Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
271,186
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 29

BAB 29

Azlan tersandar di sofa di dalam biliknya. Jam sudah menunjukkan ke pukul 2.00 pagi. Letih badannya masih terasa. Dia baru sahaja pulang dari menghantar Effa balik ke rumahnya.

Sebenarnya sewaktu menghantar Effa pulang, jam baru menunjukkan pukul 11.00 malam. Namun ketika itu, Azlan mendapat panggilan dari “informernya” supaya berjumpanya di suatu tempat.

Terpaksa pula Azlan menolak pelawaan Effa untuk singgah di rumahnya. Sekurang-kurangnya berjumpa dengan Ayah dan abang Effa walau di dalam hatinya memang hendak berbuat demikian.

Oleh kerana perjumpaan dengan informernya itu agak penting dan melibatkan operasi sulitnya, Azlan menjelaskannya kepada Effa. Effa dengan senyumannya menerima penjelasan Azlan.

“Don’t worry… Effa faham..! Nanti bila senang, Effa bawa Lan jumpa Ayah dan Abang Ngah Effa ye..!” Kata Effa.

“Insyaallahh… Err… nak jumpa mereka kena attend interview ke?” Azlan mengusik. Effa hanya tersenyum.

Dalam baringannya, Azlan bersiul dan bernyanyi riang. Hatinya berbunga riang. Manakan tidak, sepanjang hari masanya dihabiskan bersama dengan Effa. Suatu pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya sampai bila-bila. Bukan mudah untuk dapat merealisasikan peruntukan masa yang ada apatah lagi masing-masing begitu komited dengan kerja.

Justeru itu, penerimaan Effa terhadap pelawaan Azlan menemaninya menziarahi keluarga angkat Azlan di Raub, Pahang amat menggembirakan hati Azlan. Sebenarnya bukan ini pertama kali Azlan membuat temu janji dengan Effa. Namun setiap kali membuat janji, Azlan terpaksa membatalkannya kerana terlibat dalam operasi di saat-saat akhir. Boleh dikatakan dalam sepuluh kali temujanji hanya sekali sahaja Azlan benar-benar menepatinya.

Pada mulanya Azlan benar-benar risau, takut Effa mula merasa bosan dengan janji-janjinya yang tidak dapat ditepati. Azlan takut Effa tidak boleh menerima caranya bekerja yang tidak kira masa itu. Walaupun, masing-masing belum meluahkan isihati mereka tetapi masing-masing tahu bahawa ada sesuatu perasaan yang istimewa sesama sendiri yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Bagi Azlan, biarlah perasaan itu berbunga dan mekar dengan sendirinya. Sehingga suatu ketika yang sesuai nanti, Azlan berjanji, akan mengikrarkannya dan biarlah waktu itu.. ikrar itu dipatrikan dengan satu ikatan yang tidak akan mungkin terlerai lagi sampai bila-bila..

“Kenapa Lan susah hati pulak ni? Effa okay jer laa.. Don’t worry, Effa faham kerja Lan macamana. Effa pun busy gak..!“ Kata Effa ketika Azlan melahirkan rasa risaunya takut-takut Effa marahkan dirinya kerana sering tidak tepati janji untuk bertemu.

Azlan sebenarnya tidak menyedari bilakah masanya mereka berdua saling membahasakan diri dengan menggunakan ganti nama masing-masing. Apa yang pasti, kata ganti nama itu semakin merapatkan lagi kemesraan mereka berdua.

“Inilah susahnya berkawan dengan polis ni, Effa..! Terlalu komited dengan kerja. Itulah sebabnya sampai sekarang, Lan tak kahwin-kahwin lagi..! Takut akan menyusahkan anak orang pulak bila Lan kahwin nanti. Memang payah nak jumpa pasangan yang benar-benar faham tentang diri kita dan kerjaya kita ni..” Kata Azlan.

“Memanglah payah Lan.. mana ada kat dunia ni semua orang perfect..! Yang penting, kita sendiri harus sedar diri yang kita juga bukanlah sempurna mana pun..! Don’t worrylah Lan… Effa okay jer.. Infact, Effa pun nak ucapkan terima kasih kerana memahami tugas Effa juga. So, tak leh nak kata Lan sorang jer yang selalu mungkir temujanji, Effa pun sama kan..!”

Kata-kata Effa itu membuatkan Azlan tiba-tiba tersenyum senang. Benar-benar rasa bahagia. Maka, ketika Azlan menerima panggilan telefon dari mak angkatnya di Hulu Dong, Raub mengatakan bapa angkatnya yang dipanggil Ayah Aris sedang terlantar sakit, Azlan tidak mengambil masa lama, terus memohon cuti. Cuti yang dia sendiri tidak pernah tahu berapa hari bakinya dalam setahun kerana dia jarang mengambil cuti!

Tidak disangkanya, pelawaannya yang tidak berharap sangat Effa akan bersetuju menemaninya telah menjadi sebaliknya. Effa malah telah mengambil satu hari cuti sama dengan Azlan!

Namun Effa meletakkan syarat, tidak akan bermalam di rumah keluarga angkat Azlan kerana tidak biasa dengan keluarga angkat Azlan itu. Bagi Azlan, persetujuan Effa itu pun sudah bagai seribu rahmat baginya. Azlan akur dengan syarat Effa itu.

Perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Hulu Dong, Raub mengambil masa lebih kurang dua setengah jam. Ketika memasuki Kampung Sungai Lar itu, Effa dapat merasakan suasana yang mendamaikan di sekitarnya.

Kawasannya masih seperti perkampungan Melayu lama walaupun banyak rumah-rumah moden di dalamnya. Memasuki kawasan rumah Ayah Aris, bapa angkat Azlan, Effa bagai terkelu lidah tidak terkata. Dek kerana asyik melihat keindahan dan kedamaian kawasan kampung itu,

Effa hanya membisu seribu kata. Melihat Effa hanya mendiamkan diri, Azlan mula bercerita.

“Effa.. kita dah sampai. Inilah Kampung Sungai Lar yang Lan ceritakan tu. Tanah Ayah Aris memang banyak dan luas. Haa.. dua kolam ikan yang besar tu kepunyaan Ayah Aris lah tu. Rumah kuning yang atas bukit tulah rumah Ayah Aris..!”

Azlan bercerita sambil tangannya menunjukkan arah kolam dan rumah Ayah Arisnya. Sementara itu, Effa pula leka memerhatikan kawasan sekitar dan kolam ikan kepunyaan Ayah Aris itu.

“Wow… besarnya kolam ikan dia ni ya..! Kolam ni banyak ikan ke? Ayah Aris tak buka kolam ni kepada orang luar ke untuk memancing?” Tanya Effa terpegun melihat betapa luasnya kolam ikan kepunyaan Ayah Aris.

“Ha..ha.. jangan terkejut, ada tiga lagi kolam ikan seperti ini di belakang rumah Ayah Aris. Dulu, memang meriah kolam ikan kat sini. Ramai pengunjung datang hujung minggu untuk memancing. Banyak jugak ikan-ikan diternak di sini. Ada macam-macam jenis. Antaranya talapia, tongsan, haruan, patin dan sebarau. Dulu kalau Lan tak ada operasi besar, sempat Lan lari kat sini tolong Ayah Aris bukak kolam dan tangguk ikan. Kadang-kadang tu, ada orang Jepun datang beli semua ikan-ikan kat salah satu kolam ikan di sini.” Cerita Azlan dengan bersemangat.

“Wah.. mesti meriah kan! Tapi.. kenapa sekarang macam sunyi je kat sini?” Tanya Effa sambil melihat sekeliling dari dalam kereta yang dipandu Azlan dengan perlahan.

Terdengar Azlan mengeluh.

“Ayah Aris tak terdaya nak buat sorang-sorang. Semua anak-anaknya yang seramai lapan orang tu, bila dah berkeluarga, tak tinggal bersama dengan Ayah Aris.” Cerita Azlan.

“Selain kolam ikan, Ayah Aris ada bela lembu sebanyak lima puluh ekor. Dengar khabarnya banyak lembu-lembunya dah dijual. Dah tak laratlah tu agaknya. Tanah Ayah Aris ni ada 20 ekar semuanya di sini. 5 ekar untuk kolam ikan sahaja. 5 ekar lagi, Ayah Aris bukak sekolah Tahfiz tidak jauh dari rumah Ayah Aris ni. Selebihnya, tu.. rumah besar, kebun buah-buahan dan tempat pemeliharaan lembu. Sambil-sambil itu juga, Ayah Aris ada kelebihan mengubat orang. Jadi, rumah besar tu.. memang tidak pernah sunyi. Sentiasa ada sahaja tetamu yang datang untuk berubat dengan Ayah Aris.” Cerita Azlan lagi.

Effa yang mendengar hampir-hampir terlopong mulutnya. Cepat-cepat dia menutup mulutnya sebelum Azlan menyedarinya. Tertarik dia mendengar cerita Azlan itu.

“Wow! He must be a great man! Tak sabar rasanya nak jumpa dan mengenali Ayah Aris tu..” Puji Effa kagum.

“Hmm… tak apa.. kita dah sampai ni pun..!” Kata Azlan apabila keretanya telah menghampiri sebuah rumah besar yang bercat kuning.

Setelah memakirkan keretanya di bawah pokok rambutan di halaman rumah besar Ayah Aris itu, Azlan memberi salam.

Effa yang berbaju blaus hijau dan berseluar jeans hitam serta bertudung abstrak hijau itu berdebar-debar. Inilah pertama kali dia menemani Azlan sejauh itu. Paling tidak pun, mereka hanya membuat janji temu makan tengahari di Restoran Pelita di Kuala Lumpur.

“Alah.. yang ni pun pertemuan kali kedua selepas sepuluh kali temujanji asyik dibatalkan!” Sempat lagi Effa bermonolog sendirian.

“Masyaallah Azlan! Bertuah punya budak! Apasal balik tak bagitau ni!” Terdengar suara nyaring seorang wanita dari dalam rumah menyambut ketibaan mereka.

“Assalammualaikum Ibu!” Azlan memberi salam sambil tersenyum ke arah wanita yang agak berumur yang baru keluar dari rumah itu.

“Waalaikummussalam… Masuk nak!” Jemput wanita yang dipanggil Ibu oleh Azlan itu.

Azlan bersalaman sambil mencium tangan wanita itu. Dipeluknya wanita itu lalu dicium pipinya. Wanita itu juga turut mencium pipi Azlan. Dipandangnya wajah Azlan seolah melepaskan kerinduan yang berpanjangan.

Effa diperkenalkan oleh Azlan dengan wanita yang dipanggil Ibu Kursia.

“Ibu… ini Effa, kawan Lan! Effa.. kenalkan.. ini Ibu Kursia..” Azlan memperkenalkan.

Effa menunduk hormat sambil bersalaman dengan Ibu Kursia. Effa yang dari tadi melihat kemesraan antara Azlan dan Ibu Kursia itu tersenyum memandang Ibu Kursia.

Effa yang mula-mula merasa malu dan kekok sudahnya menjadi semakin mesra dengan Ibu Kursia Effa merasa selesa dengan sikap ramah Ibu Kursia itu. Wanita yang bertubuh rendang, berkulit cerah dan ramah itu sentiasa tersenyum, membuatkan Effa merasakan keserasiannya berborak dengan Ibu Kursia.

“Ayah Aris kau belum balik lagi dari kedai. Ibu suruh dia beli bahan-bahan mentah untuk masak. Hmm.. orang tua tu.. dah tinggal berdua begini.. masih nak suruh Ibu memasak jugak. Sekali-sekala, apa salahnya makan di kedai..!” Rungut Ibu yang masih pekat telo Jawanya.

“Mana boleh lawan masakan Ibu dengan masakan di kedai luar tu Bu! Ibu punya masakan tetap number one!” Usik Azlan sambil ketawa.

Effa hanya tersenyum melihat kemesraan Azlan dan ibu angkatnya itu. Namun sempat pula dirinya diperhatikan oleh Ibu Kursia dari atas hingga ke bawah.

“Lan.. Effa yang manis ni.. calonnya ya? Waduh.. ketemu juga akhirnya ya..! Effa… bertuah kamu disunting oleh Azlan. Budak bertuah ni.. memang memilih perempuan untuk dijadikan teman. Ibu pun kurang faham, perempuan gi mana yang cocok untuk dia. Rupa-rupanya… nahh… ini dia orangnya!” Kata Ibu Kursia sambil tersenyum penuh bermakna kepada Effa.

Effa sudah mula merah pipinya menahan malu dengan kata-kata Ibu Kursia itu. Azlan yang sedia maklum kalau Effa di dalam keadaan menahan malu mahupun marah, pasti pipinya akan berwarna merah jambu. Dia suka melihat keadaan Effa di ketika itu. Memang cantik!

“Ibu.. kami baru di peringkat berkawan lagi Bu.. Bagi kami peluang mengenali hati dan peribadi masing-masing..” Jawab Azlan perlahan.

“Kalau baru peringkat berkawan, takkan kau sudah berani bawa dia dan perkenalkan pada Ibu dan Ayah Aris ni?” Sergah satu suara garau dari luar. Juga telo Jawa yang pekat.

“Lohh.. kok bila ayahnya sudah balik? Tak dengar pun bunyi motornya?” Tanya Ibu Kursia.

Ayah Aris tidak menjawab. Azlan terkejut sambil terus bangun menuju ke luar rumah. Effa pasti, suara itu milik Ayah Aris. Azlan meluru keluar lantas terus memeluk sambil mencium tangan bapa angkatnya itu. Orang tua itu sudah dianggap seperti bapanya. Maklumlah, Azlan sendiri sudah kehilangan bapa sejak kecil lagi.

“Kenapa datang tak bagitau? Kau pun sudah lama tak kemari. Agaknya, kalau tak dengar berita yang Ayah Aris kau ni tak sihat, tentu sampai kesudah.. kau tak datang melawat kami di sini…”

Kata-kata Ayah Aris yang sedikit berbaur rasa jauh hati itu membuatkan Azlan rasa sebak. Diperhatikan Ayah Arisnya yang sedang duduk di atas sofa di ruang tamu. Memang terserlah keuzuran lelaki tua itu. Azlan merasa simpati melihat Ayah Arisnya.

“Maafkan Lan, Ayah Aris! Lan betul-betul sibuk. Banyak operasi sekarang ni. Maafkan Lan yee…” Kata Azlan.

Dia benar-benar tidak bermaksud ingin melupakan kedua orang tua yang sudah terlalu banyak berbudi dan menyayangi dirinya seperti anak kandung mereka sendiri.

“Sudahlah tu.. Ayah Aris tu rindukan Lan sebenarnya. Macam Lan tak faham-faham lagi cara dia tu..!” Pujuk Ibu Kursia.

“Mari Effa.. tolong Ibu masak di dapur. Kamu berdua datang tak bagitau. Hmm.. nampaknya hidangan tengahari kita ni.. lauk kampung saja lah!” Kata Ibu Kursia sambil bangun dari duduknya.

“Ishh… lauk kampunglah yang best Ibu..! Effa pun teringin nak belajar masakan kampung dari Ibu ni..!” Kata Effa riang sambil terus memeluk mesra Ibu Kursia.

Effa juga disuruh oleh Ibu Kursia memanggilnya “ibu” sahaja. Azlan sempat menjeling perlakuan manja Effa itu. Memang patutlah semua orang suka berkawan dengan Effa. Gadis itu mudah mesra dengan orang dan pandai pula mengambil hati orang tua. Ada rasa bahagia di hatinya. Azlan tersenyum meleret sorang-sorang di situ.

Tanpa disedarinya, perlakuannya itu diamati oleh Ayah Aris. Ketika Azlan bertembung pandangan dengan Ayah Aris, sisa-sisa senyuman tadi terus mati di situ. Azlan menelan air liur dek gugup direnung Ayah Aris sebegitu.

“Sudah lama kau kenal dengan gadis itu?” Tanya Ayah Aris dengan wajah yang serius.

“Sudah setahun lebih Ayah Aris.. Kami masih lagi dalam peringkat berkawan” Jawab Azlan sopan.

“Kau sudah kenalkan pada Ibu kau di kampung?” Tanya Ayah Aris lagi.

“Err… belum lagi.. Memang bercadang nak bawak Effa jumpa Ibu. Tapi masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Dan Lan tak fikir sekarang ini waktu yang sesuai untuk kenalkan pada ibu Lan… Tengoklah nanti macammana. Kenapa Ayah Aris?” Tanya Azlan hairan.

Niatnya ke situ bukan untuk memperkenalkan Effa sebagai calon isterinya kepada Ayah Aris dan Ibu Kursia. Walaupun ada terdetik ke arah itu. Tujuan utamanya adalah untuk menziarahi kedua orang tua itu.

Kelihatan Ayah Aris terdiam namun seperti memikirkan sesuatu. Wajahnya yang serius dan pandangannya yang tajam, membuatkan dirinya nampak tegas dan garang. Bagi Azlan walau Ayah Arisnya nampak garang dan tegas tetapi dia sebenarnya seorang yang baik hati.

“Azlan… gadis itu memang baik dan layak jadi jodoh kau! Tapi.. “ Ayah Aris tidak melanjutkan kata-katanya itu. Azlan tertanya-tanya namun menunggu dengan sabar akan kata-kata Ayah Aris seterusnya.

“Setiap benda yang baik itu pasti ada dugaannya. Ayah Aris mintak kau banyakkan bersabar dan tenang dalam apa jua dugaan yang dilalui sebelum memiliki gadis itu..Sabar itu adalah senjata utama dan pendinding diri dan ketahanan iman. Insyaallah.. semua yang pahit bisa jadi manisnya bila kita dapat menghargai apa yang telah kita lalui..” Kata Ayah Aris dengan maksud yang begitu mendalam.

Azlan menarik nafas panjang. Azlan tahu Ayah Aris dapat ‘membaca’ apa yang bakal dilalui olehnya nanti dalam memiliki hati Effa. Pengalaman yang luas dan ilmu yang tinggi yang dimiliki Ayah Aris meyakinkan Azlan akan kebenaran kata-kata Ayah Aris itu.

Ya Allah aku tidak mampu menahan diriku daripada terjeremus ke dalam kemaksiatan. Ya Allah, jika masanya telah tiba, jika apa yang aku mohon ini merupakan sesuatu yang terbaik disisiMu ya Allah, terbaik buat agamaku ya Allah, terbaik buat diriku, keluarga dan seluruh mukminin dan mukminat ya Allah, maka aku memohon kepadaMu ya Allah agar aku ditemukan dengan jodoh yang terbaik di sisiMu ya Allah. Setiap yang terbaik di sisiMu ya Allah, pasti terbaik buat diriku ya Allah”.Doa Azlan di dalam hati dengan penuh makna.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.