Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,273
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 27

Rembulan yang mengambang penuh itu sama-sama berkongsi menghiasi suasana malam. Meriah dan indah. Malam itu bagaikan temasya. Simbahan cahaya rembulan menyapa terus pada setiap permukaan fenomena alam. Bersinar keemasan. Sungguh indah. Membangkitkan lagi seri malam. Mempersonakan setiap mata yang memandang. Hembusan silir-semilir malam pula menderu. Nyaman. Bagaikan merayu. Menghantar pesanan rindu yang sudah lama tersimpan. Sesekali, keheningan malam tercarik jua dengan ngiau gatal si Hitam. Seekor kucing jantan terbiar yang selalu datang mengganggu kucing kesayangan Noni. Anak jiran Mak Lela.

Semua itu, lukisan alam. Di antara koleksi yang masih tersimpan di dalam kotak kepala Ihsan. Semenjak dua jiwa dipisahkan dengan perintah mahkamah. Dia menjadi seorang yang dekat dengan alam. Jiwanya seperti angin lalu. Fizikalnya tiada. Namun, kehadirannya dapat dirasai. Bisikan bayu malam adalah suara hatinya. Tidak jemu-jemu merayu, agar kisah cintanya direstui ilahi. Rembulan pula bagaikan seorang kaunselor. Sentiasa sudi menjadi tempat dia menumpahkan cerita hidup. Walaupun hanya sekadar lukisan di ilusi sahaja.

Pada ketika rindu mendatang. Mengetuk-ngetuk . Menyapa hati. Ihsan akan keseorangan di beranda. Melemparkan pandangan sejauh mungkin. Umpama seorang nelayan melemparkan pukat ke laut. Memasang kuping selebar yang terdaya. Persis seorang pemburu. Mengintai-ngintai binatang buruan. Dia sentiasa setia, mendengar bisik-bisikan alam. Apa helah flora? Apa alasan fauna? Kotak mindanya akan turut dibuka. Dibiarkan akalnya berlari-lari ke angkasa raya. Bebas. Mencari-cari. Menyelinap ke mana sahaja. Mengikut naluri diri. Selepas itu, dia akan merasa lapang. Tenang. Fikiran yang kusut-masai pula akan terungkai. Bagai tali yang tersimpul sudah terlerai.

Azza muncul lagi. Meskipun pintu hati Ihsan sentiasa terbuka untuknya. Dengan penuh sopan, dia memohon keizinan. Agar diberi ruang untuknya bermain-main di minda Ihsan. Wajah ayu itu, rupa-rupanya terlalu banyak menelan kisah duka. Merelakan diri menempuh segala keperitan hidup. Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan oleh bekas isterinya itu. Dia kagum. Dia sangkakan Azza telah membuangnya. Jauh dari lubuk hati bekas isterinya itu. Apa yang dirasainya, dia telah ditinggalkan seperti sampah. Sudahlah busuk, berulat pula. Tiada siapa pun yang ingin memandang. Apa lagi sudi mengutip.

Di dalam remang-remang cahaya bulan, Ihsan tersenyum sendirian. Senyuman itu sebagai balasan senyuman Azza. Senyuman manis yang masih terpampang di benaknya. Terukir dari seraut wajah yang kian hampir dengannya. Dia mendengus. Hati pula mula berbisik. Mencari-cari kalimah yang lunak. Dia mahu Azza kembali ke sisinya. Dia mahu Azza kembali menjadi suri dalam hidupnya. Dia mahu menebus kembali setiap inci kepincangan yang dilakukannya dahulu. Namun, bagaimana? Dia buntu. Tidak tahu langkah pertama yang perlu dilakukannya. Adakah Azza juga sepertinya? Masih merindu. Masih mencintai. Dadanya berdebar-debar.

Pintu dikuak. Mak Lela menjenggukkan kepala. Perlahan-lahan dia turut sama bertenggek di beranda. Menemani Ihsan yang asyik merenung bulan. Lazimnya, Mak Lela akan membiarkan sahaja Ihsan sendirian di situ. Dia hanya memerhati dari jauh. Menjadi penonton. Seperti menonton sebuah teater di pentas. Namun, tidak pada malam itu. Entah apa yang mendorong. Mungkin kerana misteri tidak misteri lagi. Atau rahsia tiada rahsia lagi. Dia kelihatan lebih senang menghampiri Ihsan. Mungkinkah kerana masih ada lagi rahsia yang disimpannya. Menunggu untuk dilondehkan? Apa-apapun, emaknya tidak perlu bersembunyi-sembunyi lagi bagi menjawab panggilan Azza.

“Eh... eh...! emak, tak tidur lagi?” tegur Ihsan, apabila dilihat emaknya menghimpit di sisi kirinya. Meletakkan punggung, duduk di beranda bersama-sama.

Mak Lela tersengih. Pandangannya di dongak ke langit. Hanya sekejap. Kemudian, dipandangnya Ihsan. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan.

“Ihsan... tak rasa nak...” kata-kata emaknya berhenti di situ. Kedua-dua jari telunjuk dirapatkan. Ihsan tersenyum. Dia faham maksud emaknya itu.

“Emak rasa?” Ihsan memulangkan soalan itu kepada Mak Lela. Kerana dia tahu, emaknya itu lebih rapat dengan Azza. Tidak mustahil emaknya mengetahui atau mampu membaca perasaan Azza terhadapnya.

Mak Lela ketawa. Di dalam remang cahaya bulan itu, dia memandang ke muka Ihsan. Meskipun suasana agak kelam, Ihsan dapat melihat nur di wajah emaknya itu. Bersinar. Sinarannya turut menerangi hati Ihsan yang sudah lama kelam.

“Emak tahu isi hati Ihsan. Cuma... emak nak dengar dari mulut Ihsan sendiri,” Mak Lela berterus terang. Meluahkan apa yang tersimpan dari dalam hati seorang wanita yang bergelar ibu.

Ihsan mengekeh. Bahunya terangkat. Dia mengeleng-geleng. Dia teringatkan telatah emaknya suatu waktu dahulu. Ketika dia cuba mengorek rahsia. Ketika hatinya begitu mendesak. Memaksa. Keinginannya pula begitu kuat untuk mengetahui siapa perempuan yang memandu Myvi berona emas. Barangkali emaknya itu terperanjat. Kelihatan dia teragak-agak. Namun, masih bijak mencari helah. Rahsia yang belum tersedia untuk didedahkan itu berjaya jua disembunyikan.

“Mengapa Ihsan ketawa?” Mak Lela memandang Ihsan yang masih mengekeh kecil.

“Tak sangka... emak memang cekap menyimpan rahsia...” Ihsan menghulurkan tangan ke atas bahu Mak Lela. Ditarik tubuh yang sudah dimamah usia itu perlahan-lahan. Dijatuhkan kepala ke bahu emaknya itu. Mak Lela memegang bahu kanan Ihsan. Menggosok-gosok. Sayang.

“Terima kasih emak...” bisik Ihsan.

Mak Lela kembali merenung ke bulan. Kemudian pandangannya dijatuhkan ke muka Ihsan. Di wajahnya terlukis segaris senyuman yang indah. Mungkin seindah perasaannya ketika itu.

“Kasih sayang Ihsan terhadap Azza tak pernah mati... emak,” ungkap Ihsan, meluahkan apa yang dirasakannya pula.

“Kalau dah gitu, Ihsan lamar balik Azza. Mulakan hidup baru,” nasihat Mak Lela dengan nada sungguh ceria.

Ihsan mengangguk-angguk. Bibirnya ditarik lebar-lebar. Hatinya mula disinggahi oleh musim bunga. Segar. Harum. Indah sekali.

“Emak... kan ada nombor telefon Azza, boleh bagi kat Ihsan,” minta Ihsan, mengharap.

“Ihsan cari aje dalam telefon emak tu...”

“Yalah, emak... nanti Ihsan cari.”

Ihsan menjengahkan kepala ke pintu, mengintai-intai ke dalam rumah.

“Iman dah tidur…” beritahu emaknya, tanpa ditanya. Dia sudah tahu niat Ihsan itu.

“Macam manalah Ihsan boleh tak perasan…” Ihsan kembali memandang Mak Lela. Kemudian dia kembali memandang bulan. Seolah-olah di situ terakam semua sejarah hidupnya. Di situ banyak menyimpan kisah cintanya.

Mak Lela turut mendongak. Membiarkan cahaya bulan yang mengambang itu meraba-raba mukanya. Kemudian, dia berpaling kembali ke muka Ihsan. Tersenyum. Tentu ada sesuatu yang difikirkannya. Teka Ihsan.

“Apa yang emak tahu... cahaya bulan tu... matahari yang beri, betul ke?” Semacam ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Mak Lela. Senyum masih tersimpan di bibir.

Ihsan turut tersenyum. Dia mengangguk-angguk. Namun di hatinya mula timbul pertanyaan. Apa yang emaknya hendak beritahu. Masih ada lagikah rahsia. Masih ada lagikah misteri yang tersimpan. Hidup ini penuh dengan misteri. Tuntasnya dalam diri.

“Tapi… kat mana matahari?” soal emaknya lagi, seakan-akan menguji.

“Teka-teki apa sebenarnya yang emak beri ni?” Ihsan ketawa mengekeh-ngekeh melihat telatah Mak Lela itu. Jauh di lubuk hatinya, dia turut bahagia apabila emaknya semakin ceria. Semakin kerap berjenaka. Semakin banyak berkongsi idea.

“Haha… kan tadi Ihsan juga yang tanya? kenapa Ihsan tak perasan? ni lah jawapan emak. Sebab... Azza tu seperti matahari,” jelas Mak Lela sambil mengekeh-ngekeh.

Ihsan mengekeh sama. Dia memeluk emaknya erat-erat. Jiwanya terasa tenang. Setenang air yang bertakung di dalam paya. Paya yang terbentang di sebelah jalan. Di hadapan rumahnya itu. Mak Lela membiarkan sahaja.

“Tapi... sudikah Azza? Selepas apa yang Ihsan dah buat pada dia,” Ihsan kelihatan mula ragu-ragu.

Perasaan takut mula menghantui diri Ihsan. Dia takut jikalau Azza sudah berubah. Sudah tiada hati lagi untuknya. Azza sudah berkerjaya. Sudah boleh berdikari. Rupa parasnya masih cantik. Bahkan, macam anak dara. Tentu dia boleh memilih lelaki yang baik untuk dijadikan suaminya. Tentu sahaja ibunya sudah ada calon suami untuk Azza. Amir Rizal? Tiba-tiba nama lelaki itu kembali bermain di minda Ihsan. Hatinya menjadi kecut. Ihsan mula sebak. Sudah lama dia tidak mengingati nama itu. Lelaki yang pernah menjadi calon suami Azza. Seorang peguam. Bekas anak murid ibu Azza. Hati Ihsan menjadi bertambah gemuruh apabila teringatkan Iman. Bimbang sekiranya Iman juga akan dibawa pergi. Ihsan mendengus. Membuang resah yang mula terkumpul di dalam diri.

“Ihsan kena pandailah memujuk. Pandai mengambil hati Azza. Emak doakan moga-moga masih ada jodoh Ihsan dengan Azza,” nasihat Mak Lela.

Ihsan tertunduk. Dengan debaran yang masih tersimpan dia mula berfikir. Mencari-cari di mana permulaan. Kalau dahulu, cinta mereka terpupuk secara kebetulan. Namun, sekarang tiada kebetulan lagi. Semua telah berubah. Usia mereka juga telah berubah. Banyak cacatnya di dalam bahtera rumah tangga mereka dahulu. Ihsan semakin buntu.

Mak Lela menepuk-nepuk bahu Ihsan. Seolah-olah dia dapat menghidu kerisauan di hati Ihsan. Mereka sama-sama bertukar cerita lagi. Mak Lela semacam sengaja ingin mengusir kerisauan yang mula hinggap di hati Ihsan. Mereka bersembang. Dan bersembang lagi sehingga kelopak mata masing-masing terasa berat untuk dibuka.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan