Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,268
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 30

Suasana di dalam restoran mamak ketika itu begitu membingitkan. Semua meja telah dipenuhi pelanggan. Hanya meja yang diduduki Ihsan sahaja yang masih kosong. Pekerja-pekerja Nepal mundar-mandir mengambil pesanan. Di penjuru sebelah depan restoran itu, kelihatan seorang pekerja restoran berketurunan India Muslim. Di atas kepalanya diselungkupi ketayap putih lembik. Dia sedang tekun menebar roti canai. Rakan di sebelahnya pula memegang sebatang besi putih panjang sebesar jari telunjuk. Hujung besi putih yang tajam itu dimasukkan ke dalam tempayan yang panas membahang. Ditikam roti-roti yang melekat di dinding sebelah dalam tempayan. Ditarik keluar dan diletakkan ke dalam bekas besar bertutup.

Mata Ihsan masih melilau. Memerhati ke luar restoran, dari segenap penjuru restoran. Sebaik sahaja seorang pekerja restoran melintasi tempat duduk Ihsan, hidungnya tiba-tiba disapa bau tanduri kambing. Dia mengerling ke permukaan jam di tangan. Hampir pukul tiga petang. Selepas solat zuhur di Masjid Besar Bandar Machang tadi, dia terus ke restoran. Teh tarik kurang manis di hadapannya itu masih berbaki.

‘Masih awal lagi... aku janji tadi pukul tiga setengah,’ getus hati kecilnya spontan. Namun, hatinya itu semakin bergetar. Perasaan tidak sabar meronta-ronta di jiwa.

Ihsan memusingkan badan ke arah jalan besar. Sekonyong-konyong jantungnya berdegup kencang. Hatinya pula bagai ditenggelami euforia. Di kaki lima restoran, dia melihat Azza sedang melangkah masuk. Baginya, bekas isterinya itu bagaikan seorang dewi. Sentiasa bertakhta di hati. Azza mengatur langkah dengan teliti. Tubuh yang kecil molek itu dibaluti dengan baju kurung labuh rona hijau buah zaitun. Bercorak bunga, menyejukkan mata yang memandang.

Ihsan mengangkat tangan kanan, berusaha agar Azza yang masih melilau itu memandang ke arahnya. Lalu sekuntum senyuman yang paling manis dihadiahkan. Khusus untuknya. Apabila wajah yang sentiasa jelita di matanya itu memandang. Kaki kecil Azza yang tersarung di dalam kasut koko berkilat itu diayun lembut. Gemalai langkahnya. Bagaikan seorang peragawati sedang menggayakan pakaian. Belum pernah Ihsan melihat Azza bertrampilan begitu. Sungguh menarik. Di bahu Azza tersandang tas tangan koko berkilat. Bibir bak delima merekah itu tidak pernah luak dengan senyuman.

Mata Ihsan bagaikan sudah terkunci. Tidak mahu berkalih dari memandang Azza. Di dalam hati melimpah-ruah rasa bersyukur. Semua itu dengan keizinan Allah. Tanpa kudrat dan iradat daripada-Nya, mustahil Azza masih sudi keluar makan bersama-samanya. Selepas berfasakh, inilah kali pertama Ihsan bertemu dengan Azza di luar. Awal pagi tadi, Ihsan memberanikan diri. Dengan dada yang berdebar-debar dia cuba menghubungi Azza. Dia terlalu mengharap. Meskipun tidak diketahui kesudahannya.

“Dah lama abang tunggu?” tegur Azza, tas tangannya diangkat. Diletakkan ke atas meja. Punggung dilabuhkan perlahan ke atas kerusi bulat di depan Ihsan.

“Lepas solat tadi, terus abang ke sini,” jawab Ihsan, jujur.

“Memang Azza dah agak dah…” Azza tersenyum.

Ihsan turut tersenyum. Dia tahu apa yang dimaksudkan Azza itu. Bekas isterinya ini masih ingat fiilnya itu. Kalau berjanji tentu dia begitu. Sejam, dua jam lebih awal menunggu.

“Maaflah bang… hari ni Azza keluar pukul dua empat puluh lima, kesian… lama abang menunggu,” tutur Azza, matanya merenung ke muka Ihsan.

“Bertahun-tahun abang boleh tunggu. Tak kan sejam dua tak sanggup,” Ihsan melirik ke arah Azza. Menunggu reaksi spontan bekas isterinya itu. Namun, Azza hanya tersenyum.

“Lagi pun... demi Azza, berapa lama pun abang sanggup tunggu…” tambah Ihsan. Mula memberanikan diri setelah dilihatnya Azza seakan-akan tidak kisah dengan setiap tutur katanya itu.

Azza menundukkan muka. Malu agaknya apabila Ihsan masih terus merenungnya.

“Kenapa abang renung Azza macam tu?” tegur Azza, tersipu-sipu. Mukanya merah macam bara api di dalam tempayan yang sedang membakar roti tidak jauh di hadapannya.

“Lima tahun kita berpisah… tentulah abang rindu saat-saat seperti dahulu,” jelas Ihsan, matanya terasa tidak mahu lepas dari memandang dewi hatinya itu. Dia nekad. Petang ini, biarlah dia berterus-terang dengan Azza. Pasal perasaannya. Hajat hatinya. Biar apapun keputusan Azza. Dia terima. Dia reda. Kerana dia tahu, itu keputusan Azza. Perempuan yang masih bertakhta di hatinya itu berhak membuat keputusannya. Apabila dia teringatkan saat-saat pedih dan sengsara Azza bersamanya, dia menjadi takut. ‘Mungkinkah Azza sudah serik hidup bersamaku?’ Bisik hati kecilnya.

“Oh! ya, Azza nak makan apa?” Ihsan cuba meleraikan perasaan negatif yang mula menyerang ke dalam dirinya. Dia tidak sanggup melayaninya lagi.

“Apa ya? emm… minta nasi beriani kambing la, kawan Azza kata sedap makan kat sini,” minta Azza, senyum.

“Minum?”

“Azza nak minum milo beng.”

Ihsan memanggil pekerja restoran. Setelah mengambil pesanan, pekerja itu terus beredar. Azza memandang Ihsan, dia mendengus.

“Kenapa?” soal Ihsan, bimbang.

“Tak ada apa-apa…”

“Betul?”

“Ia… abang telefon pagi tadi, abang kat mana?” Azza cuba mengalihkan tajuk.

“Abang kat Pangkal Meleret, ada kontrak kat sekolah rendah,” jawab Ihsan, jujur.

“Sampai hati Azza tak bagitau abang,” kata Ihsan, perlahan.

“Bagitau apa?”

“Azza mengajar kat sini.”

Azza tergelak. ‘Oh! Lama sungguh aku tidak dengar suara ketawa mu Azza. Bertahun-tahun engkau menangis kerana aku,’ rintih hati kecil Ihsan, kesal.

“Abang pun sampai hati,” balas Azza, seakan mengajuk cakap Ihsan.

“Huh! Apa yang abang dah buat?”

“Abang tak tanya pun Azza.”

Mereka sama-sama ketawa. Perasaan negatif yang menghantui Ihsan semakin sirna.

“Azza ulang-alik ke?”

“Tak lah… Azza menyewa ramai-ramai.”

“Ooo... err... sebenarnya, abang ada perkara penting nak bagitau Azza,” muka Ihsan terasa kebas. Walaupun Azza pernah menjadi isterinya, namun dia seolah-olah kaku. Terlalu berat untuk menyatakan hasrat yang terlalu lama bersarang di hati. Azza yang berada di hadapannya ini bukan Azza yang dahulu. Azza ini lebih matang dalam memilih jalan hidup. Lebih bergaya. Lebih segala-galanya.

“Perkara penting? Perkara apa tu?” pandangan Azza itu bagaikan angin di padang. Menghembus dan menghembus. Menghidupkan api di bara yang hampir padam. Pandangan itu seolah-olah menyuntikkan semangat baru ke dalam diri Ihsan.

“Abang... abang sebenarnya takut nak berterus-terang,” wajah Ihsan tidak seceria sepertimana tadinya.

“Berterus-terang pasal apa bang?” Azza mengerutkan dahi. Matanya masih memandang ke muka Ihsan.

“Berterus-terang pasal perasaan abang. Abang masih cintakan Azza. Perasaan cinta abang kepada Azza tak pernah mati. Cuma... cuma abang takut Azza tak sudi.”

Azza kelihatan terkaku. Matanya tidak bergerak memandang Ihsan. Seketika. Kemudian Azza mendengus. Di bibirnya terzahir sebuah senyuman. Senyuman yang mengembalikan denyutan jantung Ihsan. Setelah terhenti seketika.

Azza mencapai tisu dari atas meja. Diseka air jernih yang mula merembes di kelopak matanya.

“Sudi tak Azza? Kembali hidup bersama abang? Abang...”

“Azza tak pernah membenci abang. Azza sudi keluar dengan abang ni pun kerana Azza dapat rasakan cinta abang masih di dalam hati Azza,” pintas Azza dan kata-katanya itu sudah cukup menggembalikan keceriaan yang tiba-tiba malap itu tadi di wajah Ihsan.

“Alhamdulillah... bolehlah abang singkirkan wajah yang selalu mengganggu tidur abang.”

“Eh... eh... wajah siapa pulak tu?” Azza membulatkan matanya.

“Pesaing abang... Amir Rizal.”

“Abang... abang... kelakarlah...” Azza tergelak-gelak. Mulutnya ditutup dengan telapak tangan kanan.

“Eh! Kenapa pulak. Bukankah dia calon pilihan ibu?”

“Haha... tu dulu... sekarang ni, kalau abang nak tau Amir tu dah ada anak dua,” beritahu Azza. Masih tergelak-gelak.

“Ya? Selamat... abang ingatkan dia masih tunggu Azza.”

“Ni bukan drama, bang. Perempuan ramai daripada lelaki. Lagi pun... dia terpelajar. Ramai gadis yang terpikat,” Azza menggeleng-geleng. Tisu di tangan disapu-sapu ke matanya.

“Pasal ramai gadis terpikat tu la yang buat abang kecut perut,” sela Ihsan, meluahkan apa yang dirasainya selama ini.

“Selepas kita berpisah... Azza isi sela-sela masa tu dengan mengotakan janji Azza pada ibu dulu. Abang tau tak? Sungguhpun jasad kita terpisah... tapi Azza dapat rasakan hati kita masih mengharap. Dan... syukur kepada Allah. Semua yang Azza impikan tu... semakin menjadi kenyataan,” luah Azza, suara kedengaran agak perlahan supaya tidak didengari oleh pelanggan-pelanggan di sekelilingnya.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pekerja restoran membawa makanan pesanan mereka. Ihsan mengangkat nasi beriani yang berada di hadapannya itu. Diletakkan ke hadapan Azza. Milo beng diletakkan ke sisi Azza. Dia bangun mencari singki. Membasuh kedua-dua belah tangannya. Kemudian, kembali menghadap juadah yang sudah tersedia untuk dijamah. Bibirnya kumat-kamit. Nasi kandar di hadapannya itu digaul-gaul perlahan.

“Abang…” panggil Azza, mulutnya mengunyah dengan tidak membuka bibir. Matanya pula memandang ke atas daging kambing di dalam pinggan yang terhidang di depannya. Sudu di tangan kanan memotong. Garfu di tangan kiri menekan daging.

“Hmm…” Ihsan mendongak dan memandang Azza yang sedang menolak nasi dengan garfu ke sudu yang diletakkan mengiring di dalam pinggan.

“Emak cakap, abang nak bawa dia dan Iman pergi umrah?”

“Azza nak ikut?”

“Huh! tu, la…”

“Insya-Allah… ada rezeki, panjang umur kita pergi sama-sama, tunggu lepas kita kahwin. Doa banyak-banyak, biar kita dapat tunaikan haji juga,” kata Ihsan, memasang harapan.

“Ibu macam mana?” tanya Ihsan, entah mengapa tiba-tiba sahaja dia teringatkan bekas ibu mentuanya itu.

“Ibu dengan lelahnya tu aje la,” beritahu Azza, kepalanya diangkat dan mata memandang ke mata Ihsan.

“Tapikan bang, suatu malam tu Azza dengar abah asyik nyebut nama abang aje,” kata Azza, tangan kanannya yang mengenggam batang sudu itu digerak-gerakkan.

“Kenapa?”

“Entahlah… tapi Azza nampak, ibu diam aje,” beritahu Azza lagi.

Ihsan mendengus. Dia berkalih muka ke luar restoran. Benaknya mula menerawang jauh. Dia teringatkan bekas ibu mentuanya itu. Semenjak dia berkahwin dengan Azza dahulu, dia melihat bekas ibu mentuanya itu seperti orang sebal hati. Dia kurang bercakap dengan Ihsan, bahkan selalu mengelak daripada bertembung. Bekas ibu mentuanya itu, yang lebih mesra disapa oleh kenalannya dengan panggilan “Cikgu Nah” itu sebenarnya kecewa. Dia mengharapkan Azza melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Dia mahu Azza menjadi guru sepertinya. Namun, Azza membantah. Selepas tamat belajar di peringkat diploma, Azza berkahwin dengan Ihsan.

Ihsan kembali menyuap nasi ke dalam mulut. Azza di depannya menyedut milo beng. Sedut sekali. Berhenti. Telan. Sedut lagi. Berhenti lagi. Telan lagi.

Bibir Ihsan asyik berkunyah. Benaknya pula masih meneroka ke lipatan sejarah rumah tangga yang sudah ranap dihempap gelombang. Sungguhpun Ihsan tahu, Cikgu Nah tidak sukakan dia. Namun sedaya upaya dia cuba bersangka baik terhadap Cikgu Nah. Dia sering menyoal dirinya sendiri, ‘ibu mana yang mahu melihat anaknya hidup susah? Sembilan bulan sepuluh hari di dalam kandungan. Bertarung nyawa ketika melahirkan. Bersekang mata kerana anak. Tidur tidak pernah cukup. Rehat tidak pernah cukup. Tiba-tiba, apabila sudah remaja. Sudah dewasa. Mudah sahaja menghampakan harapan ibu bapa. Mengikut kata hati tanpa mempedulikan nasihat ibu bapa.’

Ihsan melepaskan keluhan perlahan-lahan. Dia sedar dia bersalah. Tindakannya semasa menjadi penagih dahulu benar-benar seperti mencurah minyak ke kuali yang sedang panas. Cikgu Nah bagaikan keropok keping yang dijatuhkan ke dalam minyak panas. Mangsanya, Mak Lela. Emak Ihsan terpaksa menahan kupingnya. Mak Lela terpaksa menanggung kata nista akibat sikap Ihsan.

“Abang pujuklah ibu,” cadang Azza, kedua-dua tangannya melepaskan sepasang sudu garfu yang di genggaman itu. Ihsan pula macam orang mamai seketika. Sekelumit kenangan yang bermain di minda itu sirna.

“Azza tahu, ibu tu keras-keras kerak nasi aje. Pandai abang ambil hati dia, lembutlah hatinya,” tuntas Azza, tisu di atas meja dicapainya lagi.

“Memang... memang abang tengah fikirkan ibu ni…” luah Ihsan, jujur.

“Kita dah banyak kecewakan dia. Lebih-lebih lagi abang,” kata Ihsan, dia bangkit dan melangkah ke arah singki. Tangan kirinya memilin kepala paip rona perak. Dia menggerak-gerakkan jari-jemari di bawah muntahan air yang tak henti-henti itu.

“Abang nak tebus balik semua kesalahan abang pada ibu dulu,” sambung Ihsan sebaik sahaja dia merapati meja di depan Azza, punggungnya kembali berlabuh di kerusi bulat.

“Tapi kan bang… Azza tengok, ibu dah banyak sangat berubah,” sela Azza, tangannya membuka tas tangan. Membelek-belek, seakan-akan mencari sesuatu yang hilang.

“Maksud Azza?”

“Yalah, abang kan tau sikap ibu dulu, dia bukan suka ambil tau pasal Iman,” kata Azza, seolah-olah mengingatkan Ihsan.

“Sekarang, dia yang selalu tanya pasal Iman. Siap suruh Azza bawa balik Iman,” beritahu Azza, gembira.

“Dah memang cucu dia, kan tadi Azza juga yang cakap… ibu tu, keras-keras kerak nasi,” ujar Ihsan, bibir tersenyum lebar.

“Azza rasa... apa yang perlu abang lakukan? abang tak mahu macam dulu. Abang nak, ibu restu perkahwinan kita nanti… barulah ada berkat ilahi,” kata Ihsan, tisu yang sudah renyuk di tangan itu diletakkan ke dalam pinggan.

Azza tersenyum. Dia merenung muka Ihsan lama-lama. Di tangan kanannya tergenggam dua pasang jam tangan, satu bersaiz kecil dan satu lagi bersaiz besar. Kedua-dua biji jam itu baru dikeluarkan dari dalam tas tangannya.

“Abang pun dah banyak sangat berubah…” kata Azza. Matanya terpaku memandang Ihsan.

“Azza suka bang…” luah Azza, mata hitamnya bersinar-sinar.

“Allah makbulkan doa Azza, bang…”

Ihsan membalas senyuman bekas isterinya itu. Mahu rasanya dibelai pipi Azza, biar terlerai segala galau yang selama ini meruntun di jiwa. Namun, syariat belum mengizinkan. Ada batas yang wajib dipatuhi. Dia akur.

“Abang… jam tangan ni, sudah lama Azza simpan. Masa tahun pertama Azza kat universiti dulu. Azza beli kat ekspo. Biarpun harganya tidak mahal…” Azza tunduk, tangannya memusing belakang jam itu.

“Di belakang jam ni, terukir nama kita…” kata Azza, tangannya menghulurkan sebiji jam yang bersaiz besar kepada Ihsan.

‘Ya, Allah… besarnya karunia-Mu kepada hamba-Mu ini, Kau suntingkan gadis yang berhati mulia untukku, yang sentiasa setia menungguku,’ sela hati kecil Ihsan.

Matanya mula berair. Namun, cepat-cepat diseka dengan tangan. Jam tangan di pergelangan tangannya itu dibuka dan disimpan ke dalam kocek seluar. Jam pemberian Azza itu dipakai. Azza juga turut memakai jam yang bentuk dan ronanya sama. Mereka bagaikan merpati dua sejoli. Mereka mula mengutip kembali puing cinta mereka yang berselerakan dahulu. Doa mereka, biarlah puing cinta itu menjadi batu bata. Restu ibu bapa, lebih-lebih lagi Cikgu Nah menjadi simennya. Biar istana yang bakal dibina nanti menjadi kukuh. Tidak berganjak. Meskipun diasak oleh badai yang mengganas. Tetap teguh berdiri. Walaupun digoncang oleh kerak bumi.

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan