Home Novel Cinta TUAH
Bab 42
Bab 42   Malu lagi dowh!


Mudah untuk aku memahami keadaan andai aku tergantung di puncak gondola pendulum. Kesan graviti dan inersia pada hayunan gondola akan membina momentum. Kelajuan akan berubah sehingga akhirnya berlaku penyongsangan.

Masalah aku sekarang, berada di kedudukan menyongsang dengan Rangga, tiada petunjuk yang membolehkan aku memahami keadaan Rangga.

Tadi, setelah aku mengadu kelaparan, Rangga tinggalkan aku bersendirian semula.
Agak lama baru dia kembali dengan bahan makanan penuh di tangan. Apabila aku menawarkan bantuan, Rangga menolak.

"Buat apa sahaja yang kau suka."
Ayat Rangga tidak dinokhtahkan di situ, tetapi selepas ayat itu.
"... asalkan bukan di sini."

Kedengaran bagaikan Rangga telah mengisytiharkan kawasan larangan. Dia menghalau aku dari menceroboh jajahan takluknya.

Tanpa banyak soal, aku bersukacita dengan kuak lentang dan berenang sesuka hati selama mana yang aku mahu. Dari masa ke semasa, aku melirik arah Rangga. Melihat kelincahannya membersihkan ikan, ubi dan buah-buahan hutan. Memerhati kecekapannya menghidupkan unggun api. Dalam masa yang singkat kepulan asap kayu telah menjadi bara.

Sepanjang tempoh aku mengintip dari dalam air, sedikitpun Rangga tidak mencuri pandang arah aku. Dia amat tekun dan fokus dengan kerjanya.

Malangnya setelah pekerjaan Rangga selesai, aku pula menjadi titik fokusnya. Perilaku aku dan Rangga menyongsang. Kini dia pula yang perhati aku. Malah perlakuan Rangga berlanjutan sehingga ke petang.

Setiap gerak-geri aku, dia tengok bersungguh-sungguh. Aku main air, duduk bertapa menikmati jatuhan air terjun Coban Canggu, makan ikan yang Rangga bakar. Hatta semasa kami berjalan meneroka keindahan hutan tropika gunung Kamukus, kepala Rangga selalu tertoleh arah aku. Meneliti aku dari dekat. Kesan psikologi kelakuan aneh Rangga begitu kuat sehingga ketika aku sengaja memperlahankan langkah agar kètinggalan, bagai ada mata ketiga di belakang kepala Rangga masih mengawasi aku.

Jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan Rangga. Mulutnya terkunci membiarkan mata mencari penjelasan. Tipu kalau aku tak rasa rimas diperlakukan sebegitu, tetapi lontaran pandangan Rangga masih berada di dalam kadar toleransi aku. Mata Rangga tidak menancap atau meliar. Seringnya anak mata Rangga hanyut dalam anak mata aku atau tatapan dia menembusi aku.

Namun yang buat aku betul-betul rimas adalah sepi yang berlegar terlalu lama di antara kami. Oleh kerana itu, aku becokkan mulut bertanya pelbagai perkara. Perihal Majapahit, air terjun Coban Canggu dan diri Rangga. Ya, aku selit sekali soalan yang aku nak tahu tentang dia.

Semua soalan aku dijawab. Dalam ayat paling ringkas. Banyak hanya diiyakan dengan angguk atau dinafikan dengan geleng.

Rangga! Apa kena dengan kau ni?
Kena sampuk dengan jembalang hutan?

Itu di antara soalan yang aku biarkan terpekik dalam hati. Manakala yang aku luahkan sekarang adalah bersangkutan Puteri Betara Majapahit.

"Jadi, awak akan ikut Raden Galuh Chandra Kirana kalau puteri ikut suami dia ke Melaka?"


"Di mana khidmat aku diperlukan..."

Lama aku tunggu Rangga habiskan bicara sekeratnya. Kata-kata Rangga tenggelam dibawa arus matanya. Hatta di dalam jeda bicara, Rangga boleh menyelinap jauh ke dalam diriku.

Kenapa Rangga? Galau apa yang sedang mengucar-kacir hatimu?

"Rangga?"

"Hm."

Dia buat aku menunggu lagi. Mujur tak lama.

"Di situlah akan aku persembahkan ketaatanku."

Kelakuan luar biasa Rangga menyebabkan hari terasa merangkak perlahan. Aku rasa lega sangat semasa Rangga mengajak pulang.

Rangga membantu aku menaiki kuda. Setelah dia berada di belakang aku, sekonyong-konyong tangannya melingkari tubuh aku. Kepalanya rapat bersandar di bahu aku.

Aku pegang tangan Rangga, bersedia untuk menepis semasa aku sedar akan sepasang tangan yang menggeletar. Desahan nafas Rangga bergema kuat di cuping telinga aku. Setelah itu aku tahu sekujur tubuh lelaki itu turut menggigil.

Lalu aku biarkan sahaja keadaan sebegitu.
Sekian lama aku biarkan sehingga Rangga bertenang, baru aku cuba mencari penjelasan.

"Kenapa Rangga? Awak ada masalah?"

Lingkaran Rangga semakin erat walaupun gigilnya telah hilang.

"Aku sedang mencerna hakikat. Semakin aku menerimanya semakin hati terasa berat."

Rangga cakap tentang apa? Setakat ini tak ada apa-apa yang aku fahami melainkan dia sedang susah hati.

"Payah untuk aku telan hakikat kalau kau tiba-tiba hilang begitu sahaja depan mata aku."

Kini nafas aku pula mendesah laju. Rangga bercakap tentang aku? Apa yang dia tahu?

Cepat-cepat aku buang sangkaan yang membimbangkan diri sendiri. Tak mungkin Rangga tahu apa yang hanya aku ketahui.

"Jangan bimbang Rangga. Aku ni manusia biasa je. Kalau aku ada kuasa untuk hilangkan diri, sekarang adalah waktu yang paling tepat."

Sengaja nada menjengkelkan aku perdengarkan buat Rangga. Betapa leganya hati mendengar ketawa Rangga semasa aku meleraikan kedua tangannya yang memeluk kemas di pinggang.

"Aku benar-benar berharap apa yang kau cakap itu benar. Bahawa kau hanya manusia biasa."

Manusia biasa...
Perkataan yang perlahan-lahan mengambil alih fikiran aku.

Andainya liku hidup aku 'biasa' seperti manusia biasa, aku tak akan bermimpikan tempat ini, Rangga.

Eh!
Satu soalan pantas menawan minda.

Kuda Rangga pasti bukan kuda sembarangan. Dengan muatan dua penunggang, derap kakinya masih stabil meniti lereng bukit yang mencerun dan berselirat banir. Pada saat ini sebelah tangan Rangga memaut badan aku merapati badannya.

"Rangga, macamana kau bawa aku ke atas sana semalam?"

Kuda menanti kami di separuh jalan. Jalan turun dari air terjun Coban Canggu tadi sama mencuram seperti sekarang.

"Gendong."

Haah!
Haba menyirap ke muka aku yang dari pagi tadi sejuk diulit kedinginan hawa lembab hutan tebal Kamukus

Mungkin Rangga menyedari badan aku yang tiba-tiba sahaja tegak dan kaku, kerana itu dia memperjelaskan lagi kata-kata. Tangan Rangga yang membelit pinggangku naik ke kepala. Rangga mengusap lembut kepala aku.

"Itu bukan hal yang sulit buat aku. Latihan Bhayangkara jauh lebih sukar."

Aku bukan kisah kau susah ke senang Rangga Oii!
Kau tak perasan ke aku perempuan!
Malu dowh...

Tiada lagi kedengaran suara aku atau Rangga selepas itu. Aku biarkan kuda Rangga membawa kami ke destinasi yang hanya diketahui oleh tuannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.