Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 24

PINTU bilik diketuk berkali-kali. Aira yang sudah terlena tersentak. Dalam keadaan mamai dia bangun membuka pintu. Sebaik pintu dibuka, rupanya abang long yang mengetuk pintu.

“Kenapa kunci pintu? Zafri nak masuk, kesian dia dah lama duduk kat ruang tamu,” marah Azwan.

“Astaghfirullahalazim…sorry, Aira tak sengaja.” Macam mana aku boleh lupa ni? Aira mengutuk diri sendiri sambil menggaru kepala. Seingatnya selepas mengemas di dapur, dia masuk ke bilik hendak memunaikan solat isyak. Agaknya kepenatan menyebabkan dia terlena. Lagipun telah menjadi kebiasaan, masuk sahaja dalam bilik, tangannya secara automatik akan mengunci tombol pintu.

Zafri! Tiba-tiba terpacul nama itu dari mulut Aira dan mengantuknya terus hilang entah ke mana. Terlupa kini yang diri telah bernikah walau majlis kenduri belum dilangsungkan lagi.

“Assalamualaikum…” Zafri masuk dengan memberi salam.

“Waalaikumussalam… sorry sangat-sangat tadi Aira tak sengaja kunci pintu,” ucap Aira menjawab salam Zafri. Namun dia masih menundukkan kepalanya, tidak berani hendak memandang Zafri.

“Saya belum solat isyak lagi. Aira dah solat?” tanya Zafri sambil mengeluarkan kain pelekat dari beg kecil yang dibawanya.

“Dah. Nanti Aira bentangkan sejadah,” jawab Aira.

Apa aku nak buat ni? Aira tertanya sendiri. Zafri telah masuk ke bilik air. Setelah membentangkan sejadah, dia mengambil keputusan ke dapur untuk mengambil air mineral. Malam nanti kalau terasa haus tidak perlu ke dapur lagi.

“La…kenapa tinggalkan Zafri sorang-sorang dalam bilik?” tanya Azwan ketika terserempak dengan Aira di dapur.

“Zafri sedang solat. Aira saja nak ambil air.” Setelah mengambil air mineral dan gelas di almari dapur Aira terus ke bilik. Hajat di hati hendak berlengah-lengah di dapur tidak kesampaian pula. Nasib baik semasa masuk ke bilik Zafri masih bersolat.

Aduhai, nak buat apa ni? Hendak menyibukkan diri, tiada benda yang hendak dikemas. Akhirnya Aira mencapai majalah di tepi meja dan pura-pura fokus dengan apa yang dibaca. Padahal bermacam-macam dalam fikirannya.

Majlis kenduri 3 minggu lagi. Aira berharap sangat agar Zafri tidak menyuruhnya berpindah ke rumahnya. Biarlah tunggu selepas majlis kenduri kahwin nanti. Walaupun majlis mereka memang Kak Sha yang akan tolong uruskan, itu tidak bermakna Aira boleh lepas tangan. Ada juga perkara-perkara tertentu yang Aira kena buat sendiri.

“Senyap saja isteri abang ni…” Zafri bersuara setelah menyidai sejadah di ampaian tepi katil.

‘Aduh! Dia sudah membahasakan dirinya abang, tadi tidak pula. Nak cakap apa ni? Boleh mati kutu kalau macam ini,’ Aira berbicara sendiri.

“Boleh berkenalan?” Sengaja Zafri hendak bermesra sambil mengambil tempat di sebelah Aira.

“Tak apalah, along the way nanti kita kenallah.” Hanya itu jawapan yang dapat Aira fikirkan. Di dalam hati, hendak tergelak juga.

“Abang tengok,Aira macam tak gembira ajeberkahwin dengan abang,” ujar Zafri sambil memandang Aira.

“Patutnya kita nikah 3 minggu lagi, tapi macam ni pula jadinya,” rungut Aira.

“Nikah hari ini atau 3 minggu lagi tak ada banyak bezanya. Lagi cepat masjid dibina kan lagi afdal,” ujar Zafri.

