Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,790
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
6

Kak Tam tersengih lebar dari jauh apabila melihatkan kelibatku tengah hari itu. Dia menggamitku berkali-kali, mengarahkan aku supaya mempercepatkan langkah. 


“Duduk jap Ara.” Arahnya, kemudiannya melayan pelanggan yang tiba-tiba ramai. 


Aku diberinya sepinggan karipap dan sekotak air. Aku yang sememangnya lapar bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Kak Tam hanya kembali kepadaku ketika karipap yang lima biji tadi berbaki dua. Air kotak pula sudah habis.


“Ada apa kak? Panggil-panggil Ara tadi macam penting aje.” Kak Tam menarik bangku kayu dan duduk bersama denganku. Sambil itu, dia menambah pisang goreng ke pingganku yang separuh kosong.


“Ada orang tanya pasal Ara.” Terangkat keningku.


“Siapa?”


“Abang Jampi!” Jawapan kak Tam membuatkan keningku semakin tinggi.


Sememangnya kak Tam tahu yang aku dan kak Nija menggelarkan lelaki tersebut dengan panggilan itu. Kami ada berkongsi cerita dengan kak Tam serba sedikit. Tetapi, Abang Jampi bertanyakan tentang aku? Mahu apa dia?


“Apa abang Jampi tu nak? Abis tu kak Tam cerita apa?” Asakku.


“Akak ni tak nak cerita apa-apa pun.” Zuupppp!! Menderu darahku naik ke muka.


Dari mana pula dia muncul, berapa lama dia di sini? Entah-entah, dia sudah terdengar gelaran yang kami beri kepadanya. Aduh! Abang Jampi itu menarik bangku dan duduk di antara aku dan kak Tam. Saat itu juga kak Tam bingkas, ada beberapa pelanggan di depan gerainya.


“Hahh…tuan punya badan dah ada. Tanyalah apa yang encik nak tanya.” Sempat pula kak Tam beramah dengan Abang Jampi ini. Aku tiba-tiba terasa kekok.


“Ok dah kaki?” 


Itu soalan pertamanya. Aku cuma angguk. 


“Sedap ye karipap special yang awak selalu makan tu. Saya pun dah terpengaruh.” Ayat akhirnya berjaya membeli senyumku. “Haaaahhhh…kan cantik senyum macam tu. Hilang rindu saya.” Dan ayat yang itu pula kembali membantutkan senyumanku.


“Awak ni memang suka cakap apa awak nak cakap ye?” Abang Jampi tergelak. Ada satu rasa yang sangat selesa apabila aku mendengarkan gelak itu. “Ni helmet ni, memang tak nak bukak ke? Tak panas ke? Tak rimas?” Teringatkan pesanan kak Nija, aku cuba mengumpan Abang Jampi untuk memperlihatkan wajah penuhnya. Manalah tahu, kalau-kalau tekaan kak Nija betul.


“Eeehhhhh…mana boleh. Superhero mana boleh tunjuk muka. Kantoi la nanti.” Aku sambut jawapan selambanya dengan cebikan, kemudiannya menjeling jam di tangan. Waktu rehat lagi sepuluh minit akan berakhir. Aku bingkas. “Eh, nak pergi mana ni? Awak marah ke? Saya gurau aje Ara. Nama awak Ara kan? Ara apa?”


Aku tidak jadi memanggil kak Tam yang masih dikerumuni pelanggan. Perhatianku kembali kepada Abang Jampi yang sudah sama-sama berdiri. Ada sesuatu pada lelaki ini yang membuatkan aku bagai ditarik-tarik. Cepat-cepat aku mengingatkan diri.


“Saya nak naik ofis dah. Panggil Ara cukup.” Sambil itu tanganku mencapai sebiji karipap yang berbaki tadi dan menggigit laju-laju.


“Baca Bismillah dulu, cik Ara…” kunyahanku terhenti. Karipap yang telah hancur terasa tersangkut di kerongkong apabila ditegur begitu. Malunya aku! “Satu lagi ni saya makan ye.”


Tanpa menunggu balasan daripadaku, dia mencapai karipap yang tinggal satu di dalam pinggan. Aku menunggu dia memasukkan karipap ke mulut sebelum mencari peluang untuk mengenakannya semula.


“Bismillah…” dan aku nampak ada senyum tersungging di hujung bibir kanannya. Kiranya dia telah membaca fikiranku. “Eh, okaylah, saya pun nak kena pergi ni. Nanti kita dating lagi ye.” Abang Jampi berlalu ke motornya setelah meletakkan sekeping not dua puluh ringgit di atas meja. Terburu-buru itu jugalah aku teringatkan sesuatu.


“Tunggu…awak tau nama saya. Nama awak pulak siapa?”


“Abang Jampi. Awak boleh panggil saya Abang Jampi, Ara” Dan dia pun berlalu, meninggalkan aku dengan rasa terapung-apung sendirian. 


Kali ini aku pasti, yang Abang Jampi ini memang telah menjampi aku!

 

*****


Hampir dua minggu berlalu. Aku tidak lagi bertembung dengan Abang Jampi.  Kak Tam pun ada bertanya mengenai dia. Kata kak Tam, selalunya dua-tiga hari dia akan ada singgah ke gerai. Nampaknya, bukan hanya aku seorang, tetapi kak Tam juga sudah termakan jampi si AbangJampi.


Tengah hari itu aku malas untuk turun membeli makanan memandangkan kak Nija tiada di pejabat,mengambil cuti kecemasan separuh hari kerana anak bongsunya tertelan tanah liat di rumah. 


Aku membancuh kopi tiga dalam satu, mencapai beberapa keping biskut empat segi dari pantri, kembali ke meja dan mula melayari internet. Tengah hari itu nasibku baik kerana ruang pejabat kosong. Gaji baru masuk semalam, pasti langkah jadi panjang hari ini.


“Cik Ara,” konsentrasiku terganggu. Cerita tidak sampai separuh pun lagi. Aku mendongak. Susuk pakcik Zahir, pengawal keselamatan senior di bangunan ini, berdiri di depanku sambil tersengih-sengih. Di tangannya ada beg kertas berwarna coklat.


“Ada apa pakcik?” Secepat itu aku bertanya. Risau juga apabila berdua-duaan di dalam keadaan separuh gelap begini. Dia menyeringai sambil menghulurkan beg kertas tersebut kepadaku.


“Ada orang bagi.”


“Siapa bagi?” Tanyaku, ragu-ragu menyambut beg tersebut. Namun haruman yang terbit dari dalam beg tersebut, baunya sangat mengoda. Sangat biasa.


“Ntah, orang tu pakai helmet. Dia suruh bagitau; “Makanlah, jangan risau, saya tak jampi.”Lepas tu dia pesan, sebelum makan jangan lupa baca Bismillah.”


Buntang mataku mendengarkan kata-katanya yang panjang lebar.


“Eh, pakcik nak turun balik ni. Hamdi jaga sorang kat bawah tu.” Tanpa ada pamitan, pakcik Zahir terburu-buru pergi.


Orang pakai helmet? Pasti si Abang Jampi. Pesanan yang dikirimkan memang berkait. Aku keluarkan isi beg kertas tersebut. Ada beberapa biji karipap panas di situ. Aku patahkan sebiji – kosong intinya. Ah, Abang Jampi! Apa agaknya niat yang tersirat?




  

Previous: 5
Next: 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.