Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,256
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 15

Musim tengkujuh sudah lama berlalu. Langit kembali membiru dengan gumpalan awan di sana sini seputih salju. Matahari di cakerawala menghantarkan cahaya bagi menerangi dan memanaskan bumi. Percikan cahayanya juga turut membantu melancarkan proses fotosintesis.

Ketika matahari hidup, Ihsan sedang rancak memugar tanah kebun di sebelah lembah. Berhampiran dengan anak sungai. Di kawasan itu ditanamnya dengan pelbagai jenis sayuran. Tanahnya lembut dan subur. Apabila mata pacul terbenam ke dalam tanah, amat mudah menariknya keluar. Berbingkah-bingkah tanah subur itu. Tujahan mata pacul itu juga turut memusnahkan habitat cacing tanah yang dahulunya dijadikan umpan mata pancing.

Semenjak Ihsan mengusahakan kebun sepenuh masa, dia banyak membaca tentang artikel pertanian. Dia mahu mendalami ilmu pertanian. Agar dapat dia bertani dengan betul. Kenal spesies tanaman. Tahu kaedah menanam. Bijak memilih baja. Pandai dalam teknik-teknik penjagaan. Semua itu penting. Demi menjamin kualiti hasil dari tanamannya nanti.

Apabila Ihsan melihat cacing yang bergerak-gerak di dalam tanah yang sudah dipacul itu. Dia teringatkan kepada satu bahan bacaan. Baru semalam dibacanya. Pasal cacing. Jadi, dia tahu cacing tanah dapat menghasilkan baja organik atau disebut vermikompos. Menurut artikel itu, fakta penggunaan vermikompos 1:3 berbanding dengan baja kimia, iaitu satu kilogram baja vermikompos bersamaan tiga kilogram baja kimia. Baja vermikompos terhasil daripada kotoran seperti tahi lembu yang diproses oleh cacing tanah.

Dia juga telah banyak belajar pasal pokok-pokok pisang. Dia sudah mula mahir dengan tanaman pisang. Sudah kenal beberapa tanda serangan penyakit ke atas pokok pisang. Sudah tahu bagaimana hendak mengatasi penyakit-penyakit itu. Semua itu dipelajari daripada seorang pegawai pertanian yang bertugas di kampungnya. Encik Ruzlan, ya itulah nama pegawai yang banyak berkongsi info pertanian dengannya. Atau lebih mesra dipanggil dengan Abang Lan. Dia juga ahli jemaah di Masjid Hidayah. Jadi, banyak peluang yang dapat Ihsan manfaatkan. Dia dapat bersembang tentang teknik-teknik pertanian dalam sela masa yang terluang. Biasanya, di antara Maghrib dan Isyak. Pada ketika tiada program agama.

Abang Lan memang pakar dalam teknik penanaman pisang. Melaluinya, Ihsan sudah tahu bila masanya perlu pemangkasan sulur? Bagaimana pula hendak mencantas pelepah? Kenapa batang pisang perlu ditongkat dengan kayu atau buluh?

Pokok-pokok pisang di kebun Ihsan telah mengeluarkan buah. Pokok-pokok pisang itu memerlukan penjagaan yang sempurna. Ihsan termenung sejenak. Berfikir tentang apa yang perlu dibuat. Akhirnya, dia tersenyum. Semua langkah yang dijelaskan oleh Abang Lan dahulu masih tersimpan di dalam benaknya. Kini, dia hanya perlu lakukan. Sendirian.

Dia memanjat pokok pisang itu menggunakan tangga kayu yang dibuatnya sendiri. Sambil berdiri di atas anak tangga itu, dia memotong jantung pisang. Tandan pisang disarungkan dengan menggunakan sarung plastik polietilena berwarna biru sehingga melepasi sisir utama. Diikat dengan ketat dan kemas. Sarung plastik itu sengaja dibiarkan berlebihan bagi menutupi semua sisir pisang yang terjuntai itu. Dia menanda setiap bungkusan . Biar mudah baginya menentukan tarikh untuk menebang nanti.

Semua yang dilakukan itu bagi mengawal mutu buah pisang yang ditanam. Apabila tandan pisang dibungkus, ia dapat mengelakkan buah dari digigit serangga. Buah juga dapat dielak dari bergeser dengan daun atau kayu yang menyokong batangnya. Setidak-tidaknya, ia dapat mengelakkan buah dari lebam semasa ianya ditebang.

Ihsan berhenti memacul. Badannya ditegakkan. Topi mengkuang di atas kepala ditolak ke atas sedikit. Tangan kanannya menggenggam kemas batang pacul. Kepala digerak-gerak ke kiri dan ke kanan. Mengintai-ngintai suara yang sayup-sayup memanggil namanya.

Dia melangkah, mendaki lereng tanah kebun yang berbukit itu. Berdiri di atas tanah yang agak landai. Kelibat Kamil, peraih pisang di kampungnya itu tampak jelas di hadapan matanya. Kamil melambai, dia juga ikut melambai.

“San, macam mana yang kita janji semalam?” soal Kamil, tangan kanan dihulurkan ke depan. Pemuda yang agak sebaya dengan usia Ihsan itu penduduk Kampung Gemang. Dua orang budak lelaki belasan tahun mengekorinya dari belakang.

“Alhamdulillah, ada… ada,” sahut Ihsan sambil menyambut tangan Kamil.

Mereka beriringan ke dangau. Semenjak pokok-pokok pisang Ihsan berbuah. Dangaunya juga telah dibaiki. Sudah beratap dan berdinding zink. Semua pisang yang masih di tandan, disusun dengan cermat di dalam dangau. Agar tidak rosak. Atau merosakkan pisang di tandan yang lain.

Hampir setengah jam mereka berborak. Bercerita pasal pengalaman. Bercerita pasal bisnes. Pasal kedudukan mata wang dan berbagai lagi. Cerita-cerita itu diselang-seli dengan tambahan tempahan pisang. Kadangkala termuntah juga derai tawa daripada mereka. Setelah urusniaga selesai, Kamil dan pekerja-pekerjanya memunggah pisang-pisang dari dalam dangau ke atas lori satu tan. Pisang-pisang itu akan dijual kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Jeli.

Sudah lima minit lori Kamil meninggalkan kebun Ihsan. Namun bunyi enjin kenderaan itu masih kedengaran sayup-sayup di kupingnya. Ihsan melabuhkan punggung ke atas bangku panjang. Dia mengipas-ngipas tubuh dengan topi mengkuang. Matanya melilau ke serata kebun. Seronok melihat hasil titik peluhnya. Pokok-pokok pisang tersusun cantik dengan plastik polietilena melambai-lambai ditiup angin. Di pangkalnya pula ditimbun dengan daun-daun pisang yang telah dikerat kecil. Selalunya, Yamin yang akan datang menolong apabila dia kelapangan. Pokok-pokok pisang ditebang Ihsan dengan pertolongan Yamin. Ihsan akan menakik batang pisang pada ketinggian yang diagak-agaknya. Beberapa kaki di bawah tangkai tandan. Batang pisang yang patah dengan keadaan tandan pisang tergantung itu akan disambut dengan bahu Yamin. Bahu dialaskan dengan sekeping span tebal. Span itu dikutip dari tilam buruk yang telah dibuang orang. Selepas itu, tangkai tandan buah akan dipotong.

Matahari berdiri tepat di atas kepala. Bahangnya yang membakar, sungguh perit terasa. Di hujung sebelah hulu kebun, sayup-sayup kedengaran pekerja-pekerja rakyat Myanmar sedang bersembang. Mereka bekerja di kebun getah dan koko Haji Rokiman.

Ihsan membuka kasut but hitam. Kulit kakinya terasa selesa apabila dikeluarkan dari kurungan kasut getah sepanjang sekaki itu. Hampir empat jam kakinya terkurung di situ. Warna kulit kaki pun sudah bertukar pucat. Akibat terperap lama dengan kelembapan peluh. Baju kain khaki yang dipakainya itu dibuka. Dia membiarkan tubuhnya tidak berbaju. Dicapai kain sarung pelikat yang tergantung di palang. Disarungkan. Seluar poket banyak yang masih di tubuh itu dilondeh. Kain sarung pelikat dikilas kemas di pinggang. Tuala berona jingga dicapai dan diletakkan ke atas bahu. Timba yang tersangkut pada paku tiang dangau itu dijangkau. Dia menapak menghala ke arah anak sungai.

Beberapa minit sahaja Ihsan sudah berdiri di tepi tebing. Direnung permukaan air yang sekaki lebih rendah dari aras tebing yang penuh dengan pokok paku pakis. Timba di tangan diletakkan ke atas tanah. Tuala dan kain sarung pelikat disangkut pada pokok paku pakis yang tumbuh meliar di tepi tebing itu. Tubuhnya kini hanya berseluar sampak. Belum sampai seminit, berdeburan bunyi kocakan air sungai. Seakan-akan melatah kerana terkejut dengan tujahan badan Ihsan. Dia berenang-renang. Badannya bagaikan biduk, terapung-apung di dalam air sungai separas dada itu. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir dengan berbagai gaya tarian renang yang dia tahu. Puas meniarap, dia menelentang. Setelah dirasakan agak lama dia berendam, dicapainya sabun mandi dari dalam timba. Digosok-gosok seluruh tubuh. Dia menyelam. Mencuci daki-daki yang melekat di tubuh. 40 saat. Itu saja tempoh masa selaman yang mampu dilakukannya. Kemudian, kepalanya akan timbul di atas permukaan air dengan tercungap-cungap. Rekodnya 40 saat itu sahaja. Kurang sesaat dari rekod kak longnya. Kak longnya akan bersorak gembira. Bangga kerana itulah satu-satu acara yang dia dapat kalahkan Ihsan. Terkinja-kinja di dalam sungai.

*****

Usai solat zohor di dangau, dia membuka bekal yang disediakan emaknya. Air tangan emaknya sudah sebati dengan seleranya. Tiba-tiba kelibat Azza menjelma lagi. Seakan-akan bermain di hadapan mata. Masakan emaknya itu mengingatkannya kepada Azza. Masakan tidak, bekas isterinya itu juga cekap memasak. Azza belajar memasak dengan emaknya. Emaknya selalu memuji Azza. Kata emaknya menantunya itu terang hati. Mudah terima apabila diajar. Dia pernah terdengar emaknya berpesan kepada Azza, hendak pikat suami, pikat perutnya dahulu.

Sesudah menyusun kembali mangkuk tingkat, Ihsan bersandar di tiang dangau. Angin panas meramas-ramas muka dan tubuhnya yang terdedah itu. Kelopak matanya mula bergetar-getar. Benaknya menerawang. Melepasi kepungan kehijauan belantara itu. Dia terbayangkan senyuman Azza. Senyuman yang mematikan semua urat sarafnya dahulu. Baginya, Azza seorang isteri yang terbaik. Tiada setandingnya. Namun, sayang. Bukan seribu. Tidak juga sejuta. Bahkan berlaksa-laksa kali sayang. Dia tersilap dalam memilik jalan hidupnya. Dia bagaikan juragan yang hilang pedoman. Kapalnya karam di tengah-tengah lautan. Akibatnya, dia masih menyesal. Sungguh-sungguh. Sesal kerana tidak menghargai anugerah yang Allah berikan kepadanya. Dia hanya menyedari berharganya mutiara hidupnya itu apabila semua sirna dari hidupnya.

“Azza... lihatlah. Segala hasil usaha abang dah mula menjadi…” tuturnya sendirian, seolah-olah Azza sedang berdiri di depannya.

Dia melihat Azza melemparkan segaris senyuman yang teramat manis sambil mengelipngelipkan mata. Sebai rona coklat tua yang terlilit di bahu itu menambahkan lagi seri di wajahnya.

“Azza bangga dengan abang...” puji Azza, bibirnya tidak pernah lekang dari menguntum senyum.

Ihsan membalas senyuman itu. Belum sempat dia mengungkapkan kata-kata rindu yang terlalu lama dipendamnya, Azza telah sirna dari pandangan. Dia tersentak. Bibirnya terkunci. Seraut wajah yang berjanggut putih. Berketayap putih, tiba-tiba muncul di depan matanya. Merenungnya dengan mata yang sentiasa menenangkan.

“Allahuakbar…” laungnya, spontan. Terperanjat yang teramat.

“Hahaha…” Dia terdengar hilaian, mengecutkan perut.

“Ihsan… Ihsan, mengigau rupanya dia,” Haji Rokiman mengekeh-ngekeh, gelihati melihat gelagat Ihsan yang bingkas. Terus sahaja membuka langkah silat.

Ihsan tersipu-sipu. Berpusing-pusing. Seakan-akan mencari seseorang. Tangan kanannya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Jantungnya berdegup kencang. Dia mengurut-urut dada. ‘Nasib baik aku sempat sedar, kalau terlepas sebut nama Azza tadi… malu besar aku,’ katanya di dalam hati.

“Maaf... maafkan Bapak... Ihsan… bapak ingat Ihsan tunduk tadi sedang buat apa… hahaha. Tak sangka pulak sudah lena,” Haji Rokiman merebahkan tubuhnya di hadapan Ihsan.

“Hahaha... tak apa-apa… pak cik, Ihsan terlelap,” beritahu Ihsan, kedua-dua tangannya mengenyeh-genyeh mata. Dalam hatinya berisytighfar panjang. Mahu tidak terkejut. Tengah-tengah dia terpesona dengan senyuman Azza. Tiba-tiba muncul wajah Haji Rokiman mematikan igauan.

“Oh!... ya, kebetulan bapak hantar duit kat budak-budak Myanmar tu tadi. Bapak tengok motosikal Ihsan ada, jadi bapak singgah,” beritahu Haji Rokiman. Dia menepuk-nepuk paha Ihsan.

“Alhamdulillah... usaha Ihsan nampaknya udah semakin menjadi…” ucap Haji Rokiman, kepalanya dipusing ke kiri dan ke kanan.

“Bapak tumpang gembira Ihsan, bapak bangga dengan kau,” puji Haji Rokiman, ikhlas.

“Terima kasih… terima kasih pak cik. Pak cik yang banyak bantu Ihsan,” balas Ihsan, sopan.

Haji Rokiman tersenyum mesra. Matanya memandang ke muka Ihsan, direnungnya seketika. Kemudian, dia menggaru-garu siku kiri.

“Sebenarnya... ada satu benda yang pak cik nak bagitau,” Haji Rokiman mengangkat tangan. Membetul-betulkan letak ketayap di kepala.

“Bagitau apa pak cik?” Ihsan memeritkan mata. Dahinya berkerut-kerut.

“Begini... AJK masjid telah sepakat, kami nak libatkan Ihsan dalam aktiviti Rakan Belia Masjid. Ihsan setuju?” tanya Haji Rokiman, lehernya dipanjangkan sedikit ke arah Ihsan. Kupingnya pula ditadah betul-betul di depan mulut Ihsan. Macam alat perakam suara yang selalu digunakan wartawan.

“Kalau semua orang dah boleh terima Ihsan, tak ada sebab Ihsan nak tolak pulak. Ya tak pak cik?” akur Ihsan, walaupun sebenarnya dia keberatan. Dia masih dibelenggu kesilapannya yang lalu.

“Kalau macam tu bagus la, kita sama-sama imarahkan masjid kita,” kata Haji Rokiman. Di mukanya jelas tergambar kegembiraan.

Hampir lima belas minit Haji Rokiman bersembang di dangau bersama Ihsan. Walaupun telah lima minit dia meninggalkan Ihsan di dangau. Deruman enjin motosikalnya masih sayup-sayup kedengaran. Begitulah di belantara ini. Jarang dicemari oleh bunyi deruman kenderaan.

Selepas menukar pakaian, Ihsan melangkah dan menyelinap di celah-celah batang pokok pisang lagi. Dia mencantas pelepah-pelepah tua yang terjuntai. Mencabut lalang dan rumput. Membakar reba untuk dijadikan baja bakar.

Ketika matahari sudah condong, Ihsan telah pun memecut motosikal mendaki bukit tanah merah. Lagu hindi yang berkumandang dari corong radio pekerja-pekerja Haji Rokiman semakin hilang ditelan deruman nyaring motosikalnya. Semasa motosikal menuruni cerun berhampiran paya, seekor burung ruak-ruak melintas dan menyelinap ke dalam rimbunan pokok-pokok renek di tepi denai. Burung spesies itu pernah ditangkap oleh arwah ayahnya dahulu. Dagingnya enak dimakan apabila digoreng berempah.

Dia membelok motosikalnya ke kiri. Lebih kurang 100 meter dari pintu pagar rumahnya, Ihsan terpandang kereta Perodua Myvi Model SE1.3 berwarna emas keluar dari laman rumahnya. Kereta itu menderum laju menghala ke jalan berturap menghubung ke jalan raya utama. Ihsan memeritkan mata. Cuba memerhati pemandu kereta. Kabur. Pandangannya terbatas. Disekat silauan cahaya mentari yang menimpa ke atas cermin belakang kereta. Apa yang dia pasti, pemandu kereta itu adalah seorang perempuan. Siapa? Berontak hatinya, ingin tahu. Belum pernah dia melihat kereta itu masuk ke laman rumahnya. Ah! Jangan-jangan kawan emaknya, fikir Ihsan. Boleh jadi juga orang datang jual insurans. Ketika motosikalnya hampir di depan pintu pagar, kereta berona emas itu telah hilang dari pandangan mata.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan