Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
97,237
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 11

Talun menalun sorakan wakwak dari dahan-dahan pokok itu memecahkan kesunyian belantara. Hari ini, sudah genap tiga bulan Ihsan mengusahakan tanah pusaka arwah ayahnya. Dia berdiri gagah di sebelah motosikal. Di bawah pokok manggis tua yang setia. Yang telah bertahun-tahun menyaksikan jerih lelah keluarga Ihsan. Pokok manggis itu seakan-akan tersenyum bangga. Turut bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak muda yang berdiri di bawah rimbunannya itu.

Dari jauh nampak jelas susunan pokok-pokok pisang yang sudah setinggi paras bahu. Dia tersenyum, puas. Sekurang-kurangnya telah nampak bekas tangannya. Pesan Haji Rokiman, pokok pisang memerlukan air sebanyak lapan hingga 12 liter sehari. Oleh sebab itu, dia telah meminta bantuan Yamin bagi membeli dan menghantar tiga biji dram dengan tiga keping zink. Sebiji akan diletakkan di hujung sebelah hulu. Di tengah, sebiji. Sebiji lagi akan diletakkan di hujung sebelah hilir. Zink itu pula akan diletakkan berkedudukan condong ke dalam dram. Apabila hari hujan, air hujan akan jatuh ke atas zink. Menggelongsor turun memenuhi dram. Ya! Dram-dram itu menjadi tadahan untuk bekalan air. Air yang akan digunakan bagi menyiram tanaman di kebun.

Sementara menunggu Yamin menghantarkan dram. Atau menunggu turunnya hujan, dia perlu mengangkut air dari sungai. Meskipun terlalu memenatkan, dia gagahi jua mengandar dua tong bekas cat 10 liter air dari sungai. Kadangkala dia mengangkut menggunakan kereta sorong. Apa yang bermain di fikirannya, benih-benih pisang itu perlu disiram. Biar cepat ia membesar dan hidup subur. Manakala, dua minggu sekali dia akan mencantas pelepah tua dan yang berpenyakit. Golok mestilah selalu tajam, itu petua dan juga pesanan yang diberikan oleh Haji Rokiman. Dia selalu ingat semua pesanan itu. Dia juga berhasrat mengikut jejak langkah Haji Rokiman.

Dia memusing-musing badan. Golok di pinggang ditarik. Ditarik dan dilibas putus pokok-pokok yang meragas batang-batang ubi kayu. Hampir tiga puluh batang ubi kayu yang ditanam di tepi dangau. Dia melangkah setapak ke hadapan, dia teringatkan sebaris ayat yang pernah dibacanya, ‘setiap kali melangkah ke depan, manusia menggerakkan 54 otot pada tubuh badannya.’ Sungguhpun dia tidak faham maksud ayat itu, tetapi dia tahu otot adalah alat gerak aktif yang menggerakkan tulang. Dia terus melangkah ke depan. Biar otot-otot di badannya itu terus bergerak. Macam enjin kenderaan. Mesti dipanaskan setiap hari. Agar komponen yang berada di dalam enjin dibasahi minyak pelincir. Sentiasa dilindungi. Lantas, tempoh hayat tidaklah singkat.

Kicauan unggas-unggas rimba dengan berbagai bunyi itu menjadi halwa kupingnya. Silir yang menyapa itu bagai penyaman udara, membelai-belai dan menyejukkan kulit muka. Kehijauan dedaunan pula menyejukkan mata. Dia tenang di belantara ini.

Tiba-tiba dia mengangguk-angguk, setuju dengan tazkirah seorang ustaz yang pernah didengarnya melalui siaran Radio Ikim. Ustaz itu memberitahu, mengikut pendapat seorang tok guru yang telah lama meninggal dunia. Ketenangan yang kita dapat di sesuatu tempat adalah kerana adanya makhluk Allah yang berzikirullah. Kalau kita tenang apabila menghadap laut, di situ ada hidupan laut, ombak, angin dan pohon-pohon kayu yang berzikir kepada Allah. Ketenangan semakin indah apabila kita sendiri yang berzikrullah. Tanpa disedari, bibir Ihsan turut mengungkap zikrullah. Dia berzikir bersama-sama unggas-unggas. Bersama-sama angin. Dan bersama-sama dedaunan.

Kakinya mula menginjak ke deretan pokok-pokok pisang. Dia persis seorang pegawai waran yang sedang memeriksa barisan anggota pasukannya. Golok di tangan bagai sebatang tongkat waran. Dilibas-libas pelepah yang sudah kering kontang. Dipangkas daun-daun yang berona kuning. Macam pegawai waran yang membetul-betulkan barisan yang dibuat anggota pasukannya. Pelepah pisang itu dikerat-kerat halus. Dijadikan penutup di kawasan keliling pokok pisang.

Ihsan berpusing, mengatur langkah kembali ke dangau. Kereta sorong yang tersandar di tepi dangau itu ditarik dan disorong ke dalam barisan pokok-pokok pisang. Lalang dan rumput yang tumbuh meliar itu ditarik kasar. Dihumbankan ke dalam kereta sorong di hadapannya itu. Lalang dan rumput ini akan dilonggokkan di hujung kebun, jauh daripada tanaman. Kemudian, akan dibakar dan akan jadikan baja bakar.

Sedang asyik Ihsan mundar-mandir di dalam kebun pisang, telefon bimbit di dalam saku seluarnya berdering panjang. Dia tersentak. Berdebar jantungnya. Tangan kanan meraba-raba. Telefon rona hitam dikeluarkan. Ditelungkupkan ke kuping kanan.

“Apa?... Ya Allah…” tangannya menggigil-gigil. Perasaan cemas kian mengasak-asak.

“Ya… ya… bang, aku balik sekarang. Nanti aku ke sana,” Ihsan berlari-lari ke dangau. Dicapai semua bekas makanan dari atas dangau. Dicampaknya ke dalam bakul motosikal. Golok di pinggang dibuka dan diselitkan ke dalam raga. Enjin motosikal dihidupkan dan berderum-derum memecah kesunyian belantara.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan