak cukup boleh boleh order. Kalau tak pun aku hidang durian aje. Rambutan pun banyak sampai tak termakan,” gurau Aira.

“Lupa pulak kampung kau banyak durian. Memang aku akan datang.”

“Ni datang sebab kenduri aku atau sebab nak makan durian?” usik Aira.

“Tentulah sebab kenduri kau. Tapi yang durian tu kira daya magnetlah.”

Aira tersenyum mendengar kata-kata Marlinda. “Kau kena datang awal tau. Walaupun tak ada sanding-sanding, kiranya kau jadi pengapit akulah.”

“Kalau kau nak aku jadi pengapit boleh saja, tapi nanti kena perkenalkanlah pengapit pengantin lelaki kepada aku.”

“Tak ada masalah. Kawan-kawan suami aku memang handsome belaka.”

“Apa kau cakap? Suami kau…?” ulang Marlinda seakan pelik.

“Maksud aku, pada masa tu dah jadi suami akulah,. Kau ni pun…” 'Aduhai, macam mana boleh tersasul pulak,' desis Aira.

“Kau nikah hari apa?” tanya Marlinda inginkan kepastian.

“Jumaat petang.” Lancar saja Aira menyebutnya, tetapi mata sudah pandang ke lain.

“Kalau macam tu, aku kena ambil cutilah.”

“Hah… cuti? Buat apa?” tanya Aira. Tiba-tiba dadanya berdebar pula.

“Kata nak aku jadi pengapit, kenalah ada pada hari kau nikah.”

“Tak apa, tak apa. Kau datang hari Sabtu aje, tapi datang awal pagilah.” Cepat sahaja Aira hendak menyelamatkan dirinya.

“Habis tu masa nikah siapa pulak yang jadi pengapit kau?”

“Masa nikah tak payah pengapit, lagipun aku tak naklah susahkan kau sampai kena ambil cuti pulak.” Nasib baik Aira ada alasan.

“Suka hati kaulah. Insya-ALLAH lepas subuh aje aku akan terus bertolak.”

“Terima kasih banyak-banyak. Kaulah sahabat aku dunia akhirat…”

“Yalah tu. Kalau nak membodek punya pasal, pandai aje kau ni. Lupa pulak, baju pengantin kau warna apa?”

“Warna krim.”

“Okeylah nanti aku pakai baju warna krim jugalah supaya tak kontra sangat.”

“Aira tak kisah sangat, janji datang.”

“Insya-ALLAH. Okeylah aku pergi dulu.” Marlinda meletakkan kembali kerusi di sebelah dan berlalu meninggalkan Aira.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.