Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,788
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
8

“Dia buat Ara macam tu?”


Bulat buntang mata kak Nija mendengarkan apa yang telah Harith lakukan terhadapku semalam. Aku hanya mengangguk, mengiyakan dengan rasa yang separuh-separuh – separuh tidak percaya dan separuh tidak sangka.


“Ara rasa kan kak, Harith dengan Lala…” aku tidak jadi menyambung kata.


Bukan kerana aku kehilangan ayat, tetapi kerana aku tidak tahu untuk mengklasifikasikan bentuk hubungan dua orang manusia itu. Hendak kutafsirkan sebagai kawan, lagak mereka seperti sudah melangkahi sempadan.


“Diorang ada apa-apa ke Ara? Ada skandal kot?” Aku jungkit bahu. Malas untuk menyelami telahan kak Nija. Hati perempuanku mengiakan kebenarannya tetapi lojik akalku cuba melawan.


“Tapi kak, semalam, Ara takut betul tengok Harith. Nak pandang muka dia pun tak berani. Cara dia pegang Ara tu, macam orang nak bertumbuk. Dah macam bukan Harith dah.”


“Habis tu, dah bagitau kat abah Ara?” Aku gigit hujung bibir dan perlahan-lahan menggeleng. Jegilan mata kak Nija semakin besar.


“Ara tak nak abah risau.” Cepat-cepat aku pintas sebelum dia sempat membuka mulut untuk membidas. Kak Nija mengeluh mendengarkan alasanku.


“Tapi kan, akak rasa, Ara kena bagitau abah. Dibuatnya datang gila dia lagi - ” suara kak Nija separuh memujuk.


Aku nampak rasionalnya di situ. Memang sepatutnya ada ahli keluargaku yang perlu tahu supaya sekiranya terjadi apa-apa yang lebih buruk di masa hadapan – minta dijauhkan – mereka sudah tahu apa yang berlaku.


“Berani betul dia ye. Belum ada apa-apa pun lagi, bertunang pun tak lagi, dah berani buat anak dara orang macam tu.” Bebel kak Nija bermukadimah sambil dia menarik kerusi dan mencapai beberapa keping fail dari meja belakangku. “Ni, si Wana ni pulak mana perginya. Akak suruh dia siapkan fail ni dari minggu lepas lagi. Macam tak berusik langsung.”


Bebelan kak Nija yang automatik melompat dari tajuk, membuatkan aku sedikit terhibur.


“Pergi belajar silat la Ara, taekwando ke…sekurang-kurangnya kalau lepas ni dia buat macam tu lagi, Ara boleh bagi je balik.” Cerita kak Nija kembali semula kepadaku. Aku tergelak luar sedar. Keletah kak Nija memang selalu mengubat hatiku. “Tengok tu, akak serius ni. Boleh pulak dia gelak-gelak.”


“Alah…sorry la kak. Ok…ok…nanti hujung minggu ni Ara pergi panjat gunung, cari gua, cari tok guru, belajar silat ye.” Kak Nija menarik muka apabila mendengarkan kata-kataku yang jelas berseloroh.


Buat seketika cerita Harith hilang sebentar. Sememangnya aku amat malas untuk memikirkan tentang lelaki tersebut. Aku jadi benci. Aku tidak tahu bagaimana untuk bersemuka dengan Harith lagi selepas ini. Mungkin aku akan mengelak untuk bertemu, sekurang-kurangnya sehingga lebam di kedua-dua belah lenganku hilang.


“Hah, tak pun pergi belajar guna cara halus.” Bisikkan kak Nija membuatkan senyumku semakin lebar.


“Guna kuman?” Soalku semula. Kak Nija menampar belakang badanku dengan fail yang ada di tangannya.


“Guna jampi! Pergi belajar menjampi dengan Abang Jampi. Biar lepas ni, dia dengar je cakap Ara!” Aku tergelak mendengarkan idea kak Nija.


Aku tahu dia cuma main-main tetapi aku tetap terbeli apabila ada nama si Abang Jampi di dalam rancangannya itu.


“Cerita pasal Abang Jampi kan, Ara, lama tak nampak dia dah.” Tiba-tiba kak Nija berpindah topik. Aku turut mengakui kebenaran kata-katanya. Sudah hampir seminggu Abang Jampi tidak muncul di gerai kak Tam – tempat pertemuan rasmi kami. Rindukah aku?


“Tu la kan…kak Tam pun bagitau yang dia dah lama tak order karipap.” Kak Nija tergelak kecil mendengarkan ulasanku.


“Baguslah korang berdua. Macam berjodoh je. Dua-dua tak betul, makan karipap inti angin!” Aku mencubit bahu kak Nija. Ke situ pula konklusinya.


Masih dalam gelak yang bersisa, kak Nija bingkas.


“Dah, akak nak balik meja. Tunggu si Wana tu siapkan fail-fail ni, minggu depan pun tak tau lagi. Nanti lunch akak roger ye.” Aku sambut kata-katanya dengan satu anggukan besar dan kembali menyambung kerja.


Baru selesai lima muka laporan yang kutaip, telefon bimbitku bergetar menandakan ada pesanan masuk. Aku berdoa sangat-sangat yang ianya bukan dari Harith. Aku tidak punya mood hari ini untuk melayan dramanya.


- Assalamualaikum, Ara.


Nombor yang tidak aku kenali.


+ Wa’alaikumsalam. Sorry, siapa ni ye?


-Lama tak jumpa. Rindu saya tak? Saya rindu awak.


Aduh, siapa pulalah yang memilih hari ini untuk bergurau. Aku berkira-kira untuk mematikan data.


- Ara?


+Sorry, saya sibuk ni. Jangan main-main boleh tak?


Senyap seketika. Mungkin orang di sebelah sana terasa dengan jawapanku. Biarlah. Otakku sudah tepu dengan masalah yang ada – masalah Ibu, masalah Harith. Sudah tiada ruang untuk aku letakkan masalah baru.


“Cik Ara.” Terkejut aku apabila dipanggil secara tiba-tiba. Aku melepaskan telefon. Hamdi berdiri di tepi mejaku sambil menghulurkan bekas makanan empat segi. Aku lihat beberapa butir karipap di dalam bekas lutsinar itu.


“Siapa bagi?” Soalku sambil menyambut bekas tersebut walaupun hatiku sudah sedia maklum akan jawapannya.


“Orang pakai helmet.” Aku mengeluh.


Apa sahajalah yang sedang dilakukan oleh si Abang Jampi ni. Cuba merasuah hatiku, kah? Bukankah dia tahu yang aku sudah ada teman istimewa. Serentak itu aku teringatkan Harith. Masih istimewakah dia selepas peristiwa semalam?


“Dia ada lagi kat bawah?”


“Tak, dia bagi, lepas tu  terus pergi.”


“Ada pesan apa-apa?” Dalam rasa serabut, tetap juga aku bertanya.


“Takde pulak, dia kata nanti dia bagitau sendiri.” Aku mengeluh lagi. Dengan yang menghantar pesanan ringkas, dengan yang menghantar karipap. Lepas ini menghantar apa pula agaknya?


Hamdi berlalu selepas memberi salam. Bekas berisi karipap itu aku letak di atas meja, tidak berbuka. Takut baunya menggoda aku. Sedangkan baunya sahaja sudah berjampi, kalau dimakan, entah terbawa sampai ke mimpi. Sekarang ini pun aku sudah rasa kehilangan apabila tidak bersua.


-Ara?


Isyarat pesanan masuk bergetar lagi. Aku tersedar yang aku sedang berbalas pesanan sebentar tadi.


+ Siapa ni ye? Kalau tak nak bagitau, kita berhenti kat sini.


Ugutku, sedikit bertegas. Malas untuk melayan.


- Sampai dah karipap?


Jantungku dipukul gemuruh. Jariku tiba-tiba jadi kaku.


- Ara, karipap yang saya kirim dah sampai ke?


- Ara?


Aku tarik nafas dalam-dalam.


+ Mana awak dapat nombor saya?


- Sumber-sumber yang boleh dipercayai. ;)


Jawapan itu membuatkan aku malas untuk melanjutkan tanya kerana aku tahu yang dia memang tidak akan memberitahu.


+ Iyelah tu.


- Makan dah? Jangan risau, sumpah saya tak jampi!


Aku tersenyum sendiri. Pesanan yang sama! Tiba-tiba ada satu perasaan yang luar biasa singgah di hatiku. Seperti telah jatuh cinta buat kali kedua. Aku ingatkan diri, jangan Ara, jangan!


+ Terima kasih. Tapi kenapa ye awak buat macam ni?


- Sebab…


Aku merenung skrin telefon, menunggu dan menunggu balasan daripada si Abang Jampi sehingga akhirnya aku pasti yang dia sudah tiada di talian. Suka sangat dia menggantung aku sebegitu. Aku matikan data, kemudiannya menyimpan nombornya di bawah nama – Abang Jampi. Aduh Ara, apa sudah jadi?



 

Previous: 7
Next: 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.