Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,263
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 3

Motosikal Honda 70 pusaka arwah ayah Ihsan itu berderum garang ketika mendaki bukit Masjid Hidayah. Meskipun telah berusia lebih 30 tahun, kederatnya itu masih mampu membawa bebanan walaupun lebih seratus kilogram. Bukit masjid setinggi tiga meter setengah itu berjaya dipanjat biarpun dengan enjin yang tersemput-semput.

“Okey, Iman jangan bising-bising tau,” kata Ihsan sebaik Honda 70 itu diberhentikan di perkarangan masjid. Iman yang tercongok di hadapan dengan kedua-dua kaki berpijak di dalam bakul besi motosikal itu mengangguk patuh.

Mak Lela memegang bahu Ihsan sambil turun dari motosikal. Apabila kedua-dua kaki sudah mencecah ke permukaan bumi yang berturap, dia membetul-betulkan telekong sembahyang yang membalut tubuhnya itu dahulu. Kemudian, Ihsan mengangkat Iman lalu diletakkan di tepi motosikal. Mak Lela mencapai pergelangan tangan kanan Iman. Ditarik perlahan sambil melangkah ke ruang solat wanita. Anak kecil yang baru mencecah tiga tahun setengah usianya itu terkodek-kodek mengiringi neneknya.

Mata Ihsan mengekori emak dan anaknya berjalan beriringan sehingga terlindung di sebalik dinding konkrit. Semenjak dia keluar dari CCVC, jarang sekali dia solat di rumah. Dia benar-benar ingin berubah. Dia tahu, dia perlukan tapak yang kukuh untuk berpijak di bumi nyata. Apabila tapak sudah kukuh, binalah bangunan setinggi manapun. Dia akan tetap berdiri teguh. Dia juga tahu, agama itu nasihat. Apabila hati sering disapa nasihat, hati akan menjadi lebih waspada. Seperti tumbuhan yang sentiasa disapa hujan. Justeru itu, dia bertungkus lumus cuba mencari tapak yang kukuh di dalam dirinya.

‘Sesungguhnya, solat itu dapat mencegah dari segala kemungkaran’, bisik hati kecilnya dan itulah tapak yang dicari. Dia tidak akan berhenti mencari kerana di situlah letak asas kekuatan diri. Begitulah fikirnya. Dia memerlukan kekuatan diri. Kekuatan yang dibina dari kekuatan rohani. Kerana dia tahu, 13 tahun Nabi Muhammad S.A.W berdakwah di Mekah. Berdakwah bagi meneguhkan iman. Bagi membina asas yang kuat. Ampuh di dalam diri umat Islam.

Tiba-tiba kedengaran di kupingnya suara orang memberi salam. Pada ketika itu dia sedang menarik tongkat motosikal. Ihsan mengangkat kepala. Dipusingkan muka ke arah suara yang menyapa. Seorang lelaki berjubah putih, berserban putih berbunga merah yang sudah lanjut usia berdiri di sisi kiri. Bau minyak atar Mekah dari pakaian lelaki itu turut menerjah ke rongga hidungnya. Wajah tenang itu menghadiahkannya sebuah senyuman yang tidak pernah dilupakannya. Haji Rokiman, pengerusi masjid sudah pun berdiri di sebelah kiri.

“Oh, pak cik!” sahut Ihsan setelah menjawab salam. Kedua-dua belah tangan dihulur. Tangan Haji Rokiman dicium. Lelaki sebaya arwah ayahnya itu direnung sebentar. Haji Rokiman sahabat baik arwah ayahnya. Generasi pertama yang sama-sama membanting tulang dan memerah keringat di Kampung Ayer Lanas ini. Tanah kebun mereka bersebelahan. Apabila memandang Haji Rokiman, Ihsan merasakan seolah-olah dirinya sedang memandang arwah ayahnya. Lelaki warga emas itu masih pekat pelat jawanya walaupun telah bermukim di situ berpuluh-puluh tahun. Dia memeluk bahu Ihsan lalu menuntun ke serambi masjid.

“Bapak tengok dah dibersih tanah kebun arwah bapak kau tu,” kata Haji Rokiman. Matanya yang dilindungi kaca mata setebal lima milimeter itu memandang tepat ke muka Ihsan. Tangannya menggosok-gosok bahu Ihsan. Seperti semasa Ihsan kanak-kanak dahulu. Tidak pernah berubah. Sentuhan Haji Rokiman itu terlalu bermakna baginya. Sekurang-kurangnya, dia dapat merasakan perubahan ke atas dirinya itu disenangi Haji Rokiman.