‘Pandai pula mat salih ini menyusun kata-kata,’ detik Aira dalam hati.“Tapi Aira tak bersedia lagi,” jawabnya memberi alasan.

“Bukankah semua persediaan majlis kita, Kak Sha yang tolong uruskan? Aira tak sedia apa lagi?” tanya Zafri.

Aira terdiam.

“Abang tak kira, balik nanti terus pindah rumah abang,” sambung Zafri.

“Maaflah, Aira tak bersedia nak pindah ke rumah abang. Banyak benda yang hendak diuruskan. Aira pindah lepas kendurilah,” jawabnya.

“Lama lagi kalau macam tu,” keluh Zafri pula. Ingatkan apabila sudah bernikah bolehlah tinggal bersama.

“Padanlah dengan muka abang.Siapa suruh setuju nikah gantung?” perli Aira.

“Nikah gantung? Kita kan sudah sah bernikah?” tanya Zafri.

“Itulah istilahnya kalau berkahwin macam kita ni.Kalau tak faham juga, sila rujuk dengan setiausaha abang yang bijak pandai tu,” sambung Aira.

“Jadi Aira proteslah ni,sampai tak nak pindah ke rumah abang?” tanya Zafri.

“Yalah…rancangnya lain, buatnya lain. Siapa suruh abang setuju dengan cadangan abang long tu,” marah Aira dengan muka mencuka.

“Dah Aira diam aje ingatkan Aira setuju,” jawab Zafri selamba.

“Nak buat macam mana, dah orang tak sudi…masih marah lagi ke?” sambung Zafri.

Aira senyap sahaja. Walaupun mengantuk Aira sudah lama hilang, Aira mula berbaring sambil menarik selimut di hujung katil.

Zafri tersenyum mengingat apa yang berlaku pada dirinya kini. Memang tidak sangka sungguh. Dia teringat perbualannya dengan Kak Sha sebelum dia dinikahkan.

“Tak payah bertunang ke Kak Sha?”

“Orang dah bagi peluang terus bernikah buat apa fikir pasal bertunang?” soal Kak Sha pula.

“Oh, ya…?”

“Boleh saja kalau nak bertunang tapi dibuatnya putus di tengah jalan, bos juga yang melepas. Aira ni bukan boleh percaya sangat.”

“Betul juga.” Zafri mengiakan kata-kata Kak Sha.

“Kata nak merisik, meminang, bertunang, bernikah dalam satu masa. Sekarang dah skip merisik dan bertunang kira untung jugalah tu,” ujar Kak Sha.

Aira memandang Zafri yang masih duduk menyandar di kepala katil. Kenapa pula pak cik salih ni tersenyum tengah-tengah malam buta ni? Aira tertanya sendiri.

Tiba-tiba Zafri juga turut menoleh. Seketika mereka saling berpandangan.

“Yang abang senyum kambing ni kenapa?” tanya Aira tetapi mata sudah pandang tempat lain.

“Senyuman abang macam kambing ke?” tanya Zafri balik tetapi masih tersenyum.

‘Biul ke apa pak cik salih ni? Senyum kambing pun tak tahu? Melampaulah tu. Hmm... kalau tak tahu faham pun bagus juga. Taklah rasa bersalah kutuk dia sebab dia macam suka sahaja.’ Aira berkata di dalam hati.

Sekilas Aira memandang Zafri yang kini memang sedang merenungnya. Alamak, termalu Aira dibuatnya. “Dahlah, Aira nak tidur,” kata Aira menutup rasa malu yang tiba-tiba datang.

“Okeylah, abang pun dah mengantuk dan tak larat rasanya,” ujar Zafri sambil menutup suiz lampu di tepi katil.

Namun, sebaik sahaja lampu dipadam, mata Aira tetap sukar dilelapkan. ‘Hai mata, bilalah nak terpejam?’ keluh Aira dalam hati.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.