Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
271,205
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 13

 


 

BAB 13

Azlan merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia melepaskan keluhan. Menarik nafas dalam-dalam, kemudiannya menghembusnya perlahan-lahan. Cuba menutup mata dan mengawal dirinya agar bertenang.

Badannya terasa sakit-sakit. Mungkin kerana terlalu letih bekerja dan tiada ruang masa untuk berehat. Tiap-tiap hari ada sahaja kes-kes jenayah baru yang harus diselesaikannya. Ketika inipun, dia berada di Port Dickson kerana diminta membuat siasatan tentang kes kehilangan seorang usahawan yang terkenal di Port Dickson itu. Usahawan itu mempunyai pelbagai rangkaian syarikat yang berurus-niaga dengan syarikat-syarikat minyak yang terbesar di Malaysia seperti Shell, Esso dan Mobil.

Usahawan itu telah dilaporkan hilang semenjak seminggu yang lalu. Pihak polis di daerah Port Dickson itu mengesyaki kemungkinan besar usahawan itu telah diculik dan dibunuh. Justeru itu, pihak polis daerah Port Dickson meminta bantuan dari unit yang diketuai oleh Azlan untuk sama-sama membantu menyelesaikan misteri kehilangan usahawan itu.

Azlan sudah berada di Port Dickson itu sejak hari Khamis yang lalu dan kini masih dalam misi penyamarannya sebagai sebahagian dari tugas-tugasnya membantu menyelesaikan kes itu.

Namun Azlan tidak menyangka ketika dia sedang memandu di kawasan Lukut petang tadi, dia nampak sebuah kereta Satria Neo sedang tersadai di bahu jalan. Sebenarnya bukan kereta itu yang menarik perhatiannya tetapi apabila terpandangkan pemandu kereta itu yang sedang terbongkok-bongkok memeriksa bahagian depan kereta, Azlan terfikir sendiri.

“Macam pernah aku tengok perempuan ni! Siapa yee?” Fikir Azlan sendiri.

Ketika Azlan melintasi kereta itu, sekali lagi dia menoleh ke arah perempuan itu.

“Ehh.. itu kan adik Meor.. Surya!” Kata Azlan seorang diri di dalam keretanya itu.

Azlan masih lagi berkira-kira samada ingin turun mendapatkan Surya atau tidak. Bila memikirkan perlakuan Surya tempohari yang sengaja menelefonnya di waktu tengah malam, hatinya jadi sangsi.

Apatah lagi dengan gaya Surya tempohari, Azlan sedar yang Surya memang sengaja menggodanya. Azlan memikirkan jika dia turun mendapatkan Surya, sudah pasti akan membuka lebih peluang kepada Surya menggodanya.

Namun, dari sudut lain pula, dia seperti tidak sampai hati pula membiarkan adik sahabat karibnya sendiri berada di dalam kesusahan.

“Tak baik pulak.. kalau aku tinggalkan dia macam tu. Hari dah nak senja pulak tu. Kesian pulak adik si Meor ni.. Mungkin dia memang perlukan pertolongan!” Kata Azlan sendirian lagi.

Azlan lantas memberhentikan keretanya di hadapan kereta Surya. Dia keluar dari kereta lalu menuju ke arah Surya. Surya yang menyedari ada seseorang yang memberhentikan kereta di hadapan keretanya itu menoleh.

“Ehh.. Abang Azlan! Macamana boleh ada kat PD ni?” Tegur Surya terperanjat namun secepat itu juga wajahnya bertukar ceria.

“Saya ada kerja di sini. Kenapa dengan kereta? Surya nak pergi mana ni?” Tanya Azlan sambil melihat-lihat keadaan enjin kereta Surya di bonet hadapan.

“Surya ada majlis Reunion malam ni di Glory Beach Resort. Tak tahulah kenapa dengan kereta ni. Tiba-tiba dia tersengguk-sengguk pulak. Pas tu..asap tebal keluar daripada enjin. Itu yang Surya berhenti terus kat sini.” Terang Surya.

Azlan diam namun dia masih lagi memeriksa enjin kereta.

“Hmm… kereta ni macam dah overheat jer ni!” Kata Azlan.

“Kat sini.. workshopyang paling dekat kat mana Abang Azlan?” Tanya Surya.

“Hmm… tak jauh dari sini. Kat pekan Lukut tu. Hmm.. Reunion Surya tu kat mana tadi?” Tanya Azlan.

“Kat Glory Beach Resort. Surya dah terlambat ni. Nak check-in lagi..” Kata Surya.

Azlan kelihatan seperti berfikir seketika.

“Hmm.. tak apalah. Biar saya hantar Surya ke Glory. Nanti, kita singgah workshop kejap dan hantar orang suruh ambil kereta.” Kata Azlan seakan memberi arahan.

Surya hanya menurut sahaja malah hatinya melonjak riang apatah lagi orang yang menolongnya itu adalah Azlan, pemuda yang diminatinya semenjak dia terserempak dengan Azlan di rumah abangnya, Meor pada hari raya tahun lepas.

“Err… nanti.. macamana Surya nak ambil kereta Bang?” Tanya Surya dalam nada yang manja.

“Hmmm… Surya check-out pukul berapa esok?” Tanya Azlan.

“Pukul dua petang..” Jawab Surya.

“Hmm… kalau macam tu.. esok pukul 2 petang, saya ambil Surya dan bawa Surya ke workshop untuk ambil kereta. Macamana?” Azlan membuat keputusan.

“Surya okay jer Bang..!” Jawab Surya tersenyum.

Mereka kemudiannya terus ke Glory Beach Resort. Namun sebelum itu, mereka singgah ke bengkel kereta yang tidak jauh dari tempat tadi di pekan Lukut. Setelah urusan selesai dan pemilik bengkel itu bersetuju untuk membaiki kereta Surya sebelum pukul 2 petang, mereka pun terus menuju ke Glory Beach Resort yang hanya lima batu sahaja dari bengkel itu.

Ketika sampai di hadapan Glory Beach Resort itu, jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Surya perlu segera mendaftar dan masuk ke bilik untuk menukar pakaian. Sebelum itu, dia telah memaklumkan kepada Zalyha bahawa dia akan lewat tiba ke majlis reunion nanti.

“Terima kasih Abang Azlan.. Nanti Surya call…” Kata Surya sebelum keluar dari kereta Azlan.

Azlan hanya tersenyum sahaja. Sejurus selepas itu, Azlan segera keluar dari perkarangan Glory Beach Resort.

Azlan mengeluh lagi. Dia masih lagi berbaring-baring di atas katil di rumah rehat di tepi pantai itu. Pukul 10.00 malam nanti dia dan tiga orang anggota polis bawahannya akan keluar meneruskan siasatan lagi.

Azlan merasa gelisah. Menyesali atas apa yang telah dilakukannya petang tadi.

“Aku tak patut libatkan diri dengan si Surya tu..! Bukan kah aku yang nak jauhkan diri aku darinya..? Haa… padanlah muka..! Rajin sangat nak menolong… Entah apalah si Surya tu fikirkan pasal aku..!” Azlan bermonolog sendiri.

“Pas ni.. jadi satu kerja pulak nak ambil dia kat Glory tuh. Huiisshhh… tak ada kerja cari kerja..!... “ Keluh Azlan sendirian.

“Tapi… aku dah banyak terhutang budi dengan Meor dan keluarganya. Takkanlah aku tak tolong ahli keluarga dia.. kalau memang dia perlukan pertolongan?.. Ah..! Lantaklah…!” Rengus Azlan.

“Tuan..!” Tegur Inspektor Hamid dari arah pintu.

Azlan menoleh. Hampir dia terjatuh dari katil kerana terperanjat disergah begitu.

“Ni apahal Tuan dah jadi macam Shahrukh Khan pulak ni? Tergolek sana.. tergolek sini atas katil..!” Usik Inspektor Hamid. Pelik namun gelihati pula dia melihat kelakuan ketuanya itu.

“Awak jangan nak perli-perli saya yee… Haa.. yang lain-lain dah siap ke?” Tanya Azlan serius cuba melindungi rasa malu atas kelakuannya tadi.

“Kami semua dah siap Tuan! Cuma tunggu Tuan aja yang tak siap-siap dari tadi..!” Jawab Inspektor Hamid selamba.

“Huh..!” Azlan merengus lantas terus bangun dari katil. Dia kemudiannya menuju ke bilik air.

Inspektor Hamid sempat menahan tawanya dari pecah. Tidak mahu ketuanya itu tersinggung.

Inspektor Hamid sebenarnya telah lama berada di muka pintu bilik Azlan tadi. Pelik dia melihat perlakuan Azlan yang sedang bercakap seorang diri sambil berbaring di atas katil.

Hendak disergah ketuanya itu, takut Azlan terkejut pula. Akhirnya Inspektor Hamid hanya diam berdiri menunggu sambil menantikan peluang yang sesuai untuk menegur ketuanya itu.

Inspektor Hamid sebenarnya memahami dilemma yang dihadapi oleh Azlan. Walaupun dia akui bahawa Azlan seorang ketua yang berdisplin, tegas dan sentiasa komited dengan tugas namun Inspektor Hamid menyedari bahawa Azlan sebenarnya kesunyian tanpa teman.

Ketuanya itu banyak mengelakkan diri dari terbuai dari rasa kesunyian dengan menyibukkan diri dengan tugas serta menyerahkan seratus peratus komitmennya terhadap tugas yang diamanahkan.

Bukan tidak ada gadis-gadis yang cuba mendekati ketuanya itu. Namun semuanya ditolak mentah-mentah oleh Azlan dengan alasan gadis-gadis itu semuanya tidak menepati cirri-ciri wanita yang diidamkannya.

“Semoga suatu hari nanti Tuan Azlan akan berjumpa dengan wanita idamannya. Ya Allah… temukanlah jodoh Tuan Azlan aku ni dengan segera, ya Allah…!” Doa Inspektor Hamid ikhlas di dalam hati.

“Inspektor Hamid! Apa lagi yang termenung kat tepi katil tu? Awak pulak yang nak jadi Shah Rukh Khan ya…!” Tegur Azlan dari luar pintu bilik.

Inspektor Hamid terkejut namun sempat tersengih-sengih dengan usikan ketuanya itu. Serentak itu, dia segera berpaling dan terus menuju ke arah Azlan.

Azlan yang memerhatikan perlakuan Inspektor Hamid memandang pelik. Namun dia tidak berkata apa-apa.

 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.