Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,786
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
2

Kami tiba di rumah ketika jam di dashboard kereta menghampiri pukul lima setengah petang. Waktu itu, kulit telingaku sudah betul-betul nipis disagat bebelan dan kemarahan Harith – dari tempat kemalangan– hospital – kemudiannya ke rumah; sepanjang perjalanan! Mujur sahaja aku ini sedang menelan budi, kalau tidak mungkin sahaja pendopang kaki ini naik ke kepalanya. Ah, Ara, macamlah kau berani!


“Turunlah, tunggu apa lagi?” Jerkahnya apabila melihatkan aku masih kaku di tempat duduk penumpang.


Perlahan aku melepaskan tali pinggang keledar. Terkial-kial aku sendirian, cuba membawa diri turun dari kereta dengan pendopang dan simen di kaki yang masih asing bagiku.


Ketika ini, ayat pemuda berhelmet tadi singgah ke kepalaku, menimbulkan rasa tidak pasti tentang jalan cerita aku dan Harith lagi. Mudahnya lelaki itu meninggalkan kesan pada hubungan yang telah terjalin hampir dua tahun ini. Dia telah menebak rasa yakinku dan aku mula nampak dengan jelas setiap silap-salah yang Harith lakukan sedangkan sebelum ini semua itu mudah sahaja kutelan. Sudah apa agaknya aku? Jampi apa yang dia gunakan? Versi Hael Husaini’kah?


“Ya, Allah, Ara! Kenapa ni?” Suara ibu pecah di pintu, tetapi nyaringnya sampai ke hujung laman. Ah, ini lagi satu masalah. Kalaulah aku ada telinga simpanan.


“Acci-“


“Kena langgar depan ofis tadi makcik.” Cepat sahaja Harith memotong kata-kataku. Lagaknya seperti sangat mengambil berat. Serentak itu juga tangannya mengampu sikuku. Hendakku tarik nampak sangat ketara, maka kubiarkan sahaja dia dengan lakonannya.


“Kamu ni kan Ara, memang cuai kan. Jalan depan ofis tu punya sekangkang kera pun kamu boleh kena langgar. Mata mana, mata?” Dan ceramah sesi keduaku pun bermula. Aku lihat dengan hujung mata Harith mengulum senyum. Puaslah hati dia apabila ada yang menyokong.


“Tak nampak kereta tu tadi, ibu –“


“Yelah, kalau nampak takkan kena langgar. Tapi kamu tu memang lalai. Suka sangat berangan! Kesian Harith ni, suka sangat kamu susahkan dia. Habis tu, yang janji dengan butik pengantin tu macam mana?”


Aku memandang ibu, dalam diam cuba untuk menerobos ke ruang sereberumnya - untuk melihat apa yang ada di situ – mungkin sedikit rasa simpati - sebab aku tahu sangat yang hatinya memang kosong untuk aku.


“Takpelah makcik, tu nanti boleh set hari lain.”


Aku tahan nafas mendengar jawapan penuh diplomasi Harith sedangkan di dalam kereta sebentar tadi, mendidih salur darahku menahan rasa mendengarkan kata-kata tajam yang keluar tanpa noktah dari mulutnya. Kalaulah kaki ini boleh berlari, sekarang juga rasanya aku ingin ke kedai, menempah trofi pelakon lelaki terbaik untuknya tahun ini!


Duduk di ruang tamu, aku masih memandang ibu. Ini bukan kali pertama. Aku tidak pernah memenangi hatinya. Baik waktu sihat ataupun sakit, sedih mahupun gembira, sejak kecil, sejak aku boleh mengenal rupa dan tahu memanggilnya ‘ibu’. Aku selalu rasa ada ruang lompong antara aku dan ibu. Hubungan kami hubungan ibu-anak yang janggal. Dan aku tidak tahu di mana silapnya.


“Habis tu tak kerja la kamu petang ni Harith?” aku dengar ibu menyoal Harith.


Aku yang bersimen dari tapak kaki hingga ke betis, kisah Harith pula yang lebih menarik perhatian ibu. Langsung tiada pertanyaan lanjut mengenai kemalangan dan kecederaan yang kualami. Seperti cerita itu langsung tidak menarik minatnya.


“Patut ada appointment ni tadi makcik. Terpaksa la cancel. Bagi kat kawan. Nasib baik ada yang free. Kalau tak kelam-kabut jugak.”


“Dengar tu Ara. Menyusahkan orang betul kamu ni!”


Sebak dadaku dituduh begitu. Orang mana di dalam dunia yang minta suka-suka dirinya dilanggar? Dengan kerja yang bertimbun di pejabat, fail-fail yang belum selesai, singa betina yang tidak putus mengirim tugas – aku juga tidak minta semua ini berlaku!


“Mummy…eh,abang Harith.” Sebakku terbantut mendengarkan suara itu. Eh, bila pula dia sampai? Rumah ini sudah seperti hotel untuknya. Datang dan pergi sesuka hati.


“Lala. Bila sampai?”


Rafila, anak buah kesayangan ibu merangkap sepupuku, anak kepada adik ibu – Mak Uda, yang tidak pernah bermanis muka denganku, datang melenggang-lenggok dan melabuh punggung di sisi ibu. Aku di situ seperti tidak wujud kerana fokusnya terang-terang terarah kepada Harith.


“Baru pagi tadi.”


“Tak kerja ke hari ni?”


“Dah berhenti.” Ringkas jawapannya.


Tidak silap aku, ini kali kelima Rafila berhenti kerja dalam masa tidak sampai dua tahun. Ada sahaja yang tidak kena. Selalunya masalah itu berpunca dari persekitaran di pejabat, cara dia dilayan dan beberapa lagi alasan yang tidak masuk akal bagiku tetapi selalu kedengaran rasional bagi ibu.


“Berhenti lagi? Kenapa?” Aku jeling Harith yang nampak begitu berminat tentang hidup gadis 23 tahun tetapi berperangai seperti budak belum habis sekolah di depanku ini.


“Takdelah…kan Lala ada degree. Ada ke kakak kat ofis tu suruh Lala buat photostate dengan print minit mesyuarat. Kakak tu dah la SPM aje, pandai-pandai nak arahkan Lala. Macam bos pulak.” Adunya.


“Bagus pun Lala ni berhenti. Diorang ingat suka-suka aje boleh buli orang macam tu.” Tambah ibu, menyokong. Aku hanya terlongo mendengar.


Mudahnya hidup! Kalaulah aku di tempat Rafila, entah bagaimana pula rentak coraknya. Aku pasti yang aku tidak akan menerima tindak-balasnya sebegini. Pastinya aku akan dituduh mengada-ngada. Sedangkan pulang dari pejabat, kepenatan dan mengadu letih pun sudah disindir-sindir.


“Eh, tempat kerja abang takde nak ambil orang ke?” Aku menjeling Harith. Menanti jawapannya.


“Haritu HR ada kata nak guna orang. Lala nak ke? Kalau nak, nanti email resume Lala, abang hantarkan.” Amboi, lembut sungguh susun kata manusia yang marah-marah sampai hampir putus urat merih terhadapku sebentar tadi ini.


“Wahhhhh…bestnya. Terima kasih ye abang.”


Aku tidak tahu harus rasa apa sekarang ini. Dalam rasa sebal dan mungkin juga cemburu, aku minta izin untuk naik ke bilik – yang pastinya harusku lakukan sendirian kerana tiga orang manusia di depanku sudah rancak tenggelam dalam borak masing-masing.

                

Haiiiii…Ara-Ara. Nasib kaulah, Ara!





Previous: 1
Next: 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.