Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 9

“KAU ni kenapa macam ayam berak kapur saja?” tanya Nazli apabila melihat rakannya bagai orang susah hati sahaja. Sedari tadi lagi Nazli tengok rakannya itu begitu.

Wetland kena buat kerja desilting, Encik Rahman baru beritahu aku,” jawab Fazril sambil memandang Nazli. Kemudian dia mengeluh bagai ada masalah yang berat pula.

“La… yang kau susah hati buat apa? Bukannya kau yang kena korek pasir tu. Pandailah kontraktor nak buat apa yang patut,” ujar Nazli sambil menggelengkan kepala. Betul ke tidak si Fazril ni?

“Aku bukan risau pasal tu. Aku risau pasal tumbuhan wetland yang kena tanam semula. Dahlah nak menyebut namanya pun tergeliat lidah…” balas Fazril pula. Bukan dia tidak pernah membuat kerja-kerja desilting tetapi kerja penanaman semula yang merisaukannya.

“Kenapa nak susah-susah, bunga boulevard kan ada? Cakap saja pokok apa kau tak tahu, dia mesti tolonglah,” jawab Nazli.

“Seganlah nak minta tolong dia,” ujar Fazril pula. Masakan hendak minta tolong Aira. Bercakap dengannya pun jarang-jarang. Sebetulnya bertegur sapa pun tidak pernah. Sekadar senyuman yang berbicara apabila terserempak.

“Oo… selama hari ini asyik terintai-intai, terhendap-hendap tak malu pulak?” tegur Nazli.

“Kau ni…” Fazril sudah tersipu malu, nasib baik tiada orang lain di pejabat. Kalau tidak, berhari-hari Fazril kena usik dengan rakan-rakan sepejabat.

“Tahulah awak tu kumbang tanduk, asyik nak menanduk bola saja. Cuba ringankan mulut tu sikit, beri salam dan tegur dia bila berselisih.” Nazli memberi nasihat pula kepada si Fazril.

“Tangan tu kasi lembut sikit, awak tu nak menyunting bunga kena tahu cara petiknya,” sambung Nazli lagi.

“Kau ni ke situ pulak,” balas Fazril perlahan. Bila tiba bab itu memang Fazril akui dia payah sikit. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa lidahnya kelu untuk berbicara bila berjumpa dengan Aira. Padahal gadis itu macam biasa sahaja.

“Kau tulah, hari-hari futsal. Sudahnya kau yang menyesal bila bunga boulevard dikebas orang, baru padan muka kau!”

“Masakan tiba-tiba saja nak minta tolong dengan dia. Dia konsultan, pulak tu bukannya team kita,” ujar Fazril pula.

“Kau tahu tak sebab apa si Aira tu duduk dalam pejabat kita ni dan bukannya di pejabat konsultan dekat site tu?” tanya Nazli.

“Dia kan team Puan Aishah? Manalah aku tahu.” Bila Nazli cakap baru Fazril perasan. Kebanyakan konsultan ditempatkan di site officeyang terletak di Presint 2. Aira dan beberapa orang QS sahaja yang ditempatkan di pejabat klien.

“Sebab dia tu tak berkira orangnya. Kau ada hati dengan dia tapi masih lagi berkira-kira. Masih teragak-agak nak pikat dia, asyik pandang dari jauh saja.”

“Kalau kau memang suka dekat bunga boulevard tu, baik cepat. Kak Leha ada, Ani pun ada, mintalah pertolongan mereka ni. Itu pun nak kena ajar ke?” perli Nazli.

“Mana tahu dia dah ada buah hati ke, tunangan orang ke?” ujar Fazril pula. Itu aje alasan yang Fazril ada untuk menutup rasa segan yang datang.

“Kalau dia dah ada buah hati, dah lama dia kahwin tahu tak? Sebab tak adalah kita orang usik kau dengan dia,” tegur Nazli.

“Ha… panjang umur si Aira. Aira dah makan?” Nazli menegur Aira yang baru masuk. Fazril pura-pura buat ada kerja. Tiba-tiba sahaja jantungnya berirama tidak menentu.

“Hmm… dah. Oh ya, Puan Aishah kata kerja-kerja desilting di wetland akan dimulakan, kalau nak Aira tolong pasal pokok wetland cakap sajalah. Sekarang Aira relaks sikit,” ujar Aira sambil tersenyum.

“Kan betul apa aku cakap,” ujar Nazli pada Fazril.

“Apa yang betul?” tanya Aira, tidak faham dengan apa yang Nazli maksudkan.

“Pasal tumbuhan wetland itulah. Kita orang memang tak kenal pokok ni sangat. Bila tiba masanya kita orang minta Aira tolong tengokkan,” jawab Nazli sambil menjeling Fazril.

“Okey,” jawab Aira sepatah kemudian berlalu menuju ke tempat kerjanya.

“Payah betullah dengan mamat penyegan ni,” sungut Nazli sambil membaling pemadam ke muka Fazril. 

Fazril hanya tersenyum.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.