Home Novel Cinta TUAH
Bab 33
APA YANG AKU DAH BUAT


Kelibat Tuah tidak lagi kelihatan selepas Lekiu mengiringi aku pulang ke penempatan orang-orang Melaka. Lekiu jadi supir, aku jadi mandur.

Ada beberapa perkara yang terdetik di hati dalam perjalanan pulang. Aku ajukan tekaan kepada Lekiu, "Awak yang bagi pendayung dekat Tuah tadi?"

Masakan aku tak terperanjat? Tiba-tiba sahaja kayu-kayu dayung yang dibuang Tuah melayang pulang ke perahu selepas cubaan Tuah untuk memeras maklumat dari aku gagal.

Pengakuan Lekiu amat jelas. "Benar."

Walaupun penuh kesangsian, aku luahkan juga telahan kedua.
"Awak... ada ketawakan saya?"
Aku yakin Lekiu tahu pertanyaan aku merujuk kepada sayup-sayup ketawa yang aku dengar semasa terpeluk Tuah.

Senyap. "Lekiu?"

Aku perhatikan sahaja gerak-geri Lekiu. Pandai ke dia menipu? Orangnya nampak 'berjurus'.

Lekiu berpusing menghadap arah lain dan berdehem beberapa kali. Akhirnya dia mengangguk.

Pergh! Mengakupun! Tapi... Lekiu? Betul ke?
Memang payah aku nak percaya. Bibir yang statik mendatar bak diselaputi gam cap gajah itu susah tersenyum apatah lagi nak ketawakan orang.

Cerah langit tersirna dek lembayung ketika ini. Kereta kuda bergerak perlahan seiring gemawan kelabu yang semakin pekat. Senja menghampiri hari dan aku telah memikirkan rencana baharu untuk malam yang bersedia menjengah.

"Awak ada duit tak?"
Dua kali Lekiu tengok aku barulah dia jawab, "Iya."

"Boleh pinjam?"
Siapa suruh mengaku hahaha

"Iya."

Yabedabedoo! Terus aku pujuk Lekiu menyimpang ikut rencana aku ke laluan menuju alun-alun. Aku nak lepak di situ malam ini. Jauh dari bayang Tuah. Lekiu yang tak banyak soal menuruti kemahuan aku.

Perkara pertama yang aku buat adalah membeli makanan. Aku mempelawa Lekiu menjamah ubi kayu bakar bersama-sama sambil duduk di pinggir unggun api. Selain peneman makan malam, aku nak menyoal siasat Lekiu tentang Tuah.

"Korang macam tak sibuk je sekarang. Dah tak iring Sultan?"

"Kami bergilir mengiringi Yang Mulia DiPertuan. Keselamatan baginda di dalam kota lebih terjamin setelah tempoh 40 hari berjaga bermula."

40 hari berjaga? 40 hari pantang lepas bersalin tahulah aku.
"Nak jaga siapa lama-lama macam itu?"

Lirikan yang membayangkan keanehan di mata Lekiu sama seperti Rangga, Iskandar dan Tuah. Jadi, aku pasang raut suci, pamerkan rasa tak bersalah terhadap mangsa kekeliruan aku untuk menghindar prasangka yang berlanjutan.

"Adat yang melambangkan peri pentingnya nilai perkahwinan di dalam kehidupan bangsa Melayu. 40 hari berjaga-jaga sehingga tiba hari pernikahan. Sepanjang tempoh tersebut keluarga pengantin melahirkan besar hati mereka menerima ahli keluarga baru di samping menjaga bakal pengantin dari musibah."

Whoa...
Mulut aku bukan terlopong sebab penjelasan Lekiu yang panjang lebar tetapi bait-bait bicara Lekiu itu paling panjang yang pernah aku dengar. Karakter lelaki ini lebih misteri daripada Tuah. Diam-diam ubi berisi rupanya.

Lekiu tak jawab apa yang aku tanya. Dia jelaskan apa yang aku nak tahu. Petunjuk bahawa sahabat Tuah itu berperwatakan peka dan pemerhati. Perbualan tadi memasukkan nama Lekiu di dalam senarai orang yang aku kena lebih berhati-hati.

Makanan yang dinikmati ketika masih segar dan panas bukan sekadar mengenyangkan perut, malah memenuhi tuntutan selera. Rasa nyaman dan damai yang datang selepas itu menyerap ke serata jiwa. Deru angin menyemarakkan unggun api lantas menebarkan hawa suam ke tubuh kami. Aku memutuskan untuk menikmati malam tanpa mengganggu Lekiu.

Sebaliknya dia pula yang kacau aku!

"Kasturi, maafkan hamba kerana bertanya. Pernahkah tuan hamba bersengketa dengan sesiapa di sini? Sudikah tuan hamba bercerita dengan hamba?"

Soalan Lekiu di luar jangkaan aku.
"Kenapa tanya macam tu? Saya ni ada rupa kaki gaduh ke?"
Tanda tanya aku berbaur jenaka.

Cepat-cepat Lekiu menggeleng dan menyambung makan. Malang bagi Lekiu kerana aku tahu selurus mana gerangan Lekiu. Pertanyaan Lekiu tidak bertindan.
A bermaksud A. Bukan seperti Tuah atau Rangga. B mungkin maksud kedua di dalam A.

Pap!
Aku tampar paha Lekiu, mendesak dia memberi penjelasan lanjut.
Haah!
Spontan juga dia menyergah kerana terperanjat.
Aaaa!
Spontan juga aku menjerit terperanjat dengan sergahan Lekiu.

Aku urut dada yang bergelombang laju. Kuat dan garang sergahan Si Lekiu sebentar tadi. Macam harimau betina beranak kecil. Mungkin warna muka aku sedikit pucat sekarang.

Melihatkan aku terkesan dengan reaksinya, Lekiu segera meminta maaf.

Aku juga minta maaf Lekiu kerana jadikan kejadian yang kau tak disengajakan itu sebagai peluang.

"Saya akan maafkan awak dengan syarat... beritahu saya kenapa awak tanya macam tu?"

Dalam kelat wajah, Lekiu separuh menyerah, "Hamba hanya terkenangkan Tuah. Itu sahaja."

Kau ingat aku boleh puas hati dengan penjelasan sekerat-sekerat macam tu.

Aku tak rasa Lekiu anti-sosial tetapi aku rasa dia mungkin pemalu dan tak biasa dengan perempuan. Badan Lekiu dari awal tadi tegak dan kejung macam tiang pendopo. Nampak sangat dia tak selesa berdua-duaan dengan aku walaupun sekeliling kami meriah dengan manusia dan ragaman mereka.

Makanan di tangan aku lepaskan. Aku berkalih duduk. Daripada bersebelahan kepada berhadapan. Kemudian aku damparkan tapak tangan atas paha Lekiu. Serta-merta aku boleh rasa renjatan di  tapak tangan. Tangan aku turut bergetar dan bergoyang mengikuti getaran kaki Lekiu. Semua itu aku tolak ke tepi dahulu untuk meneruskan langkah terakhir; pasakkan tenungan. Aku pastikan sinar mata aku menembusi ruang jiwa lelakinya yang paling dalam.

"Kas... kas... turi... tuan ham... hamba bu..."

Lambat sangat aku nak tunggu ayat kau habis Lekiu oii.

Segera aku pangkas kata-kata Lekiu. Aku kuatkan suara memanggil namanya untuk membawa sepenuh perhatian Lekiu pada aku.

"Lekiu! Jawab soalan saya dengan jujur. Kenapa dengan Tuah?"

Anak mata hitam pekat itu masih teragak-agak ketika memberi jawapan. Patah kata Lekiu putus-putus.

"Tuah. Saban malam berjaga. Bersendirian. Semenjak pencerobohan berlaku. Pada hari pertama. Di kawasan kita."

Anak mata Lekiu jauh menembusi kegelapan ketika dia membuka rahsia Tuah.

"Setelah itu barulah hamba sedar, kekalahan pertaruhan Tuah kepada tuan hamba tempohari adalah helah yang disengajakan. Tuah bermaksud melindungi tuan hamba."

Apabila aku masih jitu mengunci anak mata Lekiu, lelaki itu mengerti bahawa aku masih tidak berpuas hati. Lekiu melanjutkan penjelasan.

"Pernah kami bertanya kepada Tuah kenapa musuh datang mencari. Tuah enggan membuka mulut. Hamba dan Iskandar pernah cuba menghalang dan menangkap mereka tanpa pengetahuan Tuah. Kami berjaga jauh di dalam hutan. Usaha kami berjaya mematahkan rencana penceroboh malam itu. Malangnya kesemuanya terlepas lari. Dek kerana itu hamba cuba mengujarkan tanya. Hamba dan rakan-rakan ikhlas ingin membantu tuan hamba."

Siapa lagi yang layak disyaki Lekiu selain aku. Penghuni kamar di situ kesemuanya hulubalang. Aku sahaja orang luar.

Sekali lagi aku menggeleng  lalu melepaskan Lekiu

"Saya tak tahu Lekiu. Saya tak tahu kalau saya pernah menyinggung hati sesiapa di sini."

Suara aku kedengaran jujur dan tenang. Jauh tersembunyi di dalam diri, betapa aku telah bersusah payah mengepung hati agar tiada gelora perasaan yang terbias di raut wajah.  Fikiran aku mulai bersatu dengan asap unggun api yang berkepul-kepul menerawang ke udara dan kembali ke saat di mana Tuah memberikan amaran. Ketika kami berada di tepi tasik. Kata Tuah aku yang seharusnya takut, bukan dia. Mungkinkah penceroboh mensasarkan aku?

Tangkai hati aku rasa dijerut erat sehingga udara sukar terlepas dari dada. Aku amat jelas bukan ketakutan atau kebimbangan yang membelit jiwa.

Perasaan lain yang lebih hebat menggugat hati.

Rasa terharu.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.