Home Novel Cinta TUAH
Bab 41
Bab 41 Jangan goda aku


Ikutkan hati, aku tak nak buka mata lagi. Tetapi bunyi-bunyi asing walaupun sangat nyaman, meruncingkan keinginan ingin tahu.

Dari mana datangnya gemuruh air?
Dari mana munculnya siulan sakan burung? Binatang berpelepah itu seakan berpesta riang.

Lalu terbuntanglah mata ini apabila keindahan alam menyapa pancaindera. Terus aku tegakkan badan.

Memang ada air terjun depan mata!
Kuat jeritan batin aku.
Hadoi la mimpi! Sudah-sudah la lempar aku ke sana ke mari.
Keseorangan di tengah-tengah belantara? Biar betul?

Sungguh, aku panik! Badan memutar ke belakang sebelah kanan dan patah balik sampai belakang sebelah kiri. Sekali imbas, aku tak nampak keliabat manusia.

Kewarasan akal memberitahu bahawa perkara yang paling penting adalah aku juga tak nampak mana-mana kelibat binatang buas. Maknanya aku masih selamat.

Namun, berhadapan dengan ketidakpastian memang menggusarkan. Walaupun aku tahu, hutan di sekeliling aku akan lenyap dalam sekelip mata di saat jaga nanti, berkali-kali juga hati mententeramkan diri.
Ini hanya mimpi, Hanna.
Ini hanya mimpi.

Aku tolak kebimbangan ke tepi. Perlahan-lahan aku bangun dan berhati-hati meneroka sekitar. Di kiraan sepuluh langkah, kaki telah rapat ke gigi sungai. Air nampak begitu jernih bertakung dalam kedua tapak tangan sebelum renik halusnya menyelaputi seluruh kulit muka.

Wow, sejuk dan menyegarkan! 

Ketawa terlepas bebas mengenangkan niat asal hanya nak basuh muka. Tak sangka sekejap sahaja panik aku larut dalam kejernihan air sungai. Sedar-sedar, badan dah terendam dalam air. Aku lentangkan badan dan timbul di permukaan sungai. Mata terbuka luas melihat hamparan langit dengan warna biru lembut yang hampir sekata di celah lingkungan kehijauan hutan.

Hurm... damai, bahagia.

Bedebur!

Mata yang baru tertutup serta-merta terbuka luas.

Bunyi apa tu?

Aku ubah posisi tubuh yang telentang tadi. Tangan menguak kuat di dalam air memusingkan badan. Melilau aku memerhati ke semua arah. Panik kembali menyentak diri apabila aku menyedari ada bayang gelap sedang mengelilingiku di dalam air.

Kini bukan kesejukan penyebab gigil. Biasan imej kabur yang semakin dekat dan besar menghadirkan imaginasi yang menyeramkan. Kecut perut membayangkan kemungkinan makhluk itu bukan manusia. Siluet gelap tiba-tiba sahaja berhenti bergerak.

Tika ini, andai aku pilih untuk tenggelamkan diri, imej yang kabur itu pasti akan jelas terzahir di bawah sana. Mengetahui siapa lawan merupakan satu kelebihan. Mungkin lebih mudah untuk aku merancang langkah yang selamat.

Malangnya, itu adalah kelemahan utama aku. Berhadapan realiti!

Tragiknya, aku rela menanggung derita emosi akibat ketidakpastian daripada berani berhadapan dengan sesuatu yang pasti.

Hanna, sungguh kau pengecut!

Panik aku kemuncak sewaktu melihat permukaan sungai berkocak dengan gelembung-gelembung udara yang besar. Bayang kabur tadi bergerak lurus menuju permukaan air.

Arrghhh!

Kalau badan aku terkena sinaran gamma macam Bruce Banner, kulit aku dah bertukar warna hijau sekarang. 

Hantu betul Si Rangga ni!

"Rangga! Kenapa awak buat macam tu?"
Semburan kemarahan aku ala mak tiri garang versi drama klasik.

Rangga tersengih-sengih. Dia masih terapung di tempat yang sama.

"Aneh ya..."

"Apa yang aneh?"
Melenting aku potong ayat Rangga. Kali ini senyuman Rangga tak berkesan memadamkan geram.

"Kamu cantik sekali ketika marah."

Damn!
Kesan pujian Rangga lebih sejuk dari sungai, melenyapkan geram beserta panas baran aku. Sebaik sahaja nada lembut Rangga memasuki corong telinga, taik telinga bagaikan mencair mengosongkan laluan gema pujian ke minda. Akal mengenal suara ikhlas Rangga. Hati pula tidak mengesan sebarang kebohongan. Cepat benar hipotalamus mengerah feromon keluar. Bibir yang dah bersedia nak hamburkan kemarahan bertukar ketawa. Meskipun begitu aku bagi satu das jelingan ketika Rangga menghampiriku.

"Enak berlibur di sini?"

Aku mengangguk laju dalam masa yang sama beberapa perkara melintas di fikiran.

"Macamana awak boleh menyelam lama-lama dalam air?" Agak lama aksi Rangga dalam air untuk menakutkan aku tadi.

"Aku membesar dengan paman. Dia seorang saudagar. Ke mana paman berdagang, di situlah aku berkelana. Lautan dan pelabuhan menjadi taman permainanku. Paman gemar mengupah orang-orang Seletar mengendalikan bahtera dan jongnya. Aku banyak belajar perihal lautan dengan mereka. Mereka mengajar aku bagaimana untuk hidup di dalam air."

Tangan Rangga menguak kuat mendekatkan jarak kami. Perhatian aku terkalih ketika Rangga menyapu air di wajah. Secara tak sengaja, mata mengekori jejak tangan Rangga. Dahi Rangga yang licin, alis tebal yang melengkung tajam, lekuk matanya yang dalam.

Jarang sekali aku melihat Rangga dengan mata hati perempuan. Memerhati ciri-ciri maskulin yang jelas tertonjol di garis hidung, pipi dan rahang Rangga.

Aku akui selain pesona manisnya, Rangga agak tampan dan.... hurm seksi.

Walaupun badan Rangga tenggelam dalam sungai, aku rasa keseksian Rangga telah berkalih ke mukanya. Rangga yang kelihatan amat menawan di kala ini berjaya menggugah jiwa perempuan aku.

Air liur bergabung dengan air sungai memasuki tekak yang tiba-tiba rasa kering. 

Kau goda aku ke Rangga?
Atau...
Aku yang tergoda dengan kau?

"Berada lama di perantauan memudahkan aku menyelami dunia luar, budaya  dan bahasa mereka. Dek kerana itu aku mampu bertutur baik dengan kau."

Butir bicara Rangga tenggelam dan timbul di telinga bertingkah dengan paluan jantung sendiri. Aku cuba sembunyikan kesemua lantunan perasaan di dalam simpulan senyuman.

Kini persepsi aku tentang Rangga semakin lebar dan jelas. Malah getaran perasaan  akibat aksi seksi Rangga tadi juga semakin hilang.

Eh, apa yang aku nak tanya tadi? Haaa...

"Rangga, macamana tiba-tiba aje aku ada dekat sini?"

Mata Rangga mengecil semasa dia ketawa.
"Kerana tiba-tiba sahaja kau terlena dalam dakapan aku malam tadi."

"Malam?" Da- dakapan?

"Barangkali angin di kolam Segaran memabukkanmu."

Perkataan kolam Segaran memancing memori, membuat ingatan berundur pantas ke belakang. Membawa aku ke pinggir kolam Segaran bersama Rangga dan kudanya. Mengingatkan aku akan pelawaan sembunyi Rangga untuk mengambil angin malam dan kemunculan tiba-tiba Rangga melalui tingkap. 

Jadi ilusi pendek yang aku rasakan ketika aku tidak sedarkan diri di Muzium Melaka adalah ketika aku menunggang kuda dengan Rangga.

Hurm...
Jadi kehangatan yang aku rasa ketika itu adalah haba badan Rangga?

Haish! Hanna... Hanna...
Muka aku rasa memijar membayangkan kulit pipi aku melekap dekat kulit dada Rangga.

Perlahan-lahan aku tenggelamkan tubuh ke dalam air dan kerah tangan agar mendayung laju menjauhi Rangga.

Malunya! Huwaa...

"Hanna, kok sudah mahu naik?"

Aku melaung alasan dari jauh. "Aku lapar."

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.