Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,268
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 10

Beberapa ekor kera yang berpaut di dahan-dahan pokok itu bersorak-sorak. Unggas-unggas bertempiaran, terbang dan hinggap dari satu dahan ke satu dahan yang lain. Masing-masing berperanan. Masing-masing berusaha untuk menghidupkan suasana syahdu di tengah-tengah rimba itu. Flora dan fauna bergandingan. Menghiasi alam. Biar cantik dipandang. Biar segar. Damai dihirup udara bersihnya.

Ihsan mendengus. Mata melilau-lilau. Semak-samun yang melepasi lutut itu direnunginya. Buntu seketika. Lama juga dia berdiri di situ. Di tepi pagar yang dibinanya dua minggu lepas.

“Huh! Cepat betul naik semak ni,” rungutnya seorang diri.

Dia menapak. Langkah diatur dengan cermat. Tapak kasut but dilabuhkan ke atas semak itu dengan penuh berhati-hati. Takut-takut terpijak anak-anak pokok yang telah ditanam dua minggu lepas. Semua sudah tenggelam di dalam semak. Bebola matanya meneropong jauh. Mengintai-ngintai dawai mata punai yang telah dipasangnya dahulu. Memantau kalau-kalau ada lubang pagar yang masih ternganga. Dia sudah pun berada di tepi pagar. Tangan kanannya menolak dawai mata punai. Kuat. Bagi menguji keregangan.

Kemudian, dia berjalan. Menghampiri pokok-pokok hutan. Mencari-cari batang pokok sebesar paha untuk ditebang. Dipotong sepanjang enam kaki. Batang itu akan dibuat tiang pagar. Manakala, dahan-dahan yang lebih kecil dilonggok berasingan. Dahan-dahan itu nanti akan disilang-silangkan bagi menguat dan meregangkan pagar. Juga sebagai senjata tajam. Dipasang menghala tajam ke luar pagar. Bagi menghalau babi hutan. Semua itu Ihsan lakukan mengikut gerak hati sendiri. Tiada meniru daripada mana-mana sumber. Apatah lagi dari You Tube.

Tanah kebun itu mesti dikerjakan kembali. Hasil kebun itu nanti akan menjadi nadi hidupnya sekeluarga. Dia mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada tanah kebun ini.

Hampir tiga minggu Ihsan berhempas-pulas menyiapkan pagar tanah kebun itu. Akhirnya, tanah seluas tiga ekar itu terkepung jua. Semak-samun yang menutup permukaan tanah itu telah kering ringkai dek simbahan berliter-liter air campuran racun rumpai.

Ihsan termenung, benaknya masih menimbang-nimbang. Berfikir. Nalurinya masih berbelah bahagi, sama ada hendak membakar terus semua semak-samun yang telah kering itu ataupun mengutip dan melonggokkan ke satu tempat. Ah! Kerja mengutip ini lambat. Leceh. Penat.

Akhirnya, dia mengambil keputusan nekad. Dia akan membakar terus semua semak-samun yang sudah kering itu. Kerja ini lebih cepat. Tidak memenat. Fikirnya lagi. Ihsan membakar tiub motosikal yang dikutip dari bengkel Haji Rosli. Tiub yang sudah dimamah api itu diletakkan di bawah timbunan daun-daun dan ranting-ranting kering. Api itu memarak. Terus menjalar. Menelan semua yang dihidangkan buatnya.

Sekonyong-konyong, angin bertiup kencang. Seolah-olah ada komplot di antara kedua-duanya. Api yang tadi sopan meratah semua rimbunan pokok renek kering mula bangkit melawan. Berani memprotes. Angin kencang terus membantu. Menjadi batu api dalam komplot itu. Meniup segala yang boleh membangkitkan amarah api. Dan api semakin bengis membakar.

Ihsan tergamam. Dia berlari-lari mencari ranting kayu. Ditarik golok dari pinggang. Diintai pokok-pokok di tepi dangau. Diayun mata golok ke atas dahan sebesar lengan yang beranting. Hujung ranting itu dibiarkan dengan daun-daun yang masih menghijau.

Ihsan menarik dahan itu. Berlari-lari menghala ke arah api yang rakus memamah semak-samun yang sudah kering. Dipukul-pukul ranting itu ke atas api yang semakin mengganas. Dia cuba mengawal, agar api itu tidak menyerang ke kawasan dangau. Dia berlari-lari. Sekejap ke hilir dan sekejap hulu. Tekaknya mula terasa kering. Perit. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh telah lama lencun di seluruh badan. Baju yang dipakai itu lencun. Bagai baru direndam ke dalam air sungai. Namun, api itu tidak mahu mengaku kalah. Bahkan semakin tinggi menjulang. Asap tebal mula menyelubungi segenap ruang. Umpama kesan meletup sebutir bom yang digugurkan di medan perang.

Ihsan masih tidak mahu menyerah. Dia berlari mendapatkan tong cat 10 liter yang digunakannya untuk menakung air di dangau. Air itu disiramkan ke atas api yang tidak reti-reti hendak mengalah. Hanya api di situ yang padam. Namun, semakin memarak di merata-rata. Seolah-olah membantah. Menyindir. Ihsan terduduk, rongkongnya terasa perit. Hidung pula tersumbat dengan asap yang semakin menebal. Dia terbatuk-batuk, mula lemas di dalam kepungan asap yang terlalu tebal. Benaknya mula diasak-asak perasaan menyesal, bimbang, takut dan berbagai andaian negatif. Dia sudah hampir berputus asa. Dia mula menyerah pada Yang Maha Kuasa.

Otaknya seolah-olah berada pada frekuensi Theta. Hanya menerima tetapi tidak mampu untuk menafsirkan. Tanpa disedari, dia bangkit perlahan-lahan. Menapak terus ke dangau. Terbatuk-batuk. Terbongkok-bongkok. Bersama semangat juang yang masih bersisa, dia bangkit. Bagaikan perwira. Dia mula tegakkan badan. Betis bergoyang-goyang. Kencang. Dihadapkan mukanya ke arah kiblat. Api yang semakin menggila itu tidak dipedulikannya lagi.

‘Tiada daya upayaku selain daripada pertolongan Allah,’ getus hatinya, ikhlas. Bibirnya yang mengigil-gigil itu mula terbuka luas.

“Allah… hu akkbarrullahuakkbar...” kalimah azan dilaungkan, nafas Ihsan tersekat-sekat.

Semua yang berlaku atas kehendak-Nya. Angin yang bertiup atas arahan Allah. Api yang menjulang atas arahan Allah. Semua atas kehendak Allah. Dia memusatkan akal dan fikiran. Kejat-kejat kepada Allah. Tidak semena-mena api yang tadi rakus membakar dengan asap tebal yang bergulung-gulung kini mula kembali jinak. Kembali menjadi kawan. Apa yang tinggal, hanya kepulan asap halus yang melenggang-lenggang malas ke angkasa.

Ihsan terjelepok berhampiran dangau. Degupan jantung semakin laju. Dia bagai seorang musafir yang tersesat di sebuah gurun tandus. Tercungap-cungap dengan rengkung perit kehausan. Dia membaringkan badan di atas rumput buat seketika. Membiar minda yang lelah itu lepas bebas. Biar hilang segala lemah lumpuh. Biar reda gelora yang masih terpenjara di dalam diri. Di dalam hatinya, melimpah ruah rasa syukur kepada Ilahi.

*****

Pagi-pagi lagi Ihsan sudah berdiri di tengah-tengah kebun. Mukanya tunduk memerhati kesan semak samun yang telah dibakarnya kelmarin. Dia tunduk. Mencekau segenggam resam yang sudah menjadi arang. Diramas-ramas. Kemudian ditelungkupkan telapak tangan itu ke bawah. Debu hitam yang telah hancur itu jatuh berderai. Melayang-layang dilarikan oleh angin.

Dia mengeluh. Benaknya masih terbayang saat getir yang telah dilalui. Tiada siapa yang tahu betapa peritnya dia meranduk saat itu. Saat yang boleh menghancurkan semua impian yang telah disemai di dalam dirinya. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Jauh di lubuk hatinya tetap memanjatkan kesyukuran. Ujian itu dapat dihadapinya. Walaupun dia tahu, perjalanan yang perlu dilalui masih jauh. Berliku-liku.

Minggu ini, minggu yang memberi semangat baru untuknya. Biarlah anak-anak pokok yang ditanam dahulu banyak yang sudah rosak. Hangus. Dia akan mengusahakan semula. Ihsan nekad. Tanah ini akan dipugar. Dia akan membingkahi dengan kudrat yang ada. Dia akan menanam di dalam kawasan kebun ini dengan pelbagai spesies pisang. Haji Rokiman sudah siap sedia membantu. Memberikannya anak-anak benih. Namun, di dalam kepalanya sudah ada satu perancangan. Dia akan meminta bantuan daripada pejabat pertanian. Haji Rokiman pun sependapat dengannya. Kata Haji Rokiman, jabatan itu sedia membantu. Sama ada bekalan benih ataupun khidmat nasihat.

Dia teringat kata-kata Haji Rokiman. Tanah kebun ini tanah peroi. Ia mudah dikerjakan. Tanah ini sangat sesuai ditanam dengan pokok pisang.Pokok pisang akan mengeluarkan jantung dalam masa tujuh hingga sepuluh bulan selepas ditanam. Dalam tempoh itu, Haji Rokiman cadangkan supaya Ihsan menanam sayur-sayuran. Ihsan akur. Dia akan ikut nasihat Haji Rokiman. Sahabat arwah ayahnya itu pernah dinobatkan sebagai petani contoh di kampung itu. Bukan semua orang bernasib baik sepertinya. Menjadi murid tanpa kenaan bayaran sebagai yuran. Guru pula dari seorang tokoh petani yang berjaya. Kembang hatinya. Kembang hidungnya. Bukan bangga. Bukan takbur. Tetapi menghargai peluang yang diberi.

Ihsan melangkah ke dangau. Benih-benih pisang yang ditinggalkan Haji Rokiman itu diangkat dan disusun ke atas kereta sorong. Kemudian, dia mencapai sebatang cangkul yang terletak di atas dangau. Diletakkan ke atas benih-benih pisang yang elok tersusun. Kereta sorong itu ditolak sehingga ke penghujung pagar.

Dia cuba mengingat kembali kata-kata Haji Rokiman malam tadi. Pada masa itu, dia dan Haji Rokiman baru selesai berwuduk untuk solat isyak.

“Pak cik, Ihsan nak tanya sikit. Berapa jauh kena jarak pokok-pokok pisang semasa kita tanam nanti?”

Haji Rokiman menolak-nolak kedua-dua lipatan lengan jubah putih yang dipakainya ke bawah. Mukanya yang lencun dengan air wuduk itu diseka. Diangkat kepala. Dipusing memandang Ihsan yang berada di sisi kirinya.

“Ihsan kena gali lubang sekaki lebar, sekaki panjang. Dalam pun sekaki. Sebelum tanam benih pisang tu, Ihsan masukkan baja campuran dulu,” beritahu Haji Rokiman, berjalan beriringan dengan Ihsan. Kedua-dua tangannya diangkat. Ditunjuk ke sana-sini, seperti orang sedang menebar roti canai.

“Jarak... antara lubang ke lubang. Kira-kira dalam sedepa, lebih sikit pun tak apa. Bukan apa... nanti pokok pisang tu dah besar, tak lah daun pokok tu nanti mengganggu pokok lain yang tengah membesar...” beritahu Haji Rokiman lagi. Tangannya diangkat dan dijatuh. Bagi menjelaskan lagi apa yang diungkapkannya.

Ihsan cuba mengagak-agak jarak lubang yang hendak digali. Setelah pastikan ukurannya itu tepat, kedua-dua belah tangannya mengenggam kemas batang cangkul. Diangkat mata cangkul itu tinggi-tinggi, melepasi kepala. Lalu dihempas. Kuat. Mata cangkul itu terbenam ke dalam bumi. Ditarik. Dihempas lagi.

Setelah lubang-lubang siap digali dalam satu barisan, Ihsan mengatur langkah ke dangau. Sarung tangan kain yang masih membalut kedua-dua telapak tangannya itu ditarik. Mulut termos disuakan ke bibir setelah penutupnya dibuka. Sirap ais limau dua tiga kali bergulung-gulung ke perut. Sejuk. Rengkung yang tadi kering kembali basah.

Dia berehat beberapa ketika. Kemudian diangkatnya seguni baja yang telah dicampur dengan 100 gram baja fosfat (CIRP), 100 gram kapur (GML), 100 gram baja organik dan 25 gram Carbofuran ke atas bahu. Cepat-cepat dia melangkah ke lubang pertama yang digalinya tadi. Dikaut baja tadi dengan menggunakan tempurung kelapa. Lalu dicurahkan ke dalam lubang-lubang yang telah digali. Benih-benih pisang itu satu persatu dimasukkan. Ditimbus ke dalam lubang yang telah sedia menunggu itu.

Menjelang tengah hari, sebaris benih-benih pisang telah habis ditanam. Dia menolak kereta sorong kembali ke dangau. Beristirahat. Nasi bekal yang disediakan emaknya itu habis dimakan.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan