Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,252
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 16

Siulan sang murai di atas dahan pohon pulasan itu merdu sekali. Melodinya sungguh indah. Mendayu dan merayu. Dedaunan menari-nari mengikut rentak lagu nyanyian sang murai. Angin yang berhembus lembut hanya mendengus. Simpati. Sang murai semakin galak. Rancak bersiul-siulan. Meloncat-loncat. Ke sana ke mari. Bagai mencari sesuatu yang amat diperlukan dalam hidupnya. Seekor lagi sang murai secara tiba-tiba hinggap di dahan yang sama. Turut bersiul-siulan dengan lagu yang sama. Mungkin, janji temu itu bagi meleraikan rasa resah yang melanda di jiwa. Ya! Setelah seharian berpisah.

Ihsan menarik tongkat motosikal. Melawan terus perasaan yang mengajak berfantasi. Kaki melangkah. Namun benak kembali memikirkan sesuatu. Sesuatu yang membuat dirinya berada di dalam keadaan keliru. Perasaan ingin tahu begitu mendesak. Belum pernah dilihatnya Perodua Myvi berwarna emas tadi masuk ke laman rumahnya. Apa lagi bertemu muka dengan tuannya. Siapa perempuan yang memandu itu? Apa tujuan kedatangannya? Apa hubungannya dengan keluarga aku? Persoalan demi persoalan menghujani hati kecil Ihsan. Mengapa begitu mengambil berat dia dalam perkara ini? Tegur hatinya kepada diri sendiri. Bukankah dia ketua keluarga? Semua perkara yang berlaku dalam keluarganya, dia perlu tahu. Di pundaknya terpikul segala tanggungjawab terhadap keluarga. Beritahu akalnya, menyokong tindakannya itu.

“Kereta siapa tadi tu... emak?” Akhirnya, termuntah jua persoalan yang ingin diajukan dari halkumnya.

Mak Lela yang masih berdiri di muka pintu tidak terus menjawab. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu. Ah! Berdosa aku bersangka tidak baik kepada emak. Dia yang banyak berkorban untuk aku. Bantah akalnya.

Mak Lela masih bungkam. Memerhati Ihsan menanggalkan kasut but di tangga. Mukanya kelihatan jernih. Mungkin ada perkara yang menggembirakan hatinya. Riak-riak di raut wajahnya seolah-olah menyatakan begitu. Atau, mungkin dia baru menerima berita yang amat menggembirakan hati. Mungkin juga. Mungkin perempuan tadi datang menyampaikan berita yang baik. Tetapi, berita apa? Ihsan menarik muka kelat. Perasaan ingin tahunya meluap-luap.

“Kawan emak ke? Atau orang datang jual insurans?” Ihsan meneka dengan soalan yang telah lama bermain di mindanya. Dia sudah pun berdiri di hadapan emaknya.

“Hai! Beriya benar nak tahu… berkenan ke?” seloroh emaknya, tersenyum-senyum.

Ihsan terkial-kial. Tidak menyangka emaknya bijak menangkis. Soalan yang diajukan tadi bagai dipaku mati oleh emaknya. Tergantung. Tiada jawapan pun yang diberi.

“Amboi…! Ke situ pulak emak ni? Siapa pulak perempuan tadi? Rupa orangnya pun Ihsan tak sempat tengok, ni emak tanya berkenan ke tidak,” Ihsan terkekeh, gelihati dengan usikan emaknya itu. Walaupun dia masih menunggu jawapan. Namun, dia perlu berhati-hati. Emaknya bukan sembarang orang. Firasatnya tepat.

“Itu boleh diatur… janji Ihsan setuju aje, emak boleh jemput dia ke rumah. Boleh kenal-kenal dulu,” tukas Mak Lela seperti memberi galakan. Entah dia bersungguh-sungguh atau sekadar menduga. Ihsan seakan-akan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Ihsan ketawa berdekah-dekah. Umpama melihat program ‘Just For Laughs Gags’. Sebenarnya dia cuba menyembunyikan perasaannya ketika itu. Perasaan cuak terhadap pertanyaan emaknya itu. Dia menjatuhkan punggung, perlahan-lahan. Dilepaskan nafas lelah. Setengah hari membanting tulang di kebun, seluruh badan lenguh-lenguh. Teramat meletihkan. Namun, dia bangga dan bersyukur. Usahanya selama ini semakin menjadi kenyataan. Kini, dia semakin berkeyakinan.

“Ya lah tu... orang macam Ihsan ni dah tak laku. Dah tak ada nilai pasaran. Siapa yang berkenan...?” luah Ihsan, cuba mengelak diri. Entah mengapa, perasaan ingin tahu yang meluap-luap tadi telah padam.

Dia sebenarnya cuba memboloskan diri. Takut juga kalau-kalau emaknya bersungguh-sungguh dalam mencari calon isteri untuknya. Dia teringatkan perbualannya dengan Haji Rokiman, dua hari lepas. Seram sejuknya masih terasa.

“Kalau Ihsan berkenan... bapak nak jodohkan Ihsan dengan anak saudara bapak. Seorang guru,” beritahu Haji Rokiman. Tersenyum-senyum.

“Ibunya tu adik bongsu bapak. Kalau Ihsan setuju, nanti bapak bawa gambarnya,” Haji Rokiman nampaknya bersungguh-sungguh. Ihsan mula serba salah. Benaknya berikhtiar untuk menolak. Mencari-cari beberapa potong ayat yang sedap didengar, walaupun bermaksud untuk menolak.

“Terima kasih bapak... err... Ihsan... tak tahu nak cakap apa. Bapak banyak sangat dah tolong Ihsan,” ungkap Ihsan, benaknya masih terkial-kial mencari alasan.

“Kenapa cakap macam tu...? semua yang bapak tolong tu ikhlas. Tak ada niat apa-apa pun. Macam jugak yang ni. Bapak cuma nak tengok Ihsan bahagia. Tapi... kalau Ihsan tak setuju, tak berkenan... cakap aje. Ni soal jodoh Ihsan. Bapak tak paksa,” Haji Rokiman seakan-akan memahami kesukaran Ihsan dalam membuat keputusan.

“Maafkan Ihsan, pakcik... lagi pun Ihsan belum bersedia,” dalih Ihsan. Sebenarnya, dia masih mengharapkan kepulangan Azza. Pintu hatinya hanya terbuka untuk Azza. Dia tetap teguh berpegang kepada janji yang telah dimaterai di dalam dirinya.

“Eh... eh... tak apa, tak apa. Tu cadangan bapak... Hmm... bapak ni kalau ada anak dara lagi, bapak jodohkan dengan Ihsan,” jelas Haji Rokiman, berterus-terang.

Ihsan bungkam. Takut dia untuk membuka mulut lagi. Andai tersilap cakap, terperangkap dia. Langkah selamat. Jalan terbaik. Bagi mengelak diri, apa yang dirasakannya ialah dengan melontarkan senyum-senyuman sahaja. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak.

Sekarang. Emaknya pula memainkan lagu yang sama. Nada pun sama. Entah-entah? Ah! Tidak mungkin Haji Rokiman memberitahu emak tentang hajatnya itu. Akukan belum beri lampu hijau lagi. Dan tidak mungkin aku akan beri lampu hijau. Cinta aku. Sayang aku. Kasih aku. Semuanya untuk Azza. Akukan telah berjanji untuk membetulkan semua kesilapan yang lalu. Doa aku, semoga Allah satukan kami kembali.

Ihsan meninjau ke ruang tamu. Tiada tanda-tanda pun yang ada tamu datang ke rumah. Masakan emak tidak menjamu tetamu. Sekurang-kurangnya secawan kopi. Peliknya, tiada satu biji pun cawan atau pinggan bekas hidangan untuk tetamu yang belum dibawa masuk ke dapur. Emaknya kan masih di pintu. Mungkin baru menghantar tetamunya tadi pulang. Tetamu istimewakah?

Ah! Biarkanlah. Janji emak tidak ungkit soal jodoh aku lagi. Pintas hati Ihsan lagi. Takut benar dia dengan soalan yang melibatkan jodoh. Pembetulan! Bukan dia takut hendak kahwin lagi. Dia takut dijodohkan dengan perempuan lain. Sedangkan di dalam hatinya hanya ada seorang calon isteri sahaja, iaitu Azza. Dia masih setia kepada Azza. Biar pun dia terpaksa membujang sampai ke mati. Nama Azza sudah termeteri di hati. Dia tidak dapat menafikan lagi. Dia mahu hidup bersama-sama Azza, Iman dan emaknya. Dia mahu menjadi nakhoda yang penuh ilmu di dada. Tunduk dan patuh kepada titah perintah Pencipta. Dia mahu membawa keluarganya ke Jannah. Tidak mahu terpesong buat kali keduanya. Itulah ikrarnya kini. Ikrar di antara dia dengan Allah. Ikrar yang sentiasa diulang-ulang setiap kali usai solat.

Ihsan tersenyum. Dia mula terfikirkan satu jalan selamat. Bukan jalan mati yang boleh memerangkapnya. Atau jalan yang berlampu isyarat yang memboleh mengarahkannya. Dia akan memilih ‘jalan tikus’. Jalan yang boleh menyelamatkan dirinya dengan pantas. Dia bangkit. Perlahan-lahan dia memusingkan badan menghadap pintu masuk ke ruang tamu.

“Badan Ihsan pun dah sejuk. Peluh dah kering. Emak... biar Ihsan pergi mandi dulu,” pinta Ihsan, sebenarnya dia tidak mahu emaknya panjangkan lagi tajuk bualan itu tadi. Dan itulah jalan tikus yang dimaksudkannya. Jalan untuk menyelamatkan diri dari membincangkan perkara-perkara yang dia tidak selesa. Umpama jalan tikus yang selalu digunakan oleh penduduk-penduduk di Sempadan Tanah Air. Bagi mengelakkan diri dari dicekup oleh penguatkuasa.

“Hmmm... ya lah,” sahut emaknya, bersahaja. Mungkin sudah dapat dibaca helah Ihsan itu. Namun, bibirnya tetap merekahkan sekuntum senyuman. Penuh bermakna.

Ihsan melangkah cepat-cepat ke ruang tamu. Dan terus menyelinap ke dalam bilik tidur. Meninggalkan emaknya keseorangan di beranda. Huh! Selamat. Keluh hatinya. Dahinya berpeluh-peluh.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan