Home Novel Cinta TUAH
Bab 16

Bab 16  Tuah: Aku tahu kau siapa


"Tidak mengapakah Hanna bersama-sama kita, Tuah? Tidakkah lebih molek andai dia berada dengan dayang sekalian?"

Lekir meluahkan resah. Aku tahu apa yang dia fikirkan. Fitnah wanita. Malangnya apa yang Lekir nampak hanyalah sebahagian kecil masalah. 

Tangan Lekiu melingkar di bahu Lekir lalu ditepuk-tepuknya perlahan. Raut Lekiu melakonkan kesedihan.

"Aku sungguh bersimpati dengan nasibmu Lekir. Tak ramai manusia yang dikurniakan kepala udang seperti kau."

Lekir cepat-cepat melempias jelingan. Malangnya tindakannya itu hanya menambah teruja Lekiu menyenda-nyendakan Lekir. Tangan yang melingkar di bahu Lekir tadi laju melibas kepala lelaki itu pula.

"Hoi dungu. Hujan berpohon, panas berasal. Sudah tentu ada sebabnya mengapa Hanna dihantar ke mari. Lelaki itu pasti telah menghidu sesuatu."

Sebagaimana yang dikata Lekiu, aku juga menelah perkara yang sama. 

Angkara siapa? Si anak atau bapanya? 

Siar bakar berpuntung suluh. Aku perlukan kepastian sebelum bertindak lebih lanjut. 

"Lekir, berikan Kasturi kamarku."

Arahan aku di luar sangkaan Lekir kerana telah jelas di hadapan semua rakan-rakan tadi kamar siapa yang menjadi habuan Hanna malam ini.

"Apa perlunya kau berbuat sedemikian Tuah? Bukankah hadiah kemenangan Hanna telah ditentukan tadi?" soal Lekir. Anak matanya mahukan jawapan yang telus dari aku. Malangnya, apa yang aku beri adalah sebaliknya. Lekir terperosok jauh ke dalam kegelapan kerana aku langsung tidak meninggalkan sebarang cahaya buatnya.

"Itu untuk kekalahan pertaruhan aku esok."

Aku tahu aku telah dikalahkan gadis  itu belum sempat gelanggang pertarungan dibuka. Sorotan mata Kesatria Majapahit yang pegun sebelum gelombang kejutan melanda mata hitamnya ketika pandangan lelaki itu jatuh pada Hanna memaklumkan aku akan hal ini. Mainan gadis itu turut terkesan kepadanya sedangkan Bhayangkara tidak akan sesekali membuka topeng wajah. Kawalan perasaan mereka selalunya utuh. Jiwa mereka sukar digugat. 

Melainkan...

Misteri permainan Hanna di luar jangkaan akal manusia biasa. Malah benak aku juga  telah mula berkocak kerana dia. Gadis itu ibarat berdiri di dalam kabus tebal. Segala perkara yang timbul dari susuk kecil itu tidak jelas, penuh curiga.

Seandainya lelaki itu dan Hanna berada di pihak yang sama, pasti mereka turut berkongsi maklumat yang sama. Lalu apa luar biasanya cerita Hanna sehingga memeranjatkan lelaki itu?

Aku menduga, ada sesuatu tentang Hanna yang dia telah tahu, aku tidak tahu. 

Dan aku bertekad untuk membongkar perkara itu.

Aku tinggalkan Lekir yang diselubungi tanda tanya. Sudah tentu habuan awal aku buat Hanna bukan kosong! 

Untuk menangkap ikan besar, umpan perlu besar juga. Keselesaan aku adalah perkara yang kecil berbanding kesulitan yang bakal aku hadapi seandaikan mengabaikan perkara yang tampak masih remeh. 

Langit Majapahit ketika ini bersatu dengan alam menambah legam malam. Sesekali garis putih merekah di dada langit diikuti dengan jerkahan garang yang menakutkan. Deruan angin tidak menyimpan belas. Melanggar dan merempuh semahunya. Pekikan langit berkumandang lagi sebelum tujahan titis lembut nan jernih dilepaskan dari awan kelam.

Hujan dan angin kencang menyimbah dingin ke serata arah. Di kala itu bukan sahaja manusia galak menarik selimut menyelindung kepala dari dunia, malah haiwan juga menyimpan taring dan kuku di bawah suam pelepah dan bulu-bulu mereka. 

Sangkaan aku tepat. Mereka yang berhati lapang sahaja tenang menikmati hawa dingin, enak berselimut di ranjang. Sedangkan manusia yang hatinya penuh kejahatan tak akan melepaskan peluang sebegini. Bagi mereka hujan melimpahkan rahmat kerana berupaya  menyembunyikan perbuatan jahat mereka.

Meskipun derap hujan dan kaki-kaki mereka bersatu, deria pendengaran aku masih boleh mengasingkan bunyi-bunyi itu. Begitu juga ketika kaki-kaki itu mendarat di bumbung kamar Hanna, aku masih boleh mengesannya. 

Siapa tuanmu aduhai penceroboh? 

Percaturan aku berhasil. Sengaja aku mengatur tempat tidur Hanna di kamar yang disediakan untuk aku, Lekir dan Lekiu. Kedudukan kamar kami di hujung penempatan berdekatan hutan membuka ruang untuk serang hendap.

Aku biarkan sahaja kaki-kaki itu bertapak di atap sementara menanti hasil tangkapan utama. 

Buk!

Kelibat hitam yang muncul entah dari mana sedang melayangkan tendangan ke dada penceroboh. 

Bap!

Dua susuk manusia terpelanting jauh menyembah bumi.

'Lalu penjahit lalu kelindan', hati bersorak riang. Bibirku menyungging tinggi. Penceroboh datang laksana kepala air sungai. Deras arusnya berganda. Permulaan berdua kemudian berempat seterusnya berlapan. Manusia serba hitam melompat turun dari atap dan mengempur penceroboh dari situ. 

Aksi pemuda itu tangkas dan laju. Badannya mengacah ke kiri dan kanan mematahkan serangan lawan yang menyerang dari empat penjuru. Matanya bersinar terang memerhati lawan meskipun dari ekor mata.

Ketika lelaki itu berhadapan dengan lapan lawan, siku aku disinggung Lekiu. 

"Biarkan. Aku mahu melihat corak permainannya."

Dari celahan rimbunan belukar, aksi lelaki misteri itu masih jelas. Andaian awal aku, dia tahu siapa lawannya. Pukulan dan hentakan padunya terus menjatuhkan lawan. Sasarannya tidak membunuh. Hanya mematikan serangan.

Apabila jumlah lawan meningkat enam belas, aku tepuk paha Lekiu dan berkata, "Berkawal di sini."

Sekali menghentak kaki ke tanah, aku kawal imbangan tubuh tatkala diri melonjak ke udara dan mendarat di sebelah lelaki serba hitam. Kesemua lawannya yang kini menjadi lawanku tergamam dengan kemunculan mengejut sebegitu. Aku dapat merasakan gandinganku kekal tenang di sebelah. Tiada bahasa tubuh mahupun suara yang menyapa aku. Pandangan lelaki itu kekal dingin, lurus memerhati lawan.

Aku mencabut pedang dari sarung lantas beraksi. Aku tahu dia memeriksa langkahku terlebih dahulu. Setelah mendapati aku hanya menyerang dengan sisi tumpul dan sarung pedang, barulah lelaki itu turut melawan. Kesemua gerak lawan aku matikan di dalam beberapa gerakan sahaja. Aku kumpul seluruh tenaga ketika menghentam lawan. Dengan sedemikian itu, yang jatuh tidak lagi bangun. Yang terhumban, tidak akan menerkam kembali. 

Lelaki itu hanya membiarkan lawannya berundur tanpa jejak. Aku pula membiarkan perlakuannya itu kerana  jawapan yang aku cari ada pada dia.

Apabila hanya tinggal siulan angin dan derai kasar hujan yang mencelah dan menyerang kami, lelaki itu berpaling dan beredar tanpa penjelasan. Aku meninggikan suara membelah bingit hujan, "Katakan padaku, angkara siapa? Betara Majapahit atau Puterinya, Raden Galuh Chandra Kirana?"

Langkah kaki lelaki serba hitam itu mati seketika. Tatkala kaki itu melangkah beberapa tapak lagi, aku memekik, "Bhayangkara, Sangka Ningrat! Berikan aku jawapan."

Lelaki itu tidak menoleh semasa bibirnya membalas kata dengan penuh ketegasan.

"Itu bukan urusanmu. Jaga orang-orang kau."

Di hujung kata-kata, susuk sasa itu bersatu dengan kegelapan dalam sekelip mata.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.