Home Novel Cinta Soulmate Hingga ke Syurga
Soulmate Hingga ke Syurga
putreekiwi
3/11/2017 23:35:39
14,782
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
4

Sejak peristiwa pagi Sabtu itu,ibu dan Rafila telah melancarkan perang dingin terhadapku. Kata mereka, akuyang mengadu, menjadi tukang sampai kepada abah. Puas aku menidakkan, merekatetap tidak percaya. Sudahnya aku biarkan sahaja.

                

Kembali ke pejabat setelah hampir sebulan bercuti, aku disambut dengan timbunan fail diatas meja kerjaku. Beberapa laporan penting menagih untuk disiapkan segera. Singa betina merangkap ketua bahagianku – Cik Pit juga seperti tidak sabar-sabar untuk menambah kerja yang sedia ada. Makanya aku seperti kaki diikat ke kerusi – jari diikat ke papan kekunci selama seminggu ini.

                

“Makan, Ara? Dah lunch time ni. Stop la kejap.” Aku mengeliat, meluruskan pinggang. Aku sambut ajakan Kak Nija dengan senyum sumbing.

                

“Nak siapkan report ni lagi kak. Nanti singa betina tu bising. Dia nak sebelum balik ni.” Aduku. Ketika itu perutku memang lapar.

                

“Makan dulu. Nanti sakit perut lagi susah. Jom, kita turun tapau je. Lepas tu akak teman Ara makan sambil siapkan report.” Aku menghadam pujukkan kak Nija. Akhirnya aku save laporan yang sudah lebih separuh siap dan mencapai dompet.

                

Selesai membungkus nasi campur, aku beralih ke gerai kuih yang menjual kuih kegemaranku sementara kak Nija ke kedai runcit berhampiran. Aku sudah mengenali Kak Tam, tuan punya gerai tersebut sejak aku mula berkerja sehingga dia sanggup menyediakan karipap istimewa kegemaranku.

                

“Assalamualaikum kak Tam.” Ibu tunggal awal 40-an itu berpaling, cepat sahaja tersenyum dan meninggalkan gorengannya untuk mendapatkan aku. Ketika itu di gerainya tiada pelanggan.

                

“Ingatkan Ara tak datang tadi.” Ucapnya ramah. Gemercing bunyi gelang-gelang emas di pergelangan tangannya ketika dia menyentak plastik kosong dari paku di palang gerai.

                

“Mana boleh tak datang. Kan dah janji semalam. Lagipun rindu kat kak Tam.” Tergelak kak Tam mendengarkan kata-kataku.

                

“Rindu kak Tam ke rindu karipap special?” 


Giliran aku pula yang tergelak. Sememangnya tidak dapat disangkal, aku memang sudah ketagih dengan karipap buatan kak Tam. 


“Nah, ni karipap inti special Ara.” Kak Tam menghulurkan plastik kepadaku. Belum sempat aku menghulurkan duit dan mengucapkan terima kasih, satu susuk tubuh berdiri rapat denganku. Aku jadi kurang selesa kerana dia sudah memasuki ‘ruang peribadi’ku.

                

“Saya pun nak yang sama. Karipap special.” Aku ingat suara itu! Serentak itu aku terpaling. Pemuda yang membantuku tempoh hari dan masih dalam helmet full-facenya!

                

“Awak?” Bulat mataku merenungnya. Kata-kata pemuda itu terngiang kembali di dalam kepala. Sebutir-sebutir, jelas dan terang.

                

“Maaf encik, akak tak jual karipap yang ini. Yang ni memang dia order.” Kak Tam yang tidak tahu hujung-pangkal cerita mencelah.

                

“Alamak, kempunan la saya macam tu.” Aku lihat kak Tam menggaru-garu kepala. Wajahnya jelas serba-salah.

                

“Ara! Jom! Nak hujan ni!” Tidak pun sempat aku berfikir ayat dan tindakan yang seterusnya, kak Nija sudah melaung dari seberang jalan. Ketika itu hujan sudah mula turun.

                

“Nah kak Tam,” aku menghulur duit kertas sepuluh ringgit. “Baki nanti bayar sekali kuih abang ni.” Berpaling semula kepada pemuda tersebut yang memang tidak dapat kulihat riak mukannya. “Sorry, saya kena pergi. Terima kasih untuk hari tu ye. Assalamualaikum.”

                

Dengan kata-kata itu, aku berlari mendapatkan kak Nija dalam rintik hujan yang mula kasar.

                

“Kuih lain boleh, dik?” Pemuda itu menoleh semula ke arah kakak penjual. Ketika itu bayang gadis tersebut sudah pun hilang ke dalam bangunan. Betapa bertuahnya dia hari itu. Sudah beberapa kali dia ke kawasan itu dengan harapan dapat bertembung dengan gadis tersebut dan hari ini baru peluang itu datang. Walaupun sekejap,tapi sakit angaunya sedikit terubat. Sudah apa agaknya dia?

                

“Dik,nak beli tak? Akak ada kerja lain lagi ni.” Suara kakak penjual memecah lamunannya. Dia masih tidak puas hati.

                

“Kenapa special sangat karipap tu kak? Inti apa tu?” Kak Tam mengulum gelak. Bersungguh benar pemuda di depannya ini ingin tahu mengenai karipap istimewa tempahan Sara Aisya!

                

“Speciallll sangat dik. Kedai lain memang takde jual. Kedai akak aje ada. Tapi kena order awal. Karipap inti…angin!” Gelak kak Tam pecah. Dia masih merasa lucu dengan selera Ara, yang hanya makan karipap tanpa inti – karipap kosong! Pemuda di depannya tersenyum lebar. Ah, gadis itu memang lain daripada yang lain! Istimewa seperti karipap inti anginnya.

                

Aku kembali duduk di depan komputer selepas makan dengan perasaan tidak tentu rasa. Plastik karipap di atas mesin pencetak aku capai dan aku keluarkan sebiji. Karipap inti angin yang sudah separuh kugigit itu aku renung dalam-dalam. Yang peliknya, kali ini, aku nampak karipap itu sudah bertukar isi, berintikan kepala orang berhelmet full face. Aku geleng-geleng beberapa kali. Memang sah aku sudah dijampi!

                

“Ara!” Aku terkejut, hampir terpelanting karipap dalam peganganku. “Laaaa..makan karipap takde inti pun boleh berangan?” Usik kak Nija sambil mengambil tempat di sebelahku.


Ketika itu waktu makan tengah hari berbaki lagi setengah jam. Dia menghulurkan mug berisi air panas kepadaku.


“Siapa lelaki tadi tu?”


“Lelaki mana?” Soalku sengaja berbasa-basi. Baki karipap aku masukkan semua ke dalam mulut. Nikmatnya kali ini semacam sungguh rasanya.


“Yang kat gerai kak Tam tadi. Nampak macam Ara cakap dengan dia. Dia kacau Ara ke?”


Aku tidak jadi mencapai karipap kedua. Aku tolak kerusiku rapat ke kak Nija, menghadap dia depan-depan.


“Ingat tak Ara cerita dulu. Orang lelaki yang tolong Ara waktu accident tu?” Kak Nija mengangguk laju. 


“Tu la orang tu. Tapi…”


“Kenapa? Kenapa?” Ketawa aku melihatkan reaksi kak Nija yang bersungguh-sungguh. Karakter ‘Makcik Bawang’nya sangat ketara!


“Frust la…still tak nampak muka dia. Lagi pun kannnn…” aku berhenti lagi di situ, “adoiiiii!!!” Aku terjerit apabila kak Nija mencubit lengan kananku. “Kenapa? Kenapa cubit Ara?”


“Tak payah nak saspen-saspen sangat boleh tak. Cerita je macam biasa. Hissshhh, sakit pulak hati kita. Cerita cepat, nanti kata nak sambung buat report.”


“Takdelah…dia tu kan, aura dia tu lain macam la. Ara tak nampak muka dia pun, tapi Ara rasa macam kenal dia. Dia tu…macam pandai menjampi.”


“Amboiiiii…ni macam mana cerita ni? Tak nampak muka pun, tapi macam dah suka je. Habis tu cik abang garang nak letak mana?” 


Dan ingatan kak Nija itu membuat aku seperti terketuk. Tapi aku cuba untuk tidak membayangkan wajah Harith ketika ini. 


“Tapikan, kalau betul dia pandai menjampi…entah-entah, dia Hael Husaini tak? Pakai helmet kan..full face pulak tu. Bukan kita perasan pun.”


Pecah gelakku mendengarkan telahan berimiginasi tinggi kak Nija. Jauh ke laut dalam sungguh ceritanya pergi. Aku baru ingin membuka mulut untuk menyambung sebelum lampu pejabat yang tadinya tidak dibuka sepenuhnya, mula terang. Aku mengerling jam di tangan. Waktu rehat sudah hampir tamat.

“Dah la…nanti sambung cerita. Kalau kamu jumpa lagi Abang Jampi kamu tu, bagitau tau. Akak nak paksa dia bukak helmet dia. Nak tengok betul ke tak akak teka.” Dengan saki-baki gelak yang masih bersisa, kak Nija bangun meninggalkan aku kembali menghadap skrin.


Alamak Ara, laporan belum siap lagi! 



Previous: 3
Next: 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.