Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,791
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
9

Masuk hari ini sudah hampir seminggu Harith tidak menghubungi aku. Tidak ada panggilan mahupun pesanan ringkas. Aku sendiri tidak tahu mengapa dalam pada aku rasa tidak mahu berhubung dan berjumpa dengan lelaki itu, aku tetap merasa ralat. Mungkin kerana aku menagih kata maaf daripadanya.

                

Abang Jampi pula, sejak dari kali pertama dia berbalas pesanan denganku, dan kemudiannya membiarkan soalanku tergantung sepi, terus dia senyap tanpa berita. Aku juga tidak menemui dia di gerai Kak Tam. Kiriman karipapnya juga tiada lagi. Tiba-tiba aku jadi marah. Dia seakan memberi harapan, tetapi kemudiannya dia menghancurkan.Tiada maknakah kata rindunya?

                

“Lahhhhh…kak Ara, kenapa tak makan lagi?” Tepukan Wana di bahu, menyedarkan aku. Aku kuis-kuis nasi berlauk ikan sembilang masak lemak cili api di depanku. Seleraku memang tidak ada tetapi desakan kak Nija dan Wana untuk sama-sama turun, aku turutkan juga.

                

“Sedapnya…sedapnya…ada kerabu mangga hari ni! Tengok ni, hilang nasi akak.” Suara kak Nija pecah di belakangku. Aku dan Wana sama-sama menoleh ke pinggan kak Nija yang dipenuhi hirisan mangga dan cili merah. “Eh, Ara kenapa tak makan lagi?” Kak Nija mengulangi soalan Wana. Pelik agaknya mereka melihatkan nasi di pingganku yang masih belum terusik sedangkan aku sudah duduk di meja hampir dua puluh minit.

                

“Ara ok tak ni? Macam takde mood je. Kenapa?” Soal kak Nija setelah lima enam suap nasi laju-laju masuk ke dalam mulutnya. Aku teragak untuk menjawab.

                

Aku sedar yang aku seakan kehilangan diri sejak beberapa hari ini. Aku rasa sunyi dalam riuh manusia. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Kerana Harith ataupun si Abang Jampi. Baru sahaja aku hendak mula menyuap, telefon tanganku bergetar.

               

- Assalamualaikum, Ara.

                

Abang Jampi! Terserukah dia? Kuat sangatkah ingatanku terhadapnya sehinggakan dia tergerak untuk menghubungi? Kak Nija angkat kening, seakan menghantar tanya ; siapa? Aku balas dengan gerak bibir. Lebar senyumannya tiba-tiba. Nampak sangat yang dia lebih teruja.

                

+ Wa’alaikumsalam.

                

- Boleh tak saya call Ara?

                

Permintaan Abang Jampi serentak menghantar debar ke jantungku. Aku berkira-kira memberi keputusan.

                

+ Lima minit.

                

Akhirnya aku taip dan aku hantar jawapan ringkasku. Aku lap hujung jari dan keluar dari restoran. Kak Nija mengangkat kening dan aku balas usikannya dengan senyuman. Di tepi kaki lima, aku duduk di bangku batu.

                

Tidak pun sampai lima minit, telefon ku berbunyi. Aku tidak perlu menunggu lama untuk menjawab.

                

“Assalamualaikum, Ara.”

                

“Wa’alaikumsalam.”

                

Diam.

                

“Ara tengah lunch ye?”

                

“Ha’ah. Awak kat mana ni?” dalam hati aku amat-amat berharap yang dia ada di gerai kak Tam.


Kalaulah betul dia di situ, aku sanggup tinggalkan kak Nija dan Wana serta lauk kegemaranku semata-mata untuk bertemu dia.  Aku tidak tahu mengapa sedangkan kalaupun berjumpa, aku tetap tidak dapat menatap mukanya. Angau tahap berapa sudah aku agaknya?

                

“Saya kat bank ni. Ada hal sikit. Tengah tunggu nombor. Ara…” aku terbuai dengan cara dia memanggilku. Sungguh lemak bunyinya.


Bagaimana agak wajah si Abang Jampi? Betul-betulkah seperti Hael Husaini?


“Saya rindu kat awak.” Dan sekali lagi, dia meluah rasa. Aku jadi cuak. Main-mainkah atau serius? Entah-entah dia jenis lelaki yang senang menabur rindu kepada semua gadis yang dikenalinya.


“Jangan gurau macam ni, Abang Jampi.” Buat pertama kali aku menggelarkannya begitu. Ada gelak halus di talian sebelah. Gelak yang mencuit hatiku. Aduh, rupanya bukan hanya karipap, gelak si Abang Jampi pun berjampi rupanya!


“Saya serius, Ara.” Tona suaranya sedikit bertukar ketika menekankan perkataan ‘serius’ seakan mahu aku tahu yang dia bersungguh.


“Macam mana saya nak percaya awak serius, Abang Jampi? Kita kenal pun macam tu-macam tu aje. Muka awak pun tak pernah saya tengok. Setiap kali jumpa, awak macam orang bulan. Kalau betul awak serius –“


“Petang ni lepas kerja, saya tunggu Ara kat kedai kak Tam. Saya janji saya tak jadi orang bulan.” Pantas dia memotong dan memberi janji. Aku rasa terkepung dengan kata-katanya. Terperangkap tetapi dalam diam ada rasa bahagia.


Lambatnya jam bergerak ke pukul lima!


*****


Petang itu,tamat sahaja waktu pejabat, aku bergegas ke gerai Kak Tam. Aku heret kak Nija bersama. Walaupun aku dilambung rasa untuk berjumpa dengan Abang Jampi, aku masih sedar status diriku.


“Ingat tau…nanti jangan lupa ambik gambar dia banyak-banyak. Wana pun nak tengok jugak muka Abang Jampi kak Ara tu.” Sewaktu beiringan ke tempat punch card, berkali Wana berpesan. Hampa sungguh dia kerana tidak dapat turut serta. Anak manja itu pergi balik dihantar dan dijemput mamanya.


“Ambik gambar-ambik gambar! Tak habis-habis dari tadi. Ingat kitorang ni nak pergi jumpa artis ke?Sain dia tak nak?” Kacau kak Nija. Wana menarik muka cemberut. Aku merangkul bahunya.


“Iyeeeee…nanti kak Ara suruh dia posing banyak-banyak tepi gerai kak Tam tu. Kat tepi kuali, tepi pokok, tepi meja-kerusi –“ dan Wana terjerit mendengarkan jawapanku.


“Hoi anak dara, berjalan pun sempat berangan!”


Aku tersentak disergah kak Nija. Dalam tidak sedar, kami sudah tiba di muka gerai. Kak Tam yang sedang dikerumuni pelanggan, sekadar mengangkat tangan. Kami berdua mengambil tempat di meja VIP kami – meja yang agak tersorok di belakang gerai.


“Mana dia’nya? Macam mana nak tau dia yang mana satu? Entah betul, entah tak dia tu.” Aku balas soalan-soalan kak Nija dengan jungkit bahu. Sedang mataku mengelintar ke sekitar kawasan gerai, telefonku berbunyi.


“Bawak bodyguard, ye?” Mendengarkan suara itu, hatiku dipukul debar. Bunyinya terasa sangat kuat sehinggakan terdengar ke telinga. Aku tahu yang dia sudah ada berhampiran.


“Untuk keselamatan. Mana awak?” Talian putus. Aku terasa dipermainkan. Gurauan jenis apakah ini? Aku mencapai tangan kak Nija, ingin menariknya untuk pergi sebelum sesusuk tubuh datang di antara kami, menarik bangku dan duduk.


“Assalamualaikum.” Aku dan kak Nija sama-sama memandang, kemudiannya terdengar keluhan hampa dihela dari mulut kak Nija. Aku turut berkongsi rasa yang sama.


“Laaaaa…kata nak tunjuk muka!” Suara kak Nija sedikit tinggi. Aku tahu dia geram. Si Abang Jampi cuma gelak-gelak.


“Saya kata, saya tak jadi orang bulan dah. Tapi tak kata pun nak tunjuk muka, kan, Ara?” Dia berpaling kepadaku ketika menyebut namaku dengan nada biasanya. Aku tidak tahu untuk berkelakuan yang macam mana. Marah? Hampa? Rasa tertipu? Tetapi apa yang dikata memang ada benarnya.


Abang Jampi di depanku ini, sudah tiada helmet di kepala. Tetapi dia memakai topeng mulut,bertopi dan bercermin mata hitam. Arghhhh...aku tetap tidak dapat melihat mukanya!


“Ntah apa-apa ntah!” Rungut kak Nija sambil bangun meninggalkan kami berdua, berlenggang ke arah kak Tam.


“Ara pun marah jugak ke?” Aku pandang dia. Cuba membayangkan dia tanpa topeng, topi dan cermin mata namun gagal. “Saya serius nak kawan dengan Ara.”


Aku diam tidak membalas.


“Saya nak kita kenal hati budi dulu sebelum kenal rupa.” Luahnya, ada bunyi ikhlas di situ.Tetapi aku tetap berasa tidak adil.


“Awak serius? Nak kawan dengan saya? Awak tahu nama saya, awak kenal rupa saya, tapi…” aku gantung ayatku di situ.


Peliknya, Abang Jampi tidak memberi apa-apa respon. Aku tahu matanya sedang merenung segenap wajahku. Aku melarikan wajah ke arah jalan raya.


“Ara marah ke? Ada jampi tak untuk bagi hilang marah Ara?” Dia membeli senyumku dengan soalan hujungnya. Aku berpaling semula kepadanya. “Agak-agak, ada tak peluang untuk saya jadi lebih dari kawan Ara?” Soalan terus-terangnya membuatkan aku tertelan air liur.


“Awak tau kan saya –“


“Dah ada boyfriend.”


“Yang saya dah nak –“


“Bertunang.”


Senyap.


Abang Jampi tunduk. Ada hela berat dalam nafasnya. Aku mencari bayang kak Nija dan aku lihat dia sudah di sisi kak Tam, membantunya melayan pelanggan yang masih tidak putus. Mungkinkah dia sengaja memberi ruang?


“Ara happy dengan dia?” Berderau darahku disoal begitu. Peristiwa minggu lepas terbayang di ingatan. Aku pilih untuk tidak menjawab.


“Kenapa awak buat macam ni?” Soalku semula. Abang Jampi masih tunduk.


“Entah…saya suka Ara. Saya tahu yang Ara memang jodoh saya.” 


Aku bau keyakinan dalam jawapannya, aku suka kata-katanya tetapi dalam masa yang sama aku rasa terhimpit, rasa sesak mendengarkan  luahannya. Kenapa dia tidak hadir lebih awal ke dalam hidupku?


“Saya -“


“Dah ada boyfriend.Dah nak bertunang. Iye, saya tahu, Ara…” sedap sungguh bunyinya apabila dia memanggilku begitu. “Saya sanggup tunggu. Kalau Ara tak happy –“


“Ara, jomlah. Abang Adi dah sampai.” Entah bila kak Nija kembali ke sisiku. Aku tidak tahu sama ada dia mendengar perbualan kami berdua. Perbualan yang aku rasa sangat melankolik. Aku menjeling jam di tangan – hampir enam setengah.


“Saya kena pergi. Suami kak Nija dah sampai.” Abang Jampi turut berdiri menyaingi aku. Kak Nija ketika itu sudah kembali kepada kak Tam.


“Kita jumpa lagi?” Aku tidak ada jawapan. Perlukah? Tetapi bukankah berjumpa itu pengubat rindu? Akan rindukah aku?


“Insya Allah.” Ringkas jawapanku.


Dengan jawapan itu juga aku mendapatkan kak Nija dan kak Tam, berbual serba sedikit dan terus menyeberangi jalan. Aku tidak mahu menoleh lagi kerana hatiku ketika ini terasa amat berat untuk meninggalkannya.


“Dik, orang punya tu.” Lembut kak Tam mengingatkan pemuda di depannya itu. Dia pernah menjadi muda, dia juga pernah dilamun cinta.


“Saya pun orang jugak, kak. Selagi belum rasmi, saya ada peluang, kan?” Kak Tam mati kata mendengarkan jawapan selamba pemuda berkaca mata hitam, bertopi dan bertopeng mulut tersebut. Hendak ditegur bagaimana lagi? Penyakit angau memang tidak ada ubatnya!




Previous: 8
Next: 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.