Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 16

SEBAGAIMANA yang dijanjikan, Pukul 5.30 petang Encik Azman datang menghantar kereta ke apartmen Aira. Apabila dia tiba, Aira masih dalam perjalanan pulang. Selalunya tidak sampai setengah jam Aira sudah sampai, namun hari ini ada kemalangan pula.

Apabila tiba jalan menuju ke apartmennya, Aira memperlahankan keretanya. Matanya melilau mencari Encik Azman dan keretanya dalam deretan kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelah apartmen, namun tidak kelihatan pula.

Apabila sudah menghampiri gate utama, Aira mencari ruang untuk meletakkan Mini Cooper pula. Nasib baik kecil, ruang yang sempit pun tiada masalah andai diri telah mahir.

Semasa Aira meletakkan kereta, Encik Azman telah menyedari Aira telahpun sampai lalu menuju ke arahnya.

“Hai! Encik Azman, senang cari tempat ni?” tegur Aira.

“Mudah saja. Saya pun dah biasa dengan kawasan Kajang ni,” jawab Encik Azman.

Sorry ya, kenapa suara Encik Azman lain? Dalam telefon macam lain aje?” tanya Aira kehairanan.

“Sama ajelah…kalau ada perbezaan pun mungkin sebab tekak kering kut,” terang Encik Azman.

“Ya ke? Mana kereta saya, tak nampak pun?” tanya Aira. Matanya masih melilau mencari.

“Tak payah cari. Kereta Cik Aira memang tak ada,” ujar Encik Azman buat Aira terkejut.

“Encik Azman ni, janganlah main-main,” ujar Aira yang sudah mula berasa gusar.

“Jom ikut saya,” arah Encik Azman pula.

Aira mengikut Encik Azman dari belakang sehinggalah sampai berhampiran sebuah kereta Honda Accord berwarna biru tua. Ini yang buat Aira tertanya-tanya.

Actually kereta Honda Accord ni bos saya hadiahkan kepada Cik Aira,” ujar Encik Azman sambil tersenyum. Aira bagai tidak terkata. Biar betul?

“Astaghfirullahalazim…bos awak ni betul ke tidak?” tanya Aira terkejut.

“Tak baik Cik Aira cakap macam tu…dia ikhlas beri kereta ini kepada Cik Aira,” ujar Encik Azman.

“Habis tu Iswara saya macam mana?” tanya Aira dengan dahi berkerut.

“Cik Aira ni…orang dah bagi Honda Accord lagi nak tanya kereta buruk tu. Kereta Cik Aira ada tersadai dekat bengkel, tak boleh nak baiki pun sebab banyak benda yang rosak,” ujar Encik Azman.

“Teruklah Encik Azman ni…mati-mati saya ingat kereta saya dah okey,” ujar Aira.

“Minta maaf banyak-banyak, kereta Cik Aira memang dah tak berbaloi untuk dibaiki. Memandangkan bos saya bermurah hati membelikan kereta Honda ini untuk Cik Aira, kenalah terima,” ujar Encik Azman sambil menghulurkan kunci kepada Aira.

“Patutlah Encik Azman tanya saya suka kereta apa,” ujar Aira sambil menyambut kunci yang diberi.

Sorry Cik Aira, saya kena ambil balik kereta Mini Cooper tu kerana yang itu memang kereta kesayangan bos saya. Hanya bos saya dan Cik Aira saja yang pernah pandu kereta tu. Saya yang bekerja sebagai pemandu syarikat ni pun dia tak kasi pandu,” beritahu Encik Azman.

“Habis tu, kenapa bos awak bagi saya pakai kereta tu?” tanya Aira kehairanan.

“Sebab terpikat dengan Cik Aira kut, sampai tak perasan kereta yang mana dia bagi pada Cik Aira. Sedar-sedar, Cik Aira dah pergi. Tak dapatlah nak buat apa-apa,” jawab Encik Azman sambil tersenyum.

Teringat Encik Azman apabila bosnya bagai hilang akal ketika mendapati kereta kesayangannya tiada. Apabila Encik Azman beritahu yang kereta Mini Cooper telah dipinjamkan kepada Cik Aira baru dia tersedar. Hairannya dia tidak kisah pula, padahal pantang sesiapa pun memandu kereta itu.

“Yalah tu…” ujar Aira namun turut tersipu malu dengan usikan Encik Azman.

“Betul Cik Aira, saya tak tipu,” tokok Encik Azman sambil tersenyum simpul.

“Apa-apa sajalah. Rasa macam tak percaya pula dapat kereta free. Honda Accord pulak tu!”

“Tuah ayam nampak di kaki, tuah Cik Aira bila kereta kena langgar!” Saja Encik Azman mengusik.

Anyway, terima kasih banyak-banyak dan sampaikan salam saya pada bos Encik Azman yang baik hati tu,” ujar Aira sambil menyerahkan kunci Mini Cooper kepada Encik Azman.

“Barang-barang Cik Aira dah ambil?” tanya Encik Azman.

“Sebenarnya saya tak letak barang saya dalam kereta tu. Kad petrol ada dalam kereta,” jawab Aira.

“Nak saya ajarkan apa-apa ke pasal kereta Honda tu?” tanya Encik Azman pula.

Its okay. Apa-apa nanti saya telefon Encik Azman,” ujar Aira. Dengan hati yang berbunga-bunga, Aira terus masuk ke dalam kereta barunya. Umpama dalam mimpi pula!

Setelah melihat Aira berlalu masuk ke gate utama apartmen tempat dia tinggal, Azman segera menuju ke kereta Mini Cooper kesayangan bosnya.

Sorry sit beside please.” Kedengaran suara bosnya. Azman baru sahaja duduk dalam kereta, enjin pun belum dihidupkan lagi, bosnya sudah mengetuk cermin.

“Bos ni teruklah. Saya baru aje nak pegang stereng, dah kena duduk sebelah,” keluh Azman sambil menggelengkan kepala. Kempunan lagi hendak memandu Mini Cooper bosnya. Tangkai jering betul bos aku ni, tak bagi peluang langsung aku memandu kereta kesayangannya. Azman mengutuk bosnya dalam hati.

Did she left behind something?” tanya bosnya sambil menghidupkan enjin.

“Jangan risaulah bos. Aira tak tinggalkan barang, cuma satu saja dia tinggalkan...” ujar Azman membuat bosnya tertanya-tanya pula.

What it is?” tanya bosnya bagai tidak sabar-sabar pula.

“Bau...” jawab Azman sambil tertawa.

“Bau?” soal bosnya pula.

“Aduh! Wanginya… minyak wangi apa Cik Aira pakai ya? Tapi macam bau daun pandan aje…” ujar Azman.

“Daun pandan?” ulang bosnya.

“Daun pandan pun daun padanlah. Tetap bau Cik Aira, tetap boleh jadi kenangan untuk bos juga!” usik Azman. Bosnya hanya tersenyum mendengarnya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.