Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 14

KEESOKAN harinya, awal-awal lagi Aira telah bertolak ke pejabatnya. Kira-kira jam 7.20 pagi, Aira sudah sampai di pejabatnya. Dia sengaja datang lebih awal daripada orang lain kerana tidak mahu sesiapa pun menyedari yang dia kini memandu kereta Mini Cooper.

Andai ada yang bertanya, susah juga dia hendak menjawabnya. Mujur apabila sampai di pejabat, Kak Leha pun belum tiba lagi. Dengan senang hati dia berlenggang-lenggang kangkung masuk ke pejabat. Siap bernyanyi-nyanyi lagi walaupun suaranya tak berapa nak sedap.

Hari ini buat pertama kalinya, Aira dapat kalahkan Kak Leha yang sentiasa datang awal berbanding orang lain. Dia tidak pernah dapat kalahkan Kak Leha kecuali apabila kereta Kak Leha rosak atau dia tidak datang langsung sebab cuti atau MC!

“Assalamualaikum,” tegur Kak Leha sambil menepuk bahu Aira. Terperanjat Aira dibuatnya.

“Waalaikumussalam. Kak Leha ni, buat Aira terkejut saja,” ujar Aira sambil melemparkan senyuman kepada Kak Leha yang baru tiba.

“Ingatkan tak sampai lagi, tak nampak pun kereta Aira dekat tempat biasa?” tanya Kak Leha.

“Kak Leha ni, prihatin sungguh sampai kereta orang lain pun nak ambil tahu.” 

“Bukan apa, dah benda tu tiap-tiap hari nampak dekat situ. Bila tak ada saja tentulah mata ini memberi isyarat kepada minda secara automatik,” jelas Kak Leha.

“Kereta Aira ada cuma hari ini minda Kak Leha telah dikaburkan oleh mata yang memandang.” Saja Aira memberi alasan.

“Pandailah Aira ni nak melawak. Sekarang ni baru pukul 7.30 pagi, jom kita pergi sarapan di Presint 16. Tapi tak nak naik Perodua Kembara, sakit pinggang Kak Leha,” saran Kak Leha sambil tersenyum penuh makna.

“Habis tu nak naik kereta apa?” tanya Aira. Ingatkan hendak mengelak, tertangkap juga akhirnya.

“Nak naik kereta apa lagi? Macamlah Kak Leha tak nampak. Tolong sematkan di dalam minda Aira, dengan Kak Leha jangan sesekali nak sembunyi-sembunyi atau berbohong,” ujar Kak Leha pula sambil merenung tepat ke wajah Aira.

“Aduh, ingatkan nak rahsiakan dari semua orang sudahnya kantoi juga. Jomlah kita sarapan, hari ini Aira belanja Kak Leha.”

Akhirnya terpaksalah Aira mengaku kalah pada Kak Leha yang sentiasa prihatin dan peka kepada setiap perubahan di sekelilingnya.

“Aira nak reka cerita apa pula bila pakai Mini Cooper kuning ni?” tanya Kak Leha apabila Aira membukakan pintu untuk Kak Leha.

“Ceritanya memang cukup panjang namun setelah diedit, kereta ni sebenarnya adalah kereta pinjam,” jawab Aira sambil tertawa.

“Mana perginya pakwe kesayangan?” tanya Kak Leha ingin tahu.

“Tuan punya kereta ini telah melanggar pakwe kesayangan Aira hingga terpaksa masuk bengkel. Sebagai ganti, dengan murah hatinya orang itu pinjamkan kereta ini kepada Aira,” jelas Aira.

“Ni mesti orang kaya sampai boleh pinjamkan kereta mahal pada Aira,” duga Kak Leha.

“Sebenarnya ini adalah kereta mahal dia yang paling murah. Hendak tak hendak terpaksalah Aira pakai sebab kereta lain semuanya besar-besar belaka. Nanti orang ingat Aira nak lawan tauke pulak padahal kereta pinjam,” terang Aira sambil tersenyum simpul mengingatkan mat salih, tuan punya Mini Cooper ini.

Hondsome tak orangnya?” Tiba-tiba Kak Leha bertanya soalan yang sungguh tidak diduga. Biar betul kakak aku ni? Aira baru sahaja terbayangkannya.

“Itu biarlah rahsia. Janji orang itu sudi pinjamkan keretanya dan baiki kereta Aira yang rosak. Itu sudah cukup baik,” jawab Aira cuba berselindung.

“Cara Aira menjawab macam nak sembunyikan sesuatu dari Kak Leha saja.” Kak Leha cuba mengorek cerita sebenarnya. Perubahan wajah Aira memang ketara sangat.

“Kak Leha ni…ada-ada saja,” ujar Aira cuba mengelak dari terus-terusan disoal Kak Leha.

“Bukan apa, sejak jumpa tadi wajah Aira memang ceria dan manis bagai orang sedang dilamun cinta,” ujar Kak Leha berterus terang.

“Kak Leha ni, ke situ pulak,” tingkah Aira.

“Aira ni dah tengok cermin ke belum?” soal Kak Leha buat Aira terasa pelik tetapi tetap berlagak selamba.

“Selama ini Kak Leha tak perasan ke yang Aira ni ayu orangnya?” Saja Aira hendak bergurau.

“Jangan nak mengelak,” tegur Kak Leha.

“Hmm…Kak Leha nak beritahu apa sebenarnya ni?” tanya Aira.

“Tanya Kak Leha pulak. Tak nak cerita tak apa, nanti Kak Leha korek juga sampai dapat,” ujar Kak Leha pula. 

Aira hanya tersenyum mendengarnya. 'Aduhai kakakku yang seorang ini,' keluh Aira.

“Okeylah, orang tu memang handsome sebab itu tempiasnya terkena pada Aira. Secara automatik Aira pun dapat aura yang menggembirakan. Puas hati dengan penerangan Aira?”

Terpaksa jugalah Aira mengaku. Kalau tidak, hari-hari Kak Leha akan korek sampai Aira kantoi dan akhirnya terpaksa berterus terang juga.

“Macam tulah… Kak Leha pun tumpang gembira bila Aira sentiasa ceria,” ujar Kak Leha pula.

Nampak sangatkah perubahan air muka Aira hingga Kak Leha dapat meneka apa yang bermain di fikiran Aira? Entahlah, Aku dah jatuh hati ke? Aira tertanya sendiri. Rasanya sudah agak lama Aira tidak merasa perasaan seperti ini. Tiba-tiba hati Aira rasa berbunga-bunga pula.

Namun perasaan itu segera dibuang jauh-jauh apabila mengingatkan yang diri tidak sepadan dengan mat salih yang memang sah-sah segak bergaya. Sekali pandang memang macam Dany Bahar, Ketua Pegawai Eksekutif, Lotus yang kacak itu.

“Amboi, baru tegur sikit dah berangan pulak?” Kak Leha menyiku Aira yang tersenyum sendiri.

“Apa salahnya sesekali Aira berangan, bukannya selalu. Lagipun penat tau asyik kerja saja.”

“Berangan tu boleh tapi mata tu sila pandang depan. Nanti tak pasal-pasal masuk longkang.”

“Kak Leha ni… semua longkang di jalan ini ada penutupnya. Jalan ini punyalah lebar, kalau terbabas juga memang orang tu tak ada lesen.”

“Saja aje Kak Leha menduga Aira. Ingatkan otak tu dah tak betul.”

Tiba di Presint 16, mereka berdua sama-sama makan nasi lemak lauk ayam. Tidaklah beratur panjang kerana masih tidak ramai yang datang bersarapan di situ. Sebenarnya hanya satu kedai sahaja yang dibuka di kawasan apartmen ini. Sebelum ini Aira pun tidak tahu ada kedai makan di sini.

“Kerja Aira sekarang ni macam mana?” tanya Kak Leha kemudian sambung makan nasi lemak.

“Kerja mana pernah nak habis Kak Leha. Kenapa Kak Leha tanya?”

“Yalah, takkan Aira asyik kerja saja. Aira tak nak berkeluarga ke?”

“Dari dulu lagi Aira nak tapi dah tak ada jodoh, nak buat macam mana?”

“Aira yang memilih sangat kut?”

“Pilih tu memanglah kena pilih. Masalahnya tiada siapa yang pilih Aira. Itu yang masih solo sampai sekarang ni,” jawab Aira kemudian ketawa kecil.

“Penat tau Kak Leha padankan korang berdua, tapi Aira buat tak reti saja.”

“Kak Leha cakap pasal siapa ni?” tanya Aira. Macam tahu siapa yang Kak Leha maksudkan, tetapi tidak pasti pula.

“Lagi nak tanya...”

“Kak Leha, Aira ni perempuan. Masakan Aira yang nak mulakan dahulu.”

“Apa salahnya Aira mulakan kalau orang tu dah memang jenis penyegan.” 

Sahlah si Fazril yang Kak Leha maksudkan, detik Aira dalam hati. “Ini soal hati dan perasaan, susah nak cakap.” Aira mengeluh kemudian menyisip perlahan kopi yang masih panas.

“Kak Leha tengok korang berdua ni sama padan. Sajalah nak buat kerja tambahan,” ujar Kak Leha sambil tersenyum.

“Padan pun tak semestinya ada jodoh Kak Leha. Orang bertunang pun lagikan berpisah.”

“Kena usahalah dulu. Kalau awal-awal dah cakap tak ada jodoh memang tak adalah jawabnya.”

“Aira ni jenis kasar Kak Leha. Kalau dapat suami macam dia, alamatnya Aira jadi queen controllah. Dahlah di site kerja Aira asyik mengarah-ngarah aje.”

“Kak Leha dah lama kenal Aira, luaran aje macam tu tapi hati tetap lembut.”

“Boleh nampak ke?” Saja Aira melawak. Siapalah yang akan tahu apa dalam hati melainkan diri sendiri.

“Hati bukan dinilai ikut pandangan mata. Kenalah dinilai dengan hati juga,” jawab Kak Leha.

“Macam tu ke? Sebenarnya Kak Leha sorang aje yang cakap Aira macam tu.”

“Eh, dah nak pukul lapan. Jomlah kita balik pejabat. Nanti Puan Aishah tercari-cari kita pulak.”

“Yalah, Aira pergi bayar dulu.”

Setelah membuat pembayaran, mereka berdua beriringan menuju ke kereta.

“Aira fikirlah apa yang Kak Leha cakapkan.”

“Ini arahan ke permintaan?” tanya Aira kemudian tetawa.

“Aira ni, Kak Leha serius tau.”

“Yalah, cara Kak Leha cakap macam anda benda saja.”

“Memanglah ada benda, bukan Kak Leha cakap kosong saja.” Kak Leha menekan suaranya.

“Tengoklah macam mana.”

“Jangan tengoklah. Perkara ni untuk dipertimbangkan sewajarnya Cik Aira sayang...”

“Yalah Kak Leha yang kusayang. Tetapi kalau tak boleh fikir juga macam mana?”

“Aira ni saja nak buat Kak Leha geram.” marah Kak Leha sambil cuba hendak mencubit Aira. Tetapi awal-awal lagi Aira mengelak.

“Yalah…yalah nanti Aira fikirkan,” balas Aira apabila Kak Leha menjelingnya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.