Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,796
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
3

Tiga minggu cuti sakit yang diberikan doktor hanya akan berakhir Rabu depan. Aku sudah mati kutu duduk di rumah. Hendak mengait tidak pandai, menjahit apatah lagi. Masuk dapur, belum panas pun punggung, sudah dihalau ibu. Katanya aku hanya menyemak di situ. Sudahnya aku berkurung di dalam bilik menghadap laptop, melayan marathon drama Korea dari satu tajuk ke satu tajuk.


Malam itu bahangnya sangat luar biasa. Aku terjaga dari tidur ketika jarum pendek jam di dinding jatuh ke angka satu. Tekak terasa haus. Aku menolak tubuh dari katil sambil mencapai dopang. Hampir sebulan bersimen kiranya telah membiasakan aku.


Ketika aku melangkah mencari suis lampu, telingaku terdengar suara orang berbual dan bergelak ketawa di luar rumah. Aku memusing langkah ke tingkap dan menyelak sedikit langsir dan di situ, di luar pagar, aku temukan Harith dan Rafila sedang berbual-mesra, bergelak-ketawa sambil bertepuk-tampar. Satu situasi yang tidak pernah dilakukan ketika Harith bersama aku.


Sepanjang aku bercuti sakit di rumah, hanya tiga kali sahaja Harith singgah melawat. Itupun aku tidak boleh kategorikan sebagai melawat kerana masanya bualnya lebih banyak bersama ibu dan Rafila. Menelefon jauh sekali. Dan malam ini dia ke sini, dan aku langsung tidak diberitahu. Jelas sekali yang dia tidak datang untuk aku.


Sebenarnya, perubahan Harith semakin ketara apabila Rafila mula berkerja di tempat yang sama sejak minggu lepas. Perginya berjemput dan baliknya sentiasa berhantar. Aku tidak tahu bagaimana untuk menegur kerana tidak mahu dituduh cemburu buta tetapi aku rasa aku memang layak untuk berasa cemburu kerana Harith itu teman lelakiku.


Aku pegang dada dan hela nafas dalam-dalam. Cuba ber’husnuzon’ tetapi hatiku tetap tidak bersetuju. Semakin lama aku menonton drama awal pagi itu, semakin sakit rasanya. Aku melepaskan langsir, kembali ke katil dan membaringkan diri. Tekakku sudah hilang haus. Jam sudah melepasi angka dua ketika aku dengan deru kereta Harith meninggalkan kawasan rumah.


Pagi Sabtu itu Rafila turun agak lewat untuk bersarapan. Aku, abah dan ibu sudah separuh selesai. Dengan senyum lebar di wajahnya, dia menarik kerusi di sebelah ibu, mencapai mangkuk nasi lemak, mencedok lauk dan mula menyuap makanan tanpa perasan yang aku sangat-sangat meluat melihatkan tingkahnya.


“Pukul berapa kamu balik malam tadi, Lala? Kamu keluar dengan siapa?” Tiba-tiba abah bersuara. Aku lihat senyum Rafila kendur.


“Pukul 1 lebih Pak Andak. Abang Harith hantar balik sebab semalam Lala OT.” Perlahan sahaja nada jawapannya. 


Aku tahu yang Rafila agak takut dengan abah. Dia selalu mengomel yang abah seorang yang tegas. Tidak seperti ibu. Biar dia rasa. Sekurang-kurangnya dia tidak berani untuk naik kepala.


“Sampai pukul berapa kamu OT? 12 tengah malam?” Aku lihat Rafila memandang ke arah ibu, menghantar isyarat meminta bantuan.


“OT habis pukul 9. Lepas tu kitorang pergi makan.”


“Makan kat mana? Kat Seremban? Sampai 4 jam baru sampai rumah?” Aku menjeling abah. Jarang sungguh abah menegur sebegitu. Seperti ada rasa yang cuba disembunyikan.


“Alahhhh..abang ni, biasalah. Budak-budak muda. Pergi makan mestilah borak-borak. Tu yang lambat tu kan-“


“Awak jangan nak bela dia. Rumah ni ada peraturan. Awak pun tau, kan?” Kata-kata ibu mati di situ. Namun aku lihat dia sempat menjeling tanda protes, tidak puas hati.


Abah meletakkan sudu ke atas pingggan, menyandarkan badan ke kerusi dan memandang tepat-tepat ke arah Rafila. Selalunya jika abah berbuat begitu, maknanya dia memang mahu setiap katanya diambil serius.


“Dengar sini, Lala. Pak Andak tak kisah kalau Lala nak duduk sini. Tapi Pak Andak tak suka Lala keluar masuk sesuka hati. Pak Andak tak nak nanti orang mula bercerita. Mulai hari ni, kamu mesti ada kat rumah sebelum pukul 11.”


Aku lihat Rafila terkulat-kulat mengangguk setuju. Aku pasti sangat-sangat yang selera dia sudahpun mati pagi ini. Ingin rasanya aku tepuk tangan kuat-kuat dan peluk abah erat-erat tetapi wajah ibu yang kelat kerana anak saudara kesayangannya ditegur membantutkan segalanya.


Dan lagi satu, berbatas sikit dengan abang Harith. Dia tu kan bakal tunang Kak Ara.”


Ya, Allah, bertapa kembangnya hatiku apabila abah secara tidak langsung membelaku, menyampaikan apa yang aku nampak, yang aku rasa. Sekurang-kurangnya Rafila diberitahu dan yang penting, teguran itu bukan dari mulutku. Ini rupanya perkara utama yang ingin diberitahu abah. 


Terima kasih abah! Ara hutang abah terima kasih yang sangat-sangat besar!



Previous: 2
Next: 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.