Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,785
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
10

“Masuk!”


Terkejut aku dengan kehadiran Harith tengah hari Sabtu itu di depan pejabat. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba dia muncul, marah-marah. Sedangkan hampir sebulan dia hilang khabar. Ketika itu aku dan kak Nija sedang menunggu Abang Adi datang menjemput. 


“Masuk!” Desaknya lagi. Tona suaranya keras.


Kak Nija tergeleng-geleng kecil, memberi isyarat ‘jangan’.


“Kalau kau tak masuk sekarang –“ Harith mula mengugut. 


Aku jadi takut, cepat-cepat meloloskan diri ke dalam keretanya. Belum pun sempat aku menarik tali pinggang keledar, kereta itu sudah berdecit pergi. Terhumban aku ke dashboard. Beg tanganku pula tercampak ke kaki. Tetapi Harith nampaknya seperti tidak kisah.

                

“Perlahan la sikit, awak.” Pujukku apabila melihat kelajuan keretanya sudah melebihi yang sepatutnya. Harith memandu secara semberono. Mencelah di antara kereta-kereta yang memenuhi jalan raya.

                

“Kau diam!” Tengkingnya. Aku seperti tertelan anak tekak. Waktu itu fikiranku jadi kosong, tubuhku terasa terapung. Habislah kau, Ara! Apa pula yang tidak kena agaknya kali ini?

                

Degup jantungku semakin hilang ritma ketika kereta Harith masuk ke lebuhraya. Kelajuannya masih sama. Peluh merenik di setiap inci tubuhku. Pendingin hawa seakan tidak terasa.

                

“Harith, kita nak pergi mana ni?” Aku beranikan diri juga untuk bertanya. Aku perlu tahu kerana dia masih belum ada hak ke atas diriku.

                

“Pergi mati. Kenapa? Kau takut?” Aku tahu yang Harith di sebelahku ini bukan Harith yang biasa-biasa lagi. Mungkin lebih teruk daripada Harith sewaktu di restoran bulan lepas. Aku mula teresak. Rasa takut dan marah bercampur-baur. Aku ambil keputusan untuk mengikut rentaknya dan menutup mulut.

                

Kereta Harith berhenti di parkir Hentian Rehat dan Rawat Beranang. Tidak ada kereta berhampiran kami. Mataku melingas. Kalaulah terjadi apa-apa, kepada siapa hendakku minta pertolongan?

                

“Siapa jantan tu?” Nada Harith masih lagi tinggi.

                

“Jan -…jantan mana?”

                

“Jantan tu la! Jantan yang kau jumpa selalu tu! Jantan tu! Jantan tu!!” Aku menarik diri rapat ke pintu kereta apabila melihatkan Harith mula mengamuk. Dia memukul-mukul stereng dengan kedua belah tangannya beberapa kali. Ketika ini tahap takutku naik seratus peratus.

                

Abang Jampi’kah yang dimaksudkannya? ‘Jantan’ mana lagi yang aku selalu temui? Tetapi setakat ini, aku belum pernah lagi berdua-duaan dengannya. Selalunya akan ada kak Tam atau kak Nija bersama. Aku tahu letak diriku.

                

“Mana ada saya jumpa siapa-siapa –“

                

“Kau ingat aku bodoh? Yang kau duduk makan-makan berdua kat gerai tu kau ingat aku tak tau? Kau ingat aku buta? Heh, penipu –“ dia mencengkam lengan kananku. Kuat. Airmataku saat itu sudah berjurai-jurai memenuhi muka. “Aku nampak'lah! Aku nampak!”

                

“Sakit, Harith…” aduku tetapi genggamannya semakin kuat. Harith mengetap gigi sehinggakan rahangnya nampak begitu tegang. Siapa sebenarnya lelaki di sebelahku ini?

                

“Berani kau ye…memang dasar betina murah!” Jeritnya lagi. Tersagat rasa hatiku apabila dilabelkan begitu oleh orang yang aku pernah sayangi sepenuh hati.  “Kau ingat senang-senang aku nak biar kau layan jantan lain? Apa lagi yang kau dah buat dengan dia, hah?” Melulu Harith terus menuduh. Kali ini tangan kirinya mencangkuk bahagian bawah daguku dengan sepenuh tenaga lelakinya. Nafasku jadi sesak.

                

“Ha-…Harrrithhh…sakitttt…” Ya, Allah, tolonglah aku. Tolonglah aku. Janganlah sampai aku hilang nyawa di tangan lelaki ini.

                

“Kau ni kannnnn…”


Harith sudah mengangkat tangannya tinggi-tinggi ketika itu sebelum telefon genggamku berbunyi nyaring. Tangannya tidak jadi singgah ke mukaku. Dia melepaskan semula geramnya ke stereng beberapa kali , dengan jeritan dan carutan-carutan yang tidak sanggup aku dengar. Aku memeluk tubuh dalam keadaan menggigil.


“Turun!!!” Arahnya tiba-tiba. Aku cepat-cepat lepaskan tali pinggang keledar, mencapai beg tangan dan terburu-buru keluar. Peluang ini memang tidak akan aku lepaskan. Hendak balik dari sini bagaimana, itu boleh aku fikirkan kemudian.


Sebaik sahaja aku menutup pintu kereta. Harith terus berlalu meninggalkan aku, terpisat-pisat sendirian. Dengan airmata yang penuh di muka, denyut yang mula terasa, aku bawa tubuh yang masih menggigil ke bangku berdekatan.


Lama aku cuba menenangkan diri sambil cuba menghadam apa yang baru berlaku. Allah, kenapa begitu sekali Harith sanggup lakukan kepadaku? Mungkinkah kerana aku senyapkan perlakuan pertamanya dulu? Sedang aku cuba memikirkan itu - memikirkan ini, telefonku berbunyi lagi. Nama kak Nija muncul di skrin. Pastilah dia sangat risau ketika ini. Aku sapu hingus dengan belakang tapak tanganku sebelum menjawab.


“Ara kat mana ni? Ok ke?” Soalan kak Nija membuatkan aku kembali menangis. “Ara…kenapa ni? Kenapa ni?” Suara kak Nija kedengaran panik. Aku tidak mahu membuat dia risau tetapi aku juga tidak dapat menahan diri dari teresak. “Ara? Allah…cakaplah. Jangan buat akak risau macam ni. Ara kat mana ni?”


Aku ambil masa beberapa minit untuk mengawal diri. Kemudiannya aku ceritakan apa yang telah terjadi dalam versi paling ringkas untuk pengetahuan kak Nija. Mengucap panjang dia mendengarkan apa yang telah Harith lakukan terhadapku.


“Kurang ajar betul! Report polis, Ara!” Usulnya. Aku menimbang-nimbang kemungkinan itu. “Akak datang jemput ye?” Aku tolak tawaran kak Nija cepat-cepat. Pertama kerana aku tidak mahu menyusahkannya, kedua kerana aku tahu yang dia sudah ada rancangan untuk pulang ke kampung suaminya di Kuala Lipis – haluan yang berlainan.


“Takpe kak, Ara try call Grab. Akak jangan risau. Ara rasa dah ok sikit ni. Nanti apa-apa, Ara call akak ye. Thanks kak.” Setelah memberikan beberapa nasihat dan berbalas salam, aku memutuskan talian.


Sepuluh minit berlalu dan aku masih dalam posisi yang sama, merenung skrin telefon. Berfikir-fikir siapa yang harus aku hubungi. Aku rasa aku masih belum bersedia untuk memaklumkan perkara ini kepada abah. Kepada ibu jauh sekali. Habis, siapa?


-Assalamualaikum, Ara. Please share ur location. Thanks.


Aku membaca pesanan ringkas itu dengan perasaan bercampur-baur. Abang Jampi!


-Ara, kak Nija yang call saya. Dun worry, dia tak cerita apa-apa. Cuma mintak tolong saya bawak awak balik rumah.


Macam mana kak Nija boleh ada nombor si Abang Jampi?


- Ur location, please?


Pesanan daripada Abang Jampi tidak putus-putus masuk sedangkan aku masih teragak untuk memakan budinya. Trauma ditengking Harith sebentar tadi masih belum hilang dan isu pergaduhan kami adalah kerana dia. Masihkan aku berani untuk membiarkan dia melangkah masuk lebih jauh ke dalam hidupku?

                

- Ara?

                

+ Saya tak nak susahkan awak.

                

Dan aku tekan butang hantar dengan rasa debar menunggu jawapannya.

                

- Saya memang dari Senawang. Baru masuk LEKAS waktu kak Nija call.

                

Kebetulankah? Atau mungkin dia sengaja tidak mahu aku merasa bersalah?

                

- Saya dah janji dengan kak Nija, takkan tanya apa-apa.


- Insya Allah, Ara, saya pegang janji saya.


Aku raba hujung dagu yang berdengung. Aku belek pula lengan yang mula berbirat. Aku benar-benar mahu pulang sekarang. Kepalaku sudah mula merasa berat. Mungkin ada bagusnya aku pulang bersama orang yang membuatkan aku merasa selamat. Dan orang itu adalah dia.


Aku berkongsi lokasi dan kemudiannya perbualan kami terhenti. Tidak sampai lima belas minit, dia – si Abang Jampi sudah ada di depanku – lengkap dengan topi, topeng mulut dan cermin mata hitam. Aku tidak tahu bagaimana reaksi wajahnya apabila melihatkan aku kelihatan selebet sebegini.


Perjalanan selama empat puluh lima minit itu diisi kebisuan. Aku meminta dia menurunkan aku di stesen LRT berdekatan dengan rumahku. Dari situ aku memilih untuk menaiki teksi. Aku rasa, dengan apa yang berlaku sekarang ini antara aku dan Harith, aku tidak perlu lagi menambah hangat cerita dengan membiarkan dia dilihat oleh ibu dan abah.


Abang Jampi hanya menurut tanpa soal. Aku tahu banyak yang berlegar-legar di dalam kepalanya dan aku sangat terharu kerana dia berpegang pada janji kerana aku belum mahu bercerita apa-apa. Dia punca tetapi aku tidak menyalahkannya. Aku yang membenarkan semuanya berlaku.


Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi!





Previous: 9
Next: 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.