Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,276
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 20

Suasana di perkarangan Masjid Hidayah hingar-bingar dengan pekikan kanak-kanak yang sedang berkejar-kejaran. Lampu neon di sekeliling masjid menambahkan lagi kemeriahan kepada kanak-kanak pada malam itu. Di beranda masjid, atas lantai mozek kelihatan beberapa kelompok ahli-ahli jemaah masjid sedang berborak, sementara menunggu masuknya waktu solat isyak. Malam itu, sepatutnya giliran Ustaz Zailani yang mengajar. Namun, apa yang diberitahu oleh Haji Rokiman, ustaz itu tidak dapat hadir kerana berkursus di Kuala Terengganu.

Ihsan menyandarkan badan di dinding bersebelahan dengan almari buku-buku agama. Di atas ribanya terdapat sebuah buku setebal dua inci yang masih ternganga. Benaknya menjelajah jauh. Hanya batang tubuh sahaja yang berada di dalam masjid itu. Jiwa, perasaan dan akalnya terbang jauh. Dia masih memikirkan tentang nasib yang bakal diterimanya. Bukan dia tidak percayakan qadak qadar, tetapi dia masih sangsi dengan kemampuan dirinya. Dia takut dia tidak dapat menghadapi tekanan hidupnya lagi.

Dia akui, sebagai manusia yang lemah hanya kepada Allah tempat dia bersandar. Namun, kerana dia manusialah dia khuatir keyakinan dirinya terhadap diri sendiri akan goyah. Selama lebih dua tahun, dia hidup tanpa isteri. Membesarkan anak dengan bantuan emaknya. Bertungkus lumus mengusahakan tanah kebun arwah ayahnya. Apabila dia mula di ambang kejayaan, semua hasil pertaniannya mula menjana pendapatan, tanah kebun itu pula menjadi mangsa pembangunan. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Deras menitis di pipi.

“Hai, jauh mengelamun...” tegur Haji Rokiman yang mula menghampiri Ihsan.

Ihsan menarik kain serban bercorak petak halus, berona hitam yang disebai ke bahu. Disapu-sapu ke muka. Dia tidak mahu Haji Rokiman melihatnya menangis. Dia mesti tunjuk yang dirinya masih tabah. Masih boleh menerima kenyataan yang tanah kebun kesayangannya itu akan diambil kerajaan.

“Bapak tahu, tentu Ihsan fikirkan pasal tanah kebun tu lagi,” teka Haji Rokiman. Ihsan terperanjat. Namun, cepat-cepat disembunyikan, agar tidak dapat dihidu oleh Haji Rokiman.

“Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w berdakwah menyampaikan ajaran Islam selama 23 tahun. 23 tahun... baru berjaya membentuk Negara Islam. Itu nabi... manusia terpilih. Kenapa Allah tak terus kurniakan kejayaan kepada baginda? Tentu saja Allah berkuasa melakukan itu,” Haji Rokiman mencuit paha kanan Ihsan. Menepuk-nepuk, perlahan. Lelaki yang sudah banyak menghirup pengalaman dalam hidup itu sentiasa tenang. Tidak jemu-jemu meniupkan semangat juangnya kepada Ihsan.

‘Bapak tau, semua ni Ihsan dah tau... Ihsan orang ngaji kan? Cuma bapak nak ingatkan saja. Semua yang berlaku tu bersebab. Allah sayangkan kita, Allah nak angkat darjat kita... orang sekarang cakap naik pangkat. Bila nak dinaikkan pangkat... mestilah kena ditemuduga dulu, bukan gitu?” soal Haji Rokiman, bibirnya sentiasa manis dengan senyuman.

Ihsan beristighfar di dalam hati. ‘Ya, Allah... ampunkanlah kekhilafan aku tadi,’ getus hati kecilnya.

“Semua orang kena uji, yang berjaya dinaikkan pangkat. Mana-mana yang kandas disuruh mengulang...” ujar Haji Rokiman lagi. Dia memusingkan badan ke belakang, matanya terpandang kepada seorang lelaki pertengahan umur yang baru lepas solat sunat. Badannya tegap, berkulit cerah. Berketayap putih bersih.

“Mat... Mat, sekejap!” panggil Haji Rokiman, menggamit lelaki yang berjanggut tanpa kumis itu.

Lelaki berjubah kelabu berlengan pendek itu menghampiri mereka. Mereka bersalaman sambil bersedekah senyuman di bibir masing-masing.

“Ha... bapak kenalkan Ihsan, ni menantu bapak. Mat! ni Ihsan, anak arwah Karim... kawan bapak,” kata Haji Rokiman, dia mula bangkit perlahan-lahan.

“Tak apalah... kamu sembanglah dulu, bapak nak ke tandas kejap,” ungkap Haji Rokiman, kakinya mula melangkah dan meninggalkan Ihsan bersama-sama menantunya itu.

“Abang...” suara Ihsan, memulakan bicara.

“Panggil aje Abang Mat,” kata menantu Haji Rokiman itu.

“Ooo... ya! Ya!” Ihsan mengangguk-angguk.

“Katanya... Ihsan usahakan tanaman pisang?” tanya Abang Mat, memandang tepat ke muka Ihsan.

Ihsan mengangguk-angguk lagi, mengiakan.

“Tapi... tanah tu dah nak diambil kerajaan,” beritahu Ihsan, lemah.

“Ooo... pasal projek jalan raya tu,” tuntas Abang Mat, Ihsan terpinga-pinga. Tentu Haji Rokiman telah beritahu menantunya ini pasal projek itu. Fikir Ihsan sendirian.

“Sekarang, apa yang Ihsan nak buat?”

“Entah la!”

“Ihsan macam putus asa aje...” teka Abang Mat, matanya yang tenang itu turut menenangkan Ihsan.

“Maaflah... abang nak cerita sikit tentang berniaga ni.”

“Abang Mat berniaga ke?” Ihsan sedikit terperanjat, tertarik dengan kata-kata Abang Mat itu.

“Ada la... kecil-kecil aje,” jawab Abang Mat, merendah diri.

“Orang berniaga ni, macam juga nelayan di laut. Kena ada keyakinan diri. Kepakaran boleh kita dapat dari keyakinan kita. Apa yang penting kita kena peka kepada persekitaran,” Abang Mat membuka bicara, tuturnya itu bagaikan seorang usahawan yang telah berjaya.

“Ihsan tak yakin, Ihsan boleh buat? Berniaga macam orang lain?” soal Abang Mat, menguji.

Ihsan menggeleng-geleng, mengiakan.

“Ihsan kena bina keyakinan diri dulu. Kata orang bijak pandai, keyakinan diri boleh kita bina dengan melakukan tiga perkara...” terang Abang Mat bagaikan seorang penceramah motivasi pagi di dalam televisyen. Tiga puntung jari tangan kiri diangkat.

Ihsan mula khusyuk mendengar. Matanya tidak berkelip-kelip memandang Abang Mat. Tutur katanya tersusun indah. Alunan suaranya lunak didengar. Air mukanya sejuk mata memandang.

“Perkara pertama, kita kena berhenti mendengar kritikan yang tidak membina... yang boleh membunuh keyakinan kita,” jari telunjuk tangan kanan Abang Mat menekan ke permukaan jari telunjuk tangan kirinya.

“Kedua, kita kena sentiasa berisytighfar kepada Allah... minta ampun. Kita sebagai hamba-Nya, tentu banyak melakukan kesilapan. Bila hati bersih... insya-Allah, dapat menyakinkan diri kita,” kali ini jari telunjuknya menekan permukaan jari tengahnya pula.

“Dan ketiga,” Abang Mat menekankan jari telunjuknya ke atas permukaan jari manis.

“Kita kena cari ilmu. Mudah cakap, kena belajar. Tak kiralah dari mana sumbernya... yang penting, belajar. Bila kita ada ilmu, tentu kita yakin... bukan gitu?” soalnya, tersengih. Menampakkan barisan gigi yang putih bersih.

Ihsan turut tersengih. Hatinya sangat tenang bersembang dengan Abang Mat. Lelaki ini sungguh baik hati. Mudah mesra dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman yang dia ada. Ya! Abang Mat dirasakan seperti seorang yang banyak pengalaman dalam dunia perniagaan. Ihsan berasa beruntung berkenalan dengan Abang Mat.

“Ihsan minat berniaga?” soal Abang Mat lagi, minta kepastian.

“Ya!” sahut Ihsan, mula ada keyakinan diri.

“Kalau begitu, mulakan sekarang... Abang Mat akan bantu, insya-Allah.”

“Tapi... mana saya ada modal?” rungut Ihsan, mohon simpati.

“Abang Mat rasa... Ihsan sudah ada modal. Cuma Ihsan tak perasan barangkali.”

Ihsan terpinga-pinga. Dia terkulat-kulat memandang Abang Mat. Lelaki di depannya itu ketawa terbahak-bahak.

“Abang Mat rasa, Ihsan lebih beruntung daripada orang lain.”

Ihsan bungkam. Dia mendengar sahaja. Dia belum faham apa yang dimaksudkan oleh Abang Mat.

“Maksud Abang Mat, orang lain kena buat kertas kerja. Lepas tu terpaksa naik turun bank untuk buat pinjaman. Untuk apa? Untuk dapatkan wang modal,” sela Abang Mat, matanya jernih memandang Ihsan.

“Ihsan...” Abang Mat sengaja menggantungkan kata-katanya di situ. Dia seolah-olah dapat membaca fikiran Ihsan ketika itu. Tidak sabar menunggu.

“Maksud Abang Mat?” akhirnya Ihsan tewas.

“Hahaha... satu lagi nilai yang perlu ada pada seorang yang ingin berjaya dalam berniaga. Sabar...” ungkap Abang Mat sambil ketawa. Rupa-rupanya dia hendak melihat reaksi Ihsan. Boleh sabar atau sebaliknya.

“Maksud Abang Mat tadi, Ihsan tak perlu buat pinjaman. Sebab... ya sebab... Ihsan dah ada modal,” Abang Mat menelan liurnya.

“Wang pampasan tanah kebun tu nanti boleh buat modal, Ihsan setuju,” soal Abang Mat.

Ihsan masih teragak-agak. Buntu. Dia masih keliru dengan keputusan yang patut diambilnya itu. Berniaga mesti berani. Mesti berkeyakinan. Mesti berusaha keras.

“Tak apa... itu Ihsan boleh bincang dengan keluarga Ihsan. Abang Mat cuma buka jalan. Nak tolong Ihsan berfikir di luar kotak,” tokok Abang Mat lagi.

Abang Mat melihat jam di pergelangan tangan kanannya. Kemudian, dia memandang ke muka Ihsan.

“Lepas isyak nanti Abang Mat bagi nombor telefon Abang Mat, kalau Ihsan ada apa-apa yang boleh Abang Mat bantu, telefon aje,” pelawanya, mesra.

*****

Usai bersolat sunat selepas isyak, Abang Mat mengajak Ihsan ke rumah Haji Rokiman. Dia benar-benar mahu menolong Ihsan. Kata Abang Mat, besok pagi-pagi lagi dia terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Sebelum Ihsan ke rumah Haji Rokiman, dia menghantar emak dan anaknya pulang dahulu.

“Abang Mat percaya, tentu Ihsan pernah tengok filem Laksamana Do Re Mi, betul?” Abang Mat memulakan ‘sesi kaunselingnya’. Lagaknya bersahaja sambil menyandar belakang ke kerusi jati rona coklat tua.

Ihsan yang duduk di sebelah kanannya ketawa sambil mengangguk-angguk, setuju.

“Berapa kali?”

Ihsan menjuihkan bibir. Kedua-dua bahu diangkat, tidak pasti.

“Okey, apa pengajaran yang Ihsan dapat daripada filem itu?”

Ihsan masih menggeleng-geleng, kurang pasti. Abang Mat mengekeh-ngekeh. Sikap Abang Mat itu membuatkan Ihsan selesa dan cepat mesra bersembang.

“Abang Mat pun minat tengok cerita P. Ramlee. Tapi seeloknya, kita ambik manfaat dari apa yang kita minat itu,” Abang Mat masih tersenyum-senyum.

“Biar Abang Mat cerita dari kaca mata orang berniaga macam Abang Mat ni,” kata Abang Mat.

“Orang lain... Abang Mat tak tau, tapi apa yang abang dapat dari filem Laksamana Do Re Mi, Abang Mat akan ceritakan kepada Ihsan,” kata menantu Haji Rokiman itu.

Perbualan Ihsan terhenti seketika apabila isteri Abang Mat keluar menatang jus oren dan kuih-muih. Suara Haji Rokiman sedang mengaji al-Quran sayup-sayup kedengaran dari bilik hujung. Haji Rokiman sengaja meninggalkan Ihsan bersama-sama menantunya. Dia mahu Ihsan belajar berniaga dengan menantunya itu.

“Sambil tu, jemput makan...” pelawa Abang Mat, mesra.

“Kalau kita tengok filem tu, apa yang pari-pari tu berikan kepada Do, Re dan Mi?” soal Abang Mat macam seorang tutor yang sedang mengajar.

“Pari-pari tu beri bangsi hikmat, teropong ajaib dan tikar terbang, kenapa dia tak bagi terus harta... biar senang Do, Re dan Mi?” tanya Abang Mat, menguji.

“Ihsan rasa, dia tak mahu bagi ikan... tapi nak bagi kail,” jawab Ihsan, cuba mengagak.

“Hmm... akhirnya Ihsan dapat tangkap apa yang Abang Mat cuba nak jelaskan ni,” tutur Abang Mat, puas hati.

“Dalam berniaga, kita perlu ada ketiga-tiga benda tu,” beritahu Abang Mat.

“Tikar terbang itu kita tafsirkan sebagai kenderaan. Bangsi hikmat kita tukar kepada aliran tunai kita. Teropong ajaib, Abang Mat terjemahkan sebagai komputer yang siap dengan talian internet.” Abang Mat berhenti seketika.

“Ketiga-tiga benda ni penting bagi seorang usahawan yang nak berjaya,” sela lelaki itu, tangannya mencapai jug jus oren. Dituangnya ke dalam kedua-dua gelas kaca yang berada di atas meja kecil di depannya itu.

“Minum dulu Ihsan,” pelawa Abang Mat lagi sambil menyuakan gelas ke bibirnya.

“Perkara pertama yang Ihsan kena buat... kenalpasti jenis perniagaan yang Ihsan nak daftar,” Ihsan tidak berkelip-kelip memandang Abang Mat.

“Apa yang Ihsan tahu buat? maksud Abang Mat... er, kerja?”

“Ihsan boleh buat kerja-kerja letrik... “ jawab Ihsan, jujur.

“Bagus! Ihsan kena daftar perniagaan dulu. Daftar kerja-kerja letrik, cuci kawasan, bekalan makan-minum, masakan islam... banyak lagilah. Daftar aje dulu. Kerja-kerja dan tenaga kerja akan difikir kemudian.”

“Tapi Ihsan tak tau semua tu?”

Abang Mat ketawa, dia menepuk-nepuk paha Ihsan.

“Minggu depan, Abang Mat balik lagi... Abang Mat temankan Ihsan,” janji Abang Mat.

Ihsan terharu. Syukur dia kepada Allah kerana ketemukan dia dengan Haji Rokiman dan menantunya yang berhati mulia. Di dalam hatinya, tidak putus-putus memuji Allah.

“Macam ni la, Ihsan kerja dulu dengan Abang Mat,” cadang Abang Mat, dia menepuk bahu Ihsan.

“Abang Mat ada satu projek di Jeli. Nanti Abang Mat daftarkan Ihsan masuk kursus kontraktor, lepas tu baru Ihsan boleh daftar kontraktor gred G1,” jelas Abang Mat, memberi jalan.

“Abang Mat nak tengok... suatu hari nanti, Ihsan berjaya,” kata Abang Mat, membina harapan.

Hampir dua jam mereka bersembang pasal perniagaan. Ihsan dan menantu Haji Rokiman itu semakin mesra. Sebelum Ihsan meminta diri untuk pulang, Abang Mat sempat berpesan dengan berbagai-bagai pesanan yang boleh membakar semangat Ihsan. Malam sudah semakin larut.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan