Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,240
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 32

Semua ketentuan Allah. Tiada sekelumit pun yang berlaku dengan kehendak sendiri. Manusia hanya mampu berdoa. Setelah semua usaha ditaburkan. Selepas segala ikhtiar dilaksanakan. Dosa semalam bukan untuk diratapi. Bukan juga untuk terus dihukumi. Semua itu masih belum terlambat untuk dibaiki. Selagi nyawa masih di jasad. Siapalah kita? Hendak menilai dan terus menghukum. Hanya pada Allah tempat kita bergantung.

Perasaan Ihsan masih lagi terbelenggu. Disimpul mati dek kesilapan yang lalu. Semakin dikenang, semakin tidak tenteram jiwa dan perasaannya. Seandai dibiar berlalu, tiada jalan keluar yang akan ditemui. Setiap malam, dia akan mengadu. Pada saat emaknya dan Iman asyik dibuai mimpi, dia akan bangkit bermunajat dengan lelehan air mata yang bertali. Dia mahu mulakan langkah baru bersama Azza. Melupakan semua sejarah hitam yang pernah dihadapi mereka dahulu.

Dia bersimpuh di atas sejadah. Sebahagian badannya disimbahi biasan cahaya lampu luar dari kaca jendela. Dia mencari-cari kekuatan dari dalam dirinya. Dia tidak mahu lagi membiarkan Azza menanti. Dia juga tidak sanggup lagi menanggung rindu. Apa yang bermain di dalam fikirannya kini, ibu Azza. Dia bimbang sekiranya ibu Azza akan membantah lagi. Dia masih teragak-agak bagi menghadapi kenyataan. Semua peristiwa dahulu masih jelas di dalam fikirannya.

Ihsan cuba membayangkan betapa terluka hati ibu Azza pada ketika perkahwinannya dahulu. Ibu mentuanya itu kecewa setelah kata-katanya tiada terkesan di hati anak gadis yang sudah dipanah cinta. Begitukah hebatnya penangan cinta? Sanggup meninggalkan segala-galanya demi cinta? Sungguh ramai yang terleka. Terlupa tarikh luputnya. Ya! Cinta mempunyai tarikh luput. Hanya cinta kepada ilahi yang tiada tempoh luputnya. Itu fikir Ihsan sekarang. Apabila cinta sudah melangkaui tarikh luput, tiada lagi yang indah. Semua mulai berpijak di bumi yang nyata.

Keluhan hati seorang ibu itu secara tidak sengaja menyapa jua ke kuping Ihsan. Ketika itu, dia baru seminggu bergelar suami kepada Azza. Ibu mentuanya itu kelihatan termenung di singki. Semua itu tergambar jelas di mata Ihsan. Meskipun hanya melalui celah-celah cermin tingkap. Semasa ibu mentuanya dan Azza sama-sama memasak untuk makan tengah hari, dia sedang menjemur pakaian di belakang rumah. Satu depa dari tempat ibu Azza berdiri.

“Ibu… ibu, kenapa ni?” tegur Azza, dia merapati ibunya yang membungkam. Walaupun jari-jemarinya terus meramas-ramas beras yang berada di dalam periuk. Selepas itu, air yang sudah bertukar menjadi warna susu itu dituang ke dalam singki.

“Ibu marahkan Azza ya?” Azza meneka, setelah ibunya masih tidak bersuara. Merajuk.

Cikgu Nah, ibu mentua Ihsan itu mencapai kain tuala putih yang tersangkut di tepi singki. Dilapkan bawah periuk dan di sekeliling yang masih basah. Diletakkan kembali ke dalam periuk elektrik. Apabila tudung ditutup kemas, ditekan suis pada bahagian depan. Lampu berwarna jingga pun menyala.

“Ibu… ibu...” panggil Azza lagi, merayu-rayu.

Cikgu Nah mendengus. Matanya memandang tepat ke muka Azza.

“Apa lagi yang Azza mahu ibu katakan?” akhirnya terpacul jua soalan dari celah bibir ibu mentua Ihsan itu.

“Ibu… maafkan Azza,” pohon Azza, mengharap agar ibunya itu meredai perkahwinannya dengan Ihsan.

“Tiada apa yang Azza ambil dari ibu. Kenapa perlu mohon maaf?” ungkap ibunya, merajuk. Namun kata-katanya itu sungguh berbisa. Mampu melemahkan seluruh sendi di badan.

Azza bungkam. Namun, air matanya kelihatan mengalir.

“Ibu… Azza janji dengan ibu. Walaupun Azza dah jadi isteri, Azza akan sambung belajar lagi... sungguh!” kata Azza, tangan kanan diangkat dengan telapak tangan dibuka betul-betul di tepi kupingnya.

“Ibu dah muak dengan janji… Azza, simpan aje janji kau tu,” protes ibu mentua Ihsan itu. Kakinya melangkah ke hadapan peti sejuk. Dibuka. Dikeluarkan setongkol kubis bulat.

“Tapi ibu…”

“Azza, kalau kau betul-betul dengar cakap ibu… kau tak kan terburu-buru kahwin. Sekarang... kau buatlah apa yang kau nak. Ibu dah tak kisah lagi, semua cakap ibu dah tak ada harga lagi,” luah ibu mentua Ihsan, memintas kata-kata Azza.

“Cuma ibu nak ingatkan kau, kalau rumah tangga kau gagal… kau balik cari ibu, ibu tak akan lepaskan kau lagi. Kau kena dengar cakap ibu,” kata ibu Azza, seolah-olah memberi amaran kepada anak perempuannya itu.

“Ibu… kenapa ibu doa Azza begitu?” bantah Azza, tidak senang dengan kata-kata ibunya itu.

“Ibu bukan doakan, tapi… ibu tak yakin dengan Ihsan,” ujar ibu Azza lagi, berterus terang.

“Tak yakin? Apa maksud ibu?” soal Azza, mohon penjelasan.

“Kau terlalu muda. Ihsan juga masih muda… sama-sama darah muda. Lagi pun... kau baru sangat kenal dia,” omel ibu mentua Ihsan, cuba menjelaskan kerisauannya.

“Nak kahwin ni, bukan untuk sehari dua… kau kena fikir masak-masak. Biarlah kau kerja dulu atau kalau tak pun... sambunglah belajar dulu, dapatkan kerja dulu,” sambung ibu Azza, pisau di tangannya itu diletakkan ke bahagian tengah-tengah atas kubis. Ditekan kuat-kuat. Ditolak dan ditarik pisau nipis itu. Kubis yang bulat itu terpotong dua.

“Ni… tak. Baru aje habis belajar, dah nak kahwin. Kalau hak wali tu pada ibu, memang tak kahwin lagi kau,” radang ibu Azza, pipinya merah menyala macam terkena cili.

“Dah sampai jodoh Azza ibu…” tingkah Azza sopan, cuba mengendurkan keadaan yang semakin panas.

“Ya la tu, itulah yang kau tahu. Ibu bukan apa Azza, ibu tak halang kau nak kahwin. Cuma ibu nak… kau tangguhkan dulu. Belajar dulu. Kerja dulu. Tak lah susah bila ada keluarga nanti,” kata ibunya, meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati.

“Ibu bukan nak merendahkan Ihsan, tapi ibu nak tengok dengan duit gajinya… hanya beberapa ratus aje tu, bolehkah dia sara kau sekeluarga,” ujar ibunya, masih tidak berpuas hati.

Ihsan yang mendengar dengan jelas perbualan kedua-dua beranak itu hanya bungkam. Selepas peristiwa itu, dia menjadi tidak selesa apabila berada di rumah ibu bapa Azza. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan ibu mentuanya itu. Dia sentiasa berusaha menjauhkan diri. Jauh dari bertembung muka dengan Cikgu Nah yang serius itu. Semenjak hari itu, dia jarang membawa Azza pulang ke rumah mentuanya itu.

Dia mengelak daripada bersua muka dengan ibu mentuanya, sekiranya Azza mendesak untuk pulang ke rumah ibunya. Itu pun sekiranya dia sudah tiada alasan untuk diberikan kepada Azza. Memang itu kesilapan Ihsan. Dia pasti. Semua itu bukan boleh menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka. Malah tindakan Ihsan itu semakin mengeruhkan keadaan. Dia bukan sahaja telah menambahkan lagi kerenggangan hubungan dia dengan ibu mentuanya itu. Dia juga secara tidak sengaja telah menjauhkan Azza daripada ibu bapa isterinya itu sendiri. Semua itu menjadi nanah dan kudis dalam hubungan dia dengan ibu mentuanya. Semakin lama semakin membusuk. Semakin lama semakin merebak ke bahagian yang lain.

Ihsan menundukkan muka. Matanya asyik memandang sejadah. Kekesalan semakin meruntun di jiwa. Dia kesal dengan tindakannya dahulu. Benar kata ibu Azza, orang muda fikirannya singkat. Bertindak mengikut kata hati. Tidak berpaksikan kepada realiti.

Kini, dia sedar. Semua yang menjadi kerisauan di sanubari bekas ibu mentuanya itu telah menjadi kenyataan. Dia merasa malu untuk bersemuka dengan ibu Azza. Setelah apa yang telah dilakukannya dahulu. Perasaannya semakin galau. Di antara perasaan cinta yang mendalam kepada Azza, atau perasaan malu untuk menentang mata hitam bekas ibu mentuanya itu.

Betul! Dia pernah menghantar ibu mentuanya itu dahulu. Semasa kenderaan mereka rosak di tepi jalan. Itu sekadar menghantar pulang. Tidak sempat pun Ihsan bersembang. Bekas ibu mentuanya itu banyak berkurung di dapur. Atau di dalam bilik. Membiarkan suaminya melayan Ihsan. Namun, ini soal hubungan. Soal perasaan yang telah putus. Soal ikatan kekeluargaan yang telah terputus. Sungguhpun begitu, seandai bersentuhan kulit, wuduk di antara Ihsan dan bekas ibu mentuanya itu tidak akan terbatal. Sampai bila-bila. Maknanya, hubungan Ihsan dan Cikgu Nah masih macam ibu dan anak. Itu hakikatnya.

Belum pun sempat Ihsan merungkai lipatan sejarah rumah tangganya yang telah runtuh itu secara lebih mendalam, sayup-sayup kedengaran suara Bilal Pak Usop melaungkan azan subuh. Ihsan bingkas. Bergegas meluru ke pintu. Kedengaran deruman enjin kereta meninggalkan halaman rumah. Meredah kedinginan pada awal pagi. Memburu rahmat dan keredaan ilahi.

*****

Usai solat subuh, Ihsan masih beriktikaf. Mengalunkan bait-bait zikir sebagai makanan jiwa. Butir-butir tasbih di tangannya itu, dikira satu persatu dengan kiraan zikrullah.

“San!” Cikgu Aman menepuk bahunya dari belakang.

Perlahan-lahan Ihsan membuka mata. Memusingkan badan, menghala ke muka Cikgu Aman yang mula bersila. Cikgu itu tersenyum.

“Maaf… aku ganggu kau kejap,” tutur cikgu itu lagi setelah dilihat Ihsan seperti tersentak dengan panggilannya itu.

Ihsan ikut tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Cikgu Aman. Mengangguk-angguk.

“Macam mana? hari ni pukul berapa nak bertolak?” soal Cikgu Aman, Ketua Rakan Belia Masjid.

“Pukul 5.30 petang bergolek tayar... okey?” tanya Ihsan, minta persetujuan Cikgu Aman.

“Okey juga. Nanti sampai kat masjid sana taklah kalut sangat,” balas Cikgu Aman, bersetuju.

“Ahli-ahli kita yang lain tau tak?” soal Ihsan, minta kepastian.

“Nanti aku bagitau… ramai lagi kat luar tu,” Cikgu Aman mula mengangkat punggung, membelakang Ihsan. Berjalan menuju ke pintu besar masjid.

Ketika tubuh tegap Cikgu Aman hilang di sebalik dinding masjid, Ihsan kembali menghadap kiblat. Dia menyambung kembali membaca zikir-zikir penenang hati yang terputus tadi. Lenggok suaranya yang merdu itu mengusik jiwa. Suara itulah nanti yang akan menunjangi kumpulan marhaban, Rakan Belia Masjid Hidayah malam nanti. Suara itu akan menyajikan beberapa lagu nasyid. Suara yang telah membantu kumpulan marhaban Masjid Hidayah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan peringkat jajahan. Kumpulannya itu diundang lagi. Undangan bagi menjayakan Majlis Tilawah al-Quran di Padang Majlis Daerah Bachok.

Cuaca di luar masjid semakin cerah. Matahari hidup dan terus memancarkan sinar. Kokokan ayam sudah mula hilang dari pendengaran. Sesekali kedengaran Siak Razak menyimbahkan air ke atas lantai. Disusuli dengan bunyi kersik-kersik.

Ihsan mengerling ke pergelangan tangan kiri, jam tangan hadiah daripada Azza itu direnunginya. Dia bangkit, qiam. Dadanya dihadap ke arah kiblat. Kemudian, dia solat sunat duha empat rakaat, dua salam. Begitulah rutin hidupnya sekarang. Sekiranya tiada urusan yang mendesak pada awal pagi, dia akan beriktikaf sehingga waktu duha. Tujuh sunah Rasulullah s.a.w, seberapa daya yang boleh cuba diamalkannya. Jati diri boleh dibentuk dengan mengamalkan tujuh sunah ini. Solat tahajud, solat duha, baca al-quran, imarah masjid, istighfar, sedekah dan berwuduk.

Usai solat sunat duha, dia bingkas bangun. Perlahan-lahan dia menapak ke keretanya. Di hujung beranda, dilihat Siak Razak menyeka peluh di dahi. Lelaki yang sudah berusia dalam lingkungan 40-an itu sekarang menjadi anak muridnya. Belajar mengaji dengan bertajwid.

“Abang Razak… !” laung Ihsan, tidaklah terlalu kuat. Namun, suaranya itu dapat menyentuh gegendang kuping Siak Razak.

Siak Razak berpaling ke arahnya. Seperti biasa, Ihsan akan menggunakan bahasa isyarat. Merapatkan jari-jari tangan kanan. Kemudian, disuakan ke mulut. Kepalanya pula digerakkan ke sebelah kiri dengan pantas. Sekali. Siak Razak mengangguk-angguk. Faham dengan isyarat yang tunjukkan oleh Ihsan itu. Dia menapak ke arah kereta Ihsan. Setelah mereka sama-sama terkurung di dalam perut kereta, Ihsan memandu keluar dari perkarangan masjid. Seperti minggu yang lepas, mereka akan bersarapan di warung Pak Moin.

Previous: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan