Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,794
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
5

Aku duduk di birai katil, mengelintari sekeliling bilik yang bersepah. Ke mana pula hilangnya gelang yang seutas itu? Puas aku mencari sejak selepas solat Subuh, hampir tunggang-langgang bilik tidur kupunggah. Atas meja, bawah katil,dalam laci dan celah tas tangan. Gelang yang kubeli dengan gaji pertamaku itu masih juga tidak kutemui. Tiba-tiba otak nakalku memikirkan satu kemungkinan. Kemungkinan yang besar kemungkinannya betul. Aku pun turun ke bawah.


“Lala.” Panggilku, lembut. 


Tetapi dia sengaja buat tidak endah. Matanya terus menatap televisyen. 


“Lala!” Panggilku lagi, kali ini intonasiku sedikit tinggi. 


Rafila masih membatu. Ya, Allah, geramnya aku! 


“LALA!” Jerkahku akhirnya. Dia menoleh dan menjeling, kemudian matanya kembali ke skrin.


“Ada apa? Bising la kau ni.” Aku pujuk-pujuk hati supaya bersabar.


“Lala ada ambik barang akak tak?” Habis sahaja aku menyoal, Rafila berpaling. Wajahnya jelas tidak senang.


“Kau ni apahal? Nak tuduh-tuduh aku curi barang kau pulak?” E’eh, rasanya aku tidak menuduh. Aku cuma bertanya. Rafila pula sudah berdiri menghadapku. Lagaknya seperti sudah sedia untuk bergaduh.


“Akak tanya aje. Bukan tuduh. Cuba Lala fahamkan soalan akak tadi –“


“Alahhhh…samalah tu. Kau tanya tu macam kau nak tuduh aku la.” Pintasnya nyaring.


“Yang nak marah-marah ni kenapa? Kalau tak ambik, kata ajelah tak.” Rafila mendengus sambil menyilang tangan. Menyesal pula aku bertanya. Tidak pasal-pasal jadi drama pagi ini.


“Apa yang bising-bising ni? Lala, kenapa?” Dan ibu pun tiba. Aduh, semakin panjanglah babak ‘Drama Minggu Ini’.


“Mummy…” tiba-tiba suara Lala kendur, diganti cebikan dan genangan airmata.


Terkesima aku melihatkan lakonannya. Dia sudah di sisi ibu, merangkul  lengannya. Dan aku tahu ketika itu aku akan jadi manusia yang tidak terbela. Abah pagi-pagi lagi sudah keluar ke kelas mengajinya.


“Kak Ara tuduh Lala curi gelang dia.” Eh, bila masa pula aku memaklumkan kepada dia yang aku kehilangan gelang? Rasanya aku cuma bertanyakan tentang ‘barang’.


“Mana Lala tau yang akak cari gelang?” Perangkapku. Ketika itu aku lihat Rafila sedikit gugup.


“Hilang gelang aje pun. Macam hilang duit berjuta. Beli aje la yang lain.” Ibu bersuara, sekaligus menyelamatkan Rafila. Aku menahan diri dari berkurang ajar dengan ibu. Tetapi riak wajah Rafila yang sedang tersenyum sinis itu membuatkan rasa sabarku makin tipis.


“Gelang tu Ara beli dengan gaji first Ara, bu.” Tekanku, dengan suara tertahan-tahan.


“Kamu tuduh-tuduh Lala ni, kamu ada bukti ke? Atau main serkap jarang aje?”


Aku memandang ibu dengan dahi yang berkerut. Apa agaknya yang ibu tidak faham di sini? Rasanya terang-terangan yang Rafila itu sudah terlanjur mengaku. Mungkinkah rasa sayang terhadap Rafila mengaburi pandangannya ataupun mungkin rasa bencinya terhadapku yang membuatkan segala-galanya tentang aku menjadi salah?


“Tadi Lala sendiri yang mengaku, bu. Lagipun dalam rumah ni kita berempat aje yang ada. Siapa lagi yang nak ambik?”


“Aku tau kau memang tak suka Lala tinggal kat sini kan? Sebab tu kau cuba nak fitnah dia. Oooo…hari tu kau report pasal Lala kat abah kau. Sekarang, ni pulak. Kenapa busuk hati sangat kamu ni, Ara?” Eh, mengapa pula terpesong keluar ke cerita lain?


“Ibu…apa ibu cakap ni?” Perlahan aku menyoal. Aku rasa seperti terpasung. Nafasku jadi sesak. Saat ini aku mohon sangat-sangat yang abah ada di sini.


“Aku cakap benda betul. Aku memang dah lama sakit hati tengok kau ni.”


Ketika ini aku tahu rentak cerita sudah berubah. Luahan ibu bukan lagi berkisar tentang gelangku yang hilang, bukan juga tentang tuduhanku terhadap Rafila. Ibu cuba meluahkan sesuatu. Cuba memberitahu. Tubir mataku tiba-tiba jadi hangat.


“Kenapa ibu benci sangat dengan Ara? Apa yang Ara buat semua salah.” Aku lihat ibu memalingkan mukanya. Saat itu aku sudah tidak nampak lagi Rafila di sisinya. Ruang tamu itu seperti hanya ada aku dan ibu.


“Haiiih, kalau ikut hati aku…” ibu tidak menyambung kata tetapi matanya jelas kosong untuk aku.


Dia kemudiannya menghilang ke bilik meninggalkan aku termanggu-manggu tidak faham. Benci ibu terhadapku semakin ketara nampaknya sejak akhir-akhir ini dan aku tidak jumpa punca.


“Nah!” 


Terkejut lamunanku apabila wajahku disinggahi beberapa kepingan kertas. Aku memandang kertas-kertas yang berserakkan di atas permaidani – beberapa keping not berwarna ungu. 


“Kutip duit tu, beli gelang baru kau. Ingat, kalau cerita ni sampai kat abah, siap kau!” Dengan ugutan itu, ibu menarik tangan Rafila, masuk ke bilik.


Aku terduduk di ruang tamu. Terasa sangat sendirian. Terasa seperti baru kehilangan. Terasa seperti ditinggalkan. Not seratus yang bersepah aku genggam sampai keronyok. Ibu, kenapa ibu benci sangat pada Ara? Kenapa Ibu tidak boleh layan Ara seperti ibu-ibu lain di luar melayan anak mereka? Dan aku hanya ada tangisan untuk semua soalan-soalan itu.






Previous: 4
Next: 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.