Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,471
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 19

BAB 19

Azlan tersandar keletihan di atas kerusi di dalam bilik pejabatnya itu. Seharian dia tidak ubah seperti “superman” yang sibuk menyelamatkan mangsa di beberapa tempat. Cuma bezanya dia tidak dapat terbang sahaja.

Begitulah rutinnya. Ada kalanya ketika di dalam kecemasan, di waktu dirinya diperlukan di beberapa tempat, Azlan seperti ingin membahagikan dirinya kepada beberapa bahagian agar dia dapat memuaskan semua pihak yang memerlukannya!

Di sinilah kewibawaannya sebagai seorang pegawai polis yang bertanggung jawab dalam sesuatu tugas-tugas penyiasatan teruji. Di sinilah juga kepakaran dan segala pengalaman yang ada digunakan bagi memastikan operasi yang dirangka Berjaya.

Azlan mengeluh keletihan lagi. Dia sudah berbaring di atas katil bujangnya pula. Badannya terasa letih dan matanya bagai tidak sabar mahu ditutup. Azlan memasang alat penghawa dingin.

Beberapa saat kemudian, Azlan menarik nafas lega bila persekitaran bilik itu sudah mula terasa dingin dan berangin.

“Hmm… Barulah best nak tidur ni!” Kata Azlan tersenyum sendiri.

Namun, sebelum matanya terlelap, Azlan terbayang kisah kejadian yang berlaku seawal pagi tadi. Suatu pagi yang amat meletihkan namun mengujakan!

Tanpa diminta, dia sudah menjadi “runner” untuk Effa. Entah mengapa, rajin pulak dia menolong Effa. Selain itu, Azlan menganggap ianya bagai seribu rahmat dapat bertembung dengan Effa pagi itu. Sejak dari pertemuan di Glory Beach Resort itu, kelibat Effa tidak pernah ditemuinya lagi.

Ingin bertanyakan Surya tentang Effa, awal-awal lagi Surya sudah menunjukkan sikap protesnya tidak mahu menceritakan apa-apa mengenai Effa. Diaorang ni mesti musuh masa kat sekolah ni! Fikir Azlan.

Namun begitu, di pertemuan yang agak singkat itu, Azlan berpuas hati dapat memperli Effa cukup-cukup. Azlan tidak dapat melupakan bagaimana merah padamnya wajah Effa bila dia menegur Effa tentang meter tangki minyak keretanya yang telah kering kontang itu.

“Padan muka.. asyik prejudis sangat kat orang lelaki!” Sempat Azlan mengutuk Effa.

Dan yang paling Azlan tidak boleh lupakan ialah aksi spontan Effa melatah apabila terkejut mendengar Azlan berdehem. Comel sangat! Bisik hati kecil Azlan. Tersengih-sengih Azlan seorang diri di situ bila dia membayangkan perlakuan Effa pagi tadi.

Namun Azlan terpaksa mengakui ‘kelurusan bendul’nya itu apabila dia tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk meminta nombor telefon Effa. Entah mengapa, ada rasa selesa dan keserasian bila berbual dengan gadis itu.

Melihat wajah redup gadis itu dengan senyuman yang manis sudah membuatkan fikirannya tenang dan terasa seakan lepas dari segala ketegangan yang dihadapinya.

Azlan terpaksa mengakui Effalah gadis pertama yang benar-benar membuatkan dirinya berasa tenang apabila wajahnya dipandang. Walaupun secara luarannya Effa kelihatan seperti kasar, ganas dan selamba namun bila mendekatinya, Effa sebenarnya seorang yang lembut, penyayang dan penuh perihatin.

Effa juga merupakan gadis pertama yang membuatkan diri Azlan sentiasa tidak keruan dan tercari-cari kelibatnya. Sebelum ini, Azlan tidak pernah menghiraukan sangat akan peribadi gadis yang berkawan dengannya.

Namun dek kerana egonya, Azlan tidak mahu ‘mengalah’ begitu sahaja. Baginya, perasaan yang dirasakan kini adalah amat memalukan kerana dari gaya Effa melayannya itu seolah-olah Effa seperti tidak hairan sangat dengan kehadiran Azlan. Seolah-olah hanya Azlan sahaja yang sibuk terhegeh-hegeh dengan Effa!

“Kalau ada jodoh… harap-harap.. jumpalah lagi dengan dia …!” Begitu hatinya berharap dalam nada yang mendatar. Tidak mahu terlalu mengharap kerana takut hatinya juga yang akan kecewa..

Ketika dia terkejar-kejar untuk berjumpa dengan kawannya Joe, Azlan menerima panggilan dari ibu pejabat di Bukit Aman, memintanya segera ke sana kerana ada kes kecemasan. Apalagi kalau bukan kes penculikan.

Antara janji dan tugas, akhirnya Azlan terpaksa mengalah pada tugas. Dia menelefon Joe meminta maaf kerana terpaksa berpatah balik ke Bukit Aman untuk menyelesaikan kes barunya itu. Joe yang sudah lama sampai di Ampang Park itu terpaksa akur dengan kehendak tugas Azlan yang sentiasa tidak menentu itu.

“Tak apalah Bro.. Nanti aku callkau ajer..!” Kata Joe lemah dan dalam nada sedikit kecewa.

“Aku betul-betul mintak maaf Joe. Aku harap kau faham tugas aku.. Nanti kita borak dalam phone yee..” Kata Azlan dalam nada memujuk.

Kasihan pula dengan kawannya itu yang datang dari jauh, turun ke KL hanya semata-mata ingin berjumpa dengannya. Bukan tidak boleh berjumpa tetapi bila bab kerja, Azlan serta merta akan terus serius dan focus kepada kerja. Komitmennya kepada kerja melebihi segalanya.

Atas komitmennya yang melampau kepada tugas-tugasnya itulah, Azlan akui bahawa dia tidak mempunyai ramai kawan. Malah bagi mereka yang tidak memahaminya, akan cuba menghindari diri mereka dari rapat dengannya. Azlan tidak kisah. Baginya, tugas yang dilakukan adalah amanah dan dia perlu melakukannya dengan ikhlas.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Azlan yang baru memasuki frasa lena dek kerana keletihan yang teramat sangat, tersedar dari lelapnya. Separuh hatinya malas ingin menjawab panggilan itu namun bila memikirkan kemungkinan itu adalah panggilan penting tentang kerjanya, dia akhirnya menjawab panggilan itu.

“Assalammualaikum… Abang Lan….!” Tegur suara halus di hujung talian.

Mendengar suara itu, Azlan mengeluh lagi. “Aduhh.. tak ada orang lain ke yang nak mengganggu aku malam-malam buta ni?” Rungut Azlan dalam hati.

“Ya..Surya..! Ada apa?” Tanya Azlan mendatar.

“Tak tidur lagi ke Bang?” Tanya Surya dengan suara yang cuba dilembutkan selembut mungkin. Azlan yang mendengar terasa geli-geleman!

“Dah tidurlah ni.. awak kacau saya.. Apasal awak tak tidur lagi ni?” Tanya Azlan serius. Bosan melayan perangai gedik Surya.

“Tak leh tidurlah Bang.. Asyik teringatkan Abang Lan ajer… Abang Lan dah buat apa kat Surya sampai Surya teringat-ingatkan Abang ni” Jawab Surya manja sambil ketawa.

“Eeeiii.. ya Allah… gediknya..! Napelah aku jawab call dia tadi ni!” Hati Azlan menggerutu sendirian.

“Surya.. saya tak buat apa-apa pun..! Awak yang perasan sorang-sorang..! Okaylah.. saya nak tidur ni.. Assalammualaikum..”

Serentak itu juga, Azlan mematikan talian. Bukan itu sahaja, dia terus menekan butang “off” dan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas meja. Tanpa berlengah lagi, dia terus menuju ke katil bujangnya lalu terus merebahkan diri. Tidak sampai dua minit, dia terlena di situ.

***************************

Sementara itu, Surya yang berada di biliknya menahan rasa bengang dan geram dengan layanan dingin Azlan. Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil.

Sudah banyak kali ikhtiarnya untuk bercakap dengan Azlan gagal. Azlan seperti mengelak tidak mahu bercakap dengan dirinya. Jika dapat menghubunginya pun, Azlan akan cepat-cepat memotong perbualan mereka dan memberi pelbagai alas an agar perbualan mereka tamat begitu sahaja.

Namun, tindakan Azlan tadi yang memutuskan talian tanpa sempat Surya menyambung katanya membuatkan Surya berang dan tidak puas hati! Surya memandang jam yang tergantung di biliknya. Sudah pukul 1.30 pagi!

“Ahh…! Alasan je tuh! Pegawai polis macam Abang Lan tu, takkan nak tidur seawal ini. Paling kurang pukul 3 pagi..! Saja tak nak cakap dengan aku!” Bentak Surya seorang diri di situ.

“Huh.. tapi… bila nak tau cerita pasal pompuan bodoh tuhh.. sanggup telefon aku! Ada pulak dia masa nak cakap ngan aku!” Bebel Surya lagi bagai ada orang mendengar bebelannya di dalam bilik itu.

Dia teringat bagaimana terkejutnya dia apabila Azlan buat pertama kali menghubunginya. Bagai mahu dijeritkannya rasa gembiranya itu di seluruh bangunan Politeknik tempat dia mengajar itu yang Azlan menghubunginya.

Namun kegembiraan itu tidak lama, apabila setelah Azlan menanyakan khabar tentang dirinya, tiba-tiba Azlan menanyakan tentang Effa. Suatu nama yang memang menjadi kepantangan pada dirinya dan memang sudah disenarai hitamkan dalam fikirannya!

“Kan Surya dah cakap.. Surya memang tak kenal sangat dengan perempuan tu? Yang Abang Lan sibuk sangat nak tau pasal dia kenapa? Apa yang bagus sangat dengan perempuan tu?” Tanya Surya dalam nada yang marah.

Lebih menyakitkan hati Surya ialah bila Azlan menjawab dengan selamba sambil ketawa mengejek;

“Laa… takkan Surya marah kot? Saya Cuma Tanya, Surya ada nombor telefon Effa ke tidak.. Kalau tak ada.. tak apalah.. Takkan itu salah..?”

Dek kerana bengang dan marah, Surya terus memutuskan talian itu. Terbakar betul hatinya mendengar tawa Azlan yang seakan-akan mengejek dirinya.

“Ahhhh…! Semua jantan sama saje! Bila nak sesuatu.. lembut gigi dari lidah..! Bila tak nak… macam-macam alasan! Bosan! Bosannn!!!” Jerit Surya.

Dendamnya pada Effa semakin mendalam. Hatinya bertambah sakit kerana Effa ‘kembali’ lagi dalam hidupnya dan kali ini kehadiran Effa bakal mengugat kebahagiaan yang dicarinya itu.

Surya tidak mahu Effa memusnahkan segalanya. Dia tidak mahu kalah lagi di tangan Effa. Dia harus bertindak segera sebelum Effa merampas semua yang dikejarnya begitu sahaja. Tidak..! Kali ini.. aku mesti menang! Tekad Surya di dalam hati.

Seperti biasa, jika dia di dalam keadaan tegang dan tertekan, Surya akan mula bertindak aggresif. Rambutnya ditarik-tarik sambil menghentak-hentakkan dirinya itu. Memang perlakuannya tidak ubah seperti orang yang berjiwa kacau!

Dalam pada itu, sempat lagi Surya memikirkan cara bagaimana dia boleh mendekati seterusnya memiliki Azlan. Dia tidak sanggup melihat Azlan menjadi milik Effa.

Tidak sampai beberapa minit, Surya sudah ketawa mengilai sendirian. Mengangguk-anggukkan kepalanya sambil menoleh ke kiri seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.