Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,783
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
7

Aku tidak selesa duduk di rumah. Cuti hujung minggu bukan lagi sesuatu yang kutunggu-tunggu. Aku lebih rela menghabiskan masa di pejabat daripada menghadap muka orang yang tidak sukakan aku.


Masuk hari ini sudah lebih dua bulan peristiwa gelangku hilang berlaku tetapi mogok ibu belum lagi tamat. Ibu kelihatannya bersungguh untuk mengelak daripadaku. Jika aku masuk ke dapur, dia berlalu ke ruang tamu, jika aku ke ruang tamu, ibu beredar masuk ke bilik. Aku betul-betul buntu. Aku menagih mesra ibu yang tidak pernah wujud.


“Heh,menung apa ni?”


Aku tersenyum mendengar sergahan abah. Dia melabuhkan punggung di depanku.


“Dah beli barang-barang hantaran?” Soalan abah kubiar tanpa jawapan. Bagaimana harus aku terangkan pada abah yang aku sudah tidak pasti dengan Harith? Hati aku bukan lagi 50-50. Peratusnya jatuh sehingga 90-10!

                

Ketika aku dan Harith pergi mencuba baju untuk majlis pertunangan kami,  entah mengapa, tahap keterujaanku sudah menurun. Balik-balik, kata-kata si Abang Jampi itu juga yang datang-pergi dalam kepala. Aku diulit rasa bersalah, sepertikan aku telah berlaku curang terhadap Harith. Aku menduakan dia dengan dengan manusia yang tidak aku tahu bentuk rupanya.

                

“Ara, menung lagi? Kenapa ni?” Abah menjatuhkan surat khabar yang sedang dibacanya. Aku tahu yang abah sudah menangkap keruh di wajahku. “Ada problem dengan Harith ke?”

                

“Takdelah, abah.” Bohongku, lebih untuk menjaga hati abah daripada menjadi risau.

                

Harith. Lelaki itu kurasakan sudah semakin jauh. Setiap kali kami keluar bersama, kami akan bergaduh. Kata-katanya sudah tidak ada yang lembut untuk aku. Masanya juga kurang. Dalihnya semakin banyak. Alasan mengelak untuk bertemu pasti ada sahaja.


Mungkin aku yang telah jadi lebih perasa kerana sudah ada orang lain untuk aku perbandingkan dengan dia. Mana tidaknya, aku rasa, aku lebih kerap bertembung dan berbual dengan si Abang Jampi daripada bakal tunangku sendiri.

                

“Jangan tunggu last minute baru nak beli barang tu nanti. Takut kelam-kabut.” Kata-kata abah membawa aku kembali ke ruang balkoni. Aku pun mengangguk tanda faham dalam rasa sungguh terpaksa.

 

*****

               

Aku tunduk menguis makanan, menjeling ke arah Harith yang leka menghadap telefon bimbit. Sesekali aku nampak dia tersenyum, sesekali kemudiannya dia ketawa kecil. Bosan sungguh rasanya. Entah dengan siapalah agaknya dia sedang berbual. Isyarat pesanan keluar-masuk tidak putus-putus.

           

“Awak ni, berhenti la main telefon. Dari tadi tak habis-habis. Dah lah kita susah nak jumpa.”


Akhirnya aku meluahkan. Mana tidaknya, makanan dalam pingganku sudah kosong tinggal tulang, sedangkan pinggannya masih penuh. Kenyang agaknya dia menatap skrin. Harith mendengus mendengarkan luahanku.

                

“Bisinglah awak ni. Saya dah bagitau kan, saya sibuk. Awak nak jugak keluar.”


Giliran aku pula yang mendengus dan menarik muka.


“Hah, baguslah buat macam tu. Sikit-sikit nak merajuk.” Tukas Harith, seperti biasa melepas rasa tanpa memikirkan hatiku. Aku tidak merajuk, kerana aku tahu, rajukku tidak pernah lagi terpujuk. Cuma aku rasa sakit hati.

                

Harith yang aku kenali dua tahun lepas, tidak seperti sekarang. Perhubungan kami terjalin kerana pilhan keluarga. Nenek Harith bekas cikgu di sekolah abah. Mereka bertemu ketika abah hadir ke majlis perjumpaan semula bekas-bekas guru dan pelajar di sekolah lamanya. Kebetulan pula hari itu aku menemani abah.


Sejak dari hari itu, nenek Harith sering sahaja menjemput kami sekeluarga ke majlis-majlis di rumahnya sehinggalah satu hari, dia melahirkan hasrat untuk menyatukan aku dan Harith. Aku yang ketika itu memang tidak berteman, mengikut sahaja kata-kata abah. Bersetuju tanpa berfikir panjang.


Bulan-bulan awal perhubungan kami, Harith memang lulus cemerlang. Manisnya dia memang sehingga boleh dihurung semut, boleh didiagnosis tahap kencing manis! Tetapi semuanya berubah apabila usia perhubungan kami mencecah dua tahun. Dia mula pandai marah-marah. Ada sahaja yang aku buat tidak kena di matanya.


Tiba-tiba Harith meletakkan telefon genggamnya ke atas meja dan tersenyum lebar – satu bentuk senyuman yang sudah lama tidak terukir untuk aku. Dan sememangnya yang kali ini pun masih bukan untuk aku kerana matanya jelas terarah ke susuk yang muncul dipintu restoran. Aku tertoleh mengikutkan rentaknya.


“Lala!” Separuh terjerit Harith. Ada nada teruja di situ. Aku ketap gigi kuat-kuat. Berbeza sungguh perubahan tingkah-lakunya, air mukanya. Hatiku rasa sebal tiba-tiba.


“Nasib baik abang whatsapp bagitau abang ada kat sini.” Dan tanpa perlu dipelawa, Rafila duduk di antara kami. Ada beberapa beg kertas di tangannya.


Aku telan kata-kata Rafila dalam emosi tidak menentu, ada geram dan cemburu tidak terluah. Juga rasa marah terhadap Harith. Aku ada di depannya dan dia sibuk menghantar mesej pesanan ke perempuan lain. Memang dasar cekodok!


“Sorang aje ke?” Amboi!! Bahasanya denganku tidak pernah lagi selembut ini.


Aku tenung Harith. Dalam fikiranku, aku telah tikam dia berkali-kali, mati-hidup, mati-hidup dengan sebilah pisau pemotong ayam. Mungkin juga telah kusunatkan dia sekali lagi. Jantan bertuah!


“Sorang, boring duduk rumah. Tu yang keluar shopping tu.”


“Kenapa tak keluar dengan ibu?” Spontan aku menyoal. Rafila menjeling sambil lalu kepadaku.


“Pak andak ajak mummy teman dia pergi tengok kawan dia sakit.” Ringkas jawapannya, jelas sambil lewa.


Aku merenung pula Rafila. Sedapnyalah kalau dapat kuganyang, kutarik-kutarik rambutnya yang berkarat dan kucili-cilikan mulutnya yang merah menyala. Pasti viral satu Malaysia!


“Apahal pandang orang macam tu?” Angan-anganku putus disergah Rafila. Aku tarik nafas dalam-dalam, kemudiannya menyedut baki air dan beristighfar. Jauh sungguh terpesong keinginanku. Haiiii…Ara, berangan sajalah!


Setengah jam kemudiannya berlalu diisi rancak cerita dua orang manusia di depanku. Aku bagaikan satu bentuk halusinasi. Akhirnya di hujung cerita, aku menangkap keputusan mereka untuk menonton wayang setelah selesai makan. Serentak itu hatiku menjadi panas.Rafila pula, tanpa menunggu keputusanku, terus sahaja melayari talian internet untuk membeli tiket.


“Tadi kata sibuk. Ajak beli barang macam tak cukup masa. Tup-tup nak tengok wayang pulak?”


Selamba aku membangkang, malas untuk bertapis-tapis lagi. Harith di depanku ini sudah ada dua personaliti. Dengan aku, dia manusia serba sibuk dan cepat marah-marah manakala dengan Rafila pula dia seperti lelaki budiman yang punya banyak masa.


Aku lihat airmuka Harith berubah tetapi aku tidak merasa takut. Di sisiku ada Rafila. Aku pasti yang dia tidak akan buat perangai barannya. Tetapi kiranya telahanku salah. Harith bingkas dari kerusi, rahangnya bergerak-gerak, menahan marah. Dia hampir ke bahagian kiri tubuhku, mencengkam kuat-kuat lenganku dengan senyum lebar di mukanya dan memaksa aku bangun. Tubuhku terdorong kerana rasa sakit.


“Jom sekejap, nak cakap sikit,” ucapnya, masih dalam senyum dan kemudiannya berpaling ke arah Rafila, “Lala, tunggu kejap ye. Abang nak cakap sikit dengan kak Ara.” Rafila yang sedang ralit dengan telefon hanya mengangguk tanpa memandang.


Harith melelar tubuhku ke depan pintu bilik air restoran yang agak tersorok. Kedua belah lenganku digenggamnya kuat-kuat. Terasa seperti bergeser tulang dan dagingku diasak kudrat lelakinya. Ketika itu airmataku sudah mula bergenang di tubir mata. Dia menolak badanku ke dinding, kasar.


“Apa masalah kau nak sindir-sindir aku macam tu?” Soalnya dengan suara yang tertahan. Aku menelan liur. Sungguh tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.


“Sa-…saya…” tergagap-gagap aku. Memang selama ini Harith selalu menengkingku, tetapi ini kali pertama dia menyakiti tubuhku.


“Kau dengar sini baik-baik. Lagi sekali kau malukan aku macam tu…siap kau! Dari tadi kau memang cari pasal dengan aku kan?”


Aku hilang kata-kata. Aku lupa ayat untuk bela diri. Sikap Harith ketika ini membuatkan aku lupa segala-galanya.


“Kau kalau nak ikut tengok wayang sekali, kau ikut. Kalau tak kau boleh berambus! Tak payah ikut kalau nak buat-buat muka. Aku tak suka. Faham!” Masih dalam nada yang keras, Harith memberi arahan.


Aku tahu pilihanku yang mana satu. Aku tahu yang tempat aku bukan lagi di situ. Harith melepaskan genggaman tangannya dan aku ambil peluang itu untuk menyeka airmata dan menggosok kedua-dua belah lenganku. Aku mahu balik! Diam Harith aku guna untuk melepaskan diri kembali ke meja, mencapai tas tangan dan meluru keluar dari restoran. Biar dia atau Rafila sahaja yang melunasi bilnya. Perkara utama di dalam kepalaku sekarang, aku mahu balik!




Previous: 6
Next: 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.