Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,626
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 18

BAB 18

Effa memandang gadis remaja di hadapannya itu. Cantik! Itulah yang terdetik di hatinya apabila pertama kali memandang gadis itu. Namun dari pandangannya, gadis itu terlalu banyak menyimpan duka di hatinya. Memendam rasa, membendung hati yang kecewa sehingga membawa kepada pemberontakan diri yang amat dahsyat sekali.

Kehijauan flora dan fauna di hutan FRIM di Kepong itu sesungguhnya amat memukau pandangan serta mententeramkan hati dan perasaan di kala dilanda keresahan.

Suasana itu sebenarnya banyak membantu Effa mendekati gadis itu dengan lebih dekat lagi. Dengan cara Effa yang mesra dan lembut, gadis itu nampaknya cepat mesra dengannya.

Effa mengambil masa hampir satu jam juga berkenal-kenalan dengan gadis yang bernama Suhaila ini bagi memberi ruang kepada gadis itu untuk membiasakan dirinya dengan Effa.

Mujur juga Suhaila memberi kerjasama yang bagus. Dia nampaknya mudah mesra dan lebih terbuka apabila bersama Effa. Akhirnya, setelah berbual-bual tentang perkara-perkara semasa, Suhaila bersedia menceritakan perihal dirinya.

“Bukan Ila tak sayangkan Mama dan Abah, Kak Effa.. tapi makin Ila mengiyakan dan menuruti kemahuan mereka, makin Ila rasakan yang mereka tidak memikirkan langsung perasaan Ila sebagai anak mereka..” Itulah kata-kata Suhaila sewaktu Effa menyarankan agar Suhaila meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Effa sengaja menyuruh Suhaila mengguna kata ganti namanya sendiri daripada menggunakan “saya” kerana ianya lebih mesra dan Suhaila mungkin lebih selesa untuk meluahkan masalahnya.

“Semua apa yang Ila buat, semuanya diaturkan oleh Mama dan Abah. Ila langsung tak ada hak nak keluarkan pendapat sendiri. Mama dan Abah tak pernah nak Tanya, apa yang Ila suka dan apa yang Ila tak suka. Apa yang Ila mahu dalam hidup ini. Semuanya kena ikut kehendak mereka. Ila tertekan, Kak Effa. Sampai satu tahap, Ila dah tak boleh nak fikir lagi.. samada apa yang Ila buat tu.. betul atau tidak!” Luah Ila.

Effa hanya diam dan mendengar. Memberi peluang Ila meluahkan apa yang terbuku di hati sepuas-puasnya.

“Ila pun ada perasaan. Ila ada kemahuan dan cita-cita Ila sendiri. Ila marah sebab mereka tunangkan Ila dengan Abang Joe tanpa berbincang dengan Ila dahulu. Ila pun ada hak nak tentukan hidup Ila. Ila jadi geram bila Ila tak boleh nak kata tidak pada mereka. Sebab tu.. Ila buat macam-macam perangai semata-mata nak bagitau mereka yang Ila tak suka diperlakukan begini…” Sambung Suhaila dalam nada sebak.

“Macam-macam yang Ila buat.. dah dua kali Ila cuba bunuh diri kak Effa….” Kata Suhaila.

Kali ini dia terdiam dan kemudiannya terus menangis. Barangkali kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Effa segera memeluk Suhaila. Effa mengusap lembut belakang Suhaila, cuba menenangkan diri Suhaila.

“Boleh Kak Effa tau.. mengapa Ila sanggup buat begitu?” Tanya Effa lembut.

Suhaila terdiam sebentar. Barangkali mengumpul kekuatan untuk meluahkan apa yang telah dilakukan olehnya selama ini.

“Ila tension Kak Effa. Mama dan Abah sentiasa memaksa Ila melakukan sesuatu yang Ila tak suka nak buat. Mereka sanggup paksa Ila layan tunang Ila baik-baik dan bila dah kahwin nanti, pujuk tunang Ila supaya semua harta jatuh ke tangan Ila seorang. Ila rasa macam mereka tu.. nak jual anak aje!” Jawab Suhaila.

“Tunang Ila tu.. kaya sangat ke? Berapa umur dia?” Tanya Effa.

“Memanglah kaya. Dia mewarisi perniagaan perabot jati dan kain batik dari arwah bapanya dahulu. Tua tu.. taklah sangat. Dalam 37 tahun. Sedangkan Ila baru 19 tahun..!” Kata Suhaila lagi.

“Ila suka tak tunang Ila tu?” Tanya Effa cuba mengorek rahsia.

Suhaila mengeluh. Kemudiannya menyambung;

“Tunang Ila tu.. bengis orangnya Kak Effa. Selalu cepat melenting. Belum kahwin lagi, dah lima kali Ila kena tampar olehnya! Tu yang buatkan Ila cari jalan untuk melarikan diri tu..!”

“Ila tak cuba bagitau Mama dan Abah apa yang telah dilakukan oleh tunang Ila tu?” Tanya Effa.

“Sudah Kak Effa.. malah.. mereka jugaklah yang menghantar Ila ke klinik tiap kali Ila kena tampar sampai berdarah bibir dan pipi. Mereka tak pernah pun marahkan Abang Joe sebaliknya Ila yang kena marah sebab Ila yang menyebabkan Abang Joe naik angin!” Kata Suhaila.

Effa mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ada jugak ibubapa yang macam tu kat dunia ni lagi ekk…! Apa nak jadilah!” Rungutnya di dalam hati.

“Apa kaitan tunang Ila tu dengan Mama dan Abah Ila?” Tanya Effa.

“”Abang Joe tu.. anak kawan baik Abah Ila. Mereka dah lama berkawan sejak dari zaman persekolahan dulu. Kononnya nak rapatkan hubungan persahabatan dan supaya harta yang diwarisi oleh Abang Joe tak jatuh ke tangan keluarga yang tak boleh dipercayai.. Entahlah.. “ Ila memberitahu.

“Jadi… apa yang Ila nak buat sekarang ni?” Tanya Effa.

Suhaila mengeluh. Dia bangun dari bangku yang didudukinya. Kawasan persekitaran yang redup di bawah pokok-pokok hutan yang merimbun itu amat menenangkannya.

“Kalau boleh.. Ila tak nak balik rumah Kak Effa. Ila tak sanggup nak mengadap muka tunang Ila tu lagi. Ila nak kerja di sini,.” Kata Suhaila separuh merayu.

“Bukankah Ila sudah berhenti kerja dari Pasaraya tu?” Tanya Effa.

“Hmm… kat mana-mana pun boleh cari kerja Kak Effa. Bukan susah pun nak dapat kerja..!” Jawab Suhaila selamba.

“Macamana dengan Mama dan Abah Ila? Mereka kan masih ibubapa Ila jugakkan..” Tanya Effa lagi. Kurang setuju dengan pendapat Suhaila.

“Ila nak mereka sedar yang seorang anak juga ada hak mereka sendiri. Walaupun anak itu amanah Allah tapi tak semestinya mereka gunakan tiket itu sepenuhnya untuk mengawal perjalanan hidup anak mereka…” Kata Suhaila tegas.

“Ila ada impian dan cita-cita sendiri. Mama dan Abah tak pernah ambil tahu apakah cita-cita anaknya ini. Mereka berdua memang selfish!” Jerit Suhaila melepaskan geram yang terbuku di hatinya selama ini.

Effa terdiam membiarkan Suhaila melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Effa kagum sebenarnya cara Suhaila berfikir walaupun masih di usia muda.

Effa mengeluh lagi. Dia ke situ atas arahan ibu bapa Suhaila bagi memujuk dan memberinya kaunseling agar Suhaila tidak melakukan sesuatu yang menyusahkan mereka lagi. Namun bila dia menyelami hati Suhaila secara peribadi ternyata gadis itu banyak mengalami tekanan dari ibubapanya sendiri.

Inilah susahnya bila ibubapa sentiasa memikirkan diri mereka betul dan terlalu inginkan kehendak mereka dituruti oleh anak-anak mereka tanpa memikirkan bahawa anak-anak mereka itu juga mempunyai perasaan dan impian masing-masing. Rungut Effa di dalam hati.

Jika ibubapa Suhaila masih tegar dan bersikap keras begini, ditambah dengan sikap Suhaila yang keras kepala dan tidak dapat memikirkan apa yang buruk dan baik pada dirinya, Effa dapat mengagak bagaimana teruknya masa depan Suhaila kelak.

Suhaila berkemungkinan akan terus terjerumus ke lembah maksiat dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat kerana merasakan dirinya lebih “bahagia” dari tinggal bersama dengan ibubapa yang tidak memahami dirinya!

Effa mengeluh lagi. Ngeri memikirkan nasib dan segala kemungkinan yang bakal berlaku kepada Suhaila dan remaja-remaja yang senasib dengan dirinya.

“Tak apalah Ila… Kak Effa akan cuba fikirkan cara macamana nak berbincang dengan Mama dan Abah Ila tu.. “ Pujuk Effa.

“Tapi… Kak Effa nak Tanya.. kenapa Ila bukak tudung bila sampai KL ni? Sorry, kalau Ila rasa tersinggung…” Tanya Effa dengan sopan.

Suhaila memandang sekilas pada Effa. Dia mengeluh.

“Tujuan Ila.. untuk mengaburi mata semua pihak yang sedang mencari Ila. Ila tahu, Mama, Abah dan Abang Joe mesti report polis atas kehilangan Ila. Tapi.. Ila tak sangka pulak.. pihak polis kat KL ni betul-betul cekap dan cepat dalam menjejak Ila kat KL ni.” Cerita Suhaila.

“Macamana mulanya pihak polis jumpa Ila?” Tanya Effa ingin tahu.

“Masa Ila mula masuk untuk bekerja kat pasaraya tu lah, ada dua orang lelaki yang berpakaian biasa jumpa Ila. Dia tunjukkan bukti yang dia tu polis. Lepas tu.. Ila dibawa ke balai polis dan di situ, Ila dipertemukan dengan seorang pegawai polis yang bernama Azlan..” sambung Suhaila lagi.

Namun apabila Suhaila menyebut nama ‘Azlan’, Effa tiba-tiba tersentak.

“Ehh.. apahal pulak aku terkejut lak ni? Macamlah mamat poyo tu sorang jer yang gunakan nama tu kat Malaysia ni! Tapi.. dia kan polis kat KL ni? Ahh… sudahlah! Apa hal pulak aku sibuk-sibuk teringat kat dia ni?” Hati Effa bermonolog sendiri.

“Err.. lepas jumpa polis yang bernama Azlan tu.. Ila buat apa?” Tanya Efa perlahan, ingin tahu!

Tiba-tiba Suhaila berubah ceria dan tersenyum manis.

“Hmm… dia ni baik orangnya Kak Effa. Dia banyak bagi nasihat kat Ila. Macam-macam dia nasihatkan kat Ila ni. Baru jumpa dia pertama kali, Ila rasa macam dah lama kenal kat dia..!” Jawab Suhaila sambil ketawa.

“Amboi… baik sangat ke polis tu? Macam dah suka je?” Usik Effa mesra.

Apabila nama “Azlan” dibangkitkan, wajah Suhaila mula berseri-seri. Dia tersenyum-senyum sendirian di situ.

“Bukan setakat baik je Kak Effa.. handsome lagi!” Suhaila tanpa malu-malu mengatakannya.

Effa ketawa. Budak-budak zaman sekarang, tak pernah ada rasa malu. Berani mengeluarkan pendapat sendiri. Berani memprotes bila ada rasa tidak puas hati. Malah dengan ibubapa sendiri juga turut diprotes. Makin mencabar hidup di zaman teknologi serba moden ini! Ini satu pembaharuan atau satu musibah? Entahlah….! Effa bermonolog lagi.

Tengahari itu, sessi perbincangan mereka berdua berjalan dengan tenang dan lancar. Effa berpuas hati dengan perbincangan itu. Sekurang-kurangnya, Effa dapat mencungkil apa isihati gadis itu. Suhaila pula selesa meluahkan isi hatinya kepada Effa. Ini memudahkan lagi tugas-tugas Effa.

Dan kini, Effa sedang memikirkan apakah tindakan selanjutnya dan cara bagaimana ingin berbincang dengan ibubapa Suhaila tentang perkara itu. Yang pastinya, Effa amat berharap agar kedua-dua belah pihak dapat mencapai persetujuan bersama supaya tidak ada sesiapa pun yang rugi mahupun bermusuh sesama sendiri..

Tiba-tiba Effa menarik nafas panjang dan mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah. Walaupun dia kurang mendapat kasih sayang dari seorang ibu tetapi dia tetap bersyukur di atas segala kasih dan sayang yang tidak terhingga dari ayah dan abang-abangnya.

Kasih sayang yang melimpah ruah dan segala perhatian dari mereka menjadikan Effa tidak pernah menganggap dirinya keseorangan dan terbiar.

Lebih membuatkan dirinya terharu ialah sifat memahami dan penyayang ayahnya. Untuk itu walau di mana sahaja Effa berada, Effa tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan ayahnya…

Sesungguhnya, dari pertemuan ini Effa dapat mempelajari sesuatu… Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.

Effa akui ibubapa zaman ini terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Namun Effa percaya, pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak.

Semoga suatu hari nanti, jika ada jodoh, Effa berharap dia juga dapat mempraktikkan terhadap anak-anaknya, apa yang telah ayahnya lakukan terhadap dirinya dan abang-abangnya selama ini.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.