Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 8

HARI ini, jadual kerja Zafri memang sibuk sungguh. Seawal jam 9 pagi, dia menghadiri mesyuarat penting di Perbadanan Putrajaya. Selepas itu dia terpaksa berkejar pula ke Cyberjaya kerana ada lawatan tapak bersama klien dan kontraktor. Tadi sahaja Zafri terpaksa menolak pelawaan kontraktor untuk makan tengah hari memandangkan dia kena segera pulang ke pejabatnya.

Masuk sahaja ke biliknya, lagi buat Zafri serabut apabila melihat dokumen yang banyak di atas mejanya. Semuanya kena dibaca dan diteliti. Ada beberapa kertas kerja yang perlu disemak dan dikomen dengan segera sebelum dihantar kepada klien.

Sudahnya dia mengambil keputusan untuk membaca surat-surat dari klien terlebih dahulu sebelum menyemak kertas kerja dan laporan yang lain. Zafri membaca dan meneliti surat-surat tersebut satu persatu. Kemudian dia menulis nota siapa yang kena ambil tindakan susulan mengenai isu yang dibangkitkan.

“Kak Sha, tolong masuk ke bilik saya,” pinta Zafri melalui interkom kemudian meneliti semula surat dari Putrajaya Holdings. Dari tadi jantungnya berdebar-debar. 'Adakah dia orang yang sama? Kalau benar kenapa diri ini langsung tidak tahu,' detiknya dalam hati.

Zafri mengamati pula gambar yang dilekatkan di sudut atas bahagian kanan data peribadinya. Sebentar tadi tanpa membuang masa dia terus meminta Aida menghantar fail peribadi Aira kepadanya dengan segera. Akhirnya dia menggelengkan kepala berkali-kali kemudian tersenyum sendiri.

“Ya, Encik Zafri. Anything?” tanya Kak Sha sambil duduk di hadapan bosnya.

“Saya baru terima surat dari Putrajaya Holdings berkenaan kontrak Aira Latisha yang disambung enam bulan lagi. Ini Aira yang sama dengan Aira yang dalam gambar di rumah Kak Sha ke?” tanya Zafri sambil menghulurkan surat tersebut kepada Kak Sha.

Yes, she is the one,” ujar Kak Sha. Terasa pelik pula apabila Zafri bertanya.

“Kak Sha…Kak Sha, kenapa tak beritahu saya awal-awal?” tanya Zafri.

“Masa tu Aira tak bekerja dengan syarikat kita lagi,” terang Kak Sha.

“Macam mana saya boleh tak tahu yang Aira adalah site staf kita di Putrajaya? Tak pernah pun dia datang pejabat?” tanya Zafri inginkan kepastian. Sebagai bos dia tidak sepatutnya terlepas pandang pasal hal ini lebih-lebih lagi melibatkan gadis itu. Memang silap besar.

“Ingatkan Encik Zafri tahu. Yalah, Encik Azhar dah sepenuh masa bekerja di ibu pejabat dan selalu keluar makan dengan Encik Zafri. Mana tahu dia ada cerita pasal Aira dengan Encik Zafri,” jawab Kak Sha pula.

“Kak Sha… kalau dia beritahu saya tak adalah saya tanya Kak Sha,” ujar Zafri dengan nada kesal. Aduhai Kak Sha… tau tak betapa susahnya saya menjejaki gadis ini, gumam Zafri.

Sorry. Sebelum ni semua projek di Putrajaya adalah di bawah kendalian Encik Azhar agaknya sebab itu Encik Zafri tak begitu tahu pasal Aira,” ujar Kak Sha.

“Hmm… bila Aira bekerja dengan kita Kak Sha?” tanya Zafri ingin tahu.

“Kalau tak silap awal tahun ni. Asalnya Aira adalah staf dari konsultan landskap lembut. Memandangkan skop kerja Aira yang baru ditambah dengan landskap kejur, jadi Aira dilantik semula tetapi di bawah syarikat kita selaku konsultan utama. Malah Aira ditempatkan di dalam pejabat klien dan bekerja di bawah Puan Aishah,” jawab Kak Sha panjang lebar.

“Tapi kenapa semasa majlis makan malam syarikat bulan lepas, saya tak nampak pun kelibat Aira atau site staf yang lain? Kita tak jemput mereka?” tanya Zafri walaupun sebenarnya dia tidaklah begitu mengenali semua site staf yang lain.

“Kita jemput semua site staf tapi biasalah bukan semuanya teruja nak datang lebih-lebih lagi Aira. Dia paling tak suka meredah kesesakan untuk masuk Kuala Lumpur semata-mata nak makan,” ujar Kak Sha.

Kak Sha memang masak sangat dengan perangai Aira. Kalau sudah balik rumah dia memang liat hendak keluar semula. Kalau ada barang yang perlu dibeli, awal-awal lagi dia akan ke kedai sebelum pulang ke rumah. Setakat hendak makan malam dan kena masuk KL dengan jalan sesak sana sini, lebih baiklah makan nasi bungkus sahaja.

Bagi Aira, hujung minggu pula adalah waktu rehat setelah sepanjang minggu sibuk dengan kerja. Kalau keluar setakat window shopping lebih baik membungkang di bilik tidur. Duit tidak habis, otak pun tidak sakit. Sebab itulah sampai sekarang Aira masih tidak kahwin-kahwin. Ramai jejaka yang tidak tahu kewujudan Aira.

“Hmm…by the way Kak Sha ada kirim salam saya pada Aira?” tanya Zafri sambil tersenyum.

“Saya tidak salah dengar ke bos?” soal Kak Sha yang tidak sangka dengan pertanyaan Zafri. Memanglah dia ada berjumpa Aira dan sampaikan salam Zafri tapi masakan bosnya benar-benar serius?

“Saya tanya Kak Sha, ada ke tidak?” ulang Zafri pula.

“Ada, ada… dia pun kirim salam juga tapi tulah sekadar berbahasa saja,” jawab Kak Sha.

“Kak Sha, boleh tolong saya?” tanya Zafri sambil memandang tepat ke wajah Kak Sha.

Sure...” jawab Kak Sha, sepatah.

“Saya nak berterus terang dengan Kak Sha. Sebenarnya sebelum ni saya memang pernah bertemu Aira cuma Aira yang mungkin tak perasan.” Kak Sha semakin pelik dengan penerangan Zafri.

“Sebetulnya saya sendiri pun tak tahu entah bila dan bagaimana saya boleh jatuh hati pada Aira.” 

Kini Kak Sha semakin tertanya-tanya pula. Ini betul-betul open minded.

“Terang-terang cakap, saya tak mahu kehilangan Aira. Boleh Kak Sha boleh tolong saya?” pinta Zafri. Kali ini Zafri tidak mahu membuang masa lagi.

Aduh, parah kalau macam ini! Kak Sha berkira-kira sendiri. Dahulu dia saja-saja hendak padankan Zafri dengan Aira, tidak sangka pula jadi begini. Ingatkan apabila Zafri senyap sahaja dia sudah lupa, rupanya tidak pula.

“Kak Sha boleh tolong ke tak ni?” tanya Zafri.

“Boleh Encik Zafri cuma beri saya masa kerana hati Aira ni memang susah nak diduga,” janji Kak Sha.

“Kalau boleh saya nak Kak Sha aturkan pertemuan saya dengan Aira seberapa segera,” pinta Zafri bagai tidak sabar-sabar pula.

“Insya-ALLAH Kak Sha akan usahakan tapi dalam masa terdekat ni payah juga. Aira ni bukan senang hendak diajak keluar,” ujar Kak Sha pula. Kak Sha pun tidak mahu Zafri terlalu mengharap sangat.

Hairan sungguh, Zafri benar-benar tidak sangka. Apabila dicari tidak jumpa-jumpa. Ketika sudah hampir tidak dipedulikan lagi, terpampang pula di depan mata. Semasa berkunjung ke rumah Kak Sha dahulu, dia masih ragu-ragu adakah dia orang yang dicari.

Zafri tersenyum lagi sambil memegang surat lanjutan kontrak Aira Latisha. Penat sahaja dia ke sana ke mari rupa-rupanya orang yang dicari ada di dalam laman sendiri. Itulah, asyik sangat mencantikkan laman orang, laman sendiri yang sudah sedia cantik tidak disedari.

Kak Sha melangkah berat menuju ke mejanya. Andai Zafri sudah berkata begitu kepadanya, hendak tak hendak dia kena memulakan perancangan. Bukan sesuatu yang mudah untuk mendekatkan dua orang yang berlainan perangai dan fikiran ini. Seorang sering ke hulu, seorang lagi pula asyik ke hilir, memang kena cari jalan untuk temukan.

Beberapa bulan yang lalu Kak Sha dan cuba rekomen Zafri kepada Aira tetapi Aira langsung tidak tunjuk tanda-tanda berminat. Setiap kali ada peluang Kak Sha akan mengirim salam Zafri pada Aira di hujung perbualan namun hanya ketawa Aira yang menjawab salam yang diberi.

Pening juga kepala Kak Sha hendak menangani perangai adik angkat yang seorang ini. Kak Sha serius dengan apa yang diucap dan diperkatakan, Aira memperlekehkannya pula. Kasihan juga dengan Zafri yang masih menanti dan menunggu peluang berjumpa Aira.

Nampaknya Kak Sha kena fikir rancangan yang lebih canggih untuk satukan mereka berdua. Kalau setakat cakap-cakap mulut memang tidak bawa ke mana. Kalau dirancang awal-awal hendak berjumpa di sesuatu tempat tidak akan menjadi. Pasti ada saja alasan Aira dan akhirnya tidak muncul-muncul juga.

Andai tidak berjaya juga maaflah Zafri, semuanya bergantung kepada ketentuan ALLAH jua. Kita hanya mampu berusaha namun Tuhan jua yang menentukan siapakah yang terbaik untuk kita, detik Kak Sha.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.