Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
96,505
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 41 (AKHIR)

Tiada yang lebih menggembirakan hati Ihsan melainkan berkumpul bersama keluarga. Lebih-lebih lagi dengan kak long dan kak ngahnya. Berkumpul dan menggamit kenangan lama. Itu adalah suatu kemestian setiap kali berkumpul. Meskipun cerita yang sering dipenglipurlara itu agak klise. Tetap peristiwa yang sama. Kenangan mereka semasa zaman kanak-kanak. Namun, cerita yang dikisahkan itu seumpama cerita komedi arahan Tan Sri P. Ramlee. Kak long dan kak ngahnya tetap ketawa tidak kering gusi. Mereka mengekeh-ngekeh, mungkin di benak masing-masing masih terbayang-bayang. Bahkan ternampak-nampak kelibat mereka zaman budak-budak. Anak-anak mereka hanya memerhati dan turut ketawa.

“Kak long… kak ngah, nak ikut San tak?” tanya Ihsan, sebaik sahaja melangkah keluar dari bilik.

“Tak mengganggu ke?” soal kak longnya, dengan nada perli.

Ihsan mengekeh. Azza mengulum senyum.

“Ikut ke mana?” tanya kak ngahnya pula yang sedang bersembang dengan emak mereka.

“Pusing-pusing kampung. Hahaha... tak lah, nak ke rumah Imam Sarif. Sambil tu… nak cuba pusing ikut jalan baru,” beritahu Ihsan.

“Jalan baru… ikut tapak kebun kita dulu tu?” kak ngahnya mengangkat kedua-dua kening.

Ihsan mengangguk. Mengiakan.

“Nak ikut ke tak?” tanya Ihsan lagi, minta kepastian.

“Tak naklah… tak mahu kacau daun…” gurau kak longnya lagi.

“Ada-ada aje la kak long ni,” tutur Ihsan sambil tersengih.

Baru saja Ihsan hendak melangkah, kak ngahnya pula bersuara.

“Tu… anak dara kau tu, San. Tak nak ikut ke?” bibir kak ngah dimuncungkan kepada Iman yang asyik bermain congkak dengan Najwa, anak kak long.

“Dah tanya pun... dia tak nak ikut,” kata Ihsan, matanya memandang ke arah Iman.

“San, Abang Jo ada kat luar tak?” suara kak long Ihsan, kepalanya dihulur memandang ke luar rumah melalui tingkap. Namun, kelibat suaminya tidak kelihatan di luar rumah.

“Laaa… kan tadi dia ikut Abang Lazim pergi ke Kota Bharu,” celah kak ngah Ihsan, memandang ke arah kak long.

Ihsan hanya tersenyum. Dia sudah arif tentang perangai kedua-dua abang iparnya itu. Kedua-duanya peminat tegar bola sepak. Kalau pasal bola, tempat jauh pun sanggup dia pergi. Tentu mereka pergi beli tiket di Kota Bharu. Semalam, Ihsan ada terdengar mereka bercerita pasal bola sepak. Sesekali bercuti panjang, begitulah mereka habiskan masa.

Ihsan dan Azza menapak keluar rumah. Kemudian, kelihatan kereta Ihsan keluar laman menderum di atas jalan bertar. Ihsan membelok ke arah jalan yang baru beberapa bulan siap dibina. Apabila kereta mereka melewati selekoh selepas jambatan. Ihsan memberi isyarat ke kiri. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Keadaan di situ terlalu hening. Jalan baru itu masih lengang. Hanya sesekali kelihatan kereta dan motosikal melaluinya.

Ihsan keluar dari perut kereta. Melangkah menghampiri Azza yang telah pun berada berhampiran penghadang jalan. Pandangannya dilontar jauh. Memerhati setiap inci fenomena di hadapan mereka.

“Di tepi sungai tu la kebun kita dulu,” beritahu Ihsan, jari telunjuk tangan kanannya dituding ke arah kawasan semak di tepi sungai. Beberapa meter sahaja dari tempat mereka berdiri.

Di kawasan itu, masih terdapat beberapa batang pokok pisang yang ditanamnya dahulu. Begitu juga dengan pokok-pokok ubi kayu. Melambai-lambai ditiup angin petang. Seolah-olah menggamitnya. Mengajak dia supaya sama-sama mengimbau kenangan semasa bersama. Mengingatkan Ihsan tentang kepahitan itu tidak selamanya pahit. Di mata Ihsan jelas terbayang saat itu. Saat dalam kepayahan dia mengerjakan tanah kebun di tengah-tengah belantara itu. Saat ketika mula mengecapi kemanisan hasil usaha yang telah menjadi. Dan saat dia terpaksa mengalah. Merelakan tanah kebun yang sedang mengeluarkan hasil itu menjadi korban bagi pembinaan jalan baru itu.

Tiba-tiba Ihsan tersenyum. Kepala dipusingkan ke arah Azza yang berada di sebelah kirinya. Azza berpaling. Mata mereka saling bertentangan.

“Apa kata… setiap hujung minggu, kita bawa Iman memancing kat situ,” cadang Ihsan, tangannya ditunjukkan ke arah anak sungai di sebelah kebunnya dahulu.

Dari jauh, kelihatan air yang mengalir di dalam alur anak sungai itu bergerak perlahan. Nyaman. Tenang. Setenang jiwa Ihsan ketika ini.

“Dulu masa abang kecil, abang selalu memancing dengan kak long kat situ,” sambung Ihsan lagi. Di benaknya terbayang saat indah sewaktu dahulu.

“Ikut abang la… tapi okey juga ya, boleh hilang stress,” kata Azza, tangannya mula menarik tangan Ihsan.

“Jom bang… nanti tertunggu-tunggu Tuan Imam tu,” ajak Azza, tangan kanannya mengepit tangan kiri Ihsan sehingga ke siku.

“Jom…” sahut Ihsan. Meninggalkan kisah silamnya yang masih mengintai-intai di celah-celah semak-samun itu.

Apabila mereka kembali berada di dalam perut kereta, Ihsan memandu terus menuju ke rumah Imam Haji Sarif. Ketika tayar kereta mereka mula memasuki halaman rumah Imam Haji Sarif, pintu rumah batu setingkat itu tertutup rapat. Keadaan sekeliling rumah itu sunyi. Selepas Ihsan memarkirkan kereta, dia menapak ke beranda rumah itu. Belum sempat dia memberi salam, dari hujung jalan masuk ke halaman rumah imam kesayangan masyarakat kampungnya itu kelihatan menderum masuk sebuah kereta Mercedes hitam.

“Assalamualaikum,” sapa Imam Haji Sarif. Diikuti isterinya. Mereka tersenyum sambil menghulurkan kedua-dua tangan.

“Maaflah, lambat sikit… ada hal di Jeli tadi,” beritahu imam yang sudah melewati 70-an usianya itu. Dia mempunyai syarikat haji dan umrah yang beroperasi di Bandar Jeli. Dia selalu mengetuai rombongan ke Tanah Suci Mekah. Selalunya, anak lelaki sulungnya yang membantu dalam mengendalikan kelas-kelas mengenai umrah dan haji. Semalam, dia menelefon Ihsan. Minta Ihsan datang ke rumahnya bagi urusan dokumen untuk ke Mekah.

“Kami pun baru sampai tuan imam…” beritahu Ihsan, jujur.

“Ya ke? Silakan masuk…” pelawa Imam Haji Sarif, yang mula melangkah masuk ke rumahnya.

*****

Pantas sungguh masa beredar. Meninggalkan hari-hari yang berbaki. Kutat-kutet, sudah sampai masa untuk Ihsan dan ahli keluarganya berangkat ke Tanah Suci Mekah. Berdegap-degup jantungnya apabila terbayang-bayang kaabah di hadapan mata. Perasaannya bercampur baur. Gementar. Terharu. Gembira. Takut.

Ihsan segak berjubah putih dan berketayap putih. Mak Lela, Azza dan Iman pula berjubah dan bermini telekung putih. Mereka akan ke Mekah selama tiga minggu. Meninggalkan segala urusan dunia sementara waktu demi mencari reda Ilahi. Mereka akan menunaikan umrah.

Sebelum mereka melangkah masuk ke dalam perut kereta. Sempat mereka berpeluk-pelukan. Membuang segala daki yang bersisa di hati. Agar apapun yang mereka lakukan di Tanah Suci Mekah nanti berjalan lancar. Setiap kerlipan kelopak mata masing-masing mencurahkan air jernih. Tergenang di dalam kolam mata. Di hati masing-masing hanya mendoakan semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah.

“Doakan kami…” laung Ihsan, tangan kanannya melambai-lambai melalui tingkap MPV. Yamin yang memandu membelokkan kenderaan itu ke kanan. Masuk ke jalan besar dan terus meluncur laju.

TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan