Home Novel Cinta TUAH
BAB 1
BAB 1  TERDAMPAR DI DAERAH ASING


Tubuh yang bergoyang-goyang membuatkan aku tersedar. Aku layan aje mata masih mahu melekat rapat. Hanya mulut terbuka luas menguap.

Whoah. Mengantuknya!

Sayup-sayup kedengaran bisikan halus memupuk malas.

Hari ni cuti, kot! Sambung tidur lagi...

Aneh kerana badan berterusan berayun-ayun.

Bila masa aku tidur di buaian? Mana ada buai kat rumah.

Apabila goncangan semakin kuat siap badan melambung-lambung, terpaksa juga aku buka mata dan lepaskan geram.

"A-doo-ooi!"

Hajat hati nak mengamuk. Bengang betul bab tidur terganggu. Tak sangka hanya tarikan nafas tajam yang mampu keluar dari tekak. Selebihnya suara tertahan dek silau senjata yang menyapa mata.

"Hah!"

"Diam... kalau kau tak nak mati."

Suara garau itu umpama deru angin musim dingin. Kasar dan tajam menghiris lapisan epidermis yang terdedah udara. Kesan suara sebegitu menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Aku pandang hujung pedang yang tepat menghala ke dada. Perlahan-lahan gerak mata menelusuri batang tipis sehingga ke pangkal. Tangan yang mengenggam pedang, besar dan kekar. Walau pegangan tak kejap, garisan urat hijau nampak timbul di bawah kulit yang cerah.

Lepas itu baru aku angkat mata melihat si pelaku jenayah. Seorang lelaki sedang duduk bersandar di dinding. Matanya rapat tertutup.

Eh! Eh! Nak membunuh orang ni?
Jangan main-main ekk sebab apa yang kau buat ni adalah perbuatan intimidasi jenayah.

Itu adalah kesalahan jenayah di bawah peruntukan seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan. Silap gaya 7 tahun meringkuk dalam penjara!

Dah sedar merbahaya depan mata, takkan la aku nak buat bodoh.
Mestilah aku nak selamatkan diri.

Baru nak menjerit lagi kuat untuk meminta pertolongan, hujung pedang naik ke batang tengkuk. Meskipun tertindih dengan kain tudung, aku dapat merasakan mata tajam senjata itu telah menghiris kulit.

"Ini amaran terakhir. Jangan bising. Aku nak sambung tidur sekejap."

What-the-heck!
Kacau tidur je pun sampai beria gertak nak membunuh bagai! Waras ke tak dia ni?

Pekikan hanya melantun-lantun dalam diri sahaja.
Siapa orang gila ni?
Kenapa pula tiba-tiba Mamat sewel ni boleh berada dalam bilik aku?
...Sekejap...

Perlahan-lahan dua soalan tersebut telah membawa aku kepada gambaran lebih besar. Panik menyebabkan semua perkataan dengan tanda soal muncul serentak di kepala.

Di mana?
Macamana?
Siapa?
Bila?
Kenapa?

Semua soalan bertubi-tubi menerjah minda. Pantas anak mata berlarian ke sekitar.

Pegun-Jeda-Lama.

Akal bagaikan berhenti berfungsi seketika sebelum mula bekerja lebih gigih. Mujur jantung masih tak lupa pengepam. Ya, dalam kadar denyut yang giler laju. Aku sedar, ilusi dan fantasi dalam gambaran terlalu nyata inilah yang mencetus takikardia. Dalam deru nafas yang kencang, aku perhati sekeliling sekali lagi.

Apa yang dah jadi dekat aku ni?

Berkali-kali aku cuba kerdipkan mata. Awal-awal lagi minda telah menolak gambaran pandangan sebagai ilusi optik. Tak ada apa-apa cahaya yang direfleksikan oleh objek di antara empat dinding kayu ini yang memasuki lensa lalu menipu mata. Kayu jelas nampak kayu dan lelaki itu kekal lelaki. Yang menipu aku adalah keseluruhan rangka penglihatan yang tak munasabah ini.

Agaknya mamai masih tak hilang. Sebab itu ruang asing di hadapanku masih sama.

Kali ini aku pejam mata lebih lama sebelum membukanya kembali.

Aduhai, mimpi masih bereja. Tiada apa-apapun yang berubah.

Hakikat bahawa aku tidak berada di dalam bilik tidur dan aku tidak bersendirian membuatkan aku panik sehingga terlupa nyawa sedang tergantung di hujung pedang.

Mungkin terlalu lama minda merayap, berpusing-pusing lalu berpatah balik sehingga aku tak sedar bila masa pedang dah menjauhi rengkung.

Takut adalah perkataan pertama yang aku jumpa setelah habis berfikir. Perasaan itu memaksa aku menoleh dalam gerak yang amat berhati-hati. Lelaki itu masih ada di sebelah aku. Posisinya tak berubah melainkan tangan yang masih kejap memegang pedang yang telah bersandar di paha.

Takut tetap takut, tetapi aku melirik juga ke arah lelaki itu. Nampak macam dia sedang tidur dengan kelopak mata yang tertutup sepenuhnya.

Plot untuk melepaskan diri mula rancak berlegar dalam kepala. Semua kemungkinan aku teliti. Jarak antara pedang dengan aku. Jarak antara pintu keluar dengan tempat aku berbaring. Sejauh mana ketakutan masih mengerumuni diri. Semuanya aku timbang dengan teliti tetapi...

Segala-galanya sia-sia belaka tatkala tengkuk lelaki itu terlentuk ke sisi.
Muka dia menghadap aku!

Ciss! Tak guna betul! Macam tahu-tahu je aku nak cabut lari.

Berselang-seli aku lemparkan pandangan pada mata lelaki itu dan tangan yang kemas memegang pedang.

Keputusan yang ada menghampakan. Aku lebih percayakan kata-kata lelaki itu tadi dan tangannya daripada keyakinan aku sendiri. Dengan kata lain... aku masih takut!

Lalu apa yang boleh dilakukan oleh Si Pengecut?
Pejam mata rapat-rapat dan berdoa agar cepat tersedar. Aku yakin sangat ini hanyalah mimpi. Mimpi yang seakan benar.

Dengan tubuh yang masih tak berhenti bergoyang, walau tak mengantuk, kepala dah sedikit pening. Aku senandungkan kata-kata memujuk diri.

"Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si dahan mangga.
Hendak tidur, tidurlah mata.
Jangan bermimpi si teruna gila."

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.