Home Novel Cinta TUAH
Bab 35
Bab 35 HARUMAN KASTURI


Angin yang berhembus damai turut menghantar harum alam yang dikaut sepanjang berbatasan bukit. Bau manis dan bunga-bungaan likat memenuhi rongga hidung. Aku menghela nafas sedalam-dalamnya. Tanpa membuka mata aku tahu aroma indah ini datangnya dari kudup samar yang masih malu-malu menampakkan rupa di sepanjang ranting.

Munculnya meahwa adalah petanda yang diraikan makhluk rimba dan manusia. Petunjuk akan berakhirnya musim dingin. Siapa yang tidak menantikan saat datangnya musim bunga? Tempoh masa di mana alam akan mengejutkan pohon-pohon yang lama terlena di bawah timbunan salji agar bersedia untuk mempamerkan pesona kepada dunia. Meahwa adalah antara bunga yang terawal berani menyahut seruan.

Aku buka mata untuk mencari kepastian. Sekadar mendongak, ratusan kudup lima kelopak bunga menceriakan deria penglihatan. Betapa aku mahu berlama-lama menyandar tubuh di batang pokok ini. Hati masih tak puas menghirup bau wangi. Namun aku tahu, ada sesuatu yang indah melebihi sejuta keindahan sedang menanti aku di lembah bawah sana.

Aku berdiri dan meneruskan perjalanan. Setiap sudut dan ceruk laluan di sini ada jejak perasaanku. Pulangnya aku dari istana bersama rimbunan kerinduan kepada kampung halaman. Pemergian aku pula demi menabur bakti kepada pertiwi bersama gunung harapan. Agar nama baik keturunanku turut harum sepertimana maehwa mengharumkan tanah kami.

Langkah yang pada mulanya santai bertambah gegas. Lembah datar yang dirahmati Tuhan tampak saujana. Pokok-pokok barli musim dingin masih belum dituai. Sebaik sahaja satu susuk yang amat aku rindui memasuki ruang mata, kaki aku seolah-olah tidak pernah tahu erti berjalan. Seluruh tenaga aku kerahkan pada bahagian bawah tubuh agar pantas membawa aku ke rangkulan wanita yang tercegat di luar pintu gerbang.

"Ibu."

Bibir bergetar menyebut panggilan yang selamanya menyejukkan sukma.

Ibu!

Hati aku telah meraung ketika ini. Dasawarsa telah memisahkan aku dengan wajah itu. Terlalu lama sehingga rindu aku timbul dan tenggelam dengan peredaran masa.

Wanita itu mengangkat wajahnya apabila suara aku sampai kepadanya. Senyuman manis terpamer pada wajah yang senantiasa jelita di mata aku.

Walaupun setiap inci tanah di sini pernah aku pijak, aku masih terlupa bahawa laluan mencerun ini tidak hanya terkandung tanah malah bercampur batu dan banir. Di dalam tergesa-gesa, aku biarkan kecuaian meragut momen yang amat berharga. Tersadung akar pokok, tubuh hilang imbangan. Aku hanya merasakan tubuh bergolek laju menuruni cerun bukit.

"Ibu..."
Suara aku lemah. Begitu juga pandangan yang semakin kabur. Jeritan memanggil namaku bertambah jelas tetapi hanya siluet samar yang aku dapat lihat.

"Ibu..."
Rintihan hati yang terucap di bibir membuatkan aku terjaga. Perlahan-lahan aku tegakkan badan. Pipi terasa basah. Aku sapu air mata yang bersisa.

Hawa dingin memasuki hidung sebaik sahaja aku hela nafas yang panjang. Selimut pemberian Hanna tadi aku rangkul dan bawakan ke wajah.

Segaris senyuman aku lorekkan. Jadi, selimut inilah yang memancing mimpi. Haruman maehwa yang berlegar di permukaan kain amat likat.

Ada sebab kenapa aku menamakan dia Kasturi tatkala ditanya Sang Raja.
Kerana haruman ini.
Bau inilah yang berterusan berlegar-legar di sekelilingku sebaik sahaja kami terpisah dari Genta Segara.

Ada sebab juga kenapa tidur bukan lagi menjadi keperluan tetapi kegemaranku. Lebih-lebih lagi andai gadis itu ada berdekatan.
Kerana haruman ini.
Bau gadis itu menenang minda, merapi jiwaku.

Haruman ini membangkitkan rindu aku yang telah lama terbiar. Ingatan hamba rakyat kepada raja dan tanah kelahirannya. Rindu anak kepada ibunya.

Tadi mimpi kedua. Mimpi pertama yang membawa aku pulang ke kampung halaman ketika aku berkongsi ruang tidur di pendopo bersama Hanna.

Selain Puteri Hang Li Po, aku selalu anggap mana-mana gadis yang ingin mendampingi aku sebagai penganggu. Kasad dan amanah aku jelas dari hari pertama aku jejakkan kaki ke Melaka. Aku telah dedikasikan hidup kepada Tuan Puteri lebih lama dari hari itu. Sebelum perkenalan kami lagi. Selagi amanah masih terpikul di bahu, selagi itu aku akan cantas semua perkara yang menghalang tujuan aku termasuklah putik-putik cinta dari kaum hawa.

Ironi, kini aku pula yang mencari peluang berkongsi ruang udara dengan perempuan. Ini adalah hakikat yang hanya diketahui hati. Sedangkan perkara lain hanyalah alasan luaran bagi mengaburi rahsia. Pencerobohan, keselamatan malah kemarahan. Tanpa semua perkara itu, aku akan tetap mengikat Hanna rapat di sampingku dengan apa jua alasan lain.

Mimpi itu terlalu singkat berbanding masa sebenar yang aku habiskan. Laungan azan Husin memecah hening subuh. Usai solat berjemaah, aku keluar dari pendopo menghala ke kawasan belakang. Langkah Lekiu perlahan mengikuti aku.

"Ada apa-apa yang mencurigakan malam tadi?"

Senyap. Kenapa dengan Lekiu? Soalan aku jarang dipulangkan kosong. Ketika aku menoleh ke belakang, kepala Lekiu sedikit menunduk. Arah matanya jatuh menekur tanah.

Aku biarkan sahaja Lekiu melayan perasaan biarpun terdetik keinginan untuk tahu perkara yang berjaya mencuri perhatian Lekiu. Hati Lekiu lebih kental dari aku. Bukan sembarang perkara yang boleh menggugat lelaki itu.

Jalur putih masih sedikit di langit. Aku capai jamung untuk menambah kadar penglihatan. Fokus aku adalah sisa jejak. Apa sahaja termasuklah tinggalan tapak kaki, cebisan pakaian ataupun darah. Setelah tiada satupun kesan yang aku temui, aku lepaskan kelegaan dalam diam. Saban malam aku memantau dan mengawal kawasan di sini, baru semalam aku terlelap. Mujur tiada apa-apa yang berlaku.

Sekadar menyedapkan hati, aku bertanya kepada Lekiu, "Ada kau terjumpa apa-apa?"

Masih senyap. Kali ini kepala Lekiu terangkat ketika aku memandangnya. Wajah Lekiu sedikit cemas.

"Ada apa, Lekiu?"

Sorotan mata Lekiu membuat hati berasa tidak enak.

"Kasturi memang suka membuka tingkapnya malam-malam?"

Sebentar sahaja memasang telinga, aku faham maksud soalan Lekiu. Jantung mula memalu kuat sambil berlari ke belakang kamar Hanna. Bunyi berdegang yang sekali sekala kedengaran tadi datangnya dari daun tingkap ini.

Ikutkan hati aku ingin menjengah sahaja tanpa amaran. Hati memujuk sabar agar mendahulukan adab. Lalu aku ketuk daun tingkap seraya memanggilnya.

"Kasturi."

Aku kuatkan suara dan hentakan tangan.

"Kasturi, tuan hamba ada di dalam?"

Apabila sepi masih menyahut laungan, aku terus menjenguk ke dalam kamar. Api jamung sudah cukup untuk mencerahkan keseluruhan bilik tidur Hanna.

"Tuah, Kasturi tiada di dalam!"

Ya, kenyataan itu telah mengaburkan sangkaan baik aku. Tidak berpuas hati, aku melompat masuk menerusi daun tingkap dan membuat pemeriksaan lebih teliti.

Kini harapan baik aku juga lenyap. Yang tinggal hanyalah doa berdasarkan cebisan bukti yang samar.

Di manakah dikau, Kasturi?


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.