“Ihsan bersihkan sedikit-sedikit aje pak cik,” jawab Ihsan tersipu-sipu.

“Baguslah… kalau kau tak usahakan, mak kau nak harapkan siapa lagi.”

Ihsan bungkam. Di dalam hatinya turut mengiakan apa yang dicakapkan oleh Haji Rokiman itu. Kedua-dua orang kakaknya telah berumahtangga dan tinggal jauh bersama suami masing-masing. Kak longnya mengikut suami yang bertugas di Kem Batu Kawa, Sarawak. Manakala kak ngahnya pula seorang ustazah yang bertugas sama negeri dengan suaminya di Sabah. Hanya dia yang menjadi galang ganti dan harapan emaknya. Dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Kalau tidak dia yang mengusahakan tanah tinggalan arwah ayahnya itu, siapa lagi yang boleh diharapkan? Ihsan membetul-betulkan kopiah putih di atas kepala.

“Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, bagitau saja pada bapak. Insya-Allah, kalau bapak mampu bapak tolong. Kalau bapak tak mampu, bapak tolong carikan jalan,” pelawa Haji Rokiman bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah pak cik…”

“Kau nak tanam apa tu?”

“Tapak yang sudah terang tu… Ihsan dah tanam dengan anak-anak pisang, pohon ubi kayu pun ada,” beritahu Ihsan, tersengih. Tangan kanan menggaru-garu pelipis.

“Bagus la tu, nanti kalau ada apa-apa yang perlu, jumpa saja dengan bapak. Anak-anak pisang berangan, tanduk, nangka, nipah, lemak manis, mas, rastali masih banyak lagi tu. Benih sayur-sayuran pun ada,” pelawa Haji Rokiman, bersungguh-sungguh.

“Terima kasih pak cik, nyusahkan pak cik aje,” balas Ihsan, malu-malu.

“Tak ada usah-usahnya... kau tak usah malu-malu dengan bapak. Arwah bapak kau dulu sahabat baik bapak. Kami dah macam adik-beradik. Kau pun membesar di depan mata bapak,” kata-kata Haji Rokiman itu berjaya melontarkan sekelumit kenangan indah dalam hidup Ihsan. Pada ketika itu, dia sering dibawa arwah ayahnya ke kebun pada setiap hujung minggu. Kadangkala, dia turut menjamah bekal makanan tengah hari Haji Rokiman di dangau. Dia cukup suka pada sambal tumis tempe yang dicampur dengan ikan bilis masakan isteri Haji Rokiman. Selalunya, pada hujung minggu Haji Rokiman sengaja bawa sambal tumis tempe itu untuknya.

Kini, sahabat karib arwah ayahnya itu sedang berdiri di sebelahnya. Masih tetap memberi sokongan walaupun telah beberapa kali dia mengecewakan harapan arwah ayahnya. Ihsan merasa teramat malu terhadap kebaikan Haji Rokiman. Dia malu kerana memusnahkan impian yang pernah diungkapkan arwah ayahnya dan disaksikan oleh Haji Rokiman suatu masa dahulu. Saat itu, mereka sama-sama menjamu selera di dangau.

“Ihsan nilah satu-satunya anak lelaki aku, Man. Kalau aku dah tiada, aku nak dia jadi pemimpin keluarga. Aku nak hantar dia sekolah aliran agama. Biarlah dia bukan seorang ustaz pun, tetapi apa yang aku harap dia boleh jadi imam solat jenazah aku nanti,” ungkap Kadir, tangan kanannya mencekau sepotong kuih seri muka dari dalam rantang.

Haji Rokiman mengangguk-angguk, barangkali bersetuju dengan kata-kata ayah Ihsan itu.

“Kalau dimakbulkan tuhan, aku mahu biar apapun kerja dia… tapi dia boleh jadi imam solat. Dia boleh jadi khatib, yang paling aku harap sangat-sangat dia menjadi seorang anak yang soleh, bila aku dah tiada... dia boleh kirim doa untuk aku,” sambung Kadir, mulutnya mengunyah-ngunyah. Bebola matanya masih memandang ke arah Ihsan yang sedang asyik memukul-mukul semak dengan sebatang ranting pokok yang sudah kering.

“Bagus sangat impian kau tu Kadir, aku turut doakan, moga-moga dimakbulkan Allah, aamiin...” sahut Haji Rokiman, kedua-dua tangannya di angkat dan disapu ke muka. Dipandangnya Ihsan yang masih bersilat dengan pokok paku pakis. Ranting kayu di tangan bagaikan sebilah keras. Dihunus. Ditarik. Kedua-dua kaki dibengkuk, dengan lagak pendekar Melayu. Memasang kuda-kuda.

Kenangan yang terimbau itu benar-benar mengguris hati Ihsan. Dia seolah-olah seorang pelari pecut. Detik itu adalah garisan permulaan baginya. Hanya menunggu bunyi tembakan pistol dari penjaga garisan. Langkah pertamanya itulah yang akan menentukan kalah menangnya nanti. Ternyata, dia hanya mampu bertahan beberapa langkah. Tersungkur, menyembah bumi. Lantas, kenangan itu mampu menitiskan air matanya. Hatinya diruntun pilu. Dia telah memusnahkan harapan ayahnya.

Dia cuba menahan sebak yang mula bersarang di hati. Dia tidak mahu Haji Rokiman mengetahui perasaannya pada ketika ini. Dia mengalihkan muka cepat-cepat ke sebelah kiri. Mendongak. Kelopak mata mengerlip-ngerlip. Dilemparkan pandangan yang sudah dihalang rembesan air jernih itu ke menara masjid. Menara yang tinggi menjulang ke langit. Ketinggian menara masjid itu mencapai 20 meter. Menara itu adalah punca maklumat penduduk-penduduk Kampung Ayer Lanas ini. Keempat-empat corong suara yang dipasang di puncak menara itu bukan sahaja berperanan sebagai alat menyampaikan waktu solat. Bukan juga hanya sekadar menguatkan suara ustaz atau ustazah semasa menyampaikan kuliah-kuliah agama. Malahan melalui corong-corong suara di menara itulah para penduduk di sini mengetahui tentang berita kematian. Berita agihan baja-baja subsidi. Bahkan berita segala aktiviti yang berlaku di kampung ini. Tanah tumpah darahnya. Dia bangga menjadi anak kampung ini. Biarpun dia pernah meninggalkan tompok hitam pada keindahan kampung itu. Dia nekad, dia akan tebus kembali kesilapannya yang lalu. Walaupun dia tahu, ramai di kalangan masyarakat kampung sudah tidak mempercayainya lagi. Dia tidak salahkan mereka. Malahan dia akui, dirinya yang bersalah. Maka selayaknya, dialah yang perlu berusaha mengembalikan kepercayaan orang-orang Kampung Ayer Lanas ini kepada dirinya. Dia perlu buktikan. Biarpun mengambil masa yang terlalu lama. Setahun? Dua tahun? Atau berapa lama sekali pun. Kerana perubahan yang diambilnya itu untuk dirinya sendiri. Demi masa hadapannya. Masa hadapan anaknya. Masa hadapan mereka sekeluarga. Bukan hanya sekadar dijadikan bukti.

Perasaan Ihsan masih tidak tenteram. Lebih-lebih lagi apabila tersedik di dalam hati beberapa impian arwah ayahnya, yang pada anggapan dia mustahil untuk ditunaikannya. Jangan kata hendak berkhutbah di mimbar, menjadi imam solat lima waktu pun belum tentu lepas. Apa-apapun, dia tetap bersyukur. Bersyukur kerana berkesempatan mengimami solat jenazah ayahnya tujuh tahun yang lalu.

“Bapak gembira sangat bila tengok kau dah kembali seperti dulu Ihsan,” suara gembira Haji Rokiman kembali menerjah ke rongga kupingnya yang lebar itu.

“Bapak yakin kau mampu tunaikan harapan arwah ayah kau dulu. Sekarang, kau kerjakan betul-betul tanah kebun bapak kau tu. Rezeki Allah ni, ada di mana-mana. Kita perlu usahakan aje, selebihnya... kita tawakkal aje,” nasihat Haji Rokiman itu bagaikan mengulangi impian dan harapan arwah ayahnya dahulu.

“Insya-Allah, insya-Allah pak cik…” ungkap Ihsan, terangguk-angguk. Kelopak matanya terkebil-kebil. Jauh di sudut hatinya masih ragu-ragu, apakah harapan yang baru ini mampu digalas lagi? Atau terbiar bersawang tanpa hala tuju?

“Cuma satu aje yang bapak nak pesan, Ihsan. Apa aje yang kau lakukan, kau kena banyak sabar. Sementelah dalam cucuk tanam ni. Musuh banyak sangat, kalau tidak kera, siput. Kalau tidak siput, kerbau kaki pendek. Banyak betul la… musuh-musuhnya. Apa yang penting kau kena sabar... ikhtiar kena jugak. Pagar? Haa... pagar kena ada. Baiki elok-elok mana yang rosak,” sambung Haji Rokiman.

Sementara itu, kata-kata Haji Rokiman tentang ‘kerbau kaki pendek’ itu mengundang geli di hati Ihsan. Sebaris senyuman dengan sedikit bunyi kekehan jelas kedengaran.

“Kerbau kaki pendek... ya... pak cik?” ulang Ihsan, wajahnya memandang ke muka lelaki keturunan jawa itu.

Haji Rokiman turut ketawa. Tangan kasar, kesan baktinya kepada bumi selama ini dilurut-lurut dari pangkal bahu ke siku Ihsan.

“Baiklah Ihsan, bapak nak ke tandas dulu. Nanti masuk waktu maghrib, kau pergi azan. Bilal Pak Usop ke Manik Urai, ada kenduri kahwin anak saudaranya,” minta Haji Rokiman, tubuhnya yang penuh berisi itu perlahan-lahan menghala ke bilik air.

Selepas beberapa langkah Haji Rokiman meninggalkannya keseorangan, Ihsan melangkah ke pintu masjid. Sebelum melangkah masuk, bibir Ihsan kumat-kamit membaca doa sambil kedua-dua tangan menadah ke langit. Disapu telapak tangan ke muka. Baru dia melangkah masuk serta memasang niat iktikaf. Kemudian, dia solat tahiyatul masjid dua rakaat. Semua doa itu sudah tersedia di setiap dinding masjid. Jiwanya terasa tenang. Lapang. Selesa semasa berada di dalam rumah Allah itu. Dia dapat merasakan. Dirinya bagaikan seorang musafir yang tersesat di tengah-tengah Gurun Sahara. Masjid Hidayah itu pula seumpama wadi yang menakung penuh, air yang jernih. Sejuk. Dan menyegarkan. Di situlah tempatnya mencari ketenangan. Setiap hari. Mencuci saki-baki kotoran yang melekat pada diri. Biar hilang segala lumpur. Yang terlalu lama menyaluti diri.

Jam digital empat segi tepat sebesar poster anti denggi itu berbunyi lantang. Digit rona merah yang sebaris dengan tulisan maghrib itu berkelip-kelip. Diikuti dengan bunyi putus-putus, membingitkan. Memberi isyarat, sudah masuknya waktu solat Maghrib.

Ihsan bangkit. Mengayun langkah ke tepi mimbar. Suis yang melekat di dinding, tepi mimbar itu dipetik. Dia berdiri tegak. Betul-betul menghadap alat pembesar suara. Diketuk-ketuk permukaan alat pembesar suara itu dengan menggunakan jari telunjuk. Apabila kupingnya dapat menangkap bunyi yang keluar dari corong suara di menara, dia menekapkan kedua-dua telapak tangan ke kuping kiri dan kanan. Nafas dihela. Dalam-dalam. Dilontarkan suara daripada hatinya itu. Lantang. Selantang yang dia mampu. Gema alunan suaranya itu membelah kesunyian pada waktu Maghrib. Kalimah puji-pujian tentang kebesaran Allah itu menjelajah ke serata. Bahkan ke segenap ceruk kampung. Tidak semena-mena, hati Ihsan diruntun oleh segala kesalahannya yang lalu. Tanpa disedari, ada air jernih yang mula tergenang di kelopak mata. Inilah kali pertama dia mengumandangkan azan dengan sepenuh hati. Suaranya yang selunak suara arwah Ustaz Asri Rabbani itu begitu menyentuh jiwa. Menyusup ke kalbu setiap kuping yang mendengarnya. Begitu syahdu.

*****

Suara Ihsan yang mengalunkan laungan azan itu bukan sahaja dapat mematikan beberapa bualan kosong di serambi masjid. Malahan ia juga turut memukau perhatian beberapa ahli jemaah yang lain. Masing-masing memanjang-manjangkan leher. Membulatkan biji mata, memandang ke arah mimbar masjid. Suara itu belum pernah mereka dengar.

“Siapa azan tu haji?” tanya Pak Moin, tauke warung roti canai sebaik sahaja Haji Rokiman melintas di hadapannya.

“Ihsan… anak arwah Kadir,” sahut Haji Rokiman sambil terus menapak ke pintu masjid.

“Sedap suara budak ni… tak pernah-pernah aku dengar dia azan,” sambung Pak Moin, memuji.

Haji Rokiman hanya tersengih dan melangkah masuk ke dalam masjid. Kepala Ihsan masih terhinggut-hinggut mengikut rentak alunan lagu azan yang dibawanya. Semasa mengungkapkan, “hayya alassolah…” kelihatan mukanya dua kali dipusingkan ke sebelah kanan. Dia memusingkan muka dua kali ke sebelah kiri apabila mengungkapkan, “hayya alaffalah…” Haji Rokiman hanya memerhati dari belakang. Dia teringatkan arwah sahabatnya. Hatinya mula mengerti akan harapan yang cuba digarapkan oleh arwah sahabatnya dahulu. Arwah Kadir tentu sudah mengesan bakat anak lelakinya ini. Perasaan hiba tiba-tiba menyapa ke raut wajahnya yang sudah berketak itu. Setitik manik jernih kelihatan berguling-guling dari kelopak mata dan berkecai di hujung bibirnya. Dia juga turut merasa bersalah dengan ada yang telah dilalui Ihsan. Namun, apakan daya. Semua telah berlalu. Doanya, semoga Ihsan diberi kekuatan dalam membina jati diri. Kuat dan tabah mengharungi mehnah kehidupan yang bakal mendatang.

“Moga-moga roh kau dicucuri rahmat, Kadir,” perlahan-lahan Haji Rokiman berbisik ke dalam dirinya.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan anak lelaki kau ni, Kadir,” doanya sambil mencium hujung jari kedua-dua tangannya.

*****

Usai solat sunat selepas maghrib, Ustaz Ramli yang tadi mengimami solat mula bertenggek ke atas kerusi yang terletak betul-betul di hadapan mimbar. Di hadapannya, terletak sebuah meja setinggi paras paha menghalang mata jemaah dari terus melihat keseluruhan susuk tubuhnya itu. Kitab nipis berwarna koko di atas meja itu diselak satu persatu. Sebuah buku setebal seruas jari diletakkan pula melintang di bahagian atas halaman kitab itu. Hujung kertas yang menjadi halaman kitab itu terselak-selak. Terjahan angin dari kipas berdiri yang berada di belakang Ustaz Ramli itu masih tidak berputus asa, mendesing-desing menepuk setiap helaian kitab nipis itu. Seolah-olah tidak sabar untuk menelaah helaian seterusnya.

Sesudah membaca puji-pujian ke hadrat Allah, selawat nabi dan ungkapan salam, ustaz muda yang segak dibaluti jubah putih itu kelihatan membetul-betulkan mikrofon yang tersemat di pangkal kolar jubah yang dipakainya. Mukanya diangkat. Bebola mata yang tajam itu memandang ke segenap ruang masjid. Gema suaranya mula memecah kesunyian. Menenggelam bunyi gegaran putaran kipas-kipas yang ada di dalam masjid.

Ihsan membuka lebar-lebar rongga telinganya. Muka ustaz yang bersih itu direnung. Lama. Apabila Ustaz Ramli membuka bicara dengan meminta semua jemaah menyelami perasaan seorang anak. Seorang anak yang telah menderhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Lalu lari meninggalkan rumah. Namun, setelah menghadapi berbagai-bagai kesulitan, kepayahan dalam hidup, anak itu terpaksa kembali. Bersua muka semula dengan ibu bapanya. Perasaan Ihsan begitu tersentuh. Dia terbayangkan anak yang diungkapkan ustaz itu adalah dirinya. Tentulah terlalu mencengkam jiwa dan perasaan. Dia terbayangkan wajah emaknya yang sentiasa tenang dan rela menerimanya. Hati emaknya begitu tabah. Tidak mudah melatah. Masih terbayang di ruang mata, bagaimana emaknya setia mengorakkan sebaris senyuman. Meskipun diherdik dan dimaki oleh jiran tetangga. Emaknya masih mampu menyembunyikan perasaan sedih apabila dituduh tidak tahu menjaga anak. Semua lontaran kata nista itu kerana bencikan sikap Ihsan. Sikap seorang penagih. Betul kata orang, ibu seorang dapat menjaga 10 orang anak, tetapi anak 10 orang belum tentu dapat menjaga ibu yang hanya seorang. Ihsan tunduk. Dia malu kepada diri sendiri. Dia melepaskan perasaan kesal yang tidak pernah putus-putus datang menyapa. Dia biarkan air mata menitis ke atas ribanya.

“Tuan, puan sekalian, malam ni kita sambung balik apa yang kita bincangkan dalam tazkirah minggu lepas. Ana akan sambung tentang khusyuk dalam solat,” kata-kata ustaz muda yang berada di hadapan itu menyapa gegendang kupingnya lagi.

Ihsan mendongak. Badannya dipusing-pusing. Dilihat sekeliling, Pak Moin yang bersandar di tiang tengah masjid mengangguk-angguk, mungkin bersetuju dengan tajuk tazkirah. Haji Rokiman yang berada di sebelah kanannya hanya bungkam. Semua ahli jemaah yang lain kelihatan ralit memerhati ustaz yang sedang tekun berhujah dengan dalil dari petikan firman Allah dan hadis nabi itu.

Ihsan kembali tunduk. Pandangannya ditala tepat ke atas karpet rona merah darah ikan. Hujung jari telunjuk tangan kanannya dilorek-lorek ke atas permukaan karpet. Bagaikan sebatang ballpen. Dia menulis beberapa perkataan, kemudian digosok-gosok dengan tapak tangan. Seolah-olah pemadam. Namun, setiap butir bicara ustaz yang berjambang. Tanpa kumis. Dan dengan lilitan serban putih di kepala itu menyentuh, jauh ke dalam lubuk hatinya.

“Pasti si anak tadi akan merasa teramat bersalah. Dia akan rasa sangat... menyesal, bukan? Hah... begitulah juga kita, setiapkali berdiri hendak menghadap Allah dalam solat, biar wujud perasaan bersalah. Biar ada perasaan menyesal sangat-sangat,” perbandingan yang diberikan oleh Ustaz Ramli itu sekali lagi mengingatkan dia kepada sikapnya yang lalu. Sikap semasa menjadi seorang penagih dadah.

Lebih kurang tiga tahun dia terlibat dengan najis dadah. Selepas dua tahun ayahnya meninggal dunia dan setelah setahun bergelar suami kepada Azza. Semua kerana kawan. Usianya pula terlalu muda pada ketika itu, terlalu naif. Dia silap memilih kawan. Silap menilai kawan. Kawan yang suka melepak sehingga jauh malam. Kawan yang tidak ikhlas. Kawan makan kawan.

Dia tidak dapat menghidu niat sebenar Shamsul, kawannya sewaktu sekolah rendah. Salahnya juga. Terlalu percayakan Shamsul. Mereka memang kawan rapat. Mungkin itu yang menjadi senjata bagi Shamsul. Sumpah! Dia benar-benar tidak sedar semasa Shamsul memasukkan sesuatu ke dalam air minumannya. Ketika itu, dia dan kawan-kawannya sedang leka bersorak. Gembira apabila penjaga gol pasukan pilihan mereka dapat menyelamatkan satu tendangan penalti. Semenjak itu, Shamsul sering sahaja berada di sebelahnya. Lebih-lebih lagi semasa mereka berada di warung-warung. Shamsul akan mengambil peluang apabila dilihat Ihsan terleka. Keadaan itu berpanjangan. Berhari-hari, sehingga barang yang dimasukkan ke dalam badan Ihsan itu mula memberi kesan. Mula menyelinap ke segenap saluran darah. Lantas membuat Ihsan menjadi ketagih.

Di situ titik mulanya. Ihsan berubah menjadi seorang hamba yang engkar. Dia berubah menjadi anak yang derhaka. Dia berubah menjadi suami yang bengis dan kasar. Dia berubah menjadi seorang bapa yang tidak bertanggungjawab. Dia juga berubah menjadi seorang pekerja yang tiada integriti. Sering ponteng. Sering tidur pada waktu bekerja. Justeru itu, dia hilang pekerjaan. Dia hilang kawalan diri. Dia sering mengamuk. Mangsanya, emaknya dan Azza yang sentiasa bergenang dengan air mata. Juga Iman yang sering dalam ketakutan. Hilang tempat bermanja.

Walaupun sikapnya sudah berubah 360 darjah, dia masih mampu mengawal diri dari mencuri atau meragut wang orang lain. Dia hanya merampas apa yang ada di dalam rumahnya sahaja. Meskipun begitu, dia tahu. Tanggapan orang ramai terhadap semua penagih dadah sepertinya tetap sama. Mencuri dan meragut. Juga merampas keharmonian hidup bermasyarakat.

Ihsan merasakan kata-kata ustaz itu tadi begitu menusuk ke kalbu. Kata-kata itu berjaya melelehkan air jernih di bibir matanya. Kehangatan air yang baru merembes keluar itu bagaikan terapi minda. Dapat menolak keluar saki-baki sengsara yang masih melekat di dalam hati.

Kesal. Ya! Perasaan itulah yang bersarang di dalam hatinya kini. Dia kesal dengan sikap naifnya terhadap Shamsul. Kawan yang dianggap olehnya sebagai kawan karib itu rupa-rupanya seorang pengedar dadah. Shamsul sedang mengintai ruang untuk membuka kawasan baru bagi pasaran dadah yang diedarkannya.

Apa yang menghairan Ihsan, mengapa dia yang dijadikan sasaran? Bukankah mereka bersahabat baik sedari kecil lagi? Ihsan menutup hidungnya. Nafas ditarik. Dia tahu, Shamsul telah meninggal dunia di tali gantung. Berita itu menjadi tajuk utama bualan semua penduduk kampung ini berbulan-bulan lamanya. Dalam diam, dia turut sedekahkan al-fatihah untuk sahabatnya itu. Sahabat yang pernah memesongkan. Atau lebih tepat lagi merosakkan hidupnya kerana sedikit perasaan dengki.

Semua itu telah jelas. Sudah terang lagi bersuluh. Ihsan masih ingat. Dia pernah menerima sepucuk surat daripada Shamsul. Ketika itu, sahabatnya itu telah ditahan dan telah dijatuhkan hukum mandatori. Surat pengakuan dan permohonan maaf itu membuatkan Ihsan terkedu. Surat itu benar-benar membuat Ihsan faham. Faham, mengapa dia dijadikan mangsa?

Sahabatku Ihsan,

Bertahun-tahun kita menjadi kawan. Ya, dari sekolah rendah sehinggalah aku berhijrah ke Kuala Lumpur. Kau anggap aku sahabat karib kau. Sebenarnya, tidak pada aku. Kau dahulu menjadi kebanggaan penduduk-penduduk kampung kita. Tapi aku, tidak.

Ihsan, sahabatku,

Aku benar-benar menyesal atas apa yang telah berlaku. Kau memang seorang sahabat,anak dan pemuda yang baik. Tanpa kau sedari, aku telah gunakan kebaikan kau itu untuk kepentingan aku. Maafkan aku, Ihsan! Aku benar-benar memohon maaf kepada kau. Aku sangka, apabila aku banyak duit. Kaya-raya. Bermewah-mewahan. Penduduk-penduduk kampung akan memandang tinggi kepada aku. Maka, sanjungan mereka kepada kau akan hilang. Lantaran itu, aku mencari jalan untuk kaya dengan cepat. Disebabkan terlalu rakus, aku mengambil jalan mudah. Aku melibatkan diri dengan sindiket pengedaran dadah. Memang benar, belum sampai setahun, aku sudah menjadi kaya.

Sahabatku,

Rupa-rupanya, aku silap. Mereka tidak memandang kepada kebendaan. Tapi, mereka memandang kepada akhlak. Budi pekerti. Aku kalah lagi. Kalahnya aku kali ini menambahkan cemburu di hati. Aku berusaha mencari jalan. Ingin memenangi hati orang-orang kampung. Namun, masih tidak berjaya.

Entahlah, mungkin datangnya dari sikap buruk dan dengki aku. Aku gunakan serbuk dadah bagi merosakkan kau. Biar kau dibenci oleh masyarakat kampung. Akhirnya, kau tewas. Aku kira, aku akan bahagia apabila melihat kau menderita sebagai hamba dadah.Tidak, sejujurnya memang aku juga sedih melihat kau menderita. Namun, semua itu telah terlambat.

Kini, aku meringkuk di dalam penjara. Menunggu hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah.

Ihsan, aku hanya ingin kau tahu. Sebelum nyawa aku dibawa pergi. Kalau dahulu aku tidak ikhlas berkawan dengan kau. Tidak kini, aku benar-benar ikhlas mengharapkan keampunan daripada kau. Baru aku sedar mengapa orang-orang kampung menyanjungi kau. Aku berdosa kerana mengkhianati kepercayaan kau kepadaku.

Maafkan aku, Ihsan.

Sekian, wassalam.

Shamsul Bahri Sulaiman

Suasana yang hening seketika itu dikejutkan semula dengan suara Ustaz Ramli menyampaikan tazkirah.

“Apabila perasaan kita dalam keadaan sesal, takut, teringatkan dosa yang terlalu banyak. Maka ana rasa akan wujud kekhusyukan dalam solat kita.”

Benar. Setuju Ihsan. Apa yang dihujahkan oleh ustaz itu seperti dengan apa yang dirasai oleh dirinya pada ketika ini. Memang berbeza daripada semua solat yang dilakukannya sebelum ini. Hati terasa tenang. Setenang air di tasik. Dia juga turut merasai kenikmatan solat yang terbina di atas keruntuhan mazmumah dan bertiang seri keinsafan. Sungguh indah.

Suara lantang Ustaz Ramli dengan nada yang menurun dan menaik itu terus mengasak-asak gegendang kupingnya. Ihsan kembali merenung ustaz itu dengan pandangan yang bersinar-sinar.

“Rasulullah S.A.W. dalam sebuah sabdaan baginda yang maksudnya, sesungguhnya Allah S.W.T itu sentiasa menghadapkan wajah-Nya atau memberi perhatian sepenuhnya kepada orang yang mendirikan solat, selagi orang solat itu hatinya tidak berpaling dari-Nya,” tukas Ustaz Ramli, kedua-dua belah tangannya ditekan ke hujung meja. Lengan jubah yang menutupi keseluruhan tangan itu mengigil-gigil dek hembusan kencang angin dari kipas-kipas.

Kedengaran ada suara daripada kalangan jemaah. Ihsan memusing-musing kepala, mencari-cari suara yang mengajukan pertanyaan. Dia lihat Fahmi, ahli rakan masjid yang bersimpuh di hujung sebelah kiri Ustaz Ramli sedang mengangkat tangan.

“Ustaz, apa yang dimaksudkan dengan... tidak berpaling dari-Nya tu?” Soalan Fahmi itu menarik perhatian semua, termasuk Ihsan. Semua jemaah menunggu jawapan daripada ustaz muda ini.

“Ya... terima kasih saudara yang bertanya. Soalan tu sungguh bagus,” puji ustaz sambil tersenyum.

“Maksudnya, hati orang yang sedang solat itu tidak lalai dari memberi tumpuan kepada Allah. Bila Allah menghadap wajah-Nya tu bermakna Allah bersedia mendengar segala apa yang bakal kita ungkapkan itu nanti. Malah Allah akan memperkenankan apa-apa yang dipohon di dalam solatnya itu,” jelas Ustaz Ramli.

Semua jemaah mengangguk-angguk. Ihsan juga. Hatinya berbisik, ‘Allahuakbar… Allah Maha Besar,’ hidung dan matanya terasa pedih.

Sekonyong-konyong, kuping Ihsan menangkap satu suara ahli jemaah yang bertanya lagi. Dia melilau. Dilihatnya Pak Akop tersengih-sengih.

“Bolehkah kita berdoa semasa kita dalam solat, ustaz?”

Semua jemaah memandang ke muka ustaz, menunggu jawapan. Ustaz muda itu dengan bersahaja menjawab;

“Tentu boleh… tapi... kena dalam Bahasa Arab la kan? jangan jawab dalam Bahasa Melayu pula. Nanti kantoi solat tuan, puan,” disambut dengan gelak para jemaah.

“Lagipun pengertian solat itu sendiri… doa, iaitu permintaan atau disebut juga permohonan. Kita memohon kepada suatu Zat yang Maha Agung bagi memperolehi sesuatu yang mustahil dapat diberi oleh mana-mana pihak.” Ustaz Ramli memberi penjelasan lanjut sebaik sahaja ketawa para jemaah reda.

Ihsan melihat Ustaz Ramli berhenti sekejap. Air mineral 230 mililiter di dalam gelas plastik di kanannya dicapai. Hujung straw yang tajam itu ditusuk menembusi penutup lembut. Disedut. Bergerak-gerak rengkungnya. Mungkin rongkongan ustaz itu terasa perit. Kemudian, ustaz itu menyambung lagi.

“Pemberian Allah ni... bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani sahaja, tetapi yang dipohon dalam solat tu ialah hidayah seperti yang terdapat dalam ayat keenam surah al-fatihah, iaitu hidayahkanlah kami jalan yang lurus,” beritahu ustaz yang berkulit sawo matang itu lagi.

Lebih kurang 40 minit ahli-ahli jemaah dihidangkan dengan santapan rohani oleh ustaz muda yang berkelulusan Ijazah Sarjana dari Timur Tengah itu. Selepas Ustaz Ramli menutup tazkirah dengan bacaan doa, Haji Rokiman mencuit paha Ihsan dan menggerakkan muka ke arah alat pembesar suara.

Ihsan bangun, melangkah sopan dan berdiri di hadapan alat pembesar suara. Dia melaungkan azan dengan lenggok yang amat mendayu-dayu. Kedua-dua belah tapak tangannya menelungkup kemas di kedua-dua kuping. Ada ketikanya, jari-jemari yang melekat di pelipisnya itu bergerak-gerak.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan