Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 1

RYAN AZ ZAFRI, sehebat namanya begitu jugalah orangnya. Sekali pandang pasti ramai menyangka dia adalah mat salih tulen. Namun begitu, tiada siapa menduga jejaka yang miliki karisma tersendiri ini adalah anak kacukan Melayu dan Inggeris.

Di pejabat, Zafri sememangnya dikenali sebagai seorang bos yang tegas namun dia tetap mudah didekati. Dia tidak kedekut berkongsi ilmu dengan staf-stafnya. Kalau boleh segala ilmu dan pengalamannya akan dicurah agar boleh dijadikan panduan dan dorongan untuk orang lain maju ke hadapan.

Walaupun baru sahaja beberapa bulan mengambil alih firma arkitek milik arwah abangnya, Zafri tidak menghadapi masalah untuk menguruskannya. Sebelum ini dia juga telah banyak kali berulang-alik antara Canada dan Kuala Lumpur apabila ada projek yang memerlukan sentuhannya. Sesekali dia balik juga apabila datang rindunya pada si kecil, anak buahnya.

Setelah arwah abangnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, akhirnya Zafri mengambil keputusan untuk kembali menetap di Malaysia.

Berbeza dengan abangnya, Zafri sedikit pendiam dan tidak banyak cakap. Mungkin juga sebab baru sahaja berubah angin setelah agak lama meninggalkan tanah kelahirannya. Walaupun begitu, dia seorang pemerhati dan pendengar yang baik. Zafri juga tidak segan bertanya tentang sesuatu yang dia tidak faham.

“Ya Kak Sha, ada orang nak jumpa saya ke?” tanya Zafri yang baru perasan setiausahanya sudah berdiri di hadapannya.

“Bos ni kenapa? Sejak tadi macam orang sasau saja,” tegur Kak Sha sambil meletakkan dokumen di atas mejanya.

“Tak ada apa-apalah Kak Sha,” jawab Zafri sambil tersenyum. Senyum yang dibuat-buat sebenarnya.

Diai berasa segan sebenarnya apabila mendengar teguran setiausahanya malah diri turut tersipu malu. Mujur sempat menutup gambar yang baru ditatap dengan diarinya. Walaupun tidak benar-benar faham maksud Kak Sha, tetapi Zafri dapat meneka maknanya.

Setelah setiausahanya berlalu, Zafri menarik nafas lega. Kemudian tersenyum sendiri sambil menggeleng kepala. Apa sudah jadi dengan diri ini? Hendak buat kerja pun seakan tiada semangat. Melihat dokumen yang banyak di atas mejanya buat Zafri pening kepala.

Kak Sha kembali menuju ke mejanya sambil tersenyum simpul. 'Bos aku ini tengah bercinta ke? Tetapi tidak pernah pula dia keluar dengan mana-mana wanita. Tidak pernah tersasul pun nama-nama gadis di bibirnya. Tadi bukan main lagi suruh hantarkan dokumen dengan segera. Peliknya, selepas itu tanya benda lain pula. Entah apa-apalah bos aku ini,' desisnya.

Kadang-kadang perangai Zafri memang pelik. Biasanya orang perempuan sahaja yang rajin window shopping namun tidak sangka pula si Zafri ini pun suka juga. Setiap hujung minggu, dia pasti akan keluar ke pusat beli belah yang berlainan.

Bila datang rajinnya, Zafri sanggup memandu hingga ke Seremban malah pernah ke Melaka semata-mata untuk pergi ke pusat beli belah. Dia tidak kisah dan tidak jemu-jemu melakukannya saban minggu. Apa yang dicarinya, Kak Sha pun tidak tahu. Hendak kata Zafri mempunyai hobi mengumpul barangan antik yang kecil-kecil, tidak juga. Satu apa pun tidak ada di atas mejanya. Lapang, selapang-lapangnya.

Kak Sha sudah lama maklum perangai Zafri yang satu itu, tetapi tidak berani pula hendak bertanya. Walaupun Zafri tidak mahu batasan bos dan staf menjadi penghalang untuk berkomunikasi, namun Kak Sha tetap menjaga tatasusila budaya Melayu. Kalau melibatkan sesuatu yang peribadi dan di luar waktu kerja, sebolehnya dia tidak mahu ikut campur.

“Kak Sha, macam mana nak eja perkatan angau?” Sudahnya Zafri tanya pada Kak Sha juga.

Terbang melayang lamunan Kak Kha. Dia mengangkat kening sambil memandang tepat ke wajah Zafri. Biar betul bos aku ini? Kak Sha rasa bagai tidak pecaya pula.

Puan Kamariah yang baru sahaja tiba di pejabat Zafri turut terpempan. 

Zafri yang baru perasan kehadiran Puan Kamariah terus tergamam. Kamus dwi bahasa di tangannya hampir sahaja terjatuh ke lantai dek terkejut. Zafri betul-betul malu, bukan pura-pura malu lagi.

“Tak sangka pula mat salih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih sekali,” puji Puan Kamariah sambil tersenyum.

“Mat salih celup,” ucap Zafri menyelamatkan keadaan.

“Sila Puan Kamariah,” pelawanya. Dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tidak pernah Zafri rasa semalu ini lebih-lebih lagi di depan wanita pula. 

Puan Kamariah sendiri tidak menyangka pengarah urusan yang akan ditemuinya merupakan anak muda keturunan mat salih. Ada tahi lalat lagi, mujur diri sudah berkahwin. Kalau tidak, mahu cair dek senyuman menawan si Zafri.

“Ryan Az Zafri dah lama ke menetap di Malaysia?” tanya Puan Kamariah memulakan bicara.

“Panggil Zafri saja puan. Sebenarnya saya baru saja beberapa bulan balik ke Malaysia,” jawabnya.

“Oh… begitu,” balas Puan Kamariah.

“Semasa kecil dahulu saya memang dibesarkan di sini, tapi kemudiannya berhijrah ke Vancouver, Kanada selepas ayah meninggal dunia,” terang Zafri tanpa ditanya.

Tidak lama selepas itu Kak Sha mengetuk pintu dan masuk sambil menatang dua cawan kopi untuk dihidangkan.

“Maaf Puan Kamariah, air bujang saja,” ucap Kak Sha sambil menghidangkannya di atas meja.

“Dah bosnya pun bujang, nak buat macam mana?” gurau Puan Kamariah sambil ketawa kecil. 

Zafri turut tersenyum. Bagaimana Puan Kamariah tahu? Ada cop bujang di dahi ke? Dia tertanya sendiri.

Hari ini Zafri memang terlupa sungguh pasal Puan Kamariah yang hendak singgah di pejabatnya. Padahal baru semalam Puan Kamariah menelefonnya, memberitahu akan kedatangannya. Biasanya Encik Azhar yang pergi berjumpa Puan Kamariah di pejabatnya yang terletak di Cyberjaya.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